Bagaimana Membaca Turāth di Masa Kini? Memahami Tafsiran Terdalam Samudera al-Qur’ān

March 3, 2023

Mohd Syazreen Abdulllah || 3 Mac 2023 

Turāth (tradisi) harus mentakrif zaman. Tentang zaman yang dilalui oleh seseorang. Bukan sekadar pembaca, ia mesti menjadi seorang yang berfikir dan menterjemahkan tafsirannya ke dalam zaman tersebut.  Turāth bukan lagi tentang peristiwa masa dahulu, tetapi tentang saat kini dan masa hadapan. Setiap peristiwa yang terjadi harus mempunyai nilaian pentakrifan baru. Ia dimaknai tradisi yang kekal selagi mana sifatnya itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai universal.

Persoalannya, bagaimana turāth itu membawa nilai-nilai keIslaman yang universal (al-huquq ath-thabit’iyyah, al-hurriyah wal-musawah, adl, ihsan) dalam kehidupan sekali gus fikiran seseorang dalam zaman yang dilalui?

Dalam konteks ini, fikiran Islam universal tidak membentuk dengan hanya sekadar usaha hafalan matan-matan keIslaman untuk memahami kefahaman agama khususnya melalui disiplin keilmuan tradisi seperti matan-matan kitab fiqah, nahw, balaghah, tafsir, hadis, dan teologi - Kitab kuning. Tidak cukup sekadar alat atau tools disiplin keilmuan Islam tanpa seseorang itu gagal dalam memahami sifat yang mengalir di dalamnya itu adalah simbol-simbol Ilahi ketika upaya memahami hakikat samudera ketuhanan. Justeru, turāth mementingkan upaya nalar dalam memahami hikmah tafsiran Tuhan dengan melalui penggalian kerja-kerja memahami tafsiran terdalam dari kalimat Tauhid - Penyucian jiwa dan suluk dalam kerangka syari’at.

Dalam hal ini, sifatnya membentuk terjadinya kerja-kerja rasionalitas melalui takwilan dengan jalan kebijaksanaan tertinggi dan penyucian jiwa – Qalb.

Selama ini, turāth mungkin dianggap suatu disiplin keilmuan warisan Islam mapan. Atas tanggapan itu, kita mudah terpesona dengan warisan sedia ada tanpa kita memahami sifat dan upaya menggali kerja-kerja tafsiran teks suci bagi tujuan mencapai nilai universal. Walhal, jarak antara zaman kini dan zaman Nabi begitu lama sehingga perkembangan turāth dicorak menjadi suatu bidang disiplin keilmuan warisan Islam yang bukan lagi atas semangat rasio dan “wisdom” untuk mencapai kebenaran hikmah Ilahi. Malangnya berlaku atas semangat kekuasaan dan kepentingan ideologi tertentu. Nilaian kita bukan lagi hikmah dan kebijaksanaan terhadap konteks wahyu sebaliknya terpesona dengan tafsiran yang disusun oleh para pengkaji dan ilmuwan berdasarkan peristiwa keIslaman atas dasar keimanan dan keyakinan tertentu.

Persoalannya lagi, apakah perkembangan turāth yang terjadi itu telah memberi dampak keIslaman universal khususnya amalan-amalan nilai kemanusiaan seperti hak-hak asasi, keadilan, ihsan dan kebebasan dalam sikap beragama hari ini?

Jika sifat tradisi turāth tersebut tidak mengundang kepada sifat universal tetapi sebaliknya, maka kita harus meragui dan melakukan semak-ulang. Tidak pula kita meragui peninggalan tradisi turāth dahulu yang kekal tafsiran nilai universal. Mereka orang-orang dahulu iaitu telah pun selesai menyempurnakan tafsiran di zaman mereka. Itu zaman mereka. Keadaan dan permasalahan pasti banyak berubah. Kita juga tidak perlu mudah teruja pada semua tafsiran-tafsiran lampau sebaliknya berusaha dan beriltizam mencari sebuah pendekatan dan gaya baharu selari dengan tujuan universal pada hari ini. Jelas lagi bahawa membaca hikmah keislaman hari ini bukan lagi semata-mata bergantung kepada penilaian yang bertentangan dengan kehendak tujuan universal walaupun tafsiran itu ditafsirkan oleh ulama’ agung sekali pun.

Demikian, kebergantungan kita pada sifat turāth bukan lagi hanya semata-mata nilaian disiplin ilmu bagi tafsiran ulama’ terdahulu, tetapi bagaimana kita mempersiapkan diri kita dalam jalan hikmah dan kebijaksanaan untuk memahami keluasan samudra Ilahi terhadap konteks masa kini.

Melalui cabaran global dan kemodenan hari ini, tentu sekali banyak yang harus dikaji, difikirkan dan disesuaikan dengan kehendak zaman. Kita tidak mahu dua kaki melangkah kehadapan sedangkan kepala mengundur kebelakang. Yang harus dikedepankan adalah nilai-nilai keIslaman universal dengan menumpukan hal-hal khusus yang baharu. Dan ia kekal relevan selama-lamanya.

Kita harus melepaskan diri daripada akar kata waratsa. Dalam al-Qur’an, istilah tersebut merujuk kepada harta warisan orang yang telah mati. Malah al-Qur’an menggantikan istilah tersebut dengan kata sunan iaitu merujuk kepada sunnah. Dalam al-Quran, makna sunnah banyak ditujukan kepada sunah Tuhan iaitu tentang hakikat kewujudan-Nya meliputi ketundukan segala hukum alam dan makhluk yang ditetapkan oleh-Nya. Ia sama sekali berbeza dengan sunnah atau warisan manusia yang ditinggalkan atau istiadat orang-orang lampau. Kerana itu, al-Qur’an memprotes sikap taqlid. Sikap ikut-ikutan daripada perbuatan makhluk. Taksub terhadap kefahaman orang-orang lampau. Al-Qur’an menyeru untuk berfikir dan merenungi zaman yang dilalui pembacanya – mencerap samudera Tuhan ke dalam konteks masa kini dan terus menerus melakukan kerja-kerja memahami tafsiran terdalam sama ada lahirian atau batiniah Qur’an.

Berikutan itu, selain turāth yang difahami sebagai alat perlaksanaan warisan mengenal hakīkatul Haq, di masa sama bahawa al-Qur’an itu adalah sebenar-benar atau hakikat turāth. Malangnya upaya kefahaman dalam memahami al-Qur’ān menjadi tidak sempurna andai kita masih gagal memaknai kerja-kerja memahami tafsiran terdalam – Takwil memahami hikmah Ilahi.

Memahami turāth hakikatnya memahami sunnah Tuhan dengan melalui pendekatan takwil. Bukan hanya tafsir atau hafalan semata-mata. Bukan bergantung kekuatan rasio semata. Malah, takwil ini berhubung hubungan kekuatan rasionalitas dengan rohani dalam mendaki puncak hikmah mengenal iIahi. Takwil tidak menolak akal, tetapi sumber cahaya kepada akal menuju puncak tertinggi. Umpamanya, samudera itu adalah bulatan syiling. Manakala hadapan syiling itu adalah ilmu-ilmu atau alat, tools (rasio) dan belakang itu himmah iaitu jiwa dan hati (Qalb) yang murni (cahaya) Maka. Disiplin sifat turāth ini tidak lengkap sekiranya ia tidak berhubung dengan jiwa yang universal - two sides of the same coin.

Oleh kerana itu, memahami al-Qur’ān yang sedalam-dalamnya disebut memahami sifat turāth. Kerana digambarkan sunnah Tuhan adalah segala hukum alam dan makhluk yang ditetapkan oleh-Nya. Ia sebagai air yang mengalir subur ke dalam pohon-pohon universal, iaitu memancarkan cahaya kepada hati orang-orang yang bertakwa dan diberi petunjuk kefahaman universal. Ia sumber pemahaman yang murni ke atas setiap makna-makna yang tersembunyi dalam alam semesta ini. Sifat dan asma’ Tuhan diterjemahkan ke dalam lautan keilmuan yang Maha Luas dan Rahmah. Ia bukan bersifat sementara. Ia proses bekerja yang berterusan. Yang membentuk tafsiran nilai-nilai Islam universal itu bukanlah sekadar daripada kerja-kerja melalui perantara ilmu alat sahaja, sebaliknya turāth adalah sebuah sifat yang membentuk suatu disiplin keilmuan yang menghubungkan fikiran dan jiwa – Qalb. Ia bukan seketul daging. Ia jiwa yang sentral dalam membentuk fikiran ketika memahami alam, dan semesta – Haqiqatul Hal.

Maka itu, proses rasionalitas dan kerohanian saling berhubung dalam membantu memanifestasikan Wujud Tuhan atau Rahmat Tuhan di alam semesta. Justeru, arahan Tuhan boleh dicapai dengan bantuan sunnah (bukan konteks sunnah terdahulu) iaitu sunnah jawapan para nabi dan ijtihad melalui kemurnian hati cahaya universal yang mencerahkan setiap alam yang didudukinya seperti pesan Nabi “antum a’lamu bi-umūri dunyā-kum” iaitu kamu lebih faham tentang urusan dunia kamu. Syari’at atau jalan hidup – Addin.

Begitulah, turāth menjadi suatu sifat yang diterjemahan sebagai takwilan universal bersumberkan cahaya keimanan dan kecerdasan umat dalam membaca zaman. Ia disebut dengan cahaya mata hati atau ‘ain basyirah dalam memahami pesan-pesan wahyu. Jadi, turāth bukan sahaja tentang disiplin ilmu yang difahami daripada warisan peninggalan para ulama’ terdahulu, tetapi ia soal sebuah sifat melalui pemikiran metafizik yang berhubung dengan kerohanian, jiwa, dan hati yang murni. Ia bukan sebuah perantara suatu zaman kepada zaman lain tetapi ia adalah sifat intipati yang mewujudkan keluasan sifat Tuhan yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Kehilangan cahaya, turāth hilang rūh universal

Berikutan salah faham memahami sifat sesebuah makna turāth, kita masih membayangkan perlaksanaan kerja turāth sebagai kerja disiplin ilmu yang sakral. Kita masih keliru antara sifat yang sakral atau perlaksanaan. Kadangkala perlaksanaan dianggap ketetapan agama. Walhal, sepatutnya sifatnya yang sakral. Kekeliruan ini tidak mustahil dalam kefahaman turāth sehingga boleh menjelma dan terbitnya pemikiran binari, ekstrimis, dan sektarian agama. Pemikiran yang menganggap bahawa sifat itu adalah perlaksanaannya yang sakral dan hanya disusun oleh para ulama’ aliran tertentu sahaja. Sepatutnya kita menumpukan kerja-kerja perlaksanaan turāth yang kembali kepada hal-hal sakral sebagai sifat hakikinya - Kembali kepada ketauhidan yang universal dan menumpukan hal-hal khusus bagi tujuan universal.

Realitinya, kita beriman kepada turāth warisan peninggalan orang-orang lampau, mazhab dan aliran tertentu. Bukan universal. Justeru, tidak mustahil, turāth menjadi senjata dalam memuaskan kepentingan nafsu sehingga kita rela menggunakannya atas nama demi membela kezaliman dan kekuasaan. Tanpa kita sedar, manusia telah menjadi hamba kepada corak turāth yang tidak selari dengan sifat universal.

Maksudnya, turāth yang asalnya adalah objek kepada subjek pemikiran atau jiwa-jiwa universal, telah dicorak, ditadwin dalam ranah wilayah fikiran manusia sehingga ia menjadi subjek yang mematikan nilai-nilai bersifat universal. Ia dibentuk ke dalam disiplin ilmu warisan Islam bercorak keras, rigid, dan kaku. Apatah lagi di zaman politik ini turāth telah menjadi senjata kekuasan kerakusan politik. Pengesahan ini membentuk satu formula sakral, utuh, sekali gus menempatkannya sebagai subjek yang mencorakkan budaya, pemikiran, dan masyarakat

Lihat, banyak hari ini lahirnya agamawan yang mahir berbahasa Arab dan keilmuan islam. Kalangan mereka mahir menggunakan fikah yang tinggi. Hafalan hadith mereka banyak. Namun, sebahagian mereka berfikiran cenderung kepada Islam yang mundur, Islam yang tidak meraikan the others, Islam patriarki, Islam penjilat kekuasaan dan berbagai lagi.

Konteks masa kini, Islam dicorakkan dengan pengamalan yang jauh dari meraikan nilai-nilai universal. Kerana takbur atas kemahiran mereka itu, mereka boleh alihkan sifat turāth kepada kecenderungan fikiran mereka. Kerana itu kita akan dipertemukan berbagai persoalan yang kontradiksi dalam memahami agama yang universal.

Jadi di mana kedudukan turāth hari ini?

Saya tidak mengatakan kita harus menghilangkan upaya turath. Kerana seperti disebutkan di awal tadi bahawa turāth berperanan membentuk sebuah alur pemikiran manusiawi melalui zaman yang ditempuh. Bukan sahaja kepentingan penguasaan turāth dalam konteks alat keilmuan memahami Islam di samping mempunyai upaya sifat turāth itu sendiri dalam proses pemurnian jiwa rohani yang universal – Takwil. Ia adalah two sides of the same coin.

Semua orang boleh menguasai kaedah turāth dengan kemahiran Arab dan penguasaan hadith. Tetapi kebimbangan adalah dalam soal takwilan dan kecerdasan kita membaca zaman bagi tujuan nilai universal. Jadi soalnya, bukan disiplin penguasaan ilmu turāth, tetapi ia persoalan sifat turāth itu yang mempengaruhi pemikiran, kerohanian, jiwa, dan hati yang murni berdasarkan upaya kerja-kerja takwilan memahami teks suci.

Ramai orang terpukau dengan turāth. Tapi gagal memahami sifat universalnya. Kata mereka untuk melawan keganasan adalah dengan kembali kepada turāth. Mereka juga mengatakan turāth sebagai jalan solusi kepada permasalahan keagamaan yang terjadi di masa kini. Senang kata, kembali kepada turāth. Mereka ini tidak ubah seperti golongan harfiah atau literal yang gemar melaungkan kembali kepada al-Qur’ān dan Sunnah.

Justeru, turāth ialah pemahaman samudera Tuhan nan luas. Ia bukan soal tafsir kritis semata-mata. Ia soal takwilan di dasar hati yang dalam. Al-Qur’ān harus difahami dengan sifatnya yang qadim (seperti kepercayaan ramai orang) dan hadith. Qadim sifatnya yang azali kekal sementara hadith bahawa sikap pembaharuan yang dicapai dan dicerap saat terkini melalui jiwa universal – Turāth. Ia memerlukan hubungan given atau pemberian direct dengan Tuhan. Al-Qur’ān harus difahami dengan kaedah zahir dan batin.

Hal ini dapat dilihat daripada klasifikasi ilmu yang dipetakan oleh Ibn Arabi. Ia membahagi ilmu menjadi dua iaitu ilmu “pemberian” (mawhubah) dan ilmu “perolehan” (muktasabah). Bagi pemberian Tuhan yang disebut sebagai orang yang berakar kukuh dalam ilmu (al-rasikhuna fi al-ilm) firman Allah dalam al-Qur’ān surat Āli Imran ayat 7 yang bermaksud “Tidak ada yang mengetahui ta’wil-nya kecuali Allah dan orang-orang yang berakar kukuh dalam ilmu”- Ilmu Irfani.

Ilmu jenis kedua adalah ilmu perolehan disebutkan firman Allah min tahti arjulihim (apa yang dari bawah kaki mereka). Menurut Ibn Arabi bahawa ia didapati melalui kerja keras dan ijtihād. Demikian tafsir menggunakan metode ilmu capaian (muktasab). Sementara takwil adalah ilmu “given” langsung dari Tuhan yang diperolehi pada hati-hati universal melalui pendakian puncak kerohanian dan kebijaksanaan tertinggi.

Demikian, memahami turāth adalah memahami al-Qur’ān yang dicapai dalam hati-hati universal melalui pengkaedahan disiplin ilmu (rasio) dan doktrin universal (cahaya).


Mohd Syazreen Abdullah adalah Felo Penyelidik, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Beliau adalah pengasas TRADISI, sebuah Pusat Kajian Irfan yang memberi fokus pengkajian Falsafah Islam dan Irfan. Beliau mendapat pendidikan Tahfiz al-Qur’an di Dārul Qur’ān, JAKIM kemudian melengkapkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin di Universiti Yarmouk Jordan dan Pengajian Sarjana di Universiti Malaya.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/bagaimana-membaca-turath-di-masa-kini-memahami-tafsiran-terdalam-samudera-al-quran/