IRF bimbang Himpunan Sejuta Umat beri gambaran salah tentang Islam

April 8, 2012

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Pertubuhan bukan kerajaan Islamic Renaissance Front (IRF) bimbang Himpunan Sejuta Umat (Himpun), yang diadakan di Shah Alam, Sabtu ini antara lain untuk menyatukan umat Islam bagi menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam dengan memfokus isu murtad, akan memberi gambaran salah dan buruk tentang Islam.

“Kami bimbang dengan mengadakan perhimpunan ini, ia akan memberi gambaran bahawa Islam ini agama tidak toleran, memberi gambaran buruk tentang Islam sedangkan Islam merupakan agama yang berteraskan akal, pemikiran yang waras, agama yang ditegakkan dengan akal dan hujah,” kata pemimpin-pemimpin IRF dalam satu kenyataan hari ini.

Selain pengasas IRF, Dr Ahmad Farouk Musa turut dinamakan dalam kenyataan itu ialah Mohd Radziq Jalaluddin, Ahmad Fuad Rahmat dan Edry Faizal Eddy Yusuf.

“Kami ingin menekankan bahawa usaha mengadakan Himpun untuk mempertahankan akidah hanya akan menunjukkan bahawa Islam sebagai agama yang tidak toleran.

“Justeru, persoalan yang perlu dijawab ialah apakah hasil yang hendak dicapai dengan ucapan retorik yang lantarng perhimpunan ini,” katanya lagi.

Ketika dihubungi, Ahmad Farouk menjelaskan bahawa penganjur Himpunan Sejuta Umat mengambil langkah yang silap, dan “seolah-olah mahu menunjukkan kekuatan yang ada pada mereka.”

Kata mereka, tidak banyak maklumat dibekalkan untuk menyokong hujah mereka setakat ini, khususnya berkaitan dengan kes-kes murtad yang menjadi teras pertemuan hujung minggu ini.

“Kita tidak diberitahu berapa ramai yang telah murtad ataupun gereja atau gereja-geraja yang dengan aktif terlibat dalam isu tukar agama di kalangan Muslim ataupun sama ada hanya Kristian di kalangan bukan Muslim aktif terlibat,” kata kenyataan itu.

“Semua ini hanyalah bersandarkan tanggapan semata-mata,” tambah kenyataan.

Sehubungan itu jelas kenyataan tersebut, terdapat dua persoalan yang perlu diberi tumpuan oleh kaum Muslim dengan jujur.

“Jika benar murtad merupakan isu yang serius sebagaimana didakwa, maka perlu ditanya, bagaimana dengan budaya Muslim dan pendidikan di Malaysia yang mengakibatkan seorang Muslim meninggalkan agama?

“Tambahan, apa yang Muslim Malaysia boleh lakukan sebagai satu komuniti untuk mengatasi budaya itu bagi menyedarkan mereka daripada menyisihkan anggota sendiri?” tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, dalam keghairahan mempersalahkan pihak lain, “kita melupakan kekurangan kita dalam setiap masalah yang disasar untuk diatasi.”

Pihak penganjur menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 orang akan menyertai perhimpunan julung kali diadakan ini, secara besar-besaran, untuk membincangkan isu murtad, bermula pukul 2 petang di Stadium Shah Alam, Selangor.

Perhimpunan itu juga bertujuan mahu menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media,  mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011, memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik, menserlahkan institusi raja yang menjadi payung kaum Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini, menzahirkan kekuatan akidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi dan menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.




View original article at: https://irfront.net/post/news/irf-bimbang-himpunan-sejuta-umat-beri-gambaran-salah-tentang-islam/