Pembaharuan Pentafsiran Tekstual Al-Qur’an

April 10, 2015 by Mohd Syazreen Abdullah

1.Para1Slogan al-Islam huwa al-hal atau Islam is the solution kembali menjadi kecenderungan dan diskusi ulang di abad ini. Konteks moden hari ini membentuk kajian tentang bagaimana keberkaitan antara dinamika dan perubahan. Persoalan bagaimana al-Qur’an harus diterjemahkan pembacaan dalam konteks moden kini menjadi perbincangan serius di antara para cendikiawan Muslim. Dalam tradisi pentafsiran, polemik keterikatan teks dan budaya dalam pembacaan tafsir al-Qur’an menjadi diskusi berlanjutan diantara para pentafsir al-Qur’an klasik dan moden. Diskusi ini menjadi hal terpenting dan utama bagi pemahaman dalam memahami bacaan konteks budaya moden kini.

Keautentikan dan keaslian al-Qur’an menjadi kerisauan oleh fundementalis agama dan cabaran budaya modeniti kini tidak memberi penyelesaian jalan keluar kepada slogan al-Islam huwa al-hal. Usaha para Islamis kini dilihat tidak hanya gagal memberi respon kepada cabaran krisis modeniti tetapi juga kegagalan dalam memahami pentafsiran teks al-Qur’an.

Bermula pada abad ke-19, teks Islam melalui proses hellenization yang mengambil kira tradisi perkembangan falsafah atau rasionalisme sebagai keutamaan. Perkembangan tradisi ini tidak mencorakkan identiti kebudayaan ataupun politik dalam Islam hari ini, sebaliknya menjadi respons kepada suara Barat yang mengkritik Islam sebagai identiti yang terbelakang dan bukanlah daripada tradisi pencerahan. Dengan mengambil pendekatan filosof Arab, Mohammed Abed al-Jabri yang beranggapan bahawa Islam adalah agama tradisi yang menekankan faktor rasionalisme seperti yang disebut di dalam bukunya Arab- Islamic Philosophy, projek pencerahan adalah sebenarnya sumbangan yang utama di dalam proses peradaban yang meliputi ragam budaya lagi bersifat universal.

A-Qur’an berinteraksi dengan kebudayaan

Tantangan budaya yang sedang terjadi abad ini berbeza apa yang telah dihadapi tujuh abad yang lalu atau ketika az-Zarkasyi menulis Al-Burhan fi’ulum al-Quran atau ketika as-Suyuthi menulis Al-Itqan fi’Ulum al-Quran. Pertembungan jalur pemikiran dan peradaban ketika itu menunjukkan ilmu-ilmu Qur’an dicermati sebagai upaya untuk menghimpunkan ragam tradisi ke dalam wilayah teks keagamaan. Proses-proses responsif budaya ketika itu terhadap situasi telah memudahkan proses kefahaman dalam pengumpulan wacana al-Qur’an.

Berbeza dengan tantangan yang dihadapi oleh Muslim moden masakini iaitu, cabaran untuk membebaskan pentafsiran al-Qur’an daripada cengkaman ortodoksi. Wacana ilmu-ilmu al-Qur’an terbatas dalam proses ulang kerana banyak diantara sarjana klasik beranggapan bahawasanya Ilmu-ilmu al-Qur’an ini termasuk di dalam wilayah ilmu yang sudah selesai (nadhajat wa-h-taraqat) sehingga tidak perlu lagi usaha pembaharuan.

Sedangkan as-Suyuthi pernah berkata:

“Ilmu, meskipun banyak jumlahnya dan bertebaran di ujung barat dan ujung timur, namun sebenarnya batasannya bagaikan lautan dengan dasar yang tak diketahui, dan ujungnya bagaikan gunung menjulang tinggi yang tidak dapat dicapai puncaknya.Oleh kerana itu, sangat terbuka lebar bagi seorang sarjana dari masa ke masa untuk memasuki bagian-bagian yang tidak disentuh oleh ulama’ terdahulu”.

Proses sebegini juga seperti menurut Nasr Hamid Abu Zayd di dalam kitabnya Mafhum Al-nas yang menyatakan ‘’pembacaan sebegini akan memisahkan teks dari konteks situasi objektif historisnya. Konsep inilah yang menceraikan teks daripada sifat aslinya sebagai teks bahasa dan mengubahnya menjadi sesuatu yang memiliki kesakralan yang mendukung budaya yang konservatif dan tidak bebas dalam menolak rejim kezaliman ‘’.

Menurutnya lagi, peradaban dan kebudayaan dibangunkan oleh dialektika manusia dengan realiti disatu pihak, dan dialognya dengan teks di pihak lain. Peradaban dibentuk oleh interaksi dan dialektika manusia dengan realiti dengan segala struktur yang membentuk ekonomi, sosial, politik dan budaya. Maka peradaban dipusatkan di sekitar teks dan penta’wilan sebagai sisi lain dari teks yang juga menjadi mekanisme kebudayaan dalam memproduksi pengetahuan.

2.Para9Di dalam bukunya Naqd al-Deeni , Abu Zayd menukilkan pula apa yang pernah di sebut oleh Imam asy-Syaukani di dalam Nailul Authar akan kata-kata Sayyidina Ali tatkala beliau meletakkan pedangnya di atas al-Qur’an sambil memerintahkan agar al-Qur’an berkata-kata. Apabila manusia yang mengelilinginya terkejut dan berkata bahawa tidak mungkin al-Qur’an akan berucap kerana ia bukan manusia; maka ketika itulah Imam Ali menegaskan bahawa al-Qur’an itu tidak lain melainkan helaian kertas dan dakwat, dan ia tidak mampu berkata-kata untuk dirinya. Sedangkan manusialah yang memberi makna akan dia berdasarkan aqal dan fikiran mereka yang terbatas.

Mekanisme Ta’wil proses Ijtihad Baru

Memahami kesulitan dan sejarah tradisi al-Qur’an, ulama’ klasik pada awalnya berkomentar pada kajian-kajian teks al-Qur’an pada kaedah tafsir dengan menjadikan proses ta’wil sebahagian daripada tafsir. Hal ini dapat dilihat sekurannya oleh mufassir awal seperti al-Tabari di dalam judulnya Jami’ al-Bayan an Ta’wil Ay al-Qur’an atau lebih dikenali sebagai Tafsir al-Tabari, maka dengan jelas refleksi itu diterjemahkan antara kata tafsir dan ta’wil.

3.Para11RightKerumitan permasalahan wacana ketika ini, kata ta’wil itu harus dibezakan dengan tafsir. Konflik wacana agama kontemporari dengan jelas tidak harus membelakangkan konsep ta’wil sama sekali. Tapi malangnya terjadi kebelakangan ini, teks al-Qur’an seolah mengkedepankan mekanisme tafsir tanpa proses ta’wil dalam upaya menghasilkan usaha ijtihad baru. Sedangkan proses ta’wil didasarkan pada gerak intelektual kecerdasan aqal dalam menghadapi teks. Gerak teks dalam ruang dan waktu ertinya usaha kedalaman para mu’awwil itu bergerak secara dinamik dalam realiti yang berlaku. Penemuan makna-makna baru dalam teks itu merupakan satu usaha ijtihad baru dan menggugurkan makna yang ditemukan sebelum ini daripada teks.

Ada sisi perbezaan yang ketara bagaimana kedua konsep antara kata tafsir dan ta’wil ini diterjemahkan di dalam konflik budaya realiti kini lebih-lebih lagi dalam dunia moden. Seperti yang diungkapkan oleh Az-Zarkasyi bahawa tafsir sebuah ilmu hal-hal turunnya ayat, penceritaan makiyyah dan madaniyyah, muhkam dan mutasyabihah, nasikh mansukh selain ilmu membicarakan hal halal dan haram, ancaman, perintah larangan. Sebaliknya ta’wil berasal daripada ungkapan Ma ta’wilu hadza al-kalam? dari kata al-awl yang bererti kembali atau pulang atau al-ma’al iaitu akibat dan kondisi akhir. Dengan demikian, pengertian ta’wil adalah kembali pada asal-usul sesuatu; apakah itu berbentuk perbuatan ataukah cerita, dan itu dilakukan untuk mengungkapkan makna dan substansinya.

Lantaran itu, ada yang mengatakan tafsir adalah berkaitan riwayah manakala ta’wil adalah berkaitan dengan dirayah. Maka dengan kata lain ta’wil adalah sebuah proses gerak daya akal yang berhubung dengan secara langsung antara subjek dengan objek. Perlu dijelaskan bahawa kata tafsir muncul hanya sekali di dalam al-Qur’an manakala kata ta’wil sebanyak tujuh belas kali, maka penggunaan kaedah kata ta’wil lebih kerap digunakan di dalam teks berbanding tafsir.

Reformasi Islam dan Pembaharuan Pentafsiran

Dengan demkian, pentafsiran ulang teks al-Qur’an terus menerus akan berlaku dan melalui proses dinamika teks adalah produk menerus atas tafsir lama. Hal ini adalah karekter yang tidak pernah hilang daripada tradisi Islam. Para islamis kelihatan gagal dalam memberi kesedaran ilmiah penfafsiran baru dalam teks yang kemudiannya menjadi tentangan besar dalam perkembangan tajdid dan islah. Keupayaan menghasilkan kesedaran ilmiah terhadap tradisi semestinya harus berdasarkan konsep relatif atas kebenaran iaitu bermaksud bahawa ada permisahan antara relatif budaya dan relatif subtansi. Maka dari ini, proses kesadaran ilmiah dan kritis atas tradisi adalah mencari kebenaran yang terdapat dalam ruang kebudayaan bukannya di dalam ruang kebenaran mutlak. Kegagalan para Islamis dan sarjana ortodoks yang jelas adalah dalam membezakan ruang kebudayaan dan ruang kebenaran mutlak.

4.Para15Kalam AzadPara reformis tafsir seperti Abdul Kalam Azad di dalam Tarjuman al-Qur’an tidak terlepas dalam memberi kritikan tajam terhadap pengulangan bidang tafsir yang ditulis oleh mufassir klasik bahawa sejarah tafsir al-Qur’an sejak abad pertama Islam sehingga penghujung abad kini, permaknaan al-Qur’an terus mengalami kemunduran. Begitu juga kritikan dari oleh Muhammad Jawad Mughniyah di dalam al-Tafsir al-Kasyif bahawa jika seorang mufassir klasik berhenti ke suatu titik dan diteruskan oleh mufassir berikutnya dengan mengulang jejaknya tanpa melangkau selangkah pun, ia benar-benar seperti seorang buta yang bersandar pada tongkat; jika tongkat itu hilang, maka ia tidak dapat beranjak daripada tempatnya.

Proses pentafsiran baru dalam teks al-Qur’an atas wacana agama kontemporari adalah aliran reformis dalam pemikiran Islam masa kini. Kita tidak mungkin mengikuti pentafsiran wacana Islam klasik dalam aliran ortodoks kerana mereka hidup dan berijtihad pada zamannya. Keupayaan pembaharuan ini seperti yang di tulis Hasan Hanafi dalam At-Turath wa at-Tajdid bahawa pembaharuan merupakan penafsiran kembali terhadap tradisi sesuai dengan keperluan zaman, yang lama mendahului yang baru dan karakteristik eksistensi menjadi landasan bagi kekinian. Teks al-Qur’an merupakan teks Islam, maka metodologi pemikiran kesedaran ilmiah sebegini mesti dikembangkan untuk tujuan islah sebagai produk pengetahuan dalam ranah kebudayaan, politik dan masyarakat madani. Kegagalan wacana masakini dalam perkembangan dunia moden membawa intellectual terror kepada pengkajian pembaharuan peradaban Islam.

Demikian ini adalah pesan terbesar al-Qur’an iaitu memastikan keadilan sosial dan usaha islah harus dikembangkan bermula dengan kesedaran ilmiah yang kritis terhadap teks-teks al-Qur’an.


Mohd Syazreen Abdullah adalah Felo Penyelidik Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front dan graduan Sarjana Muda Usuluddin daripada University of Yarmouk.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/pembaharuan-pentafsiran-tekstual-al-quran/