Uraian buku Tema-tema Agung Al-Qur’ān terjemahan Major Themes of the Qur’ān oleh Fazlur Rahman.

February 14, 2023

Ustaz Ali Muda || 14 Februari 2023

Fazlur Rahman (1919-1988) adalah ahli hukum dan intelektual Islam yang terkenal. Beliau dilahirkan pada 21 September 1919 di Hazara, daerah yang terletak di barat laut Pakistan. Fazlur Rahman Malak terlingkung dalam keluarga Muslim yang taat, berfaham dan berhaluan moden. Kesan daripada keterbukaan keluarganyaini mempengaruhi pembentukan dan pandangan hidupnya yang tumbuh dalam tradisi pemikiran moden, di saat sistem pelajaran mengalami keterbelakangan diakibatkan sistem-sistem lapuk yang diwarisi dalam persekolahan cara lama.

Fikrahnya dapat dirumuskan dalam perjuangan menegakkan nilai etika dan moral yang syumul dalam masyarakat dan sistem yang adil serta usahanya membezakan antara apa yang dianggap “Islam yang normatif” ketimbang “Islam yang historis” (kontekstual). Gagasan-gagasan radikal yang dikembangkannyabanyak memaksanya untuk meninggalkan Pakistan dan berhijrah ke Amerika – didorong oleh pertembungan idea yang parah dan ancaman yang menggugat daripada puak fundamentalis yang fanatik dan radikal.

Di Amerika, beliau mengajar di University of Chicago dan menubuhkan program Near Eastern Studies. Beliau turut berkhidmat di State Department Amerika Syarikat sebagai Distinguished Service Professor di Universiti Chicago sejak 1986. Dalam peralihannya daripada pandangan-pandangan rejim yang konservatif, beliaumembawa pendekatan yang moden dengan kecenderungan filsafat yang mendalam dan humanis. Hal ini terlihat dalam filsafat teologi yang sistematik dan asli yang digelutinya dalam metode-metode yang dibangunkan dan analisa-analisa berbobot yang ditawarkan untuk memikir ulang tradisi Islam.

Mengingat derasnya arus pemikiran yang menyerbu dalam kehidupannya, Rahman cuba mewarasi semuanyayang berkembang dengan membenahi aliran pemikiran dan ideologi-ideologi yang mengasak dunia intelektual dalam sejarah moden pada abad ke-20. Berawal dengan iltizam untuk merumuskan satu filsafat dan pandangan sarwa yang mendasar, beliau meninjau ulang berabad-abad pemikiran dan pemahaman tentang mazhab hukum, dan cuba memperbaharui dan merumuskan, serta membawa idealisme yang dapat menampung keperluan-keperluan moden, dengan mengembangkan pemahaman dan pikiran-pikiran hukum yang bebas, progresif, lagi dinamik.

Penulisannya yang analitis dan kritis membawakan pembahasan tafsir dan isu-isu sejarah yang signifikan dan menyuguhkan aspirasi moral yang kreatif. Hal ini digarap daripada prinsip dan semangat moral-etika al-Qur’ān, dan pemahaman yang sistematik dalam disiplin-disiplin falsafah, hukum, teologi, pendidikan yangklasikal dan moden. Insipirasi dan kesan luar biasa dari pengaruh intelektualnya ini diungkapkan oleh Donald L. Berry dalam bukunya “Fazlur Rahman: A Life in Review”: ‘Fazlur Rahman memaparkan sebuah suara yang segar yang mendedahkan kepada Barat kepada sebuah Islam yang tidak pernah dilihat sebelum daripada ini’.


Ustaz Ali Muda adalah Direktor Eksekutif di Islamic Renaissance Front. Beliau adalah lulusan Syari’ah daripada Universiti Al-Azhar, Kaherah dan sarjana Pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.




View original article at: https://irfront.net/post/others/uraian-buku-tema-tema-agung-al-quran-terjemahan-major-themes-of-the-quran-oleh-fazlur-rahman/