WEBINAR: Isu Protes Pekerja & Hak Demokrasi Rakyat Indonesia: Analisis Dan Cadangan

October 25, 2020

Tarikh: Ahad, 1 November 2020

Waktu: 3PM MYT | 2PM JKT

 

Panelis:

1)Piet Khaidir Hizbullah, Ketua Bidang Dakwah Pimpinan Ranting Muhammadiyah, Indonesia

2)Dr. Syafiq Hashim, Wakil Ketua Lembaga Perguruan Tinggi Nahdlatul Ulama, Indonesia

3)Azrul Asmadi, Islamic Renaissance Front, Kuala Lumpur

 

 Daftar di sini: https://www.eventbrite.com/e/webinar-isu-protes-pekerja-hak-demokrasi-rakyat-indonesia-tickets-126687919979

*Pautan Zoom akan dihantar pada Sabtu malam 31hb Oktober 2020.

 

Susulan daripada kelulusan Omnibus Law (Undang-Undang Cipta Kerja) oleh Dewan Perwakilan Republik Indonesia pada 5 Oktober 2020, ia telah mengundang protes yang sangat kuat daripada sebahagian rakyat Indonesia sehingga menyebabkan berlakunya demonstrasi besar-besaran di bagi membantah kelulusan undang-undang tersebut. Bantahan tersebut dilakukan kerana banyak peruntukan di dalam Omnibus Law dilihat sebagai menindas hak-hak pekerja dan memberi keuntungan kepada pemilik syarikat-syarikat mega. Antara perkara yang dibantah daripada Omnibus Law tersebut ialah tentang pemansuhan gaji minimum pekerja, memendekkan hari cuti bagi pekerja, memanjangkan tempoh waktu kerja, membatalkan hak pekerja untuk menamatkan kontrak pekerjaan, dan beberapa lagi perkara lain yang turut terkait juga dengan penghapusan peraturan yang melindungi alam sekitar. Disebabkan oleh perkara tersebut, ribuan rakyat Indonesia telah melancarkan demonstrasi secara besar-besaran yang berlaku di beberapa buah wilayah seperti Jakarta, Bandung, Lampung, Yogyakarta, Surabaya dan beberapa buah wilayah lagi.

Menariknya, demonstrasi protes tersebut tidak sekadar disertai oleh golongan pekerja, malahan turut disertai oleh ribuan mahasiswa dan turut menerima respon bantahan untuk penggubalan undang-undang tersebut daripada dua organisasi Islam berpengaruh di Indonesia, iaitu Nahdhlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah. Hal ini memperlihatkan solidariti rakyat Indonesia yang sangat besar dalam mempertahankan hak demokratik mereka untuk menyuarakan bantahan di jalanan selain daripada melindungi hak mereka sebagai pekerja. Dalam masa yang sama, solidariti secara besar-besar tersebut turut menggambarkan bahawa rakyat Indonesia terbangun sebagai sebuah masyarakat sivil yang kuat, di mana pembentukan sebuah masyarakat sivil adalah sangat penting dalam sebuah negara demokrasi sebagai sebuah kuasa semak dan imbang terhadap kerajaan bagi mengelakkan salah laku pentadbiran ataupun sebarang agenda yang merugikan hak-hak rakyat jelata.

Oleh sebab itu, webinar ini dijalankan bagi menawarkan sebuah perbincangan yang berbentuk analisis kritis terhadap isu semasa yang berlaku di Indonesia terkait dengan demonstrasi rakyat terhadap penggubalan Omnibus Law. Selain itu, perbincangan juga akan turut mengupas tentang hak-hak demokrasi rakyat yang dilindungi oleh perlembagaan bagi menyuarakan bantahan termasuklah untuk melakukan demonstrasi protes sebagai respon kepada penggubalan undang-undang negara yang dilihat menindas hak rakyat. Akhir sekali, sesi webinar ini akan turut melihat cadangan-cadangan yang bernas tentang bagaimana seharusnya sesebuah kerajaan bersikap adil dalam hal ehwal kebajikan rakyat di samping memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara.

 

Tentang Pembicara:

Piet Khaidir Hizbullah ialah Sarjana dalam bidang Religion and Politics (Religious Studies and Development Studies) di School of Theology and Philosophy, Faculty of Arts, the University of Leeds. Beliau adalah Mantan Ketua Umum Dewan Pimpinan Pusat Ikatan Mahasiswa Muhammadiyah (2001 – 2003), Ketua Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah (2006 – 2010), Wakil Ketua Lembaga Penelitian dan Pengembangan Pimpinan Pusat Muhammadiyah (2010 – 2015), dan kini berkhidmat sebagai Ketua Bidang Dakwah Pimpinan Ranting Muhammadiyah Sendangagung Paciran Lamongan Jawa Timur (2016-2021). Sejak tahun 2015, Piet dilantik sebagai Wakil Pengasuh Pondok Pesantren (Ponpes) Al-Ishlah Sendangagung Paciran Lamongan, merangkap sebagai Sekretaris Dewan Pengurus Ponpes Al-Ishlah dan Sekolah Tinggi Ilmu Al-Qur’an dan Sains Al-Ishlah (STIQSI). Sebelumnya, pada 2011 -2014, sebagai Pensyarah Pengantar Filsafat Barat dan Filsafat Ilmu di Universitas Muhammadiyah Jakarta (UMJ), dan pada tahun2013-2015 bersama temannya dari Mesir menangani Easy Arabic, sebuah lembaga yang konsen pada pengembangan bahasa Arab dan Al-Qur’an. Pada tahun 2007 – 2010, beliau bekerja sebagai Direktur Program di Centre for Dialogue and Co-operation Amongst Civilisations (CDCC), sebuah lembaga yang didirikan oleh Prof. Dr. M. Din Syamsuddin. Pada tahun 2005 – 2008, beliau bekerja sebagai staf ahli Fraksi Partai Amanat Nasional (F-PAN) DPR-RI. Terakhir, pada 2003-2005 bekerja sebagai Direktur Program Diskusi Publik Maarif Institute.

Dr Syafiq Hasyim ialah Wakil Ketua Lembaga Perguruan Tinggi Nahdlatul Ulama (LPTNU). Beliau bertugas sebagai pensyarah di UIN Syarif Hidayatullah Jakarta dan Felo Pelawat di Indonesia Studies Programme, ISEAS – Yusof Ishak Institute. Beliau memperoleh ijazahnya daripada Fakultas Ushluddin, UIN Syarif Hidayatullah kemudian menyambung pengajian Sarjana di Leiden University, Faculty of Literature and Theology, dengan Tesis “Muslim Political Ethic in Indonesia: A Study of Political Behaviour among Muslim Political Parties, 1998-2000.” Selanjutnya Syafiq melanjutkan Ph.D beliau di Freie Universität Berlin dengan disertasi “Majelis Ulama Indonesia (MUI, Council of Indonesian Ulama) and its Role in the Islamisation of Indonesia State in Indonesia.” Beliau sangat aktif dalam usaha memberdayakan masyarakat. Pernah mendirikan Yayasan Rahima pada tahun 2000 dan menjadi penolong pengarah International Centre for Islam and Pluralism (ICIP) pada tempoh (2003-2009). Beliau merupakan penulis buku Understanding Women in Islam: An Indonesian Perspective, Bebas dari Patriarkhisme Islam, Demi Toleransi Demi Pluralisme:Esai-Esai Untuk Merayakan 65 Tahun Dawam Rahardjo, dan Islam Nusantara dalam Konteks Multikulturalisme dan Radikalisme.

Azrul Asmadi merupakan seorang pengkaji sosial dan berkelayakan dalam bidang konsultasi Green Building yang komited untuk membawa tatanan dunia yang seimbang dan mampan terhadap tamadun manusia dan alam semulajadi. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal daripada University of Manchester, dan pernah berkhidmat sebagai seorang jurutera selama lima tahun di Riyadh, Arab Saudi. Bapa kepada lima orang anak ini memiliki minat yang mendalam mengenai perbezaan di antara kesan-kesan ketamadunan Timur dan Barat terhadap nilai, sosial, dan ekonomi masyarakat global. Beliau juga memiliki minat yang mendalam tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan isu hak asasi manusia, masyarakat sivil, politik, dan hubungan antarabangsa. Beliau mempromosi konsep dan pendekatan "keesaan Tuhan" sebagai sebuah jawapan untuk berurusan dengan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh agama bagi mencapai keamanan dan kemakmuran dalam ketamadunan manusia.

 

Program

300-310PM:    Pengenalan oleh Moderator, Ahmad Muziru Idham, IRF
310-330PM:    Perbentangan oleh Piet Khaidir Hizbullah, Muhammadiyah
330-350PM:    Perbentangan oleh Dr. Syafiq Hashim, Nahdlatul Ulama
350-410PM:    Perbentangan oleh Azrul Asmadi, IRF
410-455PM:    Perbincangan & Soal Jawab
455-500PM:    Penutup oleh Moderator, Ahmad Muziru Idham

 

Anjuran: Islamic Renaissance Front




View original article at: https://irfront.net/post/others/webinar-isu-protes-pekerja-hak-demokrasi-rakyat-indonesia-analisis-dan-cadangan/