Uraian buku Muktazilah dan Persoalan Kebebasan Insan oleh Dr Muhammad Imarah

January 30, 2020

Ahmad Farouk Musa || 30 Januari 2020

 

Kaum Muktazilah juga dikenali sebagai Ahlu al-‘Adli wa al-Tauhid yakni golongan yang mempertahankan keadilan dan keesaan Tuhan. Sebutan ini lebih mereka senangi karena bersumber daripada dua ajaran pokok iaitu al-’Adlu dan al-Tauhid. Dalam sejarah pemikiran Islam, kaum Muktazilah tampil mengajukan persoalan-persoalan teologi yang lebih mendalam dan kental dengan falsafah dibanding aliran-aliran teologi lainnya. Lantaran itu aliran ini juga dikenal sebagai para ahli filosof dan kaum rasionalis Islam.

Kaum Muktazilah juga mempunyai lima doktrin asas yang dikenal sebagai al-Ushul al-Khamsah. Doktrin berlima itu adalah al-Tauhid, al-Adl, al-Wa’d wa al-Wa’id, al-Manzilah bain al-Manzilatain, dan al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahyu ‘an al-Munkar. Demikianlah keyakinan mereka bahawa manusia diberikan kebebasan dalam menentukan kehendak dan perbuatannya, serta bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri. Tuhan itu Maha Adil dan berkewajiban berlaku adil. Lantaran itu tidaklah Tuhan yang Maha Adil akan menempatkan seseorang yang zalim ke dalam syurga sebagaimana Dia tidak akan menjerumuskan seorang yang taat ke dalam neraka, kerana hal itu terhasil daripada kebebasan kehendak manusia dalam memilih antara taat atau maksiat. Dalam mengajukan fahaman ini, Kaum Muktazilah berpegang pada firman Tuhan dalam Surah As-Sajdah ayat 17 yang artinya “sebagai balasan daripada apa yang mereka kerjakan“.Seandainya perbuatan manusia itu adalah daripada perbuatan Tuhan sendiri, maka tidaklah perlu diberikan balasan, kerana perbuatan apa sekalipun sifatnya, baik maupun jahat, yang dilakukan manusia adalah perbuatan Tuhan yang tentunya tidak perlu dipertanggungjawabkan oleh insan.

Prinsip ini bertolak belakang dengan pegangan Kaum Asha’irah yang berpendapat manusia itu lemah, dan justeru ia bergantung sepenuhnya pada kehendak dan kekuasaan mutlak Tuhan. Bagi mereka, Tuhan adalah pencipta tiap sesuatu, dan tiada pencipta selain Dia, makanya segenap perbuatan manusia adalah daripada ciptaan Tuhan. Disebabkan itu, bagi Kaum Asha’irah, Tuhan yang Maha Berkuasa itu boleh saja menjerumuskan orang yang beriman ke dalam neraka jika Dia menghendaki yang demikian. Demikianlah antara perbahasan yang diangkat dalam penulisan pemikir Islam yang ulung ini, Dr Muhammad Imarah, yang lahir daripada mazhab pemikiran al-aqlāniyyah al-Islamiyyah  - rasionaliti yang Islami - Imam Muhammad Abduh.


Dato Dr Ahmad Farouk Musa adalah Pengasas dan Pengarah di Islamic Renaissance Front (IRF), sebuah badan pemikir yang mengupayakan Islah dan Tajdid dalam pemikiran umat Islam serta pemerkasaan akal.

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/others/uraian-buku-muktazilah-dan-persoalan-kebebasan-insan-oleh-dr-muhammad-imarah/