Za’ba tentang Idealisme Bangsa dan Falsafah Takdir – Bahagian II

August 27, 2012 by Ahmad Nabil Amir

Pemikiran

“Pemikiran-pemikiran asli yang dihasilkan begitu dinamik dan anti konservatisme” – Zaini Ujang, Dewan Budaya, Oktober, 1989.

Za’ba merupakan pemikir Melayu moden yang lantang mengkritik kerapuhan sistem dan pandangan hidup bangsa yang terbelenggu dengan taqlid dan perbezaan mazhab yang keras. Beliau dianggap seorang yang radikal kerana pandangan dan kritikannya yang tajam dalam usahanya menyedarkan orang Melayu. Keupayaannya  dan kesanggupannya merungkai belenggu kepercayaan tradisional yang mengongkong kemajuan orang Melayu dengan kunci agama telah meletakkannya sebagai reformis penting di rantau ini.

Intipati pemikirannya terangkum dalam beberapa aspek penting, mencakup gagasan perubahan dan tajdid, memugar penghayatan agama, memikirkan kedudukan bangsa dan bahasa, dasar sosial dan budaya, dan menangani belenggu taqlid dan pemikiran beku dalam masyarakat. Dalam kegiatan politik, Za’ba termasuk salah seorang penggerak yang aktif meniupkan semangat penentangan terhadap gagasan Malayan Union yang diperkenalkan British dan telah menyumbang dalam mempersatu aspirasi dan cita-cita bangsa melalui kempen-kempen politiknya.

Banyak karya yang telah ditulis untuk menyingkap dan membahas kekuatan intelektual dan kesarjanaannya. Ramai penulis yang gigih menyalin dan menyusun biografinya untuk mengangkat dan memaparkan kisah penghidupan dan legasi perjuangan yang diwariskannya kepada anak watan. Antaranya buku Memoir Za’ba, yang ditulis oleh Adnan Haji Nawang (2005) yang merakamkan sejarah perjuangan dan pemikirannya dalam dunia moden, Memartabatkan Warisan pendeta Za’ba oleh Abdul Hamid Mahmmod (2005) dan buku Jejak-Jejak di Pantai Zaman yang dikarang Prof Diraja Ungku Aziz bagi “menyedarkan masyarakat tentang kecendekiawanan Za’ba”. Buku ini menyerlahkan ketokohannya sebagai Bapa Tatabahasa Melayu Moden yang telah menggariskan dan memberikan asas sistem Bahasa Melayu baharu, dalam ejaan, tatabahasa dan retoriknya serta memuatkan rumusan yang penting daripada pemikirannya yang digarap dan dicerakinkan dengan jelas.

Dalam makalahnya berjudul Za’ba Dalam Kenangan yang ditulis sempena memperingati kematian Za’ba pada 23 Oktober 1973, Zaini Ujang sempat membahas peranan penting yang dimainkan oleh Pendeta Za’ba sebagai pengkritik sosial dan usahanya membangkitkan kesedaran dan mengangkat darjat bahasa, dan gagasan yang dicetuskannya dalam berbagai disiplin, yang menzahirkan kecendekiawanan dan ketokohannya “dalam pelbagai bidang – agama, ekonomi, bahasa, sastera, politik, pendidikan, dan kebudayaan sebagai suatu keseluruhan yang menandai tamadun Melayu”.

Za’ba memperjuangkan suatu pandangan hidup yang dinamis dan luas, yang menekankan dasar dan falsafah pemikiran yang rasional dan futuristik. Gagasan pembaharuan yang dianjurkannya bertujuan untuk membaiki segala hal-ehwal yang kekurangan, mengubahkan segala sifat keadaan yang buruk dengan yang baik, menggantikan segala hal manusia yang mundur dengan maju mengikut zaman, menggantikan segala jalan fikiran yang kuno dan kolot, segala kepercayaan yang lapuk dengan fikiran baru yang segar yang disaksikan benar melalui al-Qur’an yang bersendikan akal dan ilmu pengetahuan.

Menurutnya, bangsa Melayu harus meraih kebaikan di akhirat daripada perbuatan mereka sendiri, dan bukan mengharapkan belas syafaat, atau menjadi “kutu di atas kepala, iaitu orang yang suka bergantung hidup kepada kelempahan dan kemurahan orang lain.” Mereka harus siap menebusnya dengan ikhtiar sendiri, dari i‘tiqad dan amal yang terhasil atas usaha yang melayakkan mereka meraih rahmat dan pembalasan syurga.

Beliau menggariskan faham islah yang mendasar dalam usahanya menangani masalah kemunduran dan kemiskinan umat yang dibelenggu kesalahfahaman agama, dan dihimpit masalah ekonomi di bawah tekanan dan aturan penjajah.

“Masyarakat Melayu sebenarnya berada dalam keadaan yang sangat miskin. Kemiskinan tersebut bukanlah semata-mata kerana ‘tiada berharta’ sahaja malah ia lebih parah daripada itu…kemiskinan orang-orang Melayu itu ialah kemiskinan yang meliputi serba-serbinya dan mengelilingi mereka pada segala pihaknya” (Za’ba, The Proverty of the Malays, Malay Mail, 31 Disember 1923).

Kemunduran dan kemiskinan jiwa dan cita-cita yang membelenggu bangsa dikritik keras, dengan melontarkan gagasan-gagasan besar untuk membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu kemiskinan seperti disorot dalam tulisannya dalam akhbar Ikhwan:

“Orang-orang kita Melayu ini pada hitungan am atau jumlahnya ialah suatu kaum yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifatnya yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada lain-lain sifat kebangsaannya dan ialah juga sebesar-besar kekurangan yang menjadikan mereka kalah atau ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan, miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia – jadilah mereka tak dapat tidak daripada tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa.” (Al-Ikhwan, 1927)

Sesungguhnya tulisannya itu mengingatkan kita kepada keluhan Ali Shariati bahawa “kemiskinan bukanlah hari tanpa makanan, tetapi hari tanpa pemikiran.”

Keupayaan dan kesanggupan untuk berdikari merupakan asas yang dapat mengangkat kemuliaan dan jatidiri bangsa, yang dilihatnya kurang dijiwai oleh bangsa Melayu. Dalam bukunya Perangai Bergantung pada Diri Sendiri beliau tekankan bahawa “tiap-tiap seorang diwajibkan beramal dan beribadat dengan usaha dan tenaganya sendiri atau tanpa pernah disuruh dan menganggap dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang atau kepada “fidyah” penebus yang dibuatkan orang bagi mendapatkan kejayaan dalam keselamatannya di akhirat kelak!! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah daripada orang apabila mati kelak!!”

Dengan hampa ditegur dan dikritiknya kekurangan sifat mandiri yang ideal ini pada bangsanya: “perbandingan sikap orang Melayu dengan bangsa itu yang mana bangsa Melayu itu terlalu berharap kepada belas ihsan orang ramai mahupun kerajaan baik di dalam perniagaan, pekerjaan malah persekolahan anak-anak. Sedari itu sikap bergantung kepada diri sendiri itu perlu dipupuk dari anak-anak lagi”.

Za’ba tuntas memikirkan dan mencari penyelesaian yang tepat berhubung dengan kemelut sosial dan ketandusan nasib bangsa, khususnya dalam soal kemiskinan, yang dicerakinkannya ke dalam empat bentuk: “kemiskinan dari segi keperangaian tinggi dan mulia, kemiskinan ilmu pengetahuan, kemiskinan cita-cita tinggi dan kemahuan untuk maju serta kemiskinan harta dan kekayaan”.

Sebahagiannya, seperti disimpulkan Za’ba, lantaran “sebahagian besar masyarakat Melayu pada masa itu tidak mempunyai iman yang teguh dan percaya pada kekuatan ghaib dan guna-guna semata-mata”. Menurutnya bangsa Melayu masih terikat dengan faham khurafat walaupun telah ditentang dan dihapuskan sejak Islam masuk ke rantau ini.

“Orang Melayu meskipun sudah memeluk Islam selama 600 tahun yang lalu, tetapi mereka masih tetap berkelakuan seperti keadaan zaman sebelum mereka menganut agama Islam. Mereka masih percaya kepada perkara-perkara karut dan seolah-olah Islam tidak mampu menghilangkan unsur-unsur kepercayaan masa lampau daripada orang-orang Melayu.”

Didesaknya orang Melayu supaya pantas bersaing dengan kaum lain yang telah memacu kejayaan ekonomi yang tangkas, seperti disuarakannya dalam akhbar al-Ikhwan - yang dipimpin oleh Syed Sheikh al-Hadi -  “orang-orang dagang sentiasa keluar masuk dan pergi datang dalam negeri orang Melayu ini menghimpunkan kekayaan dan menjadikan diri mereka tuan-tuan tanah yang lebar dengan banyak hasilnya, tuan-tuan punya lombong yang tebekang dengan makmur pendapatannya, saudagar-saudagar perniagaan yang hebat-hebat toko gudangnya serta kaya-kaya dan berlipat ganda keuntungannya” (Al-Ikhwan, Nov. 1926)

Falsafah pemikiran yang digagaskan dalam bukunya Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri berhasrat memperbaharui dan meningkatkan daya juang, dan akal budi. Ia menampilkan falsafah perjuangan yang terkesan dengan cita-cita pembaharuan yang luar biasa, yang menekankan keperluan membentuk fikrah dan kefahaman budaya yang dinamis dan kritis, dan memperhebat usaha membangun tradisi akliah sebagai prasyarat kebangkitan. Ia ditulis berdasarkan pemerhatian beliau dan juga berdasarkan pengalaman seharian.

Digariskannya dan dihuraikan kondisi masyarakat dan sebab-sebab kemunduran bangsa: “Sikap suka berborak atau melepak di kedai-kedai kopi sehingga membazir waktu, mengetepikan kebajikan umum, tidak sanggup berkorban, tidak mahu bekerja kuat dan lemah dalam hal ehwal perniagaan.”

Beliau menentang kepercayaan lapuk dan budaya taqlid yang bobrok, yang diyakininya sebab prinsip yang telah menghambat kemajuan Melayu: “Perangai orang Melayu yang acap kali bertaqlid buta iaitu mengikut dan menerima sahaja tanpa banyak soal apatah lagi mengerti mengapa ianya dilakukan di dalam menerima perkara yang melibatkan hal-hal fikiran, kepercayaan dan fahaman agama. Seelok-eloknya bertaqlidlah dengan pertimbangan akal dan ilmu pengetahuan sendiri bagi memikirkan patut atau tidaknya sesuatu perkara itu. Perbezaan mazhab-mazhab atas perkara tawhid dan fekah terjadi atas sebab-sebab pendiri mazhab tersebut berlainan dari segi pemahaman masing-masing mengikut pengetahuan dan pertimbangan mereka sendiri pada ketika suasana zaman itu. Walaupun begitu pada asas dan puncanya, mereka masih tetap berpegang dan mengambil kedudukan di atas tapak yang sama dan satu.” (Za’ba, Perangai Bergantung pada Diri Sendiri)

Dikemukakannya upaya ke arah berijtihad sendiri dan membenamkan taqlid buta. Digerakkannya idealisme perjuangan yang kental untuk menghapuskan budaya taqlid yang telah menghambat kemajuan fikiran. Menurutnya, cara beragama yang salah telah melemahkan bangsa Melayu kerana enggan menilai semula apa yang menjadi kebiasaan, tanpa hujah yang dapat mempertahankan dan mengesahkannya.

Za’ba menegaskan dalam Perangai Bergantung pada Diri Sendiri: “Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya. Demikianlah dicela Tuhan di dalam al-Qur’an jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja bertaqlid buta itu dikeji oleh agama dan sekalian orang yang berakal”

Hujah yang diketengahkan dalam buku Perangai Bergantung pada Diri Sendiri ini menyerlahkan prinsip pokok yang dipegangnya menyangkut perkara amal ibadat yang dituntut syari’at sebagai tanggungjawab setiap mukallaf. Za’ba tak putus menyuarakan dan menggesa supaya amalan agama disempurnakan dengan ikhtiar sendiri, dan tidak menaruh harap pada orang lain, seperti diutarakannya:

“Dengan dorongan perasaan bergantung kepada diri sendiri seseorang akan merasa wajib membuat sendiri apa-apa kewajipannya, dan tidak berharap kepada orang lain. Ia akan tetap bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri sahaja dan hanya memohon taufiq dan pertolongan kepada Tuhan yang Esa tiada lainnya. Bidalan Melayu pun ada berkata, dan ia patut jadi pedoman kepada kita dalam hal ini, iaitu kata orang tua-tua: “Berharap kepada anak, buta mata sebelah; berharap kepada orang, buta mata keduanya” yakni pada apa-apa hal pun baiklah buat sendiri.”

Berkait dengan kesadaran ini, beliau mengambil langkah penting untuk merombak dan memperbaharui kerangka pemikiran lama yang meruntuhkan dan digagaskannya agenda islah bagi menyingkirkan ketidakyakinan dan kenaifan, dan menggantikannya dengan nahdah dan kebangkitan, dan melenyapkan taqlid, yang ditafsirkannya sebagai membuat keputusan terburu-buru dan membuta tuli serta meniru tanpa usul periksa, iaitu terikut-ikut dengan perkara yang belum tentu betulnya, yang dianggapnya berpunca daripada kedangkalan terhadap fahaman agama.

Agama hanya difahami sebagai amalan sembahyang, membaca al-Qur’an dan niat puasa sahaja. Aspek-aspek kehidupan yang lain terlalu banyak dicampuradukkan dengan unsur-unsur bidaah. Keadaan ini wujud kerana sebahagian besar masyarakat Melayu hanya bertaqlid iaitu ikut secara membuta-tuli dalam soal tawhid.”

Dalam pembicaraannya tentang budaya taqlid yang menjalar dalam masyarakat, disingkapnya sejarah perjuangan kaum muda dan kecekalan mereka mendobrak benteng taqlid, yang telah mengilhamkan perjuangannya untuk mendepani tentangan yang hebat dalam percubaan merubah pemikiran dan status quo dalam masyarakat. Dari semangat dan kecekalan yang ditunjukkan, beliau merangkul dan melanjutkan aspirasi kaum muda, dalam usahanya meruntuhkan benteng taqlid, dan membela perjuangan ulama faqih seperti Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abduh, Rashid Reda, Syed Syeikh al-Hadi, dan Mustafa Abdurrahman.

Dalam ringkasan bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, beliau menyimpulkan pandangannya yang objektif tentang permasalahan taqlid dalam mazhab dan dasar ikut-ikutan yang membarah dalam masyarakat.

“Kesimpulannya, dalam sesuatu perkara atau mana-mana pendapat janganlah terus diikut secara membuta tuli sahaja, melainkan perkara tersebut dikaji terlebih dahulu, diuji dengan baik atau tidaknya dengan akal dan dengan apa sahaja ilmu pengetahuan yang ada pada kita sendiri. Setelah pendapat tersebut dikaji dan ada betul atau benarnya, ataupun sekurang-kurangnya nyata sepatutnya ditimbang pada akal sendiri, selepas itu baharulah boleh diterima. Selain itu ia juga bergantung kepada diri sendiri juga dalam memikirkan sesuatu perkara”.

Perjuangannya menegakkan agenda pembaharuan dan islah telah meletakkannya sebagai pejuang dan reformis tulen, sebaris dengan Syaikh Taher Jalaluddin, dan penggagas idea Pan Islam, Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Perjuangan Za’ba ke arah pembaharuan berpijak pada suatu konsep yang dirangka untuk membaiki segala hal-ehwal yang kekurangan, mengubahkan segala sifat keadaan yang buruk dengan yang baik, menggantikan segala hal manusia yang mundur dengan maju mengikut zaman, menggantikan segala jalan fikiran yang kuno dan kolot, segala kepercayaan yang lapuk dengan  fikiran baru yang segar yang disaksikan benar melalui al-Qur’an yang bersendikan akal dan ilmu pengetahuan.

Untuk meleraikan kemelut dan nasib bangsa yang miskin dan bobrok, beliau menganjurkan empat langkah penyelesaian: “asuhan hati dan budi pekerti, didikan dan pelajaran kepada anak-anak, memperluaskan alam  persuratan dan bersikap jimat cermat”.

Ditekankan pelajaran sebagai induk yang penting dan disarankan pembaharuan dan pembelaan akal yang tulen: “Walau barang ke pihak mana pun dihalakan segala usaha dan ikhtiar hendak memajukan Melayu itu melainkan pelajaran hendaklah juga dijadikan kalimah syahadat yang awal pertama sekali hendak dikirakan dan dilebihkan daripada lain-lain”.

Beliau menentang sifat jumud, dasar pemikiran yang kolot, kenaifan dan pergantungan yang bulat kepada tok-tok lebai yang diharap untuk menolong dan membayarkan kewajiban agama yang terluput.
Za’ba menegaskan: “Orang-orang kita banyak benar yang lemah pada mengerjakan amal ibadat. Iaitu usaha-usaha yang merupakan ketaatan dan kehambaan kepada Tuhan dengan memperbuatkannya sendiri sebagai mana yang disuruh di dalam agama Islam. Bahkan, tidak sedikit mereka yang cenderung berharap kepada pertolongan orang lain sahaja, seperti berharap kepada do’a tok-tok lebai, tok-tok guru dan tok-tok alim, atau berharap kepada sedekah tahlil mereka itu dan sebagainya, apabila telah masuk ke dalam alam arwah kelak. Maka terutama sekali mereka berperasaan demikian jika mereka orang yang jahil pekat dalam agama atau orang yang mampu membayar atau mengupah!” (Za’ba, Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri)

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/zaba-tentang-idealisme-bangsa-dan-falsafah-takdir-bahagian-ii/