Pengejaran yang tak berkesudahan terhadap Negara Islam

December 30, 2012 by Dr Ahmad Farouk Musa

Sekiranya terdapat sesuatu yang nyata jelas daripada Muktamar Parti Islam seMalaysia – PAS – yang telah berlangsung adalah walaupun dengan persetujuan tentang konsep tahalluf siyasi atau konsensus politik di kalangan tiga parti komponen utama daripada fron pembangkang – Pakatan Rakyat – cita-cita PAS untuk menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan undang-undang hudud tidak sedikitpun goyah, malahan lebih kukuh lagi.

Terasa teramat canggung bahawa walaupun dengan penerimaan Buku Jingga sebagai kerangka dasar yang komprehensif bagi barisan pembangkang tentang bagaimana mentadbir negara ini apabila mereka meraih kuasa, PAS kelihatannya mempunyai agenda yang lebih tinggi – iaitu untuk mentransformasi negara yang berbilang kaum dan agama kepada Negara Islam yang sempurna lengkap dengan undang-undang Islam.

Sesungguhnya perlu diingat bahawa undang-undang Islam dan hudud tidak pernah disebut dalam Buku Jingga dan demikian juga tentang penubuhan Negara Islam. Malahan PAS telah pernah mengeluarkan manifestonya sendiri tentang Negara Berkebajikan. Bagaimanapun konsep negara berkebajikan ini tidak diterima dengan baik oleh kebanyakan ahli PAS sendiri. Alasannya berkemungkinana hanya puak Erdogan dalam PAS sahaja yang mengedepan dan mencanangkannya. Perdebatan yang tercetus mutakhir ini tentang konsep Islamis Demokrat – istilah yang dipopularkan oleh puak Erdogan – antara golongan ulama dan kelompok reformis jelas membuktikan bahawa golongan reformis ini dianggap sebagai pencemar dan perusak perjuangan PAS yang “suci lagi tulen”.

Tren Perubahan

Walaupun PAS telah wujud sejak 1951, namun ia telah membuktikan daya istiqamah yang konsisten dalam perjuangannya sejak dahulu, walau bagaimana skeptikal sekalipun ia dipandang oleh ramai orang. PAS telah cuba mengembalikan kedudukan Islam sebagai rujukan yang utama dalam semua aksi sosial, budaya, ekonomi dan politik dalam kehidupan masyarakat Muslim. Seperti perkataan Bobby Said dalam bukunya A Fundamental Fear: Eurocentrism and the Emergence of Islamism - Kebimbangan yang Fundamental: Eropah Sentrik dan Nahdah Islam - beliau mengatakan: Islamisme adalah projek yang cuba untuk mentransformasi Islam daripada titik pusat dalam wacana masyarakat Muslim kepada induk penentu. Secara khusus, projek Islamis adalah usaha untuk menjadikan Islam penentu halatuju dalam wacana politik.

Walau bagaimanapun projek politik Islam ini telah mengambil arah baru setelah apa yang dikenal sebagai Arab Spring - Musim Semi Arab - atau Arab Awakening -Kebangkitan Arab. Sesungguhnya wacana sekarang bukan tentang menubuhkan Negara Islam atau melaksanakan undang-undang hudud. Aspirasi sekarang adalah untuk memugar Muslim yang bertaqwa dalam sebuah negara yang demokratik. Rachid Ghannouchi, pemimpin parti en-Nahdah di Tunisia jelas menolak negara Islam dengan memilih demokrasi berparlimen. Partinya en-Nahdah komited kepada keadilan sosial, demokrasi pelbagai parti dan pluralisme agama.

Seorang Profesor Sosiologi di University of Illinois, Asef Bayat mengungkapkan peralihan ini sebagai pasca-Islamisme. Sesungguhnya di sini terdapat peralihan yang jelas daripada slogan usang al-Islam huwa al-hal – Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah – kepada pendekatan dan penyelesaian yang lebih praktikal.

Sebagaimana yang diutarakan oleh Rachid Ghannouchi dalam menafsirkan sabda Nabi: “Kamu lebih mengetahui apa yang memberi manfaat dalam urusan duniamu,” menunjukan bahawa bukan tugas agama untuk mengajar kita hal pertanian, industri atau malah tatacara pemerintahan.

Akal berupaya untuk mengajar kebenaran ini melalui timbunan pengalaman. Peranan agama, bagaimanapun, adalah untuk merungkai kemusykilan yang besar kepada kita, menyangkut tentang asal usul kewujudan, matlamat akhir dan tujuan kita diciptakan. Ia adalah bagi membekalkan kita dengan sistem nilai dan prinsip yang dapat menentukan arah pemikiran dan tindakan kita dan peraturan negara yang kita cita-citakan.

Retorik yang memualkan

Bagi kalangan yang mengikuti dengan dekat Muktamar baru-baru ini, adalah jelas bahawa PAS masih terperangkap dalam agenda yang usang. Menegakkan undang-undang hudud masih menjadi suatu keutamaan dalam perjuangannya. Jelas hal ini merupakan suatu percanggahan dengan agenda Buku Jingga yang telah dipersetujui bersama. Sama ada mereka menyedari tentang kesannya atau tidak, ia pasti memberikan peluru kepada parti pemerintah bahawa PAS menyimpan motif tersembunyi untuk menukar negara ini kepada Negara Islam.

Ucapan oleh Ketua Dewan Ulama yang menyebut secara sindiran bahawa hudud akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kerana latihan diperlukan untuk memotong tangan dan latihan juga diperlukan untuk mencambuk peminum alkohol hanya menunjukkan bahawa mereka tidak serius tentang masalah ekonomi semasa yang dihadapi oleh umat. Seolah-olah dengan hanya menegakkan hudud, semua kesulitan ekonomi dan masalah sosial akan dapat diatasi.

Tiada sesuatu yang serius dibincangkan tentang ide Negara Berkebajikan. PAS kelihatan telah hilang keghairahan untuk mengejar agenda negara berkebajikan tersebut. Nada yang dominan yang bergema terutama di kalangan ulama Islam tidak lebih daripada hudud dan desakan mereka yang tak berkesudahan tentang agenda ini dan tiada sedikitpun perasaan kerisauan tentang reaksi awam terhadapnya.

Little Napoleons

Salah satu daripada tren yang membimbangkan ketika Muktamar adalah suara little Napoleons yang cuba membungkam Harakah dan portal atas talian Harakahdaily yang dikecam memberi ruang yang lebih kepada tokoh-tokoh progresif dalam PAS dan mengenepikan golongan konservatif.

Harakah dituduh tersasar daripada niat dan aspirasi PAS yang asal. Aksi sedemikian akan dilihat oleh ramai yang memahami tentang apa itu kebebasan media sebagai menyekat asas yang paling fundamental daripada kebebasan bersuara itu sendiri.
Deklarasi Sedunia tentang Hak Kemanusiaan menyebut bahawa setiap orang mempunyai hak dalam kebebasan berpendapat dan bersuara: hak ini merangkumi kebebasan untuk mempertahankan pendapat tanpa digugat, dan memindahkan maklumat dan ide melalui mana-mana media tanpa batas.

Adapun tindakan oleh little Napoleons ini hanya mempamer sejauh mana mereka memahami dan menghormati hak-hak kemanusiaan dan apakah kemungkinan yang akan dihadapi di masa depan sekiranya mereka mengambil alih kuasa. Nampaknya tidak akan wujud ruang yang tersisa untuk pertikaian dan perbezaan pendapat selain daripada apa yang mereka anuti.

Realiti politik

Kemungkinan perkara paling mustahak yang PAS harus hargai dan fahami adalah bahawa tuntutan ke arah hudud dan Negara Islam tidak lagi menyerlah dalam period pasca-Islamis. PAS tidak harus salah faham bahawa undi yang mereka terima sebagai menyamai sokongan kepada agenda Islami mereka.

Sesungguhnya lebih daripada seratus ribu rakyat yang telah turun ke medan untuk berdemonstrasi ketika himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Tuntutannya bukan untuk melaksanakan hudud atau menubuhkan Negara Islam. Rakyat daripada pelbagai bangsa dan agama dari berbagai latar hidup mara bersama untuk menuntut demokrasi yang lebih baik. Mereka mahukan pilihanraya yang bersih dan adil dan kerajaan yang bebas daripada rasuah. Tindakan mereka merupakan penentangan terhadap akta yang zalim yang melanggar perlembagaan yang menghalang rakyat daripada sebarang perhimpunan secara aman.

Harus didengar dengan terang dan jelas bahawa rakyat mahukan negara yang benar-benar demokratik. Bukan negara yang diperintah oleh sekumpulan Mullah yang menganggap diri mereka mengatasi undang-undang. Contoh awalan telah ditunjukkan ketika satu negeri di bawah PAS meluluskan enakmen di mana fatwa atau keputusan hukum daripada seorang Mufti tidak boleh dicabar di mahkamah.
Sesungguhnya harus difahami bahawa negara bukanlah sesuatu daripada Tuhan tetapi daripada rakyat. Negara harus melayani rakyat keseluruhannya dan bukan hanya kumpulan tertentu berdasarkan agama mereka. Negara harus menjadi neutral dalam semua aspek. Harus juga dinyatakan dengan jelas bahawa negara adalah produk manusia dan menguruskan negara memerlukan daya usaha manusia dan bukannya inspirasi wahyu. Mentadbir negara berada dalam wilayah politik dan bukan dalam wilayah wahyu.

Sebarang kepatuhan kepada nilai agama tidak harus dilakukan melalui paksaan. Negara harus menghormati keyakinan peribadi dan nilai moral dan tidak mengerahkannya ke atas rakyatnya. Malangnya, situasi terkini dalam negeri yang dikuasai PAS gagal untuk menghalang campur tangan negeri dalam hal ehwal peribadi.
Negara tidak harus mendikte bagaimana kita harus berpakaian di tengah khalayak awam kerana ia berada dalam wilayah peribadi. Namun peraturan bagaimana wanita harus berpakaian kelihatan seakan menjadi agenda yang utama di bawah kebanyakan kerajaan Islam; dan PAS tidak terkecuali.

Persoalan dhamir seperti keimanan harus ditinggalkan kepada individu. Ia bukan urusan negara untuk menjadi pengatur dan penentu dalam hal yang bersangkut dengan dhamir. Memaksa manusia untuk beriman terhadap agama yang mereka tidak yakini lagi melalui paksaan oleh aparatus negara hanya mendorong manusia untuk menjadi golongan yang munafik. Manusia telah diciptakan bebas dan sebarang tindakan oleh negara untuk memaksa manusia untuk menganut atau meninggalkan agama adalah tidak bermakna dan sia-sia.

Langkah ke hadapan

Sebagai rumusan, harus ditekankan semula bahawa Islam dalam satu cara atau lainnya sentiasa mempengaruhi negara di bawah pemerintahan umat Muslim sepanjang sejarah. Islam tidak mengenal pemisahan antara negara dan agama dalam pengertian menyingkirkan agama sepenuhnya daripada kehidupan awam. Bagaimanapun pembatasan yang jelas harus dibuat antara apa yang termasuk dalam lapangan al-deeni atau agama, dan yang tercakup dalam al-siyasi atau politik.
Fuqaha Islam yang besar seperti al-Shatibi dan Ibn Ashur telah sepakat bahawa matlamat tertinggi daripada semua pesan wahyu adalah untuk menegakkan keadilan dan mencapai maslahah dengan merealisasi kepentingan umat. Pencarian keadilan dan maslahah umum itu diusahakan hanya melalui kerahan akal. Adapun agama hanya menyediakan nilai dan garis panduan dalam pencarian itu.
Justeru adalah salah untuk membayangkan bahawa memerintah negara harus mengikuti satu manual yang tetap dan manual itu tidak lain daripada al-Qur’an. Wilayah pemerintahan negara berada dalam lapangan as-siyasi – politik – yang akan menuntut akal manusia untuk menegakkan keadilan dan kesetaraan.

Justeru keadilan tidak boleh dicapai melainkan hak asasi dijamin bagi setiap individu dan kumpulan dalam negara ini. Dan perkara utama dalam soal hak asasi adalah hak untuk beriman dan menzahirkan keimanan seseorang.

Dalam negara yang telah mencapai kemerdekaan sejak 1957, bangsa yang berdaulat ditemui di atas prinsip keadilan dan kebebasan seperti yang termaktub dalam Pemasyhuran Kemerdekaan. Malangnya, prinsip keadilan dan kebebasan dilupakan dan jaminan kebebasan yang dimasyhurkan dalam perlembagaan semakin dikompromi dan dihakis oleh elit pemerintah.

Matlamat kita sekarang adalah untuk menuntut semula harapan yang punah, tentang keadilan dan kebebasan, dan bukan untuk menukar negara ini kepada sebuah negara represif yang mendakwa memerintah dengan dukungan mandat daripada Tuhan.

_____________________________________________________________________________________________

Dr. Ahmad Farouk Musa adalah Pengarah di Islamic Renaissance Front. Esei ini diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir. Ia pertama kali diterbitkan oleh New Mandala, sebuah jurnal terbitan Australian National University (ANU) pada 18 November 2012 dengan tajuk The inexorable pursuit of an Islamic State.

Pautan: http://asiapacific.anu.edu.au/newmandala/?s=the+inexorable+pursuit




View original article at: https://irfront.net/post/articles/pengejaran-yang-tak-berkesudahan-terhadap-negara-islam/