Agama Dan Politik Dalam Wacana Perdebatan Islam Kontemporari – Bahagian Akhir

September 16, 2015 by Dr Azzam Tamimi

Diterjemahkan oleh: Ahmad Muziru Idham dan Shuhaib Ar Rumy Ismail

Teori al-Kasb al- Asha’irah dan keruntuhan Politik Islam 

1.Para1Teori Abul-Hassan Al-Ash’ari (pendiri mazhab Asha’irah) yang dikenali sebagai al-kasb (daripada kata akar kasaba, iaitu untuk mendapatkan), yang menangani persoalan sababiyyah (sebab dan akibat). Atas alasan untuk mempertahankan kudrat Tuhan, beliau menafikan hubungan antara sebab dan akibat, dan dengan yang demikian itu, mengesahkan ‘aqidah al-jabr. Beliau berhujah bahawa pembakaran adalah tidak semestinya disebabkan oleh api, atau api tidak semestinya membakar. Seperti itu juga, dahaga mungkin dapat dihilangkan tanpa air, tetapi air tidak semestinya menghilangkan dahaga.[1]

Ghannouchi menyalahkan ideologi ini (yang merupakan mazhab aqidah terbesar umat di nusantara ini – pent.) yang beliau rasakan telah menjadi sumber keselesaan bagi penguasa yang zalim, yang membawa kepada kejatuhan ketamadunan Muslim.[2] Beliau juga menyalahkan sufisme, yang disyaki digalakkan oleh pemerintah bagi menafikan dengan berkesan bahawa manusia mempunyai kehendak atau kebebasan untuk membuat pilihan. Beliau kekal bahawa dengan menakluk murid (seorang pemula untuk tariqat kesufian) kepada shaikh (pemimpin tariqat), Sufisme melucutkan kuasa membuat pilihan atau ikhtiyar para pengikutnya. Kedua-dua ‘aqidah al-jabr dan Sufisme, berdasarkan penilaiannya, mempunyai pengaruh narkotik, dan pada waktu itu keseluruhan ummah kelihatan mabuk.[3]

Kerelevenan perbincangan di atas terhadap perdebatan pada hari ini dalam kalangan lingkaran Islamis tentang demokrasi ialah bahawa kebanyakan orang yang menaikkan panji-panji peperangan ideologi menentang demokrasi dalam zaman kontemporari melakukannya dengan berasaskan kepada asas kepercayaan memabukkan yang sama.

Al-khilafah ar-rashidah didakwa sebagai satu-satunya sistem pemerintahan yang diterima dan sehingga ia dikembalikan semula, dengan cara yang tidak ditentukan – dan mungkin tidak diketahui – atau formula ajaib; sebarang aktiviti yang dianggap menjadi tanggungjawab khalifah adalah haram kerana ia menghalang kedatangan khalifah yang lain.

2.Para5Dalam hal ini, Hizb al-Tahrir yang secara terbuka mengutuk demokrasi dan mengecam orang-orang Islam yang menyeru kepada sebuah demokrasi Islami, adlah sebuah manifestasi moden kepada ‘aqidah al-jabr sepertimana para jihadiyyun adalah merupakan manifestasi moden al-khawarij. Apa yang menjadi kebiasaan kepada kumpulan-kumpulan ini, Ghannouchi mengesahkan, adalah ketidakupayaan untuk membezakan antara ad-dini dan as-siyasi, secara teori dan amali, dan sebagai sunnah Nabi ataupun sebagai sejarah umat Islam.

Tetapi Ghannouchi memberi amaran bahawa pembahagiaan ad-dini atau as-siyasi tidak boleh difahami sebagai alat pemisahan seperti yang berlaku dalam pengalaman Barat antara agama dan negara, kerana Islam berdiri sebagai “sebuah cara hidup yang menyeluruh dan Tuhan adalah Raja di masjid, pasar, sekolah dan kilang.”[4] Apa yang dimaksudkan olehnya, Ghannouchi tekankan, ialah perbezaan antara ruang yang dipenuhi oleh perintah-perintah ketuhanan dan ruang yang sengaja ditinggalkan kosong justeru untuk diisi dengan apa yang diperlukan untuk menghadapi dengan perubahan melalui ijtihad (akal) tetapi dalam kerangka ‘aqidah.[5]

Tetapi, permasalahan masih tidak sebegitu mudah dengan apa yang kelihatan. Ketegangan semasa antara negara dan pelbagai gerakan Islam, sama ada dikenali sebagai arus utama atau ekstrim, adalah produk sebuah perubahan radikal dalam hubungan tradsional, yang mengekalkan norma-norma untuk beberapa abad, antara negara dan ‘ulama’.

Selama berabad ini, Ghannouchi menjelaskan, ummah diperintah menurut penyelesaian bersejarah antara ilmuwan dan pemerintah; sebuah sistem pembahagian kerja dan sebuah aturan pembahagian kuasa di mana pemerintah mengambil alih urusan pemerintahan manakala ilmuwan menenangkan masyarakat, di mana institusi-institusi tradisional mengekalkan kebebasan mereka daripada campur tangan negara. Tetapi perjanjian tersebut tidak menghalang pemberontakan bersenjata secara sempurna daripada meletus pada waktu dulu dan sekarang, di sini dan di sana. Untuk sebab ini, para ilmuwan mengekalkan sikap yang pragmatik, dan apabila pemberontakan gagal - dan hal ini biasanya berlaku - usaha-usaha itu akan dilabelkan sebagai fitnah (persengketaan), tetapi sekiranya ia berjaya secara keseluruhan dalam perampasan kuasa dan membentuk kerajaan yang baru, pemberontak ‘sepatutnya’ diberi ketaatan dan mendapat legitimasi.

Apa yang perlu untuk diberi perhatian, Ghannouchi tekankan, adalah bahawa rampasan kuasa dalam setiap kes adalah diarahkan terhadap pemerintah dan elit dengan kesan yang kecil terhadap masyarakat itu sendiri, jika ada.[6]

Situasi tersebut kekal berlaku sehinggalah berlaku apa yang Ghannouchi sebutkan sebagaia kitaran peradaban telah sempurna. Kitaran tersebut, seperti yang dilihat olehnya, bermula dengan misi tawhid (monoteisme) yang muncul di jazirah Arab lebih daripada empatbelas abad yang lalu dan berakhir apabila perpecahan dan kemunduran menghanyutkan ummah di bawah pemerintahan dinasti Uthmaniyyah di Istanbul kurang seabad lepas.

3.Para11LowerRightHakikatnya, dan hal ini bercanggah dengan apa yang sesetengah Muslim lebih suka untuk percaya, iaitu ia telah lama berlaku sebelum terjadinya kematian rasmi Khilafah Uthmaniyyah, yakni tatkala perkongsian kekuasaan antara ilmuwan dan pemerintah telah diruntuhkan sepenuhnya.

 

Teori Politik Islam Moden

Sejak pembentukannya selepas Perang Dunia Pertama, negara berwilayah moden mempunyai pendekatan yang berbeza dalam berurusan dengan para ilmuwan. Mereka diberikan satu daripada dua pilihan: sama ada menjadi sebahagian kepada institusi kenegaraan, atau menderita penganiayaan, dibuang negeri, atau kematian.

Sesetengah ilmuwan memilih untuk menyokong pemerintah yang menggambarkan sikap ulama’ tradisional. Meskipun mengiktiraf bahawa sesetengah ilmuwan ini mungkin telah memilih posisi ini tidak semestinya daripada cita-cita peribadi tetapi daripada apa yang mereka fikirkan memberikan kebaikan kepada awam, Ghannouchi mengkritik mereka disebabkan oleh kegagalan mereka untuk menyedari perubahan yang mendalam dalam hakikat kenegaraan, dan isu-isu yang telah diluruskan dengan lebih terperinci pada bab yang sebelumnya.[7]

Para ilmuwan yang menyertai barisan pembangkang telah menjadi sumber kepada bacaan kontemporari yang memberi inspirasi kepada pelbagai kumpulan Islami. Sesekali, bacaan yang sama memberi inspirasi kepada kedua-dua kumpulan arus perdana, yang patuh kepada perubahan melalui jalan keamanan, dan kumpulan radikal yang percaya dengan penggunaan kekerasan.

4.Para15Tulisan-tulisan Sayyid Qutb, Mawdudi dan Al-Banna, sebagai contoh, dipelajari oleh kumpulan-kumpulan Islami arus perdana, dan juga menyediakan bahan-bahan yang ampuh untuk mewajarkan penggunaan kekerasan sebagai satu cara untuk menghilangkan dengan apa yang dilihat sebagai kejahatan negara sekular dan mendirikan pemerintahan Islam yang tulen.

Ghannouchi menunjukkan bahawa sebab-sebab perkara ini dilihat sebagai situasi yang mengelirukan ialah bahawa, daripada sudut pandang kebanyakan ilmuwan, pengisytiharan sebuah rejim yang menghina tuhan tidak semestinya mewajarkan penggunaan kekerasan ke atasnya. Pemilikan alat-alat perubahan adalah kriteria yang paling penting untuk menentukan jenis metodologi yang akan diguna pakai bagi melaksanakan perubahan.

Adalah benar, Ghannouchi menambah, bahawa Islam menjadikannya sesuatu yang wajib ke atas seorang Muslim untuk menyingkirkan ketidakadilan dan menghapuskan kejahatan. Tetapi Islam menyeru para pengikutnya untuk merenungi dan memilih kaedah-kaedah yang kurang membebankan dan paling bermanfaat. Hal ini merupakan intipati mesej yang wujud dalam tradisi:

“Sesiapa yang melihat kemungkaran perlu mencegahnya dengan tangannya, dan jika tidak mampu dengan lidahnya, dan jika tidak mampu dengan hatinya, dan ini adalah selemah-lemah daripada apa yang dapat dilakukan.”[8]

Ghannouchi bimbang untuk menekankan bahawa dalam proses perjuangan menentang halangan luaran terhadap demokrasi dalam dunia Islam, adalah sama juga pentingnya dengan perjuangan menentang halangan dalaman terhadap pendidikan, pembacaan semula sejarah Islam dan pengaktifan ijtihad. Tulisan-tulisan dan kuliah-kuliahnya, sekurang-kurangnya sejak enam tahun lalu dalam buangan, adalah dinilai sebagai sebuah penglibatan penting kepada usaha ini.

Hal ini khususnya terjadi kerana ketika beliau berada di UK, dan negara-negara Eropah lain yang dilawatinya, berhadapan dengan perkembangan bantahan-bantahan yang dikemukakan oleh jihadi, tahriri dan salafi yang walaupun mereka semuanya menikmati hasil daripada demokrasi di Barat, mereka bukan sahaja menentang demokrasi tetapi menjadikannya sebagai pekerjaan utama mereka untuk menyerang dan menjatuhkan orang-orang yang mempertahankannya, termasuklah Rachid Ghannouchi.

5.Para21LowerRightSangat menyedihkan bahawa persekitaran politik yang lazim dalam kebanyakan dunia Muslim pada hari ini tidak menjadikan tugas Ghannouchi sebagai sesuatu yang mudah. Hakikatnya, persekitaran politik yang sebegini yang menggalakkan penyebaran ide-ide radikal dan pertumbuhan kumpulan-kumpulan ekstrimis. Ghannouchi sendiri adalah mangsa kepada sebuah regim yang tidak toleran kepada ide-ide atau kumpulan-kumpulan yang moderat yang dianggap memberi ancaman kepada regim. Gerakannya, Ennahdha atau Parti Renaisans, telah diharamkan dan ahli-ahlinya ditindas atau dibuang negeri tanpa sebarang kesalahan jenayah selain daripada seruan kepada pendemokrasian rejim.

Ketiadaan kumpulan-kumpulan Islamis arus perdana membentuk lingkungan persekitaran yang Francois Burgat gelarkan sebagai radikalisasi dua hala (bilateral radicalization).[9] Bukan sahaja di Tunisia, malahan di Algeria, Mesir, Libya, Iraq dan Syria, sekadar menyebut beberapa contoh, kediktatoran telah memacu kepada terbentuknya persekitaran yang menindas; dengan hampir ketiadaan kebebasan asas dan langsung tidak mengambil peduli tentang hak asasi manusia.

Kekerasan digunakan untuk melindungi status quo dan mendiamkan pengkritik. Hal ini cenderung untuk meminggirkan majoriti gerakan Islam arus perdana dan menambahkan keahlian kepada kumpulan-kumpulan kecil radikal. Kumpulan-kumpulan radikal tersebut bertindak balas kepada penindasan dengan aksi-aksi ganas dan sebaliknya regim menggerakkan pasukan keselamatan atau tentera mereka untuk menumpaskan para pemberontak atau melemahkan perancangan-perancangan mereka. Dalam masa itulah, kitaran keganasan dan perlawanan terhadap keganasan telah menjadi suatu gaya hidup.


Ahmad Muziru Idham and Shuhaib Ar Rumy Ismail adalah Intern dan Felo di Islamic Renaissance Front masing-masing.


 

[1] Doktrin Al-Sha’ari digariskan dalam bukunya Maqalat al-Islamiyyin wa-Ikhtilafat al-Musallin, 3 jilid, ed. Helmut Ritter (Istanbul, 1929-33).

[2] R. Ghannouchi, ad-Dini was-Siyasi fil-Islam, op. cit.

[3] Ibid.

[4] Ibid.

[5] Ibid.

[6] Ibid.

[7] Ibid.

[8] Hadis Nabi ini diriwayatkan oleh Muslim dalam bab Iman, dan disenaraikan dalam Riyad as-Salihin An-Nawawi (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1989)

[9] F. Burgat, ‘Bilateral Radicalization’, dalam A. Tamimi Power-Sharing Islam? (London: Liberty for Muslim World Publication, 1993)




View original article at: https://irfront.net/post/articles/agama-dan-politik-dalam-wacana-perdebatan-islam-kontemporari-bahagian-akhir/