Meninjau Semula Hubungan Kuasa dan Institusi Agama - II

September 29, 2013

Hazman Baharom

Pluralisme Sebagai Realiti
Hakikat bahawa Malaysia sudah didiami pelbagai kaum dan kepercayaan wujud sejak zaman kolonial lagi, yakni sebelum kemerdekaan, apatah lagi pembentukan Malaysia. Tambahan pula, apabila memasuki abad ke-21, identiti bangsa bukan lagi sesuatu yang bersifat “tetap”, ramai sahaja yang berbilang identity - multiple identity. Ahli sosiologi Anthony Giddens menyimpulkan bahawa masyarakat pasca-moden bersifat “fluid”’, yakni identitinya fleksibel serta “fragmented”, yakni satu identiti tidak boleh dianggap hanya untuk satu pihak sahaja.

3192_Main2Biarpun akar kebudayaan rantau Nusantara berpaksikan Melayu dan Islam, namun saya tidak berniat untuk menyentuh tentangnya. Di bahagian ini, saya ingin menyentuh tentang beberapa isu yang menjadi persoalan seputar tindakan institusi agama di Malaysia bersangkut kepelbagaian agama dan kepercayaan.

Wacana pluralisme merupakan satu wacana yang mencapah dan luas dalam tradisi keilmuan. Namun yang menjadi masalah, apabila kebanyakan Muslim di Malaysia - terutamanya gerakan Islam - menyempitkan pluralisme kepada seputar “menyamakan semua agama dan mempercayai bahawa semua agama adalah benar”. Pemahaman sebegini adalah sempit sekali, malah langsung menafikan kepelbagaian jalur yang wujud dalam wacana pluralisme itu sendiri.

Dalam tradisi falsafah politik, wacana pluralisme selalunya berkait dengan isu kewarganegaraan – citizenship - dan keadilan - justice. Di sini, saya akan berhujah bahawa adaptasi pluralisme dalam amalan politik mampu menjadi penyelesaian dalam menanggapi kepelbagaian yang wujud di Malaysia. Dengan istilah “pluralisme” pula, saya maksudkan sebagai menerima kepelbagaian yang wujud serta memberi hak yang sama terhadap semua kepercayaan dan agama.1

Dan hal ini tidak semestinya memerlukan kita untuk percaya bahawa semua agama adalah benar. Setiap Muslim pastinya tahu bahawa Tuhan pernah mengingatkan menerusi surah Ali Imran, bahawa “sesungguhnya agama yang diredai oleh Allah hanyalah Islam”. Tetapi, kepercayaan bahawa keredaan Tuhan hanyalah pada Islam merupakan kepercayaan yang seharusnya bersifat peribadi dalam diri setiap Muslim, tidak boleh dipaksakan kepada orang lain. Maka, tidaklah menjadi kontradiksi untuk memberi hak yang sama kepada semua agama di peringkat politik dan prosesnya, tetapi dalam masa yang sama mempercayai bahawa Islam-lah bagi seorang Muslim sebagai satu-satunya agama yang benar.2

3192_Theory-of-JusticeWacana pluralisme dalam konteks Malaysia mula menampakkan kepentingannya apabila kita serius memikirkan soal konsep keadilan dan falsafahnya dalam masyarakat demokratik yang punya pelbagai kepercayaan dan pegangan. John Rawls, salah seorang filasuf politik terpenting abad ke-20 pernah menulis adikarya beliau mengenai konsep keadilan, “A Theory of Justice”. Hari ini, ramai filasuf kontemporari, termasuklah pemikir Islam seperti Prof. Jasser Auda, mengangkat karya ini sebagai antara penulisan terpenting dalam memahami serta membedah konsep keadilan.

Melalui karya ini, Rawls membahagikan ide-nya kepada tiga bahagian. Bahagian terakhir dalam A Theory of Justice menyebut mengenai persoalan kestabilan masyarakat, dan bagaimana untuk memastikan masyarakat dapat menerima teori keadilan beliau dengan cara yang demokratik. Dan apabila Rawls menyebut “demokrasi”, maka yang beliau maksudkan ialah demokrasi liberal.

Namun, setelah A Theory of Justice diterbitkan untuk rujukan dan bacaan umum, beliau mengesani masalah dalam jalur penghujahan bahagian ketiga buku tersebut. Secara mudah, masalah yang dimaksudkan ialah selepas konsep keadilan yang dibawa dalam Theory of Justice diaplikasikan dalam sebuah masyarakat yang demokratik, pada suatu titik masa yang akan datang, ada kebarangkalian untuk konsep tersebut dicabar oleh konsep yang boleh jadi lebih baik daripadanya.

Maka pada masa tersebut, jika konsep yang dibawa dalam Theory of Justice mahu terus diaplikasikan, hal ini akan menuntut sebuah kerajaan yang bersifat authoritarian. Sudah tentulah Rawls amat bimbang akan perkara ini, apabila ia berpotensi untuk mencabuli prinsip asas demokrasi dan kebebasan itu sendiri.

3192_ShiaMaka kerana itu Rawls menulis satu lagi buku, “Political Liberalism” untuk membaiki bahagian ketiga Theory of Justice. Dalam buku ini, Rawls meletakkan teori keadilannya hanya sebagai satu doktrin komprehensif - comprehensive doctrine - bukannya konsepsi politik - political conception3. Mana-mana doktrin komprehensif tidak wajar dipaksakan sebagai konsepsi politik, atau ia akan menzalimi mereka yang tidak mempercayai doktrin komprehensif tersebut. Di sini, Rawls menegaskan akan kepentingan memberi hak yang sama kepada semua akan doktrin komprehensif, atau dalam istilah beliau: “reasonable pluralism”.

Dalam kes Malaysia, hakikat bahawa kita merupakan masyarakat berbilang kaum, kepercayaan, dan cara hidup merupakan sesuatu yang tidak boleh disanggah oleh sesiapa. Maka, untuk menanggapi perbezaan yang wujud ini, adalah tidak adil untuk hanya satu doktrin komprehensif diberi tempat yang istimewa - dalam kes ini, Islam - tetapi dalam masa yang sama, doktrin komprehensif yang lain menghadapi sekatan. Setiap instrumen dan radas tindakan penguasa dibiayai oleh para pembayar cukai yang tidak mengira agama dan bangsa, maka adalah tidak adil sama sekali untuk tiadanya wacana terbuka yang melibatkan wakil semua pihak untuk menggubal proses politik negara.

Perlu diingat, untuk satu doktrin komprehensif diletakkan sebagai dasar negara, mestilah mendapat persetujuan secara demokratik daripada rakyat.

Di sinilah kita dapat lihat sifat keadilan Rasulullah menerusi penggubalan piagam Madinah, apabila baginda menjemput wakil semua kepercayaan termasuklah Yahudi, malah wakil wanita - danhal ini sangat mengagumkan kita, kerana pada zaman tersebut wanita hanya dianggap sebagai warga kelas bawahan - untuk bersama-sama membahas kandungan piagam tersebut. Mereka semua akhirnya bersetuju untuk menerapkan perundagn Islam dalam pemerintahan Madinah.

Perkara inilah yang selalu golongan Islamis terlepas pandang, apabila hanya menganggap pemilikan kuasa politik sebagai “tiket” untuk mereka melaksanakan syari’ah, sedangkan boleh jadi pelaksanaan tersebut akan berakhir dengan kezaliman ke atas rakyat pula. Pengalaman Iran dan Arab Saudi menunjukkan kepada kita, betapa pemaksaan syari’ah dalam perundangan negara yang mengetepikan konsep-konsep keadilan akan berakhir dengan penindasan atas nama agama.

Oleh sebab itu, dalam isu Syiah yang hangat kebelakangan ini, kita wajar mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang bertindak menangkap para penganut Syiah dan mengharamkan pemilikan buku-buku berfahaman Syiah. Seperti yang telah saya sebut di awal makalah, saya tidak menafikan bahawa ada dikalangan ulama Sunni telah berfatwa bahawa mazhab Syiah itu “tidak menepati ajaran Islam” dan sebagainya, tetapi untuk menghukum seorang individu hanya kerana ia bermazhab Syiah merupakan satu kezaliman.

Seseorang boleh memilih mazhabnya atau tidak mahu bermazhab sama sekali kerana ia adalah hak individu. Sesuatu kerajaan tidak ada hak dalam menetapkan kepercayaan yang di-imani oleh rakyatnya. Adalah sesuatu yang mustahil dalam dunia moden hari ini untuk menetapkan bahawa rakyat di negara ini umpamanya, hanya boleh bermazhab Sunni dan mengamalkan fiqh mazhab Syafie. Bukankah mantan Mufti Perlis sendiri pernah ditahan kerana dituduh menyebarkan ajaran Wahabi? Dengan kerana itulah, wacana pluralisme wajar diketengahkan secara serius dalam masyarakat kita.

Di sinilah juga, apabila Jabatan Agama Islam menggunakan pengaruh kuasa untuk menangkap dan menghukum, ia telah menimbulkan persoalan terhadap sifat Islam itu sendiri yang sepatutnya mempromosi toleransi dan keamanan. Susah sangatkah untuk berdialog serta pertemuan diadakan untuk berbincang terlebih dahulu tanpa semberono menangkap sesiapa?

Islam bukanlah agama yang monolitik dan tiada sesiapa yang boleh mandabik dada dan mengatakan yang Islam sepetimana yang ia fahami dan lazimi adalah Islam yang sebenar-benarnya, yang haq dan tiada sebarang pertikaian tentangnya. Islam meraikan kepelbagaian. Islam tidak akan maju sekiranya tiada sebarang percanggahan pendapat.

Kesimpulan
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan hasil-mahsul, termasuklah modal insan yang pelbagai. Islam, sepanjang sejarah keagungannya, merupakan agama yang menunjukkan tradisi toleransi terhadap kepercayaan serta agama yang berbeza.

3192_KesimpulanContoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah sendiri pun sudah cukup menunjukkan penerimaan baginda terhadap masyarakat bukan Islam, malah baginda tidak pernah menzalimi mereka. Maharaja Akbar semasa pemerintahan Mughal di India, sentiasa mengajak para ilmuwan dalam agama selain Islam dalam kerajaannya untuk berbincang serta berusaha memahami mereka4. Mengapa pula kita yang terlebih-lebih bertindak menanggapi mereka yang berbeza, contohnya Syiah?

Makalah ini bukanlah anti-institusi agama atau bermaksud supaya institusi agama dibubarkan. Namun kita perlu sedar bahawa institutsi agama Islam di negara ini dibiayai dengan hasil cukai daripada yang bukan penganutnya. Malahan hampir 90 peratus daripada cukai pendapatan adalah daripada masyarakat Cina.

Dengan itu saya mengajak kita semua, generasi masa depan Malaysia, untuk memikirkan semula hubungannya dengan pengamalan kuasa di Malaysia. Moga-moga pada masa depan, kita mampu berbahas dengan lebih terbuka supaya tiada lagi penindasan ke atas rakyat atas nama agama. Bukankah amat ironi, apabila kita mengklaim bahawa agama membawa keadilan dan keamanan, tetapi pada masa yang sama institusi agamalah yang menjadi pelopor kepada agenda penindasan dan keazaliman?

-----

[1] Lihat tulisan Prof. David Miller dari Universiti Oxford, Citizenship and Pluralism dan Franz von Benda-Beckmann, Legal Pluralism and Social Justice in Economic and Political Development

[2] Lihat Prof. Tariq Ramadan, The Quest for Meaning: Developing a Philosophy of Pluralism

[3] Doktrin komprehensif ialah satu ide yang memberi panduan untuk segenap aspek kehidupan. Menurut Rawls, idea ini boleh jadi daripada mana-mana agama, falsafah, kepercayaan atau nilai moral masyarakat. Konsep politik pula merupakan satu konsep yang dihasilkan Rawls untuk menanggapi permasalahan masyarakat yang mempunyai pelbagai doktrin komprehensif yang berbeza.

[4] Lihat Amartya Sen, ‘Identity and Violence: The Illusion of Destiny’




View original article at: https://irfront.net/post/articles/meninjau-semula-hubungan-kuasa-dan-institusi-agama-ii/