Pendidikan Kritis: Islah Masyarakat dan Tindakan Politik - I

September 16, 2013 by Mohd Syazreen Abdullah

Kisah manusia pertama tentang Nabi Adam telah menjadi perbahasan yang menarik dikalangan para ahli Tafsir dalam mendiskusikan sejarah perkembangan manusia melalui tema-tema yang telah dibebaskan makna dan melangkau makna dasarnya untuk diungkap didalam perbahasan sejarah perkembangan manusia itu. Penceritaan berikut ataupun simbol yang telah meletakkan konsep kewujudan manusia itu dibincangkan dengan begitu kompleks dan ianya diangkat melangkau sekadar makna literal.

Perbahasan konsep dialog, kemuliaan insan, kesombongan intelektual dan konsep peranan tugas manusia menjadi diskusi utama didalam penceritahan kisah Adam ini. Pendebatan ini mendapat perhatian para ahli tafsir dan para ulama moden untuk merungkai makna dasar ini didalam sejarah pergelutan alam manusia dalam pertembungan proses sejarah antara ruang dan masa.

3062_Sayyid QutbKisah Adam antara Fitrah Manusia dan dialog Pendidikan
Perkara yang menarik tentang diskusi ini adalah tentang penceritaan dialog antara Tuhan dan para malaikat sebelum penciptaan Adam. Sayyid Qutb didalam tafsir Fi Zilalil Qur’an telah menggambarkan kedudukan manusia itu sangat tinggi setelah firman Tuhan kepada malaikat itu untuk dijadikan sebagai khalifah di muka bumi.

Ketika itu isyarat tugas mengendali, menyusun, menghuraikan segala bahan mentah yang ada di muka bumi baik segala kekuatan kandungannya itu dikendalikan manusia dengan bantuan kekuatan ilahiyyat yang mana konsep kehormanian pelaksanaan undang-undang alam semula jadi itu tidak dipisahkan dengan kesatuan Tuhan yang mengatur segala makhluknya. Inti dialog malaikat kepada Tuhan yang mempersoalkan tentang kewujudan manusia diciptakan dan diangkat tinggi derajatnya sedangkan tabiat manusia itu juga didalam tuntutan kehidupannya akan membuat kerosakkan dan menumpahkan darah di muka bumi.

Sayyid Qutb telah menghuraikan kesamaran para malaikat yang kabur tentang ketingian hikmah dan rahsia ilahiyyat dalam tujuan penciptaan manusia itu sebagai subjek yang akan membangunkan potensinya sebagai khalifah dimuka bumi ini dengan kebaikan yang lebih banyak dalam urusan penelitian, pembangunan perkembangan kebaikan yang tiada henti berbanding kerosakkan yang tidak terlepas didalam keberadaan sifatnya itu dalam mengatur arus kehidupan. Pengkhususan posisi yang berbeza antara manusia dan malaikat telah menjadikan hikmah ketinggian rahsia ilahiyyat Tuhan kepada penciptaan manusia sehingga posisi manusia itu dapat diangkat mengatasi ketinggian darjat malaikat, Hal itu adalah kehormatan paling tinggi penciptaan manusia sehingga sujud para malaikat. Pertanyaan malaikat kepada Tuhan itu dijawap bahawa Dia Maha mengetahui segalanya sesuatu yang tidak diketahui mereka.

3062_Fi-zilalil QuranDalam kitab Tafsir al-Manar, Sayyid Rasyid Redha telah menghuraikan sebahagian pandangan ulama moden seperti Imam Muhammad Abduh tentang penafsiran tema-tema penceritaan didalam kisah penciptaan Adam antara malaikat dan Iblis dan segala tema atau simbol itu telah melihat konteks ayat yang melangkau makna secara literal.

Abduh telah menghuraikan dialog ini sebagai kisah yang menjelaskan penciptaan Adam sebagai simbol daripada peristiwa alam secara dalamnya berkaitan kehadiran manusia dipermukaan bumi selanjutnya peranan khalifah dimuka bumi dan potensi manusia yang perlu di manfaatkan dan dikembangkan dalam menguruskan kebaikkan.

Ringkasnya Abduh berbeza dengan pandangan sebahagian para ulama lain kerana melihat penciptaan Adam bukanlah kisah pertama kejadiaan manusia melainkan adalah tahap-tahap perkembangan manusia. Abduh menjelas di fasa pertama manusia itu berada di tahap yang tidak mengenal apa-apa sehingga ia melalui pada tahap fasa kedua di mana ianya melalui kesedaran yang belum sempurna, ketika itu fasa yang gentir manusia cenderung mengikut bisikan nafsu dan dorongan kejahatan sehingga pada akhir fasa tahap ketiga manusia sudah mencapai kesedaran yang sempurna iaitu tahap dimana manusia sudah matang dan mencapai pengalaman iktibar sejarah peristiwa.

Rashid Redha melanjutkan lagi pemahaman yang dikonsepkan oleh Muhammad Abduh didalam kitabnya tafsir al-Manar bahawa pada peringkat awal manusia secara sendiri atau sosial melalui kehidupan yang primitif yang sangat terbatas keperluan keadilan di dalam hidupnya dan fasa seterusnya melalui penentangan yang dahsyat dalam dirinya sehingga berlakunya pertumpahan darah, kerosakkan yang melibatkan aktiviti manusia itu sehingga tiba pada tahap ketiga muncul pengaplikasiaan konsep akal dan fikir untuk dipertimbangkan kesedaran yang tidak sempuran menjadi sebuah kesedaran yang sempurna dimana akal itu telah mengurus akal haiwani atau nafsu jahat diganti menjadikan kesedaran yang sempurna, nafsu yang seimbang dengan bantuan tertinngi wahyu daripada Tuhan.

Kisah Adam ini bukanlah untuk ditujukan tentang penciptaan awal manusia, tetapi ianya dibaca lebih luas tahap perkembangan manusia mendasarkan simbol yang membawa erti kepada budaya dan kisah kehidupan fitrah manusia itu dan menjadikan disebalik penceritaan itu sebagai falsafah yang tersembunyi sejarah perkembangan manusia yang melalui tahap-tahap primitif sehingga mencapai kesempurnaan pengislahan diri sebagai khalifah yang menuntut kebaikkan di muka bumi dan mengurus kebajikan menuntut kesempurnaan.

Konsep ini menggambarkan fitrah manusia itu melalui proses perkembangan tahap bagaimana manusia itu melalui fasa kejatuhan dan memerlukan sebuah kebebasan yang mencapai kesedaran yang sempurna.
Apa yang lebih menarik adalah bagaimana Muhammad Asad menghuraikan keseluruhan episod kegelinciran Adam yang menceritakan akan peningkatan tahap manusiawi supaya kita dapat mengutip moral yang terakam di sebaliknya.

"Dia(Tuhan) berkata: "Turunlah kamu [dari kedudukan yang diredai dan suci ini]…[al A’raaf 7: 24]
Muhammad Asad menunjukkan bahawa kisah yang sama daripada perbandingan Kegelinciran ini pada ayat dalam surah al Baqarah [2: 35-36], panggilan dalam bentuk kata dua (Adam dan Hawa) bertukar pada peringkat ini kepada kata jamak, yang menjelaskan bahawa kisah Adam dan Hawa adalah, pada hakikatnya, kiasan kepada ketentuan nasib manusia.

3062_Muhammad AsadPada saat awal ketika dirinya suci manusia tidak menyedari adanya kejelekan dan, justeru, tidak merasai keperluan untuk memutuskan pilihan di antara sekian banyak kemungkinan dalam tindakan dan perbuatan. Dalam kata lain, ia hidup, sepertimana haiwan yang lain, berdasarkan deria rasanya sahaja.

Oleh kerana, bagaimanapun, kesucian ini hanyalah satu kondisi daripada kewujudannya dan bukan suatu keutamaan, ia menempatkan hidupnya dalam kualiti yang statik dan lantaran itu menyisihkannya daripada kemajuan moral dan intelek.

Pertumbuhan kesedarannya – dizahirkan secara simbolik daripada aksi membelakangi perintah Tuhan dengan sengaja – menterbalikkan semua ini. Ia merobah dirinya daripada makhluk yang menurut deria rasa sahaja kepada entiti manusia yang sempurna, seperti yang kita ketahui. Seorang manusia yang berupaya membezakan antara benar dan salah dan dengan itu untuk memilih haluan hidupnya.

Pada pengertian yang lebih mendalam, kiasan tentang Kegelinciran tidak menunjukkan aksi yang inferior, bahkan, suatu peringkat baru dalam kemajuan manusia: iaitu pembukaan pintu pada pertimbangan moral.

Dengan larangan "mendekati pohon ini", Tuhan memberikan kemungkinan kepada manusia untuk membuat salah - dan, dengan itu, untuk membuat perlakuan yang benar juga. Dan lantaran itu manusia telah diberikan keupayaan moral dengan kebebasan memilih - moral free will - yang akan membezakannya daripada seluruh makhluk hidup yang lain.

Demikian inilah fasa bagaimana kesempurnaan esensi itu mempengaruhi konsep praktis kepada tujuan akhir proses pendidikan yang akan dihuraikan selanjutnya selepas ini.

3062_The MessageKonsep Tauhid dan Tujuan pendidikan
Manusia sebagai ahsan at-takwim telah dicatat didalam Qur’an yang telah digambar seperti Sayyid Qutb dalam kitabnya Fi Zilalil Qur’an sesungguhnya manusia itu adalah makhluk yang tiada sama derajatnya ditempatkan dengan makhluk lain bahkan adalah sebaik-baik penciptaan.

Qutb menjelaskan disini tampak perhatian yang hebat Tuhan kepada manusia dalam fisiknya ataupun batinnya walaupun punyai kelemahan. Perhatian konsep manusia itu dikhususkan pada bentuk ruhiahnya dalam mengawal badaniyah itu membentuk kemuliaan yang tertinggi.

Akal yang dipandu dengan dorongan panduan tauhid. Perhatian disini adalah manusia juga di lihat sebagai sisi the fully human beings kerana punyai potensi menjadi makhluk yang ideal, tetapi disisi gelap, ia bisa jatuh pada lubang dehumanisasi atau disebut sebagai asfala safilin atau the dark side of human beings.

Ketika ini wacana pencerahan mestilah berterusan untuk mampu mencapai manusia yang bukan sekadar mencapai derajat insan kamil tetapi insan universal yang mampu menjadi khalifah bertindak praktis dalam suasana hidup kelilingnya. Muhammad adalah model insan kamil yang diutuskan padanya nilai ketinggian akhlak dan punyai kesedaran praktis mengubah struktur dalam realiti kerosakkan. Susuk ini telah menunjukkan kita bahawa manusia ini bukan sekadar terperangkap pergelutan mencari identiti dan perangkap perbincangan ilmu semata tetapi tindakbalas mengubah dan mengembang potensi itu adalah sebenarnya tujuan pendidikan kritis.

Tujuan pendidikan adalah falsafah yang mengandungi didalamnya hubungan antara iman, pendidikan dan perubahan sosial kerana iman adalah tunjang dasar dan dipandu pendidikan sebagai instrumen untuk membawa idealism itu kepada bentuk kesedaran prakstis sosial yang mencapai tujuan matlamat pendidikan yang menggabungkan dua elemen tersebut. Jadi pendidikan diciptakan untuk melahirkan manusia yang boleh mengubah dirinya dan masyarakat disekelilingnya bukan sebaliknya menjadi manusia yang tidak beradab dan ada adab yang pentingkan diri sahaja.

3062_TawhidKonsep tujuan pendidikan mestilah mencapai praktis hasil kefahaman tauhid yang sempurna. Ia bukan hanya sekadar batasan kepercayaan tentang keesaan Tuhan tetapi yang membentuk kepada cara pandang yang bersepadu dan membentuk kefahaman praktis dalam konsep perjuangan menentang kezaliman atau faham yang bertentangan dengan Islam. Dengan harapan ianya mampu membentuk sebuah gerakan yang dipandu asas perjuangan pandangan tauhid seperti yang telah digambarkan Isma’il Raji al- Faruqi dalam bukunya “Tauhid: Its Implications for Thought and Life”

Dalam hal ini, tulisan Fazlur Rahman didalam karyanya “Revival and Reform in Islam”4 menyebut kepentingan punyai kebenaran metafizik yang sempurna iaitu wahyu dalam bekerjasama dalam sejarah untuk membentuk proses yang lebih dinamik dan kreatif.

Jelasnya manusia islah adalah manusia yang tidak memisahkan perkara ini dalam tujuan pembentukkan masyarakat. Persoalannya mungkin membentuk bagaimanakan kesempurnaan metafizika ini mampu mencapai konsep praktis yang sempurna dan bagaimana keterikatan pendidikan kritis itu memberi jawapan proses progresif dan islah masyarakat dalam keadaan ranah politik dan ruang masyarakat kini. Bab kecil berikutnya akan dijelaskan bagaimana ianya membentuk.


Mohd Syazreen Abdullah adalah mahasiswa pengajian Sarjana Muda Usuluddin di University of Yarmouk.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/pendidikan-kritis-islah-masyarakat-dan-tindakan-politik/