Reading Session: John Rawls dan Teori Keadilan Liberal (Bhg. 2)

June 24, 2014

BHG2_2

Date: Sabtu, 28 Jun 2014
Time: 11PM – 1PM
Venue: Graha Pemuda, Sri Hartamas

Registration: https://www.eventbrite.com/e/reading-session-john-rawls-dan-teori-keadilan-liberal-bhg-2-tickets-12062355831

John Rawls merupakan salah seorang filasuf kontemporari dalam tradisi Barat yang telah mencetuskan revolusi dalam falsafah politik kontemporari. Menerusi penerbitan A Theory of Justice pada 1971, hampir seluruh akademia menumpukan semula perhatian terhadap persoalan-persoalan keadilan yang selama ini terbantut dalam falsafah politik di Barat. Falsafah keadilan yang sebelum ini terhenti sekadar keadilan utilitarian telah dicabar oleh Rawls lewat adikarya beliau itu.

Rawls telah mengajukan beberapa prinsip penting yang mesti difikirkan secara serius jika kita benar-benar mahu membentuk sebuah teori keadilan. Antaranya ialah komitmen beliau terhadap prinsip Kantian yang meletakkan setiap individu sebagai mempunyai nilai moral tersendiri yang tidak boleh dicabul sama sekali, walaupun untuk memastikan ‘kebaikan untuk kumpulan yang lebih besar’. Dari sini, muncullah teori kontraktarian (contractarian) Rawls yang beliau namakan sebagai The Original Position sebagai prasyarat bagi sebuah masyarakat memilih konsep keadilan yang paling sesuai. Melalui Original Position inilah, Rawls berhujah, bahawa masyarakat akan memilih dua prinsip keadilan yang telah beliau gariskan supaya kebebasan individu dan pengagihan kekayaan yang bermanfaat untuk masyarakat seluruhnya dapat dipelihara secara serentak.

Selain itu, komitmen Rawls terhadap keadilan yang dijalankan melalui penyusunan institusi-institusi kenegaraan (institutions of the state) juga merupakan sesuatu yang penting untuk ditelusuri, apatah lagi bagi umat Islam dalam konteks negara moden bersama institusinya yang sifatnya ekstensif—hampir keseluruhan sfera kehidupan tertakluk di bawah institusi negara. Hal ini berbeza sama sekali dengan empayar Islam dahulu kala yang orde-nya bersifat empayar dan bukannya negara-bangsa seperti hari ini. Di sinilah, kita melihat kepentingan teori keadilan seumpama ini mula diwacanakan di ruang awam dalam kalangan masyarakat Muslim, agar kita mampu memikirkan ide keadilan sesuai dengan kerangka masyarakat kita kini dan bukannya hanya romantis dengan empayar-empayar Muslim terdahulu.

Pemikiran berkisarkan keadilan di ranah falsafah politik seakan-akan ‘bantut’ dalam kesarjanaan Muslim hari ini. Kita haruslah memainkan peranan ini dengan mula menggali ide keadilan yang sedang dibahaskan kini agar kita mampu mencerna apakah titik pertikaian yang wujud dalam perbahasan-perbahasan tersebut, bukan sekadar berpuas hati dengan retorik ‘keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya’. Hal ini adalah penting kerana dalam konteks sebuah negara yang pastinya mempunyai pelbagai institusi dan orientasi sosial, adalah amat sukar untuk memastikan ‘siapa dapat apa’ daripada hasil-mahsul negara kita yang kaya.

Bahagian kedua sesi pembacaan (reading session) ini akan membincangkan khusus hal institusi kemasyarakatan dari sudut pandang Rawls dan persoalan kestabilan masyarakat yang dibangkitkan di bahagian ketiga A Theory of Justice.

 

Program:

1100-1205:         Ucapan alu-aluan oleh Dr Ahmad Farouk Musa
1105-1200:         Pembentangan: A Theory of Justice - Bahagian 2 oleh Hazman Baharom
1200-1300:        Perbincangan dan soal jawab
1300:                  Makan tengahari




View original article at: https://irfront.net/post/events/reading-session-john-rawls-dan-teori-keadilan-liberal-bhg-2/