Mengecam Tindakan Keganasan Pemuda UMNO yang Menghalang Aktiviti Mansuhkan ISA
November 23, 2010

Kami sebagai kumpulan masyarakat sivil ingin mengecam tindakan ketua pemuda UMNO Pulau Pinang Norman Dhalan dan Naib Presiden Persatuan Peniaga Komtar Abdul Ghani Mohammad Jiman yang cuba mengacau untuk menghalang aktiviti Mansuhkan ISA yang diadakan di sekitar kompleks Komtar. Kumpulan tersebut bukan sahaja melanggar pihak penganjur dan juga wartawan, malah bertindak ganas terhadap pihak yang ingin meredakan keadaan pada masa tersebut.



Kami amat tidak puas hati terhadap anggota polis dan juga unit khas yang tidak menjalankan tugas untuk mengawal keadaaan pada ketika itu malah membenarkan pihak pengacau bertindak ganas serta langsung tidak menghormati pihak penganjur dengan cuba untuk memberhentikan aktiviti aman tersebut. Ketua polis Pulau Pinang perlu bertanggung jawab terhadap insiden tersebut kerana secara jelasnya tindakan polis adalah berat sebelah dan tidak bersifat adil. Selain itu, tindakan susulan juga diperlukan  terhadap anggota polis yang gagal menjalankan tugas pada masa tersebut.



Dalam masyarakat demokratik,dialog atau diskusi merupakan cara untuk menyelesaikan perbezaan pendapat, penggunaan kekerasan menunjukkan UMNO tidak mampu berbincang. Sebagai contoh, pihak pengajur dan salah seorang penceramah Hishamuddin Rais pada masa itu telah menjemput  Naib Presiden Persatuan Peniaga Komtar Abdul Ghani untuk memberikan ucapan mengenai pendirian mereka yang menyokong ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), hal ini sejajar dengan sifat demokrasi iaitu sikap keterbukaan untuk menerima dan melayan pihak yang berbeza pendirian. Kami menyeru Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengambil tindakan terhadap insiden tersebut dan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli pemuda UMNO yang bersikap keras pada masa itu.



Kami sependapat dengan pendirian pihak pengajur iaitu ISA  merupakan akta zalim yang mencabuli hak asasi manusia dan perlu dimansuhkan segera. Akta Keselamatan Dalam Negeri secara jelas disalahgunakan oleh pihak pemerintah untuk menindas terhadap golongan yang mengkritik atau tidak puas hati terhadap pemerintahannya.



Pendirian kami amat jelas, iaitu tidak mengira sesiapa pun, seseorang yang ditangkap perlu dibicara sebelum dia dijatuhkan hukuman dan ia adalah sejajar dengan prinsip keadilan asasi (*natural justice*).



Pengasas Memorandum:

1. Civil Rights Committee of KL & Selangor Chinese Assembly Hall£¨CRC-KLSCAH£©

2. Jawatankuasa Masyarakat Sivil Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG


Penyokong Memorandum:

1. Writers’ Alliance for Media Independence (WAMI)

2. Suara Rakyat Malysia (SUARAM)

3. Islamic Renaissance Front (IRF)

4. *Centre* for Independent Journalism (CIJ)

Contact Us
Islamic Renaissance Front
26th Floor Menara Maxis, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia
Phone: +603-2615-7919
Fax: +603-2615-2699
Updated version: 2.39-20231022