Tunisia Di Persimpangan: Sebuah Wawancara Bersama Sheikh Rachid Al-Ghannouchi – Bahagian II

October 31, 2015 by Noureddine Jebnoun

Oleh: Noureddine Jebnoun 

Diterjemahkan oleh: Imran Mohd Rasid

Dr. Noureddine Jebnoun telah menemu ramah Sheikh Rachid Ghannouchi, Ketua Gerakan Ennahdah di Tunisia di rumah beliau di Tunis pada tanggal 9 Januari 2014.

1.Para1Noureddine Jebnoun: Azzam Tamimi, dalam bukunya yang bertajuk “Rachid Ghannouchi: A Democrat within Islamism (Religion and Global Politics)” (2001), telah memberi analisis ke atas pemikiran Rachid al-Ghannouchi, dan mengangkat beliau sebagai pelopor dalam pemikiran “pencerahan politik Islam moden,” yang percaya akan demokrasi, pluralisme dalam berpolitik, dan keserasian Islam dengan ide demokrasi. Beliau juga membincangkan pandangan anda mengenai hubungan antara negara dan agama, serta kepentingan masyarakat awam untuk bebas daripada pengaruh kerajaan dalam sebuah sistem demokrasi yang mengakui hak untuk berbeza pendapat dengan orang lain tanpa menghapuskan mereka.

Pemikiran progresif anda telah membezakan anda daripada banyak cabang tradisi pemikiran politik Islam, dan ramai pemerhati daripada gerakan-gerakan Islam lain menanggapi anda sebagai sesuatu yang di luar dari kerangka politik Islam yang biasa. Sejauh manakah kebenaran tanggapan mereka ini?

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Buku ini adalah hasil daripada beberapa sesi dan pertemuan dengan penulis. Profesor John Keane, penyelia kepada penulis tesis ini, mencadangkan bahawa penulis bertemu dengan saya. Penyelidikan Azzam Tamimi pada mulanya bertujuan untuk menganalisis fenomena politik Islam di dunia Arab. Walaupun saya tidak mengenali John Keane—dan hanya sempat bertemu dengan beliau sekali sahaja—beliau memberi isyarat kepada Tamimi bahawa tesis mengenai pemikiran Rachid al-Ghannouchi akan memberi kesan yang penting dalam komuniti akademik dan masyarakat awam. Saya berkomunikasi dengan John Keane melalui perantaraan penterjemah kerana bahasa Inggeris adalah sesuatu yang baru buat saya. Selepas itu, saya mula berjumpa dengan Tamimi, dan dia mula mengumpul kebanyakan artikel dan buku-buku saya yang telah diterbitkan dalam bahasa Arab. Secara khususnya, dia mengumpul buku saya, “Kebebasan Awam di Negara Islam,” (Al-Hurriyat al-'Ammah fi'Dawlah al-Islamiyyah) yang dicetak di Beirut pada tahun 1993. Selepas beberapa tahun bekerja dan menyelidik, Tamimi akhirnya berjaya menyiapkan tesisnya. Tesis tersebut adalah kajian akademik yang pertama tersiar dalam bahasa Inggeris di mana penulis memperkenalkan kajian saintifik yang kritikal ke atas jalur pemikiran politik Islam yang diwakili oleh Rachid al-Ghannouchi.

Noureddine Jebnoun: Adakah anda percaya bahawa rakyat Tunisia akan mula bangkit melawan sistem autoritarian suatu hari nanti dan mengakibatkan larinya pemimpin diktator ke luar negara?

Adakah ada berpandangan bahawa suatu hari nanti masyarakat akan memberontak akibat daripada penindasan? Atau adakah anda berpandangan, seperti ramai pemerhati, bahawa regim sendiri akan memperbaharui dirinya, misalnya dengan wujudnya keimbangan kuasa dan pemusatan kuasa dalam regim itu sendiri yang akan menerajui proses “perubahan”?

2.Para6.LowerRightSheikh Rachid al-Ghannouchi: Paling tidak, saya mempunyai harapan yang sangat tipis bahawa regim Ben Ali akan berubah dari dalam. Oleh sebab yang demikian, kami cuba mewujudkan perubahan melalui tekanan politik. Iaitu dengan membawa perubahan ke jalan raya, dan bukan dengan berbincang dengan Ben Ali dan cuba untuk mencari titik pertemuan yang sama dengan beliau, kerana kami sebagai sebuah gerakan tidak percaya bahawa perubahan rejim boleh berlaku dari dalam.

Terdapat satu set dokumen yang tidak pernah diterbitkan, yang boleh anda jadikan sebagai bahan utama untuk buku pada “Dimensi Revolusi di dalam pemikiran al-Ghannouchi.”

Noureddine Jebnoun: Tetapi politik Islam tidak mempunyai dimensi sebuah revolusi!

Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Baru-baru ini sudah terdapat beberap siri artikel yang menyentuh soal revolusi—anda boleh jadikan ia sebagai rujukan. Artikel-artikel ini diterbitkan sewaktu sebelum berlaku revolusi, iaitu sekitar tahun 2007 sehingga 2010. Antara contoh yang ada ialah; sewaktu rusuhan perlombongan lembah Gafsa pada tahun 2008; cetusan yang dihasilkan pemberontakan Sidi Bouzid pada Disember 2010; dan artikel yang diterbitkan pada tahun 2009 di Aljazeera.net tentang pemberontakan Ben Guerdane.

Kesemua artikel-artikel ini mempunyai nada yang meyakinkan dalam menyeru semua lapisan masyarakat Tunisia untuk menyokong kelompok yang terpinggir dan tertindas, serta tidak membiarkan mereka berseorangan dalam berdepan dengan pihak regim. Artikel-artikel ini juga merenung akan akibat yang boleh berlaku sekiranya masyarakat terpinggir ini diabaikan kerana hal ini membuka ruang untuk pihak regim memecah-belahkan wilayah-wilayah ini dan menekan mereka dengan kekuasaan regim.

Sebagai contoh, pada 12 Januari 2011, saya memanggil Ahmed Nejib Chebbi, pemimpin Parti Progresif Demokratik, yang juga seorang rakan dan militan, yang telah mencadangkan penubuhan kerajaan campuran yang masih mengekalkan kuasa pemerintahan Ben Ali.

4.Para12.LowerRightSaya memberitahu Chebbi, “Anda mempunyai masa depan, maka jangan dibazirkan dengan bergiat dalam usaha tawar-menawar dengan regim.” Saya juga berkata kepadanya, “Janganlah menjadi seorang lagi Shapour Bakhtiar dalam Tunisia.”

Chebbi menjawab, “Masalah Bakhtiar adalah dia datang lewat.” Saya memberitahu beliau, “Masa sudah terlalu suntuk untuk meyelamatkan lagi apa yang tinggal,” kerana Ben Ali pasti akan jatuh dan tidak ada pengakhiran yang lain lagi. Saya melihat perkara ini dengan begitu jelas; regim ini telah sampai ke jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan lain lagi melainkan untuk berundur, sama ada secara tertib atau paksaan. Saya menyebut perkara ini dengan jelas pada malam 13 Januari 2011, iaitu sebelum Ben Ali menyampaikan ucapan akhir beliau—sewaktu saya berada di Kuwait untuk mengambil bahagian dalam forum—apabila Stesen TV Aljazeera bertanya kepada saya, “Apa yang anda harapkan daripada ucapan Ben Ali?” Saya menjawab, “Kami pernah percayakan kamu (Ben Ali) pada 7 November 1987, dan kamu telah berbohong kepada kami. Maka berundurlah. Kami tidak akan percayakan kamu kali ini.” Saya langsung tidak teragak-agak menyatakannya. Setelah refleksi, saya tidak pernah bersangka bahawa Ben Ali akan kekal berkuasa atau pakatan boleh dibuat dengannya.

Walau bagaimanapun, secara umum, saya tidak mengatakan bahawa gerakan ini mengambil jalan yang revolusioner dalam erti kata asal perkataan tersebut, atau mengimpikan sebuah revolusi, kerana dokumen-dokumen dalam gerakan serta retorik yang digunakan tidak langsung menyentuh soal itu.

Rached Ghannouchi, leader of islamist party Ennahda (second/right), Sadok Chourou (co-founder of Ennahdha, second left), Abou Yaareb Marzouki, candidate for the Constituent Assembly (middle), during a rally of EnnahdaDalam Ennahdah, sememangnya retorik kami mendedahkan bahawa kami sentiasa menghasut menentang regim Ben Ali. Retorik kami adalah sangat kritikal dan sentiasa mempunyai ruang untuk berdamai dengan regim—walaupun marjin ruang itu sendiri semakin mengecil—seperti yang ditekankan oleh ketua gerakan. Oleh sebab demikian institusi-institusi dalam gerakan sentiasa menyalahkan ketua gerakan ini kerana retorik beliau sering lari daripada polisi rasmi gerakan, iaitu sentiasa meninggalkan sedikit ruang untuk berdamai dengan regim Ben Ali.

Noureddine Jebnoun: Semenjak ketua regim melarikan diri, saya secara peribadi tidak merasakan apa yang berlaku di Tunisia adalah sebuah revolusi dalam erti kata tradisional istilah ini. Sebaliknya, ia lebih hampir kepada sebuah pemberontakan bertujuan untuk mengekalkan fungsi institusi yang kebal dan langsung tidak demokratik seperti mana bentuk asalnya serta mengukuhkan dan memperkasakan lagi birokrasi kerajaan. Hal ini telah berlaku dan masih berterusan, malah berdasarkan corak prestasi mereka, ia hanyalah satu bentuk penerusan dari regim yang lama.

Jalan revolusi memerlukan keberangkatan yang meninggalkan sepenuhnya praktis dan pemikiran regim sebelumnya dan hal ini masih belum berlaku lagi di Tunisia. Walau bagaimanapun, kita boleh mengatakan proses politik yang anda turut terlibat ini telah mencipta suatu dinamika baharu. Jadi bagaimana pandangan anda tentang situasi politik di Tunisia, kelompok elit politik, serta masyarakat keseluruhannya yang kini berada di bawah kerajaan baru sejak 14 Janurai 2011 (yang diketuai oleh kerajaan Mohamed Ghannouchi, kerajaan Beji Caid Essebsi, kerajaan Hamadi Jebali, dan kerajaan Ali Larayedh)?

Sebagai sebuah gerakan Islam, adakah anda mengharapkan hasil tertentu dan adakah anda mendapati diri anda berhadapan dengan situasi yang anda tidak jangkakan atau sesuatu yang anda fikir terlepas pandang? Adakah masyarakat Tunisia menerima pendekatan anda dalam soal isu identiti ini?

5.Para19Sheikh Rachid al-Ghannouchi: Saya tidak pernah meragui keikhlasan rakyat Tunisia selama 22 tahun hidup dalam buangan. Saya yakin bahawa rakyat yang memberi kami undi majoriti pada pilihanraya tahun 1989 tidak akan berubah hanya kerana mereka berada di bawah pemerintahan seorang diktator yang korup yang mengenakan paksaan ke atas rakyatnya untuk menerimanya sebagai seorang pemimpin.

Rakyat mungkin terpaksa berdiam diri, namun rakyat yang ikhlas tidak akan mengubah kesetiaan mereka di bawah pengaruh kuasa, ancaman, dan tekanan. Tidak ada langsung sebab yang kukuh untuk rakyat Tunisia menerima sistem yang zalim yang dibawakan regim lama. Ben Ali juga bukanlah seorang penulis besar, ahli falsafah, pendeta, atau pemimpin seperti Habib Bourguiba. Beliau tidak mempunyai apa-apa karisma yang akan menjadikan rakyat Tunisia menghormati beliau, kecuali dengan “kayu kekuasaan” yang beliau pegang untuk menakut-nakutkan rakyat Tunisia. Era pemerintahan beliau terkenal dengan rosaknya integriti ahli politik, pemikir, artis dan penulis di bawah pengaruh beliau sendiri. Malah integriti media juga telah beliau rosakkan. Ben Ali mungkin berjaya merasuah kelompok elit namun beliau sama sekali gagal merasuah rakyat Tunisia.

Oleh sebab itulah, saya masih yakin bahawa Ennahdah tidak akan mempunyai pesaing terdekat selepas jatuhnya kekuasaan Ben Ali. Saya juga yakin bahawa rakyat tidak mengubah sokongan mereka semasa di bawah tekanan kuasa dan ancaman, dan kesetiaan kepada Ennahdah akan kekal sehinggalah ia diuji. Jika orang mendapati Ennahdah tidak boleh dipercayai setelah diuji dalam pemerintahan, maka mereka sendiri akan mengubah pendapat mereka. Saya percaya sejak dari mula jatuhnya sistem tirani; tidak akan ada lagi pesaing sebenar untuk Ennahdah kerana parti “Perhimpunan Perlembagaan Demokratik” ini tidak langsung membawa pembawakan politik gaya regim yang sebelumnya sebaliknya ia hanyalah pertubuhan perisikan atau keselamatan, dan bukan parti politik dalam erti kata yang tradisional. Ia tidak langsung mempunyai pemikiran, ideologi atau misi di dalamnya.

Namun secara peribadi, saya berharap bahawa parti tersebut tidak dibubarkan supaya kami boleh mengalahkan mereka dalam pilihan raya, namun perlulah dilucutkan semua asetnya; seperti pejabat-pejabat, pegangan kewangan, dan lain-lain; kerana kesemua instrumen parti tersebut bersumberkan hasil rompakan ke atas rakyat Tunisia. Parti tersebut mempunyai hak untuk bersaing tetapi mestilah mereka menggunakan sumber sendiri, dan bukan sumber negeri dan rakyat.

Tambahan pula, sambutan yang diberikan kepada saya oleh rakyat apabila saya kembali dari buangan tidaklah begitu mengejutkan, dan keputusan yang kita capai dalam pilihan raya NCA adalah kurang daripada apa yang saya harapkan. Walau bagaimanapun, ini adalah disebabkan oleh peraturan pilihan raya yang tidak baik, yang digubal oleh “Suruhanjaya Tinggi bagi merealisasikan Objektif Revolusi, Pembaharuan Politik, dan Peralihan Demokratik (The High Commission for the Realization of the Objectives of the Revolution, Political Reform, and Democratic Transition),” dan mereka ini cuba untuk mengawal masa depan politik Tunisia dengan merangka satu peraturan pilihan raya yang tidak adil buat Ennahdah.

Namun pada akhirnya, kami menerima peraturan-peraturan tersebut kerana perjuangan kami bertujuan untuk mewujudkan legitimasi penyertaan politik bukan untuk memonopoli proses politik. Sekiranya kami menang dengan majoriti mutlak undi, kami mungkin akan menjadi sombong dan tidak lagi melihat perlunya untuk berkongsi kuasa dengan orang lain, dan hal ini tidak akan memberi sebarang kebaikan buat Tunisia. Kami mengulangi pendirian kami untuk menyeru semua parti politik, tanpa mengira keputusan pilihan raya, baik dari parti Islam dan sekular untuk berkongsi kuasa kerana ini adalah realiti di negara ini dan kita tidak boleh mengendahkannya.

Golongan elit yang berada dalam parti-parti sekular mempunyai kedudukan penting dalam sektor pentadbiran, media, ekonomi, serta dalam sektor-sektor lain yang utama dalam negara ini. Wujud satu dimensi yang positif daripada situasi seperti ini. Hal ini kerana ia mengajar kita untuk membuat kerjasama dengan kelompok lain dalam sebuah kerajaan gabungan, dan itulah yang Tunisia perlukan sekarang. Negara ini tidak memerlukan sistem satu parti, dan logik menggantikan parti dominan dengan satu lagi dominan parti yang lain tidak lagi wajar diterima, walaupun ia dilakukan melalui proses demokrasi.

Selepas 20 tahun lamanya, kita tidak lagi merasakan rakyat sebagai sesuatu yang asing kepada kita, atau kita begitu asing kepada mereka. Memang benar generasi baru kini membesar dengan pembawakan yang sangat berbeza dengan generasi saya dahulu, dan ini termasuk termasuklah generasi yang saya kenal dan pernah bekerjasama sebelum saya meninggalkan negara ini pada penghujung 1980-an.

Walau bagaimanapun, kita boleh katakan berdasarkan pemerhatian bahawa Tunisia telah menjadi sebuah masyarakat pengguna sejak dua dekad yang lalu. Masyarakat kini telah menjadi lebih terbuka dan terlibat dengan transaksi ekonomi dengan lebih pesat, —malah sikap meminjam daripada institusi kewangan telah menjadi ciri utama masyarakat Tunisia.

Masyarakat Tunisia, seperti masyarakat Arab dan Timur tengah yang lain, terliibat dalam proses membeli melebih daripada penghasilan, dan ini antara sebab rakyat Tunisia kini mengalami kesusahan, dan terjerat dalam keadaan yang sangat janggal dek kerana tekanan psikologi untuk hidup dalam gaya hidup yang di luar batas kemampuan sumber mereka seperti yang dicorakkan oleh media dan keterbukaan masyarakat pengguna.

Masyarakat Tunisia juga sentiasa dalam konflik antara memelihara identiti Islam–Arab dan menerima nilai-nilai yang mula meresap masuk ke dalam masyarakat mereka melalui proses globalisasi. Secara umumnya, rakyat Tunisia cuba meyakinkan diri bahawa mereka masih Islam, namun dalam masa yang sama mereka lebih berminat untuk hidup dalam era yang tidak ditadbir oleh nilai-nilai Islam, dan ini antara satu lagi sebab wujudnya ketegangan.


 

Imran Mohd Rasid adalah graduan University of Manchester dalam bidang Politik, Filosofi dan Ekonomi yang juga merupakan pengasas bersama Universiti Terbuka Anak Muda dan seorang Felo di Islamic Renaissance Front. Wawancara ini diterbitkan oleh Al Waleed bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding, (ACMCU), Georgetown University pada April 2014.

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/tunisia-di-persimpangan-sebuah-wawancara-bersama-sheikh-rachid-al-ghannouchi-bahagian-ii/