Merawat Ancaman Konservatif Agama

February 23, 2015 by Mohd Syazreen Abdullah

Democracy and pluralism are a basket. Is this basket universal? What is the view of Islam on this issue? In the world at large, as well as within each civilization, there is a conflict between those who have one vision to be imposed on the entire humanity and others, who subscribe along the lines of pluralism to diversity. Islamic civilization is no exception. Regardless of these different views, the Qur’an teaches us diversity. [Bassam Tibi]

1.Para2Pendebatan antara wacana Islam progresif dan Islam murni adalah perkembangan pendebatan yang sering menuntut penjelasan. Sebagai contoh, perkembangan dua kelompok aliran ini yang berpusat pada pendebatan permasalahan al-Qur’an dan Sunnah dan bagaimana wacana tersebut harus dihidupkan.

Fenomena pendebatan kelompok aliran yang menuntut kepada pemurniaan teks suci al-Qur’an ini secara tidak langsung akan menuntut kepada pentakrifan ide al-ruju’ (kembali) iaitu merujuk kepada Qur’an dan Sunnah yang boleh menghasilkan dua pandangan keagamaan yang saling berlawanan iaitu regresif dan progresif. Kebimbangan ini kelihatan menarik dengan melihat kepada perkembangan yang terjadi di Indonesia khususnya antara perkaitan langsung wacana demokrasi dan bagaimana ide progresif itu berkembang kemudian telah dinyahkan melalui pendekatan perkembangan wacana ide konservatif .

Perkara ini telah menuntut salah seorang pengkaji di Indonesia Martin van Bruinessen menjelaskan perkembangan yang terjadi berikutkan perubahan iklim politik yang akhirnya mengembalikan ide konservatif; bermula daripada wacana konservatif, kemudian berpindah kepada perkembangan ide Islam liberal dan progresif, hingga ditimbulkan semula ide konservatif itu sekitar tahun 2005.

Demikian inilah fenomena wacana ide yang berlaku kepada Muslimin Indonesia sehingga pendukung kelompok wacana Islam progresif atau liberal ini ditolak dan difatwakan sesat haram oleh Majlis Ulama Indonesia (MUIN) dan bahawasanya ide tentang sekularisme, pluralisme, dan liberalisme ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Perkara ini dinyatakan beliau sebagai pertembungan tentang konflik perkembangan kontemporari Islam Indonesia dan kembalinya semula era konservatif awal abad ke-21.

Kelompok yang mendakwa membawa ide Islam murni ini seringkali mengutuk dan memberi ancaman terhadap ide-ide yang bertentangan dengan mereka yang digambarkan sebagai virus atau perosak. Gambaran ini ditujukan kepada kaum liberal yang membawa ajaran yang bertentangan dengan mereka, iaitu kaum yang menjaga kebelangsungan metod klasik dalam pentafsiran Qur’an dan mempertahankan superioritas Islam. Penentangan mereka terhadap ide-ide sekularisme dan pluralisme ini membuktikan wacana masa depan Islam amat membimbangkan di nusantara. Kebimbangan ini, ditambah pula dengan realiti semasa di Malaysia yang mana kelompok konservatif mempunyai kuasa dan memberi ancaman kepada ajaran yang bertentangan baginya.

2.Para7Menurut Bassam Tibi, seorang intelektual yang terkenal kelantangannya perihal wacana Islamis, bahawasanya kegagalan kelompok ini iaitu, lebih tepat menurutnya ialah kaum fundamentalis seperti yang dibahaskannya dalam tulisannya iaitu “The Challenge of Fundamentalism Political Islam and the New World Disorder”, adalah disebabkan kegagalan kelompok tersebut dalam memahami pentakrifan dan penggunaan istilah seperti sekularisme dalam keadaan perkembangan masyarakat Muslim hari ini. Baginya, kelompok ini sering membentuk wacana yang berpaksikan politisasi agama yang memberikan kepentingan kepada mereka.

Menurutnya lagi, sekularisasi akan menjadi masalah apabila hanya difahami melalui marginalisasi agama dalam kehidupan harian iaitu kewujudannya yang melemahkan lembaga-lembaga keagamaan dalam masyarakat. Akan tetapi Bassam Tibi mengetengahkan konsep sekularisasi itu sebagai proses pengembangan sosial iaitu wujud asasnya pemberian autonomi yang lebih luas terhadap keghairahan perkembangan ilmu pengetahuan serta teknologi. Baginya lagi, perkembangan ini membentuk peradaban yang terkehadapan iaitu Islam harus didepolitisasi dan menerima kemajmukan intelektual dan sekularisme.

Muhammad Arkoun juga lewat wacana sekularisasi di dalam perkembangan ini mengkritik bahawa yang demikian itu hanya akan mengembalikan warna Islam berbentuk ortodoks atas pengertian melindungi diri daripada dominasi hegemoni Barat sehingga berkembanglah ajaran Islam yang sempit, eksklusif lagi penuh kekerasan. Ketidakmampuan kelompok konservatif ini berhadapan dengan kemajmukan intelektual dan persoalan masakini memberi kesan besar terhadap proses perkembangan wacana kemajmukan yang berlaku.

Polemik pemikiran antara wacana agama dan kekuasaan

Perkembangan kemunculan ide konservatif ini bukanlah timbul di dalam proses dialektika semata-mata, bahkan secara historis. Konsep penalaran ini berkembang dan kemudian menyaksikan pertembungan teologi di mana pertembungan pemikiran dan politik menentukan klaim kebenaran sosiologi sebagai menemui kebenaran hakiki. Polemik perang saudara antara umat Islam sebagaimana yang disaksikan sejarah adalah antara kesan terpenting bagaimana nalar pemikiran ini berkembang sehingga pendebatan tentangnya begitu sulit untuk mencari formula perdamaian.

Setelah terbentuknya kefahaman pertengahan yang menerapkan aliran keimanan yang meredakan konflik-konflik aliran sebelumnya iaitu formula jalan tengah yang dinamakan aliran Sunni, timbul pula keraguan dan konflik dalam menuju landasan modernisasi. Kebimbangan ini, menurut Fazlur Rahman, menjadikan konteks kini tidak cukup dicermati dalam ranah yang berbasiskan tumpuan kepada faham aliran yang memberi jalan tengah di dalam ranah konflik pendebatan pemikiran sahaja tetapi melupakan sisi-sisi historis yang menemukan jalan tengah sehingga akhirnya menuju jalan keras di dalam jalur pemikiran ini.

Polemik pendebatan di dalam wacana politik dan teologi adalah polemik penting dalam proses bagaimana kekuatan politik dapat mempengaruhi pemikiran keagamaan, baik teologi mahupun hukum islam. Bagi kaum Muslimin, kesilapan terbesar yang menjadi wacana ketika ini adalah penyerahan kefahaman secara final dan tidak perlu dikoreksi, bahkan proses perkembangan ide yang bukanlah mudah, membentuk wacana yang menjadi kekuasaan di dalam ranah pemikiran muslim hari ini.

Segala kajian melalui disiplin sosiologi mahupun antropologis adalah sesuatu yang mesti diambil kira untuk menyesuaikan keadaan masa dan ruang wacana kontemporari yang berlaku ketika ini. Perkara ini bukanlah suatu kerja yang mudah tanpa melibatkan kajian penemuan yang berani seperti yang dilaksanakan oleh cendikiawan Muslim progresif.

3.Para14Susuk pemikir Muslim progresif yang sangat menekankan kajian klasik Islam dan moden seperti Mohammad Arkoun telah memberi kritikan yang tajam tentang perkembangan dunia Islam hasil daripada pemikiran ortodoks lewat wacananya di dalam kritik nalar Islami. Baginya, perkara terpenting adalah bagaimana Islam dapat memberikan dampak yang positif pada tatanan kehidupan bernegara dalam suatu masyarakat yang plural, moden dan demokrasi.

Arkoun menambah kritiknya melalui esei-eseinya dalam humanisme bahawa wujudnya missing link antara pemahaman sejarah warisan Islam klasik dan realiti empiris yang ada ketika ini. Titik fokus kritiknya adalah dari sisi epistemologi dan metodologi bukan dari substansi ajaran agama. Renungan ini adalah suatu hal yang mustahak pasca ketewasan aliran rasional Muktazilah pada kurun kedua belas di mana perkembangan intelektual dalam dunia Islam telah menjadi jalur yang tertutup, bahkan selama itu yang menjadi wacana dunia intelektual Islam hanya berfungsi dalam konsep kompilasi dan pengulangan terhadap kitab-kitab klasik malah perkembangan yang paling merisaukan adalah budaya menutup diskusi yang berbeza ini bertindak menjadi kekuasaan yang membentuk politik dunia Islam ditambah lagi fenomena ketidak-terbukaan ini semakin menjadi–jadi di Nusantara, seperti yang terlihat pada Muslim konservatif dalam pengamalan agama dan budaya di Indonesia dan Malaysia juga dalam pergelutan wacana kontemporari.

Keresahan ini telah menimbulkan pelbagai polemik yang terjadi dalam nuansa politik yang meletakkan pertembungan teologi dalam membentuk budaya ataupun legitimasi yang mencorak masyarakat. Proses pensakralan teks dan autoriti kekuasaan agama telah menimbulkan ketegangan dalam kehidupan masyarakat moden yang berlaku ketika ini. Warisan pemikiran klasik ini telah disalahtafsirkan dalam perkembangan ide dunia yang lebih progresif, malah sejarah warisan Islam klasik yang kaya dengan khazanah tradisi keilmuan islam hari ini telah bertukar menjadi fitnah kepada sejarah kekuatan intelektual tradisi Islam hasil tangan-tangan kelompok konservatif yang gagal memahami wacana realiti. Fenomena pensakralan pemikiran keagamaan hari ini menjadi tunggangan kelompok tertentu untuk mengekalkan kekuasaan dan menimbulkan ketakutan atas nama kritik epistemologi lalu ketakutan ini akan menghasilkan bentuk pemikiran yang dogmatis dan konservatif.

Oleh itu, polemik begini haruslah disekat supaya ia tidak menjadikan kaum Muslimin terbeban dengan tekanan pemikiran konservatif yang tidak lagi relevan untuk era ini. Kesilapan ini menjadikan kaum Muslimin bertindak mundur hasil kegagalan bersikap kritis di atas landasan global yang menyeluruh tanpa menepikan rujukan terbesar al-Qur’an dan al-Hadith.

Krisis identiti keagamaan dan budaya dialog

4.Para21Perkara ini harus dicermati sebagaimana yang terdapat dalam renungan yang mustahak argumen diskusi akal dan pengetahuan yang telah diperdebatkan oleh Ziauddin Sardar dalam karyanya Reading The Quran: The Contemporary Relevance of The Sacred Text of Islam. Menarik untuk dicatat renungan diskusi ini bagaimana beliau telah menafsirkan bahawasanya al-Qur’an sentiasa digandingkan bersama konsep ‘’mendengar’ melalui penelitiannya dalam surah al–Mulk, ayat sepuluh, iaitu:

Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka".

Menurut Ziauddir Sardar, setiap argumen bernalar memiliki kontra argumen iaitu kefahaman yang datang tidak hanya melalui penalaran. Tambahnya lagi, kita juga dituntut mendengarkan kontra argumen (hujah balas atau sanggahan) dan mempertimbangkannya dalam proses penalaran. Hal ini menunjukkan bahawa kefahaman sejati bukanlah hanya menuntut kepada penghujahan yang satu hala tanpa didasarkan konsep berfikir, melihat dan mendengar sehingga dicapai dalam hati untuk berfungsi. Maka menurut al-Qur’an, betapa pentingnya pengetahuan didapati melalui diskusi dan mendengar argumen-argumen pihak lain lewat kritik, autokritik dan kontra kritik.

Pentafsiran kolektif ini hampir tiada pada sudut norma pemikiran kaum Muslimin yang berlandaskan perjuangan mempertahankan kefahaman Islam murni yang mereka fahami hasil daripada proses nalar yang tidak berbasiskan argumen dan polemik yang harus diperhalusi dalam mencari kebenaran. Kesilapan meletakan konsep keimanan bagi kaum konservatif baginya adalah hanya memberi titik fokus ajaran para ulama yang hanya mentafsirkan kebenaran dalam bentuk final melalui period tertentu sahaja yang terdapat dalam wacana teks klasik Islam. Pencarian kolektif ini telah membuka dimensi baru bahawa Iman itu berfungsi bukan hanya melalui pengetahuan milik segelintir orang sahaja malah juga melalui apa yang telah dipertuturkan di dalam Qur’an, iaitu melalui dunia argumen rasional di antara berbagai sudut pandang antara sesama muslim dan juga pemeluk agama lain.

Kerisauan perkembangan Muslim konservatif ini bukan sahaja bertitik tolak daripada kerancuan dalam memahami teks-teks klasik agama ,malah dari satu sudut yang membimbangkan, ia juga hasil pengamalan kehidupan beragama masyarakat majmuk. Krisis identiti keagamaan membentuk sebuah tindakan luar sedar pengamalan budaya yang tidak harmoni dan mencetuskan ketegangan. Fenomena tidak senang ini, dalam masyarakat majmuk, membentuk proses syariahisasi menjadikan kekuatiran bukan sahaja ranah praktik keagamaaan, malah mendepankan benturan sosial politik.

Kegagalan dalam mencorak masyarakat plural, khususnya di Malaysia, yang mana segala tindakan mengundang kekerasan atas nama agama menjadi konflik terpenting dalam benturan politik kekuasaan. Krisis identiti keagamaan ini menimbulkan polemik pertembungan ideologi agama dan budaya. Segala kenyataan mengundang api perkauman dan provokasi ke atas agama lain adalah punca daripada kegagalan memahami isi terpenting al-Qur’an yang sangat menitik beratkan soal kemanusiaan dan keberagaman dalam menghadapi realiti plural agama, budaya dan masyarakat. Al-Qur’an dengan jelas menuntut kita untuk menerima, menghargai dan belajar daripada keberagaman identiti manusia serta kontribusi positif dalam keberagaman eksistensi manusia.

5.Para27Amartya Sen dalam bukunya Identity and Violence: The Illusion of Destiny menitik fokus betapa pentingnya memahami dan mempersoalkan segala tindakan yang mengundang kepada kekerasan atas nama agama dengan mempersoalkan adakah benar ia lahir daripada kefahaman ajaran agama yang tulen. Kebimbangan Amartya Sen berasaskan kepada kebimbangan maraknya politisasi agama-agama dan fanatisme sehingga membangkitkan sekterianisme dalam beragama. Malah beliau menambah lagi sambil mengajak tokoh-tokoh Muslim dan kelompok agama lain untuk berdialog demi pendamaian dunia dan kerukunan wilayah.

Politik ortodoksi: Menuju Islam Puritan dan Konservatif

Mengambil pengajaran daripada Indonesia, sememangnya kita di Malaysia ini, polemik ketegangan antara kaum dan agama semakin menjadi-jadi. Mengenali MUI di era pasca–Soeharto, yang menampilkan imej Islam dalam bentuk ‘moderat puritan’ iaitu yang berpegang kepada aliran ortodoksi Sunni’, sehingga dekad terakhir telah mengalami perubahan penafsiran yang lebih puritan dan lebih literal. Kecenderungan ke arah Islam yang puritan ini hasil daripada perkembangan wacana yang terjadi dalam MUI akhirnya membawa kepada penjelmaan kuasa kawalan Islam di Indonesia. Keterlibatannya dalam wacana publik di fasa transisi MUI ini begitu merisaukan kaum liberal untuk mendapat tempat dalam wacana ruang awam. Di fasa transisi ini, perubahan wacana MUI tidak lagi tertumpu kepada pemerintahan sebaliknya memfokuskan hal-hal fundamental agama dalam ranah awam yang merupakan titik tolak kepada keberadaan aliran konservatif dan puritan agama ini.

6.Para29Pergeseran wacana dan aktiviti MUI ini harus dilihat latar belakangnya, iaitu bagaimana aliran radikal Islam berkembang selepas mundurnya Soeharto, sebagai contoh Front Pembela Islam (FPI) iaitu gerakan fundamentalisme yang obses dalam memberlakukan syariat islam dan penolakannya secara hitam-putih terhadap hal yang berasal dari Barat. Mereka berusaha menerapkan konsep ajaran Islam secara menyeluruh tetapi gagal memahami metod dan pemahaman terhadap teks agama. Kefahaman sempit dalam memaknai ayat al-Qur’an membuktikan kegagalan FPI dalam bersikap adil dan kompromi dengan agama-agama lain.

Hai ini bukanlah perkara yang baru kepada para Muslimin Nusantara, terutamanya Indonesia dan Malaysia, malah semenjak tantangan daripada pihak yang mencabar autoriti keagamaan dan pengamalan Islam di Malaysia telah menyaksikan bahawa kemunculan ide-ide konservatif ini semakin mendapat tempat dalam wacana kekuasaan politik Malaysia. Golongan konservatif di Malaysia masih mengambil jalan kekerasan dan sekatan untuk melumpuhkan segala aktiviti intelektual yang menggugat autoriti aliran agama yang bersifat konservatif. Pemerintah masih tidak berani dalam menghadapi ancaman lewat perbezaan aliran sebegini. Kerisauan begini seharusnya kita cermati untuk tidak menjadikan Muslimin Malaysia terus dalam keadaan tertutup dalam menerima perbezaan.

Politik ortodoks yang menghalang kebebasan bersuara dan menyekat segala aktiviti dialog dan intelektual adalah bukan daripada sifat seorang Muslim yang baik. Masa hadapan Islam progresif dan idenya tetap mesti diteruskan dalam membangun Muslim beradab yang tidak membawa kepada Muslim radikal. Kepercayaan agama didasarkan kepada pilihan, bukan keyakinan buta mahupun kepercayaan tradisi demi meneruskan perkembangan Islam melalui ide-ide progresif yang menurut keadaan zaman.


Syazreen picMohd Syazreen Abdullah adalah graduan Sarjana Muda Usuluddin di University of Yarmouk dan Felo Penyelidik, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/merawat-ancaman-konservatif-agama/