Keadian Dan Kesetaraan Untuk Minoriti

September 11, 2012 by Faisal Tehrani

ISLAM meletakkan sandaran taqwa sebagai asas keunggulan. Hanya taqwa sahaja menjadi pembeza dan merupakan kriteria tunggal untuk menentukan kelebihan atau keutamaan seseorang individu, masyarakat mahupun peradaban. Faktor-faktor lain seperti bahasa, ras, kekayaan, kelas dan lain-lain tidak mempunyai apa-apa erti. Semua itu hanyalah sumber nilai di dunia dan dalam kalangan masyarakat penindas.

Demikian hebat taqwa dijadikan ukuran, tatkala Rasulullah melantik Bilal bin Rabah sebagai muezzin, ia menimbulkan keresahan seketika dalam kalangan umat Islam dan penghuni kota Mekah yang baru dibuka waktu itu. Bilal merupakan seorang lelaki berbangsa Habsyah, kulitnya hitam, wajahnya hodoh dan suara Bilal juga jelik.

Namun, sebenarnya pelantikan itu adalah satu penyataan politik yang luar biasa penting. Ini adalah kerana Rasulullah saw ingin menunjukkan betapa wajah, bentuk, tubuh, kecantikan luaran, bahkan keindahan suara bukanlah satu pakej penting, melainkan menjadi hal-hal sekunder. Bahkan, dengan pelantikan yang aneh dan unik itu, Nabi Muhammad secara bijaksana mengisytiharkan bahawa Nabi sangat menghargai keperibadian, ketaqwaan dan semangat jihad Bilal.

Hari ini, malangnya, umat Islam sedang memasuki era di mana keadilan sosial telah menjadi satu fenomena istisba’. Ia seakan-akan seekor makhluk yang besar, ganas, bertaring panjang sedang menanti untuk membaham dan mencekau kita. Sedang menanti detik jahanam itu, kita sebagai mangsa yang menyerah lantas memejamkan mata dan menunggu serangan buas tersebut. Kita hanya mampu berserah supaya tengkuk ini dikerkah. Sebagai makhluk yang lemah dan tidak berupaya kita sepenuhnya menyerah kalah sebelum mati melawan. Sebagai mangsa yang terkepung itu, kita adalah mustasba’.

Tidaklah menghairankan sebagai mangsa, pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir yang kini telah menjadi Presiden negara tersebut, Mohammed Morsi tunduk melantik Eilat Atef Salem untuk menggantikan Yasser Ridah sebagai Duta Mesir ke Israel. Juga bukanlah sesuatu yang menyedihkan, Morsi menagih pinjaman $4.8 billion daripada IMF atau International Monetary Fund ketika bertemu Christine Lagarde.

Umat Islam (Sunni) selamanya jadi mangsa.

Argh semuanya tentang Ikhwanul Muslimin. Anda mungkin mengatakan konsep Wilayatul Faqih ada sompek dan rekahnya di sana sini. Mereka yang mendokonginya juga mengakui; tetapi barang diingat konsep ‘yang tidak demokratik dan padat kediktatoran’ menurut anda ini belum lagi rebah di hadapan Zionis, apatah lagi IMF. Dalam hal ini, suka atatu tidak, hanya Islam (Syiah) sahaja yang menjadi contoh bagaimana gejala istisba’ ini hendak diatasi. Hal tersebut, tunjang dan falsafahnya akan saya huraikan kemudian.

 

Minoriti Ras

Selalu dipertanyakan, apakah Islam mengharus malah menghalalkan perhambaan. Selalu juga ditimbulkan bahawa ahli keluarga Nabi Muhammad iaitu para ahlul bait yang mulia sendiri memiliki budak. Fakta ini sebetulnya tidaklah tepat. Kita selalu membaca kisah Jan, budak yang pernah menjadi pelayan Abu Dzar al Ghifari. Jan sangat setia kepada sahabat Nabi tersebut.

Setelah kesyahidan Abu Dzar, Jan memilih untuk meneruskan tugasnya sebagai pelayan dan berkhidmat dengan keluarga Nabi. Akhirnya Jan, menjadi butler kepada Saidina Husin. Pada ketika berlakunya pertumpahan darah di Karbala, Jan yang menyaksikan seorang demi seorang ahli keluarga Rasulullah ditebas musuh telah menemui Saidina Husin dan mengatakan: “Duhai Imam, izinkanlah aku untuk masuk ke medan tempur dan mempertahankan dirimu dan ahli keluargamu serta agama yang suci ini dari menjadi rosak oleh orang-orang cabul tersebut.”

Saidina Husin membalas, “Usahlah Jan, engkau telah terlalu banyak menderita oleh perjuangan kami yang tidak pernah habis-habis sejak zaman Abu Dzar al Ghifari lagi. Pergilah kau dari medan Karbala ini. Mereka bukannya mahukan dirimu. Apa yang musuh ingini ialah diriku. Aku melepaskan dirimu dari tanggungjawab apa pun dan tidak akan mempertanyakan dirimu di akhirat kelak.”

Sebaik mendengar kata-kata Imam Husin tersebut, berlinanganlah air mata Jan sehingga tidak terkeluar sepatah kata pun ekoran esak tangisnya yang menderu. Saidina Husin pun dengan penuh santun memujuk, “Apakah aku telah melukai hatimu wahai Jan?”

“Duhai Imam, sesungguhnya aku telah menumpahkan sekian keringat dan tenaga kudratku untuk berkhidmat dengan para sahabat Rasulullah yang tulen, aku telah ikut menentang sekian korupsi sejak kewafatan Rasulullah, dan melihat dengan mataku bagaimana kalian diperkotak-katikkan. Hari ini, aku telah tiba ke kemuncaknya. Iaitu kemuncak pelayananku sebagai seorang pekerja. Apakah engkau akan menghantarku pulang dan memaksaku membiarkan dirimu dan ahli keluargamu dibunuh musuh? Lelaki seperti apakah aku ini jika begitu? Maka izinkanlah aku untuk berkhidmat kepadamu sehingga akhir hayatku. Izinkanlah aku berkhidmat kepadamu buat kali terakhir.”

Saidina Husin akhirnya mengerti bahawa dia tidak dapat menahan Jan dari mengorbankan dirinya di medan Karbala. Tentu sahaja Jan terkorban, nyawanya melayang dan kala kepalanya ditetak teruk, sedang darah mengucur keluar; Imam Husin berlarian meletakkan kepalanya di paha Imam dan membersihkan darah yang menutupi wajah dan mata Jan, pemuda berkulit hitam itu. Cucunda Nabi Muhammad lantas mengucup dan menciumi dahi Jan dan mengatakan, “Berbahagialah kerana engkau dijanjikan syurga.”

Dan Jan hanya mampu menuturkan, “Betapa engkau membuat aku malu Imam kerana engkau yang melayani aku disaat akhirku, bukankahnya aku yang sepatutnya menjadi pelayanmu sehingga saat akhirmu?”

Beginilah para ahlul bait yang suci melayani budak atau pekerja bawahannya. Kerana masih taqwa menjadi kriteria utama. Bahawa di saat akhir Jan, seorang budak, ia dipapah, didukung dan disempurnakan oleh majikannya secara amat terhormat.

Oleh kerana taqwa adalah kriteria individu, ia juga menjadi kriteria penentu untuk keunggulan setiap masyarakat dan peradaban. Perhatikanlah bagaimana masyarakat yang tidak bertaqwa akan ditimpa kenistaan lambat-laun.

 

Kesetaraan Ekonomi

Sekarang kita bergerak dari keadilan untuk ras, kepada kesetaraan ekonomi. Terdapat satu kisah yang besar boleh kita pelajari dari sirah nabawiyyah. Pada ketika berlakunya perang Hunain, Rasulullah telah mendapat tentangan yang besar. Harus diingatkan perang Hunain berlaku selepas pembukaan kota Mekah. Musuh telah mendirikan lebih tiga puluh ribu khemah untuk menggasak pasukan tentera Rasulullah di medan Hunain. Tiga suku Arab, iaitu suku Hawazin, Tsaqif dan Bani Sa’d telah memilih jalan untuk menentang Nabi Muhammad. Pasukan Islam nyaris-nyaris kalah ketika itu malah ada askar Muslim yang meninggalkan medan perang. Ketika Rasulullah akhirnya berjaya menumpaskan musuh, suku Bani Sa’d telah mengutus Syayma (anak perempuan Halimatus Saadiah, justeru Syayma adalah adik beradik sesusuan Rasulullah) untuk menjadi orang tengah.

Harta atau rampasan dari perang Hunain antara lain ialah enam ribu tawanan, lebih dari dua puluh empat ribu unta, lebih empat puluh ribu kambing, sejumlah besar perak dan barang-barang rumah tangga yang lain. Demikian besarnya jumlah rampasan, tidak syak lagi, tentera Muslim akan mendapat manfaat atau laba ekonomi yang besar. Malah, kerana perang Hunain berlaku tidak berapa lama setelah pembukaan kota Mekah, jumlah kaum Ansar yang terlibat dalam perang ini juga sangat lumayan. Ini kerana mereka masih belum pulang ke kota Madinah sejak itu.

Rasulullah memilih untuk melepaskan bahagian seperlima yang menjadi haknya. Ekoran itu, ramailah para sahabat dengan separuh rela turut melepaskan bahagian masing-masing sehinggalah perlahan-lahan berkembangan rungutan atau gosip betapa Rasulullah tidak mempedulikan kebajikan kaum Ansar. Kononnya Rasulullah sebagai tetamu yang dilayani dan didokongi di kota Madinah tidak bertolak ansur walau sebatang jarum pun dari perbendaharaan negara untuk orang Ansar yang telah berhempas pulas menyokong dan membantunya selama berbelas tahun perjuangannya. Sudah tentu, hasutan ini diterbangkan oleh kaum munafikin.

Sebaik mendengar perkhabaran politik tersebut, Rasulullah lantas menghimpunkan tentera Muslim dan menenangkan kaum Ansar. Baginda meminta mereka memilih antara harta rampasan perang atau diri baginda. Ini kerana menurut Rasulullah meski Mekah sudah jatuh ke tangan Islam, baginda memilih untuk pulang ke kota Madinah setelah keadaan menjadi stabil. Kaum Ansar memilih untuk terus mendokongi Nabi Muhammad dan mengabaikan harta rampasan. Sekali lagi taktik lapuk dan strategi jahat kaum munafikin ditumpaskan. Namun, apa yang saya ingin timbulkan di sini bukanlah hal tersebut. Sebaliknya saya ingin menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad tidak membawa walau sesen pun harta Mekah untuk menyuburkan atau mendokong ekonomi kota dan penduduk Madinah Munawwarah. Ia tidak mahu harta di satu lokasi digunakan untuk membangunkan ekonomi wilayah yang lainnya.

 

Minoriti Agama

Dalam tradisi ahlul bait, telah ditemukan keadilan untuk ras, keadilan dari segi ekonomi malah keadilan dari segi agama dan mazhab juga sangat ditekankan. Sesungguhnya Imam Ali pernah mengatakan dalam Nahjul Balaghah, “Jika aku mengadili orang maka akan kuadili dengan al-Quran bagi mereka yang mengikuti al-Quran, dengan Injil bagi mereka yang mengikuti Injil, dengan Taurat untuk mereka yang mengikuti Taurat, dan aku akan membuat keputusan bagi para penganut agama sesuai dengan masalah-masalah Ilahi dan urusan keagamaan agama mereka.”

Seperti inilah minoriti agama diperlakukan. Bukan dengan meletakkan fatwa yang tidak boleh dicabar atau memaksakan satu kepercayaan mazhab melalui institusi agama.

Salah satu cara keadilan ditegakkan dalam tradisi ahlul bait ialah memberikan golongan minoriti atau oposisi hak mereka untuk berfikir dan berekspresi. Dalam tradisi ahlul bait, kebebasan berfikir dan mengungkapkan pemikiran untuk mencapai kebenaran dan hakikat dialu-alukan serta sangat dititik beratkan. Pada saat Imam Baqir dan Imam Sadiq memegang imamah, keterbukaan kultural dalam masyarakat Islam sedang baru berputik dengan hangat di mana-mana pun, sehingga kumpulan sekular ateis, zindiq, ulama mazhab-mazhab Islam membentuk pelabagai forum untuk menyatakan pandangan. Kedua-dua Imam ikut serta dalam aktiviti-aktiviti diskusi ini.

Saya kira contoh klasik ialah Imam Ali dan polisinya terhadap oposisi Khawarij sebelum perang Nahrawan. Demikian slogan Khawarij untuk mendokong hukum Allah: Tiada hukum kecuali hukum Allah. Ia terdengar lunak secara teorisnya tetapi gagal dan menyimpang secara praktisnya. Slogan itu digegerkan dan Imam Ali membantahnya dengan duduk berdialog. Duduk dan bantah dengan dialog, bukan dengan kekuatan. Bukan dengan samsengan. Imam menentang dengan lojika dan hak berfikir mereka dilindungi. Segenap kekuatan hanya digunakan untuk mengatasi hak berekspresi apabila kaum Khawarij memilih untuk mengabaikan lojika. Apabila kaum Khawarij menerusi dua tokohnya Hurqush Zuhair as Sa’di dan Zar’ah a Baraj ath Thai datang menemui Imam Ali untuk menggesanya membenarkan mereka memerangi Muawiyah. Khawarij memberi kata dua, bahawa jika itu tidak diizinkan mereka akan melawan Imam Ali. Imam menolak dan mengatakan “Celaka bagimu, alangkah celakanya kamu. Seakan akan aku terbunuh di tanganmu dan angin kebenaran berhembus ke arahmu.”

Kata Zur’ah, “Itulah yang aku suka.”

Dan sebaik Khawarij itu selesai mereka Abdullah bin Khabbab yang berdiri di pintu, membawa al Quran di lehernya sebagai kalungan. Imam Ali kini terpaksa memilih untuk menggunakan kekuatan kerana ketika itu Khawarij telah terkeluar dari kebenaran dan beraksi melampau.

Demikian hebat Islam mendokongi dan menjuarai orang-orang Kecil atau mustadh’afin, Nabi Muhammad kita asalnya adalah seorang gembala kambing sedangkan di Barat telah tertanam fikiran seperti yang disuarakan oleh Aristotle, ‘Manusia memang ditakdirkan lahir untuk menjadi penguasa atau hamba.’ Tidaklah menghairankan utusan spiritual Athena hingga ke negeri China baik Lao Tse, Buddha, Zoroaster, Mazdak, Socrates, Aristotle semua dinisbahkan pada keningratan sedang Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad adalah rakyat biasa.

Keadilan sosial oleh kerana itu menjadi milik Islam Syiah kerana dokongan mereka terhadap ahlul bait, terhadap Imam Husin. Di situlah juga terletaknya punca kegagalan serba-serbi Islam di bawah kelangkang istana dalam menegakkan keadilan dan kesetaraan. Islam yang digunakan oleh mimbar masjid untuk mengukuhkan pendirian Ahli Sunah wal Jamaah supaya mentaati pemerintah beginilah yang telah menghempuk umat Islam sehingga gagal keluar dari cengkaman penjajahan.

Malang sesudah Rasulullah wafat; kali ini bukan lagi dalam jubah politeisme, penjajahan dimurnikan dalam jubah monoteisme. Piramid yang menyembunyikan berhala diganti dengan istana Umaiyyah yang membudakkan manusia untuk membina Masjid Agung di Damsyik, serta istana Yazid dan kediaman-kediaman yang luar biasa. Ia berlanjutan seperti terlihat pada Dinasti Othmaniyyah ribuan tahun kemudiannya.

Inilah Islam dicelah kelangkang istana yang ditentang Imam Husin di Karbala. Sejak kewafatan datuknya, ini semua telah menjadi berleluasa. Islam dicelah kelangkang istana bersikukuh dengan menggunakan khidmat ulama establishment dengan fatwa dan hadis politiknya, ia menjadi kempen di mana mimbar-mimbar masjid digunakan ssebagai tempat mencaci keluarga Rasulullah. Kurang 50 tahun Nabi wafat, umat Islam mendengar laknat dan seranah terhadap menantu Nabi Muhammad dan cucu-cicitnya sebagai kuliah agama, serambi menafikan hak-hak mereka. Sepanjang sejarah peradaban apa pun, musuh keadilan dan kesetaraan iaitu entiti yang mempromosi ketidakadilan dan ketidaksetaraan ini adalah barisan atau koloborasi militer (kekuatan), si kaya (bangsawan) dan paderi (rohaniwan).

 

Musuh minoriti adalah mutrafun

Keadilan dan ketaqwaan dalam Islam adalah regu yang tidak dapat dipisahkan. Ketidakadilan dan zukhruf (perhiasan) adalah kriteria lawannya. Sepanjang sejarah manusia, musuh keadilan sosial ialah kaum Mutrafun (mereka yang hidup mewah dan berlebihan). Mutrafun hari ini adalah kapitalis hanyir yang menindas orang bawahan; buruh, kumpulan miskin, dan minoriti lainnya.

Sejak Kabil membunuh Habil, sejak Musa berdepan dengan Firaun, sejak Ibrahim berlaga dengan Namrud, sejak Rasulullah menentang Abu Sufyan. Semua itu kerana kemilau zukhruf yang menggoda Islam dicelah kelangkang istana. Inilah ‘benda’ yang direbutkan Islam dicelah kelangkang istana dan menjadikan punca sesetengah orang yang pada mulanya melawan Islam dicelah kelangkang istana pun ikut menjadi tergiur lantas berseberangan khemah kerana ketertarikan kepada benda itu lebih besar.

Akan tetapi perlawanan Imam Ali menjadi berbeza dan lebih rumit, kerana itu ia adalah sesuatu yang harus kita pelajari. Jika Habil, Musa, Ibrahim dan Nabi Muhammad menentang secara terbuka, Imam Ali harus menentang secara terluka.

Nabi Muhammad melawan Abu Sufyan, demikian kalahnya parti Abu Sufyan ia masuk Islam. Ia adalah pertembungan eksternal. Sedang Saidina Ali, Saidina Hasan dan tentunya Saidina Husin melawan musuh dalam selimut. Musuh ini lebih berbahaya dari ateis tulen dan polities jati. Begitu kuatnya tarikan Islam dicelah kelangkang istana terhadap emas yang mengilat, hatta isteri Imam Hasan memilih untuk meracuni suaminya. Demikian gerakan melawan keadilan sosial menyusup masuk sehingga ke dalam rumah.

Zukhruf telah menumpaskan taqwa kerana di saat Imam Husin menggantikan Imam Hasan, keadilan sosial yang diasaskan datuknya itu sudah hanya menjadi episod sejarah. Gerakan keadilan sosial Imam menjadi sangat sukar kerana terdapatnya belahan sahabat Nabi Muhammad yang telah bangkit berjuang demi keadilan sosial dan telah pun mati kerananya. Abu Dzar, Ammar bin Yasir, Abdullah bin Mas’ud, Maytham dan Hujr bin Adi semuanya syahid melawan. Imam Husin sudah kehilangan tenaga dan kawan.

Ia menjadi lebih rumit kerana terdapat sekumpulan sahabat Rasulullah yang menemukan syurga untuk diri sendiri. Mereka mengundur ke dalam relung masjid untuk beribadah, membisu dan mendiamkan diri. Contoh klasik adalah Abdullah bin Umar. Lebih menyedihkan, gerakan keadilan sosial Imam menjadi satu kemustahilan kerana terdapat mereka yang pernah berperang di Badar, Uhud, dan Hunain dengan jiwa raga tetapi setelah beroleh kemenangan dan tampuk pemerintahan, kemewahan atau zukhruf telah menggiurkan mereka mengatasi taqwa. Segala kemuliaan mereka telah dijual kepada pemilik Istana Hijau. Ramai sahabat Nabi mendapat kemuliaan di istana Muawiyah sehingga mereka menjadi lupa alpa.

Itulah puncanya Saidina Husin dan kesyahidannya ditangisi, kerana di pihak orang tertindas, Imam Husin adalah perwira keadilan sosial. Ia berusaha menegaskan misi revolusi Ilahiah yang dibawa Rasulullah. Misi Nabi yang paling agung ialah keadilan sosial. Ia tidak terletak di dalam al-Quran, ia ada dalam hati dan fikiran. Kerana itulah pembunuh Imam Husin dengan bangga saat ingin memancung Imam Husin mengatakan, “Aku penghafal Quran”. Imam menjawab, “Bahkan, aku sendiri adalah al-Quran.”

Saya pernah membaca, dalam satu wawancara Ooi Kee Beng dan Wan Hamidi Hamid dengan profesor Tariq Ramadan, sarjana besar Islam kelahiran barat itu mengatakan; “As a Muslim, I am close to socialism. I don’t know who came up with it first…” (Lihat Penang Monthly September 2012 Issue 9.12, Wawancara Dengan Tariq Ramadan Islam Reviewed From Within )

Mungkin Profesor Tariq terlupa. Kita harus mengingatkan bahawa Saidina Ali, Saidina Husin dan sekian penerus jalur ahlul bait Nabi Muhammad telah menunjukkan sisi yang disebutkan oleh Tariq Ramadan di atas. Kalau saya, saya akan mengatakan; “As a Muslim, I am close to socialism. And as a Socialist, I am close to shi’ism.”

Kebenaran pada peristiwa Karbala inilah yang gagal difahami oleh mimbar masjid kita. Gagal difahami oleh jalur Ikhwanul Muslimin (Mohammed Morsi), gagal difahami jurus neo Othmaniyyah pendakap NATO (Recep Tayyip Erdogan). Seluruhnya gagal difahami oleh OIC; meski mereka bersidang di sebuah kota suci (Mekah).

Kerana mereka gagal memahami daerah Karbala. Bahawa Imam Husin adalah pahlawan keadilan yang sebenar, ia datang untuk mengajarkan kita bagaimana cara hidup, ia juga datang kepada kita untuk mengajar bagaimana cara mati.




View original article at: https://irfront.net/post/opinion-features/keadian-dan-kesetaraan-untuk-minoriti/