Para Penterjemah: Marmaduke Pickthall, Yusuf Ali, dan al-Qur’an – Bahagian II

May 15, 2022

Oleh: Steve Noyes
Penterjemah: Ahmad Muziru Idham Adnan || 15 May 2022

Artikel asal: https://rabbitholemag.com/the-translators-marmaduke-pickthall-yusuf-ali-and-the-quran/

Bagi semua perbezaan di antara ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat, terjemahan al-Qur'an, Pickthall dan Ali tidaklah terlalu berbeza. Mereka berdua memilih untuk menulis dalam sebuah daftar antik yang menyerupai bentuk kata kerja dan kata ganti nama Elizabethan English, bahasa Shakespeare dan Jonson, demi menangkap bahasa Arab al-Qur'an yang tinggi, yang sangat dikagumi oleh kaum Muslimin kerana mereka percaya ia merupakan firman Tuhan yang diturunkan oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad. Ia benar-benar terletak di tengah semua kesusasteraan Arab. Ia merupakan bahasa Arab terbaik, atau sebagaimana firman Allah, "bi-lisāninarabiyyīn mubiin" (dalam bahasa Arab yang jelas – Sūrah Al-Syu’ara: 195).

Al-Qur'an itu sendiri jelas tentang sifatnya yang tidak tertanding. Ia mencabar masyarakat Arab untuk menghasilkan satu ayat atau satu surah sebaik al-Qur'an dan memberi amaran kepada mereka: "Sesungguhnya kamu tidak mampu". Oleh sebab itu, suatu kepercayaan kuat bagi seseorzng Muslim adalah al-Qur'an itu tidak boleh diterjemahkan; seseorang hanya boleh menunjuk ke arah maksudnya dan memberi pengertiannya secara kasar. Terjemahan adalah sebuah kerja yang pasti tewas, kerana sesuatu pasti akan hilang dalam suatu perjalanan teks ke bahasa sasaran. Dalam al-Qur'an, terjemahan akan menyebabkan kehilangan kesan suaranya, kebagusan iramanya, dan gandingan frasa-frasa rumitnya. Penterjemah tidak akan dapat menangkap kedekatan bunyi ketukan pada baris pertama Surah Al-Lahab (Bapa Segala Api) comtohnya: TaBBaT yada aBi lahaBin wa TaBBa. (Binasalah kedua tangan Abu Lahab, dan sesungguhnya binasalah beliau.) Seseorang mesti menyelesaikan pengulangan tetapi tidak dapat membaca rajah pantas T dan B. Begitu juga, seseorang tidak dapat meniru frasa yang dipadankan dan berirama dalam Surah Ar-Rahmān (Yang Maha Pengasih):

Ar-raHmān
‘allama al-Qur’ān
khalaqa al-insān
‘allamahu al-bayān
ash-shamsu wa al-qamar bihusbaan
wa an-najmu wa ash-shajaru yasjudaan

Bahasa Inggeris mesti diperpanjangkan, kerana ia menambah kata ganti nama dan kata kerja bantu, serta ia tidak kaya seperti mana ritma bahasa Arab. Maka, Yusuf Ali menterjemahkan semudah mungkin yang beliau mampu:

Yang Maha Pengasih,
Yang telah mengajarkan al-Qur'an,
Yang telah menciptakan manusia,
Yang telah mengajarkan manusia bertutur (dan memberikannya kebijaksanaan),
Matahari dan bulan beredar mengikut laluan yang telah diperhitungkan setepatnya,
Dan tumbuh-tumbuhan serta pohon-pohon – keduanya (sama-sama) tunduk menyembah.

Salah satu ciri khas al-Qur'ān adalah iltifah (berpusing), iaitu keupayaan untuk meluncur di antara beberapa sudut pandang dan strategi retorik dalam beberapa baris, justeru memaksa penterjemah untuk menambah konteks ataupun maklumat andaian bagi menentukan pembicara dan yang dibicarakan. Iltifah adalah sesuai sepenuhnya untuk kepelbagaian bahan yang al-Qur'ān ceritakan – selalunya dalam satu surah – segala-galanya daripada penglihatan imaginasi tentang Hari Penghakiman, kepada peraturan perundangan dan sosial; daripada kisah nasib bangsa terdahulu, kepada penerangan tentang alam semesta fizikal; daripada kisah dramatis yang Panjang, kepada sifat-sifat Allah. Daripada bahagian pertama Sūrah Yusuf, petikan ini menggambarkan iltifah dalam pergerakan di antara suara Allah dan Yusuf, dan di antara pembingkaian do’a dan ucapan langsung:

Yusuf Ali: Kami ceritakan kepadamu kisah yang paling indah, di mana Kami wahyukan kepadamu (sebahagian) al-Qur'ān ini: sebelum ini, engkau pun termasuk dalam kalangan orang-orang yang tidak mengetahui. Lihatlah! Yusuf berkata kepada ayahnya: "Wahai bapaku! Aku melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan: Aku melihat mereka sujud kepadaku!"

Pickthall: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) sebaik-baik kisah yang Kami wahyukan kepadamu al-Qur'ān ini, walaupun kamu dahulunya termasuk orang-orang yang lalai. Ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: Wahai bapaku! Perhatikan! Aku melihat dalam suatu mimpi sebelas planet dan matahari serta bulan, aku melihat mereka sujud kepadaku."

Pada peringkat diksi, terdapat kes di mana salah satu daripada mereka adalah salah. Dalam Sūrah Al-Qāri’ah (Hari Malapetaka), Pickthall yang keliru di antara umm (rumah, tempat tinggal, perlindungan) dengan um (ibu) telah menulis, "Yang dalam kesedihan dan kelaparan itulah akan menjadi ibunya", manakala Ali pula menulis, "Yang tempat tingalnya dalam sebuah lubang yang tidak berdasar" seperti para penterjemah lain (pit, abyss, hole, dll). Dalam Sūrah al-Fīl (Gajah), Pickthall menterjemah perkataan ’aSfin ma’kuula sebagai "tanaman hijau yang dimakan (oleh lembu)", dan Ali pula menterjemahnya sebagai "ladang yang kosong dengan tangkai dan jerami (yang jagungnya) telah dimakan". Ali betul: perkataan Arab 'aSfin adalah bermaksud jerami.

Kebiasaannya Pickthall kelihatan kekal literal, manakala Ali pula meneroka dengan lebih kreatif untuk memberikan versi perumpamaan seperti kehendak bahasa Arab. Dalam Sūrah Al-Balad (Kota), Pickthall menterjemah, "Dan engkau adalah penduduk kota ini  – Demi yang melahirkan dan dilahirkan, sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam sebuah suasana," sedangkan Yusuf Ali menterjemahkan, "Dan engkau adalah orang yang merdeka dari Kota ini – Dengan (ikatan mistik daripada) ibubapa dan anak; Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam susah payah dan ujian".

***

Hasil kesusasteraan Pickthall dan Ali adalah sangat mengagumkan. Pickthall menerbitkan 20 buah novel dan koleksi cerpen, manakala Ali pula banyak menulis buku non-fiksyen, terutamanya mengenai undang-undang, budaya, dan sejarah India Muslim. Kedua-duanya merupakan penyumbang tetap kepada banyak jurnal dan boleh memaparkan pengetahuan yang mengkagumkan mengenai banyak subjek Islam.

Marmaduke memulakan kerjaya sasteranya dengan kisah pengembaraannya yang mengujakan melalui Lubnan dan Syria dalam bukunya Oriental Encounters, yang menempatkan dirinya dalam tradisi pelawat Inggeris ke Timur Tengah yang termasuk Richard Burton, Alexander Kinglake, dan Charles Doughty. Sangat mudah untuk merasai kebebasan Pickthall yang menyenangkan dalam pengembaraannya, dengan latar belakang yang menyesakkan dan memulakan semangat Lihatlah! Mari kita bergerak ke hadapan! Beliau setia merakam cara pertuturan dan cerita dongeng keagamaan masyarakat yang mempengaruhi novel-novel Islamnya. Dalam novel Said The Fisherman yang merupakan hasil kejayaan pertamanya, beliau menulis watak-watak Timur Tengahnya bercakap dengan cara yang berwibawa dan baik – sikap yang sebenarnya mengaburi ketamakan yang mendasar – yang sangat mengingatkan kepada gambaran Dickens terhadap kelas penjenayah. Tetapi beliau juga menawarkan – untuk zamannya – paparan tentang keupayaan negatif yang jarang berlaku. Said diserang dengan kejam dan dihantar ke England – tempatnya mengembara dan sesat – melalui London Victoria yang halusinogenik, diiringi kelaparan dan keputusasaan; sebuah pencapaian yang benar-benar setanding dengan karya klasik tentang disosiasi gelandangan, iaitu novel Hunger karya Knut Hamsun.

Pada tahun 1914, setelah tinggal di Istanbul, Turki, Pickthall menerbitkan With the Turk in Wartime, di mana beliau melaporkan tentang Perang Dunia Pertama dari sudut pandang orang Turki, dan berhujah untuk meninggalkan dasar British di Balkan yang pro-Russia dan pro Kristian, demi memelihara Empayar Uthmaniyyah. Beliau merasakan bahawa orang Turki adalah penegak terbaik bagi tamadun Islam, sebuah pendirian yang dipegangnya sepanjang perang. Hal ini menyebabkan berlakunya konflik dengan seorang pegawai kanan British, Sir Mark Skyes, yang menafikan visanya untuk pergi ke Vienna bagi membuka saluran belakang diplomatik pro-Turki. Perkara ini adalah penting: hal ini menatijahkan – atau beliau sangat percaya – kepada penolakan visanya;-peluang untuknya di England hilang, dan beliau terpaksa berpindah ke India pada tahun 1920.

Kekecewaannya terhadap golongan elit Inggeris diungkapkan dalam novelnya yang penuh ironis, iaitu Sir Limpidus. Watak Sir Limpidus dalam novel tersebut adalah contoh keistimewaan, keterpencilan, dan ketidakpekaan, iaitu sikap masyarakat Inggeris yang berakar umbi sehingga tidak perlu lagi dinyatakan dengan jelas. “Dialah Inggeris itu; sebenar-benar Inggeris; Inggeris itu sendiri adalah beliau.” “Limpidus, kamu nampaknya dilahirkan dengan kehebatan, kerana kamu sentiasa berfikir dengan tepat bagi apa yang seorang Inggeris pada kedudukan kamu akan fikirkan”. Di sini, Limpidus bertanyakan tentang kewajaran pembunuhan politik di Balkan:

“Tetapi, bukankah ia adalah agak melampau?”

“Hal itu bukanlah perkara luar biasa di kawasan ini. Ia adalah kaedah diplomasi Timur yang diiktiraf”

“Oh, jika kamu pasti bahawa ia sentiasa dilakukan....”

Pada penghujung novel, setelah dipukul kasar oleh pekerja kesatuan pekerja, rakan sekerja yang lebih bijak daripada kelas pedagang, dan wanita-wanita yang berjuang untuk hak mengundi mereka, serta terkejut dengan "sikap tidak sopan yang keji dan tidak berterima kasih yang tersembunyi dalam kalangan masyarakat bawahan,” maka Limpidus mengalu-alukan Perang Dunia Pertama “untuk mengembalikan mereka kepada kewarasan”.

Dengan Yusuf Ali – kerjayanya sebagai birokrat Perkhidmatan Awam India yang berjaya – usaha sastera pertamanya adalah buku non-fiksyen yang ditulis – tanpa ragu lagi – sebagai tugasan kerjaya mengenai budaya ulat sutera di India, dan lebih luas lagi, mengenai kehidupan, industri, dan adat resam India seperti Life and Labour of the Peoples of India. Buku tentang sutera adalah mengagumkan kerana buku tersebut mendedahkan visi empayarnya tentang sebuah tanah di mana pekerja sutera India adalah kumpulan tidak bernama yang bertungkus-lumus dalam tugas-tugas mereka sekian lama. Satu-satunya orang yang dinamakan adalah pelabur asing dalam penggarapan sutera. Dalam Life and Labours, topeng empayar dipakaikan dengan lebih kukuh. Walaupun penerangannya tentang kampung dan bandar India adalah tepat – bilangan bakul untuk barangan keperluan di pondok pekedai; waktu senja apabila lembu dihalau pulang; laluan berbukit lumpur merentasi ladang terbiar – namun perkara-perkara tersebut dilaporkan pada masa sekarang yang tidak dibataskan waktu, seolah-olah menggambarkan drama pentas yang berpanjangan dan tidak statik yang dipanggil sebagai Village Life, tanpa perasaan ataupun variasi individu. Bahkan, beliau menulis: “Idea mengenai ‘misteri tentang Timur’, tentang kedalaman perasaan dan pemikiran yang sangat luas, di mana idea-idea Inggeris hanyalah terapung seperti buih, adalah tidak benar.” Walaupun beliau belajar bahasa Arab dan Islam sepanjang hayatnya, namun visinya mengenai tamadun India yang hampir mati secara kerasnya menghakimi orang-orang yang “berpendidikan lama”:

Impian mereka tertumpu di sudut-sudut tersebut dan di penjuru sejarah yang tidak pernah sampai ke cahaya kemodenan. Cita-cita mereka tidak pernah menyesuaikan diri mereka dengan tuntutan kehidupan moden...daripada mereka, tiada kemajuan yang boleh diharapkan.

Dalam India and Europe: A Study in Contrasts, Ali menetapkan sebuah dikotomi (palsu) di antara Timur dan Barat, dan adalah jelas bahagian mana yang beliau pilih: [Pandangan Timur adalah] kehidupan yang harus ditadbir oleh kuasa spiritual”, manakala pandangan Barat adalah “kehidupan sosial yang harus dikawal oleh undang-undang dan majistret serta angkatan bersenjata negara”.

Mereka berdua telah merentasi budaya sewaktu awal kerjaya mereka, dan cuba untuk menggambarkan jarak tersebut, namun belum memperoleh pengetahuan untuk menterjemah al-Qur’an.

Dunia Pickthall dan Ali secara fundamentalnya adalah berbeza daripada dunia kita. Ia secara radikalnya adalah lebih terpisah. Perjalanan dari dunia Barat ke Timur mengambil masa berminggu-minggu dengan kapal wap, bukannya berjam-jam. Berita dari negara jauh – terutamanya penerbitan-penerbitan daripada wilayah bukan taklukan empayar – tiba pada beberapa minggu atau bulan kemudian, mengembara perlahan-lahan melalui pos melalui jarak yang jauh. Hakikat Empayar menentukan ekonomi seluruh benua, cawangan pengeluar komoditi untuk para pemerintah empayar. Sekeping gambar daripada Felix Barker – Edwardian London – sudah memadai untuk membangkitkan kerakusan ini. Di atas dermaga berkabus, lima barisan panjang gading gajah dibentangkan di atas papan, terbentang ratusan meter, melepasi sosok dua orang lelaki bersaiz kecil, ke arah sesuatu yang tidak pernah mencapai titik lenyap. Keterkaitan  rasmi dengan Empayar British berjaya menjamin suatu akses segera ke peringkat tertinggi masyarakat di seluruh dunia. Dalam beberapa jam selepas tiba di Istanbul, Pickthall telah minum dengan menteri kabinet Turki. Yusuf Ali tinggal seketika di salah satu rumah desa Inggeris yang hebat, di mana beliau bersosial dengan Lord Morley dan aristokrat-aristokrat lainnya.

Dalam kehidupan penterjemah, sewaktu Empayar merosot dan peperangan membawa kepada perjanjian baharu, kita melihat penciptaan negara-negara bangsa baharu – terutamanya di Timur Tengah – menganggu pemikiran ummah Muslimin atau masyarakat antarabangsa. Identiti diri rakyat dengan negara bangsa (dan konflik yang terhasil) adalah kisah abad ke-20.

Ia juga merupakan zaman kefanatikan yang dipamerkan secara eksplisit, yang mengingatkan kepada baris puisi penyair Kanada, Al Purdy, tentang potret tegas nenek moyangnya yang setia pada empayar, “yang mengutuk moral keseluruhan rakyat”. Semangat zaman (zeitgeist) penuh dengan tanggapan tentang Darwinisme sosial serta kaum terunggul dan yang terendah: dalam cara fikir sebegini, kaum terunggul – iaitu Eropah – adalah sesuai untuk memerintah, manakala kaum terendah adalah sesuai untuk dijajah, iaitu layak untuk diperintah. Malah bahasa dianggap sebagai sebab dan akibat daripada tatanan dunia ini. Otto Jesperson dalam bukunya History of English Language (1905) menyatakan bahawa, bahasa Inggeris pada dasarnya bersifat kelelakian dan rasional, lantaran susunan yang masuk akal dan praktikal, manakala bahasa pribumi adalah malas, feminin dan tidak mempunyai makna yang kuat.

Kedua-dua Pickthall dan Ali adakalanya memaparkan mentaliti esensialis ini. Pickthall yang sudah tentunya dipengaruhi oleh prejudis Young Turks yang sangat dikaguminya menulis, “Orang berbangsa Turki, sebagai bangsa kulit putih, memiliki keutamaan semulajadi daripada banyak bangsa berwarna lain di dunia Muslim.” Beliau juga menggelarkan orang Armenia sebagai bangsa "pengkhianat, pengintip, penipu, pemalsu sumpah, pembohong, yang sama sekali tidak tahu malu atau tiada terhormat,” sambil menambah bahawa “ini bukanlah perkara menyenangkan untuk ditulis, namun ianya benar.” Yusuf Ali begitu meminati bangsa Inggeris sehingga beliau menggelar mereka sebagai “pemerintah asli India” kerana “keupayaan mereka mengatur tamadun mereka yang unggul,” sambil kesal dengan organisasi Muslim India (“Banyak organisasi kami hanyalah bersifat nominal”) dan pasif (“kami berpuas hati untuk mengimpikan masa lalu kami dan mengabaikan masa kini dan masa hadapan kami”).

Apabila kita melihat kehidupan dari zaman lampau, apakah yang boleh kita harapkan untuk dicari, melainkan sikap yang tidak kita persetujui dan projek-projek politik yang gagal? Cabarannya adalah untuk membaca kesetiaan politik Pickthall dan Ali melalui lensa pascakolonial yang sangat kritikal, sedangkan jika dilihat daripada kehidupan mereka, kesetiaan, dan sebab-musabab politik mereka adalah rencam, bernuansa, dan tidaklah sepenuhnya kaku. Kedua-dua lelaki itu menyokong pemulihan semula Khilāfah dalam beberapa bentuk sebagai sebuah simbol Pan-Islamisme dan penyatuan ummah Muslimin atau negara, selepas Ataturk memansuhkannya di Turki. Bagi Pickthall, Khilāfah harus kembali ke Turki yang dicintainya; bagi Ali, gerakan khilafat terikat dengan banyak perkembangan politik yang berputar di India – termasuklah kerjasama Muslim-Hindu – sebagai sebuah gerakan untuk swaraj, pemerintahan sendiri, dan angkatan solidariti. Walau bagaimanapun, Pickthall mengambil bahagian dalam banyak demonstrasi Ghandi yang enggan bekerjasama dengan Inggeris; manakala Ali, sebagai penyokong setia Empayar, tidak turut serta.

Sherif (penulis biografi Yusuf Ali) juga telah menyatakan bahawa beberapa tindakan mereka adalah “tidak bersesuaian dengan keluhuran semangat mereka. Yusuf Ali sebagai contoh adalah pengkagum British seumur hidup; ketika masyarakat sezamannya menyokong pejuangan Uthmaniyyah semasa Perang Dunia, beliau dengan sukarelanya, menjadi seorang propagandis Empayar. Pickthall pula memakai pakaian seragam British pada tahun 1918 (semasa Britain berperang dengan Empayar Uthmaniyyah) dan bukannya mengisytiharkan dirinya sebagai penentang peperangan yang peka.

“Pengajarannya adalah untuk menerima kekaburan dan ketidak-konsisten dalam kehidupan masyarakat, dan berhenti daripada menghakimi,” kata Sherif. Atau, seperti yang ditulis oleh sejarawan agung Arab, Albert Hourani, “Tetapi dalam kehidupan sebenar, percanggahan tidak perlu diselesaikan; keduanya boleh hidup beriringan.”

Penulis biografi Pickthall, Anne Fremantle, yang mengenali Pickthall semasa beliau masih seorang gadis kecil, dan mengaku kepadanya ketakutan yang luar biasa terhadap kematian. Tertekan dengan ketakutannya yang tidak rasional, Pickthall menghiburkannya dengan berkata, “Allah memudahkan segalanya bagi hamba-Nya, begitu juga kematian.”

Pickthall meninggal dunia pada tahun 1935 secara tiba-tiba akibat serangan sakit jantung semasa bercuti dengan rakan-rakannya di Cornwall ketika berhasrat untuk pulang ke India untuk meneruskan perkhidmatan di Nizam Hyderabad. Yusuf Ali pula hidup lebih lama dalam senja yang suram dan terpencil, mula-mula sebagai lelaki tua pendiam yang tinggal di National Liberal Club di London, dan kemudiannya merayau-rayau di jalan-jalan di London dalam keadaan miskin dan tanpa tujuan, dengan menggengam segala apa yang ia miliki. Sebagaimana beliau telah terjemahkan: “Jika Kami panjangkan umur seseorang, Kami jadikannya berbalik kepada sifat asalnya.” Beliau juga telah meninggal dunia akibat serangan jantung pada tahun 1953 selepas ditemui di hadapan anaktangga dan dibawa ke hospital. Kematiannya hampir tidak diketahui sehinggakan Suruhanjaya Tinggi Pakistan terpaksa menguruskan pengebumiannya.

Ansari melakarkan garis yang agak jelas dan keras di antara pendakian sosial Ali dan pengakhirannya yang sunyi, membayangkan bahawa kelas atasan Inggeris yang disayangi Ali telah mengabaikannya. Nash pula kurang gemar untuk menghuraikan kematian Ali kerana terlalu mempercayai Anglophilia; beliau lebih cenderung bahawa pepatah Arab adalah lebih merujuk kepada: qadaa’ wa qadara (dengan takdir dan ketetapan Ilahi), yang bermaksud bahawa kematian Ali adalah sesuatu yang bersifat transenden, dan bukannya sebuah keadaan sosial yang tidak dapat dihalang.

Dalam tanah Perkuburan Brookwood, kini terdapatnya jejak-jejak yang dapat ditafsirkan, di mana letaknya kuburan Pickthall dan Ali, yang telah ditandakan dengan sewajarnya, serta pencapaian-pencapaian mereka turut dicatatkan. Majlis Woking juga telah bersetuju untuk membuang tanda yang sekian lama telah memadamkan memori terhadap mereka.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/penterjemah-marmaduke-pitckthall-yusuf-ali-dan-al-quran-bahgian-ii/