Turki perlu mengelak daripada kembali kepada “sekularisme jalur keras” (assertive secularism) selepas Erdoğan

November 22, 2021

Oleh: Prof. Ahmet T. Kuru || 22 November 2021
Terjemahan: Ahmad Muziru Idham Adnan

 

Ahmet Kuru merupakan seorang professor sains politik di San Diego State University yang telah lama berkecimpung sebagai salah seorang sarjana terkemuka bagi perihal sekularisme dan Islam. Buku utamanya yang diterbitkan pada tahun 2009, iaitu Secularism and State Policies toward Religion: The United States, France, and Turkey telah mencetuskan perdebatan awam yang sangat meluas apabila beliau mencadangkan agar wilayah Turki menggantikan “sekularisme jalur kerasnya” (assertive secularism) yang bercirikan Perancis ditukarkan kepada “sekularisme pasif” (passive secularism) gaya Amerika. Selepas satu dekad kemudian, persoalan sekularisme sekali lagi menjadi agenda utama di Turki di kala meningkatnya kepolitikan Direktorat Hal Ehwal Agama (Diyanet), dan kejatuhan populariti Presiden Recep Tayyip Erdoğan. Dalam sebuah wawancara dengan Ahval, Kuru telah membincangkan mengenai Islam, sekularisme, dan apa yang mereka mungkin maksudkan dengan sebuah Turki pasca Erdoğan.

 

Ahval: Mengapakah terdapatnya perdebatan yang berterusan mengenai sekularisme di Turki?

Kuru: Sebab utamanya adalah kewujudan dua pandangan yang bersifat saling eksklusif. Pandangan pertama bukan sahaja dipegang oleh para Islamis malahan turut dipersetujui sama oleh para konservatif, iaitu bahawa Islam perlu menjadi pusat kepada identiti politik dan kehidupan awam di Turki. Dengan kepelbagaian tertentu, parti-parti daripada aliran kanan kesemuanya menyokong pandangan ini. Pandangan kedua pula adalah suatu kefahaman bahawa Islam itu adalah terlalu berbahaya sekiranya dibiarkan begitu sahaja, maka perlunya ada kawalan negara terhadap Islam. Pandangan ini secara umumnya disokong oleh kelompok Kemalis.

Bagi sesetengah pihak, dua pandangan tersebut dilihat sebagai bertentangan. Walhal, kedua-dua mereka adalah sama sahaja yang berpusatkan kepada kenegaraan. Meskipun alasan mereka berbeza, namun kedua-dua pihak menolak idea pemisahan Islam daripada negara. Lebih spesifik lagi, kedua-dua kumpulan tersebut mempertahankan kewujudan Diyanet sebagai sebuah agensi kerajaan yang mengawal 80,000 masjid di Turki.

 

Ahval: Tiada lagi dominasi Kemalis di Turki. Sebaliknya, ramai orang risaukan tentang autoritarianisme Islam. Bolehkah anda memberikan penjelasan mengenainya?

Kuru: Rejim semasa di Turki adalah berdasarkan kepada populisme Islam dan telah mengurangkan pemisahan antara Islam dan negara yang telahpun sedia ada lemah itu. Tanpa sebuah pemisahan yang sebegitu, Islam kembali menjadi sebuah alat kepada penguasa politik dan penindasan. Dengan menggunakan Islam, ahli politik jalur kanan memanipulasikan masyarakat Muslim dengan mengeksploitasi perasaan keagamaan mereka di Turki. Tambahan lagi, Islam telah digunakan sebagai sebuah alat untuk menyekat kebebasan di pelbagai negara yang mengamalkan perundangan Islam termasuklah negara-negara yang mana peraturan mereka itu secara sejarahnya adalah bersifat pengekangan terhadap kebebasan bersuara dan hak-hak wanita.

Maka, dari segi pemisahan antara agama dan autoriti politik, sekularisme adalah diperlukan bagi mendirikan sebuah sistem yang benar-benar demokratik di Turki. Tetapi, persoalan yang perlu diajukan: Apakah jenis sekularisme yang diperlukan di Turki?

 

Ahval: Bagaimanakah anda mendefinisikan jenis-jenis sekularisme yang berbeza?

Kuru: Terdapat dua ciri-ciri umum bagi negara sekular. Negara sekular tidak memiliki sebuah agama rasmi dan tidak menjadikan agama sebagai rujukan dalam penggubalan undang-undang. Selain daripada dua ciri persamaan ini, negara sekular juga memiliki perbezaan-perbezaannya. Buku saya mendefinisikan kepada dua jenis sekularisme yang utama. “Sekularisme pasif” merupakan ideologi yang dominan di Amerika Syarikat semenjak pindaan perlembagaan pada tahun 1971. Menurut ideologi ini, negara perlu menjadi pasif dan neutral terhadap simbol-simbol keagamaan dan sekular dalam ranah awam. Sebaliknya, “sekularisme jalur keras” telah menjadi dominan di Perancis semenjak tahun 1905. Sekularisme jenis ini memerlukan negara untuk memainkan sebuah peranan yang tegas dalam mengecualikan agama daripada ranah awam dan menerapkan sekularisme sebagai sebuah doktrin menyeluruh dengan penolakan terhadap agama. Sebab itulah kerajaan sekularis jalur keras di Perancis, Mexico, dan Turki melaksanakan dasar-dasar pengecualian terhadap Kristian Katolik dan Islam.

 

Ahval: Adakah pengasas negara Turki mengambil sekularisme Perancis sebagai sebuah model?

Kuru: Seperti Republik Perancis, Republik Turki telah didirikan sebagai reaksi terhadap pakatan antara agamawan dan monarki. Disebabkan asal-usul sejarah ini, sekularisme muncul secara keras di kedua-dua buah negara. Sebaliknya, republik di Amerika Syarikat telah ditubuhkan atas reaksi terhadap penjajahan British dan tidak wujudnya hegemoni agama dalam penjajahan tersebut. Maka, sekularisme di Amerika bangkit daripada sebuah perilaku yang pasif dan mesra dengan agama.

Dalam masa yang sama, wujud juga perbezaan di antara sekularisme Perancis dan sekularisme Turki. Di Turki, sekularis berusaha untuk mengekalkan Islam di bawah kawalan melalui Diyanet. Sementara di Perancis, sekularis tidak berusaha untuk membuat kawalan langsung terhadap Kristian Katolik. Perbezaan lain adalah sekularisme di Perancis wujud bersama-sama dengan demokrasi, manakala sekularisme di Turki adalah berkait dengan pengawasan tentera ke atas ahli politik. Maka, Turki memiliki polisi-polisi yang lebih bersifat pengecualian (exclusionary) terhadap agama. Antara tahun 1933 dan 1949, pendidikan keagamaan hampir dilarang sepenuhnya. Selepas pendemokrasian pada tahun 1950, sebuah proses yang lebih mesra bermula namun dasar-dasar tertentu yang ketat, seperti larangan bertudung, tetap wujud sehingga dekad yang lalu.

 

Ahval: Bagaimana anda boleh jelaskan mengenai perubahan sekularisme di Turki pada dekad terkini?

Kuru: Ramai pemerhati Barat telah menjangkakan bahawa Turki akan menjadi sebuah model bagi negara-negara bermajoriti Muslim yang lain dalam menunjukkan keserasian antara Islam, demokrasi, dan negara sekular. Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) berkuasa pada tahun 2002 dengan membuat janji-janji untuk memenuhi harapan ini. Malangnya, selepas tahun 2012, Erdoğan sebaliknya telah mengukuhkan pemerintahan berkuasa mutlaknya dan mendirikan sebuah rejim Islamis populis.

Kini, di Turki, perlembagaan dan perundangan masih sekular, namun kehidupan awam berada di bawah pengaruh wacana-wacana Islamis yang kuat. Peranan politik Diyanet yang semakin mendalam memaparkan kelemahan sekularisme dan pengukuhan wacana-wacana Islamis ini.

 

Ahval: Adakah ini hasil yang tidak dapat dielakkan daripada percanggahan yang wujud antara Islam dan secularisme?

Kuru: Terdapatnya suatu ketegangan antara kefahaman syariat Islam dan sekularisme yang dominan di Turki. Menurut kefahaman ini, syariat Islam mempunyai peraturan tentang segala-galanya “daripada adab berada di tandas sehinggalah kepada tatakelola pemerintahan”. Kefahaman ini bercanggah dengan mana-mana jenis daripada sekularisme sekalipun.

Namun begitu, sebuah tafsiran Islam yang berbeza boleh serasi dengan sekularisme pasif. Buku terbaru saya, Islam, Authoritarianism and Underdevelopment, melihat bagaimana terdapatnya suatu tahap tertentu bagi pemisahan autoriti agama dengan autoriti politik di dunia Muslim antara kurun kelapan dan kesebelas. Pada era ini, wujudnya pelbagai kefahaman mengenai syariat Islam. Pengalaman sejarah ini menyebabkan saya menjadi optimis mengenai kemunculan pentafsiran Islam yang baharu yang serasi dengan sekularisme dan demokrasi pada masa hadapan.

 

Ahval: Kemal Kılıçdaroğlu, pemimpin utama parti pembangkang – Parti Republik Rakyat (CHP) – pada baru-baru ini telah mengisytiharkan bahawa dia akan mencari suatu “penyesuaian” dengan masyarakat konservatif. Adakah ini bermakna CHP akan mengubah pendirian “sekularis jalur keras” mereka setelah sekian lama?

Kuru: Deklarasi Kılıçdaroğlu adalah sangat berpengaruh dan menerima maklum balas yang sangat positif. Dengan menganjurkan wacana sekularis CHP menjadi lebih moderat, maka dia telah melemahkan strategi polarisasi politik Erdoğan. Sebagai contoh, di bawah kepimpinan Kılıçdaroğlu, CHP tidak lagi mempertahankan larangan bertudung yang lama. Hal ini merupakan sebuah perubahan yang menjanjikan.

 

Ahval: Apakah unjuran anda mengenai sekularisme di Turki dalam masa terdekat? Tinjauan pada baru-baru ini menunjukkan bahawa populariti Erdoğan sedang menjunam, maka apakah yang akan terjadi kepada sekularisme di Turki pada era pasca-Erdoğan?

Kuru: Selepas berakhirnya rejim Erdoğan, sekularisme akan diperkukuh semula. Saya berharap agar hal ini tidaklah bermaksud bahawa Turki kembali kepada dasar-dasar “sekularis jalur keras” pada tahun 90-an itu. “Dendam sekularis” yang sebegitu hanya akan memaparkan sebuah peralihan daripada autoritarianisme Islamis kepada autoritarianisme sekularis.

Untuk pendemokrasian, reformasi di Turki perlu menginstitusikan sebuah pemisahan sebenar antara Islam dan negara. Hal ini bermakna dasar-dasar sekularis jalur keras perlu ditolak, seperti larangan memakai tudung. Ia juga akan menyangkal kedudukan semasa Diyanet, yang mencari pembiayaan negara untuk Islam, dan mewakili sebuah pakatan antara kelas agamawan dengan negara.

Golongan konservatif Muslim tidak perlu takut dengan reformasi sebegitu. Pengukuhan sekularisme dari segi pemisahan agama-negara tidak akan melemahkan kebebasan beragama bagi seseorang Muslim mahupun yang lain. Sebaliknya, ia akan memperkukuhkan lagi kebebasan beragama. Selepas mengalami sekularisme jalur keras dan Islamisme, saya berharap agar Turki akan mampu untuk mencari penyelesaian yang munasabah dalam menyelesaikan masalah-masalah seputar hubungan kompleks antara Islam, sekularisme, dan demokrasi.


Dr Ahmet T. Kuru merupakan Professor Sains Politik di  San Diego State University dan penulis buku Islam, Authoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison (Cambridge University Press, 2019).




View original article at: https://irfront.net/post/articles/turki-perlu-mengelak-daripada-kembali-kepada-sekularisme-jalur-keras-assertive-secularism-selepas-erdogan/