Islam dan Cabaran Demokrasi – Bahagian II

October 15, 2015 by Dr Khaled Abou Fadl

Screen Shot 2015-10-15 at 7.15.25 PM
Dr Khaled Abou Fadl
Diterjemahkan oleh Muhammad Syamil Dzulfida

 

Islam dan Komitmen Moral kepada Demokrasi

Adakah seorang Muslim wajar untuk memperjuangkan sebuah sistem pentadbiran yang demokratis ? Jika jawapannya ya, maka apakah sebabnya? Kerana boleh diperdeabatkan bahawa sebarang pendekatan yang jujur dalam menangani pemasalahan tersebut perlu dimulakan dengan persoalan-persoalan asas berikut.

1.Para2aKebanyakan orang Islam, secara legitimasinya, boleh dikatakan memilih sebuah sistem pentadbiran yang tunduk kepada kehendak Tuhan, berbanding kepada tunduk pada kelemahan manusia yang tidak menentu. Boleh dikatakan, tunduk pada kedaulatan Tuhan adalah lebih baik daripada menerima kedaulatan manusia, kerana hakikatnya, kerana ide tentang kedaulatan manusia tu sendiru merupakan satu bentuk pemujaan diri sendiri. Tambahan pula, seseorang itu berkemungkinan mengerti bahawa satu-satunya sebab bagi seseorang Muslim itu mengiktiraf sebuah sistem demokrasi adalah kerana mereka tertarik dengan apa sahaja perkara yang berasal daripada Barat, tanpa memilih untuk istiqamah pada apa yang pada asalnya telah ditetapkan oleh Islam secara asli dan sah.

Hal ini merupakan persoalan yang hebat lagi mencabar, tetapi saya yakin bahawa ia adalah persoalan yang salah. Al-Qur’an tidak pernah menentukan sesuatu bentuk kerajaan, tetapi ia memperkenalkan nilai-nilai sosial dan politik yang merupakan perkara asas bagi orang Islam, dan memerintahkan mereka supaya memperjuangkan dan merealisasikan nilai-nilai ini. Antara nilai-nilai al-Qur’an yang diperintahkan ialah: menggalakkan kerjasama sosial dan sikap saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain kearah mencapai sebuah keadilan,7 memperkenalkan sebuah metod pemerintahan yang konsultatif dan tidak autokratik,8 dan menginstitusikan kedamaian dan kasih sayang dalam interaksi sosial.9

Lantaran itu, dapat dimengerti oleh akal bahawa hal ini menuntut orang Islam supaya menjalankan sebuah sistem pentadbiran yang paling berkesan bagi membantu mereka menyebarkan nilai-nilai moral yang tersebut, dan, dengan menghargai hakikat ini, wajarlah dikatakan bahawa demokrasilah yang merupakan sebuah sistem yang selayaknya diangkat dalam hal ini. Andai sekiranya orang Islam sudah meyakini bahawa demokrasi merupakan cara yang terbaik untuk melaksanakan tujuan moral bagi agama ini, maka adalah tidak relevan untuk memperdebatkan sama ada demokrasi merupakan sebuah ide Barat atau bukan. Apa yang lebih relevan ialah wujudnya kepercayaan dan keyakinan di dalam kebaikan sebuah sistem demokrasi, berbanding dengan apa-apa system lain yang mungkin, dan sebuah komitmen untuk menggalakkan dan menyuburkan sistem tersebut melalui nilai moral yang dibantu oleh undang-undang dan etika islam.

Pada pandangan saya, terdapat beberapa sebab yang mengangkat martabat demokrasi, terutamanya demokrasi berperlembagaan, sebagai sebuah sistem yang paling menggalakkan nilai etika dan aturan moral yang dianjurkan Islam. Sebab-sebab tersebut akan diterangkan berikutnya, walau bagaimanapun secara intipatinya, saya berhujah bahawa sebuah demokasi menawarkan potensi yang sangat besar bagi menyebarkan keadilan, dan melindungi kemuliaan insan, tanpa menyalahkan Tuhan atas setiap prilaku ketidakadilan manusia atau tindakan kezaliman sesama manusia.

2.Para6Sepertimana telah saya hujahkan, cengkaman autoritarianisme yang dilakukan atas nama agama merupakan suatu penderhakaan perintah tuhan. Autoritarianisme membuka ruang bagi perlakuan zalim yang dilakukan dengan mengiktiraf prerogatif sakral yang disadurkan pada seseorang manusia untuk mengambil alih tugas Tuhan.10 Bagi mengelakkan sesetengah kelompok manusia mendakwa diri mereka mewakili nama Tuhan, dan bercakap atas nama Tuhan, di sana terdapat dua pilihan. Sama ada menggesa agar setiap manusia dinafikan kuasa untuk bercakap bagi pihak Tuhan, atau kita mengiktiraf setiap manusia dengan kuasa tersebut - sama ada kita menghalang semua manusia daripada memiliki kuasa sakral, atau membenarkan semua orang memilikinya.

Pilihan pertama adalah bermasalah kerana al-Qur’an telah menyatakan bahawa Tuhan telah mengurniakan kepada seluruh manusia kemuliaan sebagai khalifah Tuhan di muka bumi ini. Alternatif kedua juga bermasalah kerana seseorang individu yang melakukan kebaikan secara moralnya tidak sama sekali setaraf dengan seorang individu yang melakukan dosa - sebagai contoh, seorang wali sama sekali berbeza dari sudut moralnya berbanding dengan seorang pembunuh bersiri.

Sebuah demokrasi berperlembagaan mengelakkan permasalahan ini dengan melestarikan beberapa asas moral yang seragam dalam sebuah dokumen perlembagaan, dan oleh yang demikian, ia akan menjamin ketelusan dalam penghakiman dan menentukan perbezaan, tetapi dalam masa yang sama, sebuah demokrasi memberi jaminan bahawa tidak ada walau seorang pun individu atau sesuatu kumpulan mendapat kemaksuman yang mewakili kesakralan. Tambahan pula, sebuah sistem demokratis menawarkan seluas-luasnya peluang untuk berlakunya proses akauntabiliti, dan untuk mengekang kecenderungan golongan yang berkuasa daripada menjadikan diri mereka kebal daripada sebarang penghakiman. Sesungguhnya, perkara ini bertepatan dengan tunjang keadilan Islam.

Jika dalam sesebuah sistem politik, tidak wujudnya mekanisma institusi yang dapat menghalang mereka yang zalim daripada menjadikan diri mereka berada di atas segala bentuk undang-undang kehakiman, maka sistem itu sendiri adalah suatu sistem yang tidak adil, tidak kira sama ada ketidakadilan tersebut dilakukan atau tidak. Sebagai contoh, jika wujud sebuah sistem di mana tidak dikuatkuasakan hukuman bagi jenayah rogol, sistem tersebut merupakan sistem yang tidak adil, tidak kira sama ada jenayah tersebut berlaku atau tidak. Demokrasi, melalui institusi pemilihan, pengasingan dan pembahagian kuasa, dan jaminan pluralism, sekurang-kurangnya menawarkan kemungkinan penambahbaikan semula sistem tersebut ,dan itu, di dalam dan pada dirinya, merupakan suatu kebaikan moral.

Adalah penting untuk mengakui bahawa disamping merit praktikal yang dapat dikenalpasti, di sana terdapat suatu cabaran konsep yang cukup serius yang menjadi satu halangan bagi komitmen demokrasi dalam Islam, iaitu undang-undang syariah Islam, dan ide bahawa rakyat, yang merupakan entiti yang berdaulat, bebas untuk sengaja melanggari atau tidak mematuhi undang-undang syariah tersebut. Hal ini menuntut kita supaya menyemak semula hakikat epistemologi syariah, dan apa yang difahami sebagai kedaulatan Tuhan. Walau bagaimanapun, bagi permasalahan ini, tidak terdapat suatu usaha yang serius dan sistematik untuk menilai sama ada konsep kedaulatan maupun syariah, di mana setiap satu daripadanya saling berkaitan dengan sistem politik moden.

3.Para11LowerRightKebanyakan orang Islam yang bertindakbalas terhadap cabaran demokrasi, rata-ratanya cenderung untuk bersikap samada apologetis dan defensif, atau bersikap nasionalis dan ‘rejectionist’ (menentang), tetapi kedua-duanya kekal bersikap reaktif. Orang Islam yang apologis cenderung berhujah bahawa demokrasi memang wujud dalam Islam sebagai alasan untuk membuktikan bahawa Islam sentiasa bersesuaian dengan kemodenan. Secara tipikalnya, mereka kekal berpendirian bahawa al-Qur’an memainkan fungsi yang setaraf dengan perlembagaan, dan cenderung menggambarkan seolah-olah wujud satu pengalaman demokratis yang ideal dalam sejarah awal Islam.

Kelompok apologis mempertahankan imej umum Islam dengan cara anakronisme melayani nostalgia sejarah lalu seolah-olah Nabi diutuskan kepada manusia untuk mengajarkan bentuk praktis pentadbiran yang demokratis. Oleh itu, mereka mendakwa bahawa asas pada keserasian antara Islam dan demokrasi sebagai kesimpulan yang diterima sebagai suatu keyakinan dan keimanan, lebih daripada sekadar pendapat untuk dicabar atau dibuktikan. Lebih penting lagi, sebaliknya, pertimbangan ini bukanlah hasil daripada komitmen moral kepada demokrasi, sebaliknya merupakan akibat daripada daya tarikan kepada kekuasaan. Islam yang kononnya demokratis sekadar kenderaan yang hanya digunakan sebagai senjata untuk menghadapi persaingan politik daripada pelbagai pihak, dan juga Islam hanya dijadikan sebagai alat untuk mereka bersaing bagi mendominasi antara satu sama lain.

Hal ini dapat kita buktikan apabila didapati kebanyakan kelompok apologis ini, sebagai contoh, merupakan sekutu gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, atau sekutu kelompok gerakan politik keagamaan yang lain dalam dunia Islam. Oleh yang demikian juga kita dapati bahawa praktis politik kelompok apologis ini tidak menggambarkan karakter-karakter nilai etika yang baik yang berkaitan dengan pemikiran demokratis, seperti toleransi dalam perbezaan pendapat, atau memartabatkan intelektual dan kepelbagaian budaya. Contohnya, kita mendapati kebanyakan organisasi Muslim-Amerika yang konsisten menekankan keserasian antara Islam dan demokrasi, hakikatnya agak zalim dari sudut dinamika dalaman mereka, dan juga sifat teologi yang mereka patuhi. Hal ini adalah kerana, bagi organisasi sebegini, demokrasi hanya diterima secara politik, tetapi bukan sebagai suatu keimanan atau etika yang dihadam.11

4.Para14LowerRightRespon utama yang seterusnya dalam dunia Islam moden menekankan bahawa sistem politik Islam adalah berbeza dan unik, dan berhujah bahawa sistem tersebut berintergrasi dengan demokrasi dalam pertimbangan tertentu tetapi bercanggah dalam yang lain. Penekanan utama bagi pendekatan ini ialah pada kemandirian budaya, intelek dan autonomi, dan oleh yang demikian, sebarang komitmen kepada demokrasi dianggap sebagai tanda penyerahan diri kepada apa yang dikatakan sebagai penjajahan intelek dan budaya Barat terhadap dunia Islam. Sebagai contoh, tokoh propagandis Pakistan, Abu al-A’la al-Mawdudi memerikan bahawa sistem pentadbiran Islam merupakan suatu sistem teo-demokrasi, di mana beliau menekankan bahawa sistem tersebut sama sekali berbeza daripada teokrasi mahupun demokrasi.12 Tambahan, mereka yang berpendirian demikian kerap kali berhujah bahawa sistem politik Islam ialah sebuah pentadbiran syura yang, bagi mereka, tiada kaitannya dengan apa yang dikatakan sebagai sistem urus tadbir yang demokratis.

Sepertimana pendekatan oleh kelompok apologis, kebiasaan ini kebanyakannya bersifat reaktif dalam ertikata ia berasaskan apa yang mereka anggap sebagai ‘yang lainnya’ untuk mendefinisikan pendirian mereka. Berdasarkan orientasi ini, sistem Islam tidak mungkin sama sekali bersifat demokratis hanya kerana Barat mengadaptasi sifat tersebut. Sebaliknya, tanpa konsisten dengan pendirian tersebut, kelompok ini kerap kali mengerahkan banyak tenaga semata-mata untuk membuktikan demokrasi Barat sebagai suatu kepura-puraan, bahkan langsung menafikan ia sebagai sebuah demokrasi. Ia seolah-olah mereka mengiktiraf merit demokrasi, tetapi oleh sebab dibutakan oleh semangat assobiyah kepuakan, mereka cekal menekankan bahawa Barat tidak memiliki demokrasi, dan menyeru orang Islam supaya menjauhinya. Lebih malang lagi, apa yang didakwa oleh kelompok yang berpegang dengan pendekatan ini bahawa sistem pentadbiran yang demokratis yang merupakan esensi kepada sistem politik Islam merupakan sesuatu yang asing atau ganjil bagi Islam. Dengan kata lain, kelompok ini telah mencipta suatu simbol yang seolah-olah mewakili apa yang dibawa oleh Islam, tetapi hakikatnya simbol tersebut bukanlah terbentuk daripada naratif sejarah Islam yang tulen dan benar. Pendirian ini terbentuk sepenuhnya daripada kepercayaan bahawa selain daripada apa yang dipercayai oleh kelompok ‘yang lainnya’ merupakan apa yang mereka harus percayai, dan hasilnya, ia hanyalah sekadar satu naratif sejarah anakronistme yang telah berlalu, dan sebagai suatu visi demokratis pemerintahan Nabi dan para sahabat. Adalah memadai untuk mengatakan bahawa kelompok yang berpegang pada orientasi ini lebih sesuai digelar sebagai anti-Barat berbanding dengan sebagai pro-Islam.

Dominasi kelompok apologetis atau maupun ‘rejectionist’ (penentang) sepanjang era kolonial dan pasca-kolonial dalam dunia Islam telah menyebabkan kemandulan dorongan kreativiti dalam menghadapi cabaran-cabaran demokrasi. Persoalanya, adakah Islam itu serasi dengan demokrasi?

Persoalan ini hanya mampu dijawab bergantung pada sejauhmana kesanggupan orang Islam untuk bersungguh-sungguh kearah menuju idealisme demokratis, dan kesanggupan untuk merintis jalan kearah mengkaji semula secara kritis undang-undang dan pemikiran teologi Islam dalam rangka untuk mencapai kesan sepenuhnya bagi komitmen ini. Sehingga kini, kebanyakan usaha-usaha yang dilakukan kearah matlamat ini hanyalah atas dasar ‘funsional’ dan ‘oportunis’, di mana pada suatu tahap, ianya merencat ide-ide pembaharuan yang fundamental dalam kerangka Islam.

5.Para18Lebih parah lagi, para mujaddid Muslim kontemporari telah cuba untuk menjustifikasi sistem demokrasi dalam Islam bergantung sepenuhnya atas dasar maslahah (kepentingan awam). Secara tipikalnya, mujaddid-mujaddid ini telah berpuas hati hanya dengan menyatakan bahawa kebanyakan undang-undang Islam berubah untuk memenuhi kepentingan awam, dan daripada pernyataan tersebut menuju suatu kesimpulan bahawa pengadaptasian demokrasi tidak mungkin menghadapi sebarang halangan yang serius hanya kerana kepentingan awam diutamakan dalam perundangan Islam.

Hakikatnya mujaddid semisal ini juga berkemungkinan datang daripada kalangan masyarakat yang tidak mempunyai kemahiran yang mendalam tentang hakikat epismologi dan metodologi perundangan Islam. Tambahan, logik semisal ini tidak jauh seperti perumpamaan wanita sundal, ia mempelawa khidmadnya, secara berkesan, sama sahaja kepada demokrat mahupun penzalim. Antara logik para mujaddid yang bersifat oportunis, keghairahan golongan yang bersifat rejectionist, dan ketidakjujuran kelompok yang bersifat apologis, kemungkinan-kemungkinan untuk sebuah demokrasi wujud dalam kerangka Islam masih lagi tidak diterokai secara serius.


Muhammad Syamil Dzulfida adalah graduan Kejuruteraan Sivil, Universiti Malaya dan Felo di Islamic Renaissance Front. Terjemahan ini adalah daripada artikel asal “Islam and the Challenge of Democracy” yang diterbitkan oleh Journal of Scholarly Perspectives, UCLA, School of Law.


Rujukan:

[7] Qur'an, 49:13; 11:119.

[8] Pada perenggan ini saya merujuk pada konsep pentadbiran melalui Syura, yang akan dibincangkan kemudian.

[9] Qur'an, 6:12, 54; 21;107; 27:77; 29:51; 45:20.

[10] Untuk ini, sila rujuk Khaled Abou El Fadl, And God Knows the Soldiers: The Authoritative and Authoritarian in Islamic Discourses (Lanham, Md.: University Press of America, 2001); Khaled Abou El Fadl, Speaking in God's Name: Islamic Law, Authority and Women (Oxford: Oneworld Publications, 2001).

[11] Sebagai contoh, setelah bertahun lama saya menjadi kolumnis bagi sebuah majalah Islam, ruangan saya tiba-tiba diberhentikan dan hasil kerja saya dihalang hanya kerana saya tidak bersetuju dengan pemimpin organisasi yang menerbitkan majalah tersebut. Tidak mengujakan, organisasi ini sehabis mungkin memperkatakan tentang naluri Islam yang demokratis, bahkan menyatakan bahawa Nabi merupakan filosof demokrasi. Tetapi malangnya, pendirian apologetik begini seringkali menerbitkan kepura-puraan yang zalim pada hakikatnya.

[12] Sila lihat karya utama beliau berkenaan subjek tersebut, Abu al-A'la al-Mawdudi, al-Khilafah wa al-Mulk, Ahmad Idris, trans. (Kuwait: Dar al-Qalam, 1978), 13-21.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/islam-dan-cabaran-demokrasi-bahagian-ii/