Islam dan Cabaran Demokrasi – Bahagian I

September 17, 2015 by Dr Khaled Abou Fadl

Diterjemahkan oleh Muhammad Syamil Dzulfida

 

1.Para1Sepertimana sejarawan Muslim terkenal yang juga pakar sosiologi, Ibn Khaldun (784-1382), seorang faqih ketika menulis perihal Islam dan sistem pemerintahan beberapa abad yang lalu, akan memulakan risalah beliau dengan membezakan sistem politik kepada tiga jenis yang utama.

Yang pertama, fuqaha sepertinya akan menghuraikan sebagai sebuah sistem semulajadi - iaitu sebuah sistem yang mendekati suatu keadaan yang primitif. Sistem ini merupakan sebuah sistem yang tidak bertamadun, bebas daripada keterikatan pada sebarang undang-undang dan bersifat anarki, dimana pihak yang terkuat dalam sosok masyarakat akan mendominasi dan menzalimi yang lemah. Dalam sistem sebegini, disebalik undang-undang, akan wujud adat warisan, dan di sebalik kerajaan, akan ada ketua kaum yang dihormati dan ditaati selama mana mereka kekal sebagai yang terkuat dan yang paling berupaya secara fizikal.

Manakala, sistem kedua pula dihuraikankan sebagai sistem dinasti, dimana sistem ini menurut para fuqaha’, juga merupakan sebuah sistem yang bersifat tirani. Berbanding dengan sistem yang pertama, sistem ini tidaklah berasaskan adat, akan tetapi ia berdasarkan kepada undang-undang yang ditentukan oleh raja atau puteranya. Walaubagaimanapun, sekali lagi menurut para fuqaha’, sistem ini tidaklah memiliki legitimasi yang sah. Hal ini adalah kerana institusi raja itu sendiri yang menjadi sumber perundangan kepada kerajaan, maka sistem sebegini dinilai sebagai sebuah sistem yang tidak mempunyai asas yang kukuh, akan memerintah dengan sewenang-wenangnya dan tidak konsisten secara prinsipnya. Merujuk kepada sistem sebegini, kepatuhan rakyat terhadap undang-undang itu hanyalah berdasarkan kepada paksaan dan demi melindungi keperluan asas mereka, sedangkan undang-undang itu sendiri tidak mempunyai legitimasi yang sah dan bersifat tirani serta menindas.

2.Para4LowerRightSistem yang ketiga yang dianggap system yang terutama ialah sistem Khilafah, yang berasaskan kepada undang-undang Syari’ah. Undang-undang syari’ah menurut para fuqaha’ merupakan sesuatu yang memenuhi kriteria keadilan dan legitimasi yang sah, yag mengikat rakyat baik yang diperintah serta pemerintah itu sendiri. Oleh kerana satu-satu kerajaan itu tertakluk dan terikat kepada sebuah set undang-undang yang lebih tinggi dan yang tidak boleh digubal atau diubah sesuka hati, dan juga oleh kerana sesebuah kerajaan tersebut tidak akan sewenang-wenangnya berlaku culas dan bertindak melampaui naungan undang-undang, maka dapat disimpulkan bahawa sistem khilafah sebagai lebih superior dan yang terbaik berbanding dengan yang lainnya.1

Ramai para ilmuan Islam, sepertimana Ibn Khaldun, senantiasa konsisten dalam melakukan pena’kulan bahawasanya: sistem politik islam telah dianggap sebagai satu cabaran bagi dunia ini. Manakala entit-entiti politik yang lain lebih mudah dan cenderung untuk terjerut dan jatuh ke lembah pentadbiran despotisme dan kuku besi, serta mempunyai set undang-undang yang bersifat tidak konsisten dan individualistik, sistem khilafah kekal sebagai sistem yang terbaik kerana terasnya yang berasaskan kedaulatan undang-undang (rule of law).2 Sama ada berdasarkan kepada sejarah pengamalan kerajaan terdahulu andaian ini berjaya dibuktikan ataupun tidak, apa yang ingin diutarakan dan ditekankan ialah para fuqaha’ Islam klasik telah secara jelasnya menyelar pentadbiran sesebuah kerajaan yang bersifat wewenang dan melakukan serta menetukan satu-satu perkara megikut sesuka hati. Sebuah pentadbiran yang tertakluk kepada undang-undang Syari’ah dianggap terpuji kerana ia merupakan sistem pemerintahan dimana seseorang manusia itu tidak akan memiliki kekuasaan autoriti yang mutlak ke atas individu yang lain, dan sistem ini juga memiliki pengapaian kekuasaan yang terhad.

Lantaran itu, sebagai contohnya, seorang ahli sunnah, Abu al-Faraj Ibn al-Jawzi (d.597/1200) menyatakan bahawa seorang Khalifah yang bertindak mengubah hukum Tuhan demi mencapai kepentingan-kepentingan politik yang tertentu adalah secara tidak langsungnya menuduh undang-undang syari’ah sebagai tidak sempurna.3 Ibn al-Jawzi menghuraikan tentang hal ini dengan menjelaskan bahawa, tanpa kedaulatan undang-undang syari’ah, seseorang pemerintah yang berniat jahat atau memiliki helah politik tertentu berpotensi dengan sewenang-wenangnya menjustifikasi pembunuhan jiwa-jiwa yang tidak berdosa. Sedangkan realitinya, beliau berhujah, adalah mustahil wujudnya suatu kepentingan politik yang mampu menjustifikasi pembunuhan seorang Muslim tanpa sebab yang sah berdasarkan undang-undang, dan kekangan kepada kekuasaan tirani seperti inilah yang telah membuktikan kemuliaan sistem syari’ah berbanding dua sistem pemerintahan yang lainnya.4

Wacana klasik ini agak menarik untuk diperdebatkan oleh sebab-sebab yang tertentu. Adalah wajar untuk mengatakan bahawa cabaran untuk mewujudkan tata pemerintahan (good governance) bagi sesebuah pentadbiran pada zaman kontemporari kini selayaknya dihalakan kepada sejauhmana sebuah sistem pentadbiran itu mampu bersifat demokratik, dan bukan hanya sekadar pada sejauhmana pentadbiran itu dihadkankan atau dikekang kekuasaan dan autoritinya. Dalam meraikan prinsip limitasi pentadbiran dan kedaulatan undang-undang, para ilmuan Islam zaman klasik, telah menekankan beberapa prinsip asas yang telah menjadi teras kepada amalan demokratik yang wujud pada dunia moden hari ini. Walaubagaimanapun, adalah amat penting bagi kita untuk menyedari bahawa ide yang hanya sekadar memberi limitasi dan kekangan kepada kekuasaan pentadbiran pada hari ini, tidaklah memadai untuk mendapat merit dan membuktikan betapa demokratisnya sesuatu sistem urus tadbir itu.

3.Para8Pada hari ini, sistem yang paling utuh dan selayaknya diiktiraf sebagai sistem yang memiliki legitimasi yang sah dan mengangkat ketinggian moral sebagai prinsipnya adalah system demokrasi. Hakikatnya pada zaman ini, dengan mengambil kira beberapa kes pengecualian, setiap rejim kuku besi yang wujud di dunia pada hari ini mengaku bahawa pemerintahan merekalah yang bersifat lebih demokratis dan kurang bersikap otoriter, merupakan bukti yang kuat kepada cabaran yang demokrasi bawa kepada dunia hari ini. Kebanyakan rejim kukubesi pada hari ini mendakwa bahawa mereka popular dikalangan rakyat yang mereka perintah, dan dalam masa yang sama cuba menyembunyikan kezaliman dan kebobrokan yang mereka lakukan, namun hal ini telah membuktikan bahawa mereka juga tanpa sedar telah merestui kelebihan dan keunggulan moral paradigma demokrasi pada zaman moden kini.

Walaupun limitasi kerajaan dan kedaulatan undang-undang adalah suatu yang mustahak bagi mewujudkan sebuah pemerintahan yang demokratis, unsur-unsur tersebut sahaja tidak cukup untuk memberikan kepada demokrasi kekuatan moral dan pengaruh yang meyakinkan. Keabsahan ataupun legitimasi sesuatu pemerintahan demokrasi itu adalah berasaskan kepada ide kedaulatan sesebuah negara itu adalah pada rakyatnya, dan sebuah kerajaan yang demokratis akan memberikan kedaualatan itu dan berperanan memenuhi kehendak rakyat-rakyatnya melalui sistem perwakilan. Dengan cara ini, rakyat menjadi sumber undang-undang kepada sesebuah negara, dan undang-undang tersebut haruslah diasaskan kepada hak asasi yang fundamental bagi seseorang manusia dan yang memelihara keharmonian dan kebahagian setiap individu yang berada di bawah pemerintahan yang demokratis dan berdaulat.

Sama ada wujud perlembagaan bertulis atau tidak, berdasarkan teori demokrasi, perlu wujud suatu proses dimana rakyat diberi ruang untuk memelihara dan melindungi hak mereka, dan membentuk undang-undang. Sejauh mana terkaitnya Islam dalam hal ini, konsep pengamalan demokrasi secara teorinya akan memberi satu cabaran yang besar. Secara mudahnya, jika para ulama Islam beranggapan bahawa undang-undang yang digubal oleh golongan monarki tidak memiliki legitimasi yang sah dan tidak konsisten, bagaimana pula dengan sebuah sistem yang memiliki undang-undang yang diperoleh daripada sesuatu kedaulatan, tetapi kedaulatan tersebut adalah milik rakyat sesebuah negara tersebut?

Cabaran yang akan dihadapi oleh Islam ialah: jika Tuhan adalah satu-satunya dzat yang berdaulat dan sumber perundangan dalam Islam, adakah wajar untuk memperkatakan perihal demokrasi dalam kerangka Islam, atau Islam dalam kerangka demokrasi, dan mampukah sistem pentadbiran Islam didamaikan bersama sistem pentadbiran demokrasi?

4.Para12Pergelutan dalam menjawab persoalan ini merupakan suatu percubaan getir yang penuh dengan permasalahan konsep dan politik. Pada satu sisi, dengan berhujah bahawa sistem berpelembagaan (constitutionalism) dan doktrin politik Islam adalah sebagai dua perkara yang serasi telah mencetuskan permasalahan anakronisme sejarah dan budaya. Bagaimanakah sebuah konsep moden yang mencerminkan nilai-nilai yang berubah sepanjang zaman yang berlaku dalam kerangka budaya tertentu dapat diaplikasikan dan disesuaikan ke dalam sebuah konteks yang jauh berbeza sepenuhnya? Dalam banyak hal, demokrasi bukan hanya sekadar teori, tetapi mesti dipraktik melalui sebuah tabiat yang bersifat toleran antara satu sama lain, terbuka kepada perbezaan pendapat, tertakluk dengan perubahan, dan yang menghargai proses tersebut tidak kira apapun hasil yang akan dicapai.

Pada sisi yang lain, menafikan bahawa doktrin politik Islam mampu mendokong aspirasi pemerintahan yang demokratis hanya akan menatijahkan Muslim yang akan cenderung tersungkur ke lembah kezaliman dan despotisme, melainkan mereka meninggalkan atau mengubah tradisi mereka secara usulnya. Sungguhpun demikian, budaya dapat dibentuk dan direka semula antaranya melalui kekuatan ide, dan jika berlaku ketandusan ide, maka hakikat untuk berlakunya perubahan budaya secara sistematik dan terancang merupakan suatu yang mustahil. Oleh kerana itu, setiap kali seseorang cuba membincangkan sama ada Islam dan demokrasi merupakan dua perkara yang serasi, seseorang itu secara jelasnya sedang mengambil pendirian yang bersifat normatif. Hal ini adalah kerana Islam dan demokrasi kedua-duanya merupakan sebuah kerangka konsep yang berkait rapat dengan sistem kepercayaan dan komitmen. Kedua-duanya memerlukan dedikasi kesungguhan dan keyakinan yang kuat, dimana, tanpa dedikasi tersebut kedua-duanya tidak dapat wujud dengan baik.

5.Para14Sebagaimana keadaan yang memungkinkan seseorang individu melakukan ibadah ritual tanpa benar-benar menjadi seorang Muslim yang beriman, begitulah juga kemungkinan untuk memiliki segala hiasan dan proses kepada demokrasi tanpa benar-benar mewujudkan system demokrasi yang sebenar. Tidak mustahil bagi sesebuah negara untuk memiliki perlembagaan, parlimen, mahkamah kehakiman, pilihanraya, dan segala institusi demokrasi, tanpa memiliki nilai-nilai yang demokratis.5 Sepertimana juga, tidak mustahil bagi sesebuah kerajaan yang beretorik mengimplementasi peraturan dan undang-undang Islam tanpa secara esensinya bersifat Islami.6

Apa yang menyuntik pengertian sebenar baik pada ‘demokrasi’ ataupun ‘Islam’ itu sendiri adalah pada nilai moralnya dan perkara yang berkaitan dengan salah satu antara sistem kepercayaan, mahupun komitmen sikap para penganutnya. Saya berkata demikian kerana, pada pandangan saya, tradisi pemikiran politik Islam yang luas mengandungi ide-ide dan institusi-institusi yang berpotensi sama ada mendokong, ataupun melemahkan aturan demokrasi. Dalam doktrin sejarah Islam, terdapat trajektori atau potensi-potensi yang mampu dikerahkan untuk menyuburkan ataupun menentang sebuah sistem pentadbiran yang demokratis. Walaubagaimanapun, premis ini seolah menekankan bahawa di sana wujud ‘bahan-bahan mentah’ yang perlu diproses untuk menghasilkan sesuatu produk. Tetapi, tanpa daya keinginan, visi yang terinspirasi, dan komitmen moral, ‘bahan-bahan mentah’ ini akan kekal tidak dimanfaatkan. Demikian juga dengan doktrin-doktrin galakan yang wujud dalam tradisi Islam, tanpa komitmen moral yang diperlukan, dan kefahaman yang mendalam, tidak mungkin wujud demokrasi dalam Islam. Sekurang-kurangnya, bagi seorang Muslim, yakni yang menjadikan Islam sebagai bingkai panduan kehidupan, mereka mesti menyuburkan keimanan yang mendalam bahawa demokrasi merupakan sebuah etika yang baik, dan pencarian ini tidak sedikitpun mensyaratkan mereka menjauhi ajaran Islam.

 


SyamilMuhammad Syamil Dzulfida adalah graduan Kejuruteraan Sivil, Universiti Malaya dan Felo di Islamic Renaissance Front. Terjemahan ini adalah daripada artikel asal “Islam and the Challenge of Democracy” yang diterbitkan oleh Journal of Scholarly Perspectives, UCLA, School of Law.


[1] Nizam Barakat, Muqaddima fi al-Fikr al-Siyasi al-Islami (Riyadh: Jami'at al-Malik Su'ud, 1985), 119.

[2] Lihat Abu al-Hasan 'Ali b. Muhammad b. Habib al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyya (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyya, 1985), 19-21; al-Qadi Abu Ya'la Muhammad b. al-Husayn al-Farra', al-Ahkam al-Sultaniyya (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyya, 1983), 28; Ann Lambton, State and Government in Medieval Islam: An Introduction to the Study of Islamic Political Theory: The Jurists (Oxford: Oxford University Press, 1981), 19; W.Montgomery Watt, Islamic Political Thought:? The Basic Concepts (Edinburgh: Edinburgh University Press, 1968), 102-103; Hanna Mikhail, Politics and Revelation: Mawardi and After (Edinburgh: Edinburgh University Press, 1995), 20-21; H.A.R. Gibb, "Constitutional Organization," in Law in the Middle East, vol. 1, Origin and Development of Islamic Law, eds. Majid Khadduri and Herbert J. Liebesny (Washington D.C.: Middle East Institute, 1955): 3-27, 9, 12; Khaled Abou El Fadl, Rebellion and Violence in Islamic Law (Cambridge: Cambridge University Press, 2001); Muhammad Jalal Sharaf and 'Ali 'Abd al-Mu'ti Muhammad, al-Fikr al- Siyasi fi al-Islam: Shakhsiyyat wa Madhahib (Alexandria: Dar al-Jami'at al-Misriyya, 1978), 399; Yusuf Ibish, Nusus al-Fikr al-Siyasi al-Islami: al-Imama 'ind al-Sunnah (Beirut: Dar al-Tali'ah, 1966), 55.

[3] Abu al-Faraj al-Baghdadi Ibn al-Jawzi, al-Shifa' fi Mawa'iz al-Muluk wa al-Khulafa', ed. Fu'ad Ahmad (Alexandria: Dar al-Da'wa, 1985), 55; id., al-Misbah al-Mudi' fi al-Khilaf al-Mustadi', ed. Ibrahim Najiyya (Baghdad: Matba'at al-Awqaf, 1979), 1:298.

[4] Ibn al-Jawzi, al-Shifa', 55, 57; id.., al-Misbah, 1:298.

[5] Kes yang disebutkan terjadi pada kebanyakan negara dunia ketiga, dimana terdapat segala instrumen demokrasi yang formal, tetapi tidak membawa kepada kehidupan yang demokratis.

[6] Pada pandangan saya, kes pada poin ini merujuk pada kerajaan Arab Saudi, di mana terdapat banyak retorik undang-undang Islam di jalankan, namun kerajaannnya gagal memenuhi nilai-nilai moral Islam.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/islam-dan-cabaran-demokrasi-bahagian-i/