Kata Pengantar kepada Edisi Khas The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady (“Teriak Sebenar Syed Shaykh al-Hady”)

April 13, 2016 by Ahmad Farouk Musa

Janganlah tertipu daya kamu dengan angkatan dan pangkat kebesaran gelaran pembesar-pembesar kamu kerana mereka itulah asal segala bala yang telah menimpa ke atas kamu ini dan mereka itulah sehingga masa ini sebesar-besar penolong segala bangsa-bangsa yang telah menindih dan hendak menindih kamu akan kamu. [Syed Shaykh al-Hady, Teriak Sebenar, Al-Ikhwan, 1 (2), 16 Oktober, 1926]

1.Para2Demikian itu adalah teriakan Syed Shaykh al-Hady lebih kurang se-abad yang lalu. Seruan kepada orang Melayu untuk membebaskan diri daripada cara hidup tradisional mereka dan daripada bergantung kepada pimpinan ketua kaum mereka, kerana mereka akan menjadi hamba kepada tuan mereka, yang akan mengheret kepada penindasan mereka yang berterusan. Mereka harus sebaliknya berusaha untuk memodenkan masyarakat mereka, ekonomi mereka, serta sistem pendidikan mereka sebelum mereka ditinggalkan selama-lamanya oleh bangsa lain di negara ini. Cara hidup elit pemerintah secara moralnya korup, tidak senonoh dan zalim dan dijahanamkan oleh metode pengajaran ulamā konservatif, yang kerananya itu, ummah telah tenggelam dalam keadaan yang mengerikan.

Al-Hady, yang pada umumnya dianggap sebagai Khalifah Kaum Muda; tidak hanya menfokuskan kritiknya kepada pemimpin feudal Melayu dan ulamā konservatif, tetapi juga terhadap penjajah British. Dalam jurnal berkalanya al-Ikhwan, al-Hady menulis: “kerana jika kita sedar dan masih memiliki daya fikiran, lantas bagaimana boleh kita izinkan bangsa yang lain untuk menjajah kita, untuk menjadi penjaga kita di tanah air kita yang tercinta?

Tetapi tentunya, serangannya yang paling keras adalah terhadap mereka yang bergelar ulamā tradisional yang telah dengan tegar cuba untuk mempertahankan monopoli yang eksklusif ke atas wacana Islam. Maka tidak aneh lantaran itu apabila al-Hady menulis dalam eseinya ‘Perchayakan Ulamā’ di dalam jurnal berkalanya al-Ikhwan: “Tidakkah wajar bagi kita untuk bertanya dan menyelidiki? Adakah hanya perkataan orang lain sudah cukup? Seolah-olah sebarang penelitian akan firman Allah dan NabiNya adalah nescaya berbuat salah, kerana hai ini akan menunjukkan kekurangan kepercayaan kepada ulamā, dan justeru, kita akan menyimpang keluar dari batas Islam! Maka siapa di kalangan ulamā yang berani mengatakan semacam itu? Melainkan penjaja agama yang menyara hidup mereka di atas nama Islam, walaupun Islam ingin untuk menjauhkan dirinya daripada mereka sejauh yang mungkin.” Maka dengan kerana itulah Syed Shaykh al-Hadi dan Kaum Muda berhujah bahawa bukan semua perkataan yang diucapkan oleh ulamā itu benar dan wajib diterima sepertimana kita menerima apa yang tertulis di dalam al-Qur’ān.

Perjuangan Syed Shaykh al-Hady dan kelompok yang semasa dengannya seperti Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Abu Bakar al-Ashaari, Dr Burhanuddin al-Helmi, Haji Abbas Mohamad Taha, Sheikh Mohamad Salim al-Kalili dan Zainal Abidin Ahmad atau lebih popular dikenal sebagai Pendeta Za‘ba, pada asasnya adalah penerusan daripada perjuangan para pemikir reformis, Sheikh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Redha di Mesir. Tanpa ragu, al-Hady adalah salah satu daripada pemikir yang paling revolusioner dan aktivis Islam pada masanya. Dan melaluinya dan mereka yang kontemporer dengannya, idea-idea radikal Muhammad Abduh dan Rashid Redha diperkenalkan kepada masyarakat Melayu Islam di Semenanjung Tanah Melayu.

2.Para6Lebih dari seabad yang lalu, jauh di tanah Mesir, Jamaluddin al-Afghani mengajukan pertanyaan tentang sebab kejatuhan peradaban Islam pada abad kesembilan belas di mana perjuangannya pertama kali bermula. Pada al-Afghani, faham ortodoks agama yang dipertahankan oleh ulamā, dan juga pemerintah yang zalim yang menggunakan ulamā untuk mendukung rejim mereka, adalah sumber utama kebekuan. Dan pengambilan satu tafsiran agama yang tertentu oleh pemerintah bagi mempertahankan orde sosial yang berguna bagi kelangsungan hayat rejim; adalah juga sebab bagi kejatuhan.

Maka tidak aneh justeru apabila Syed Shaykh al-Hady mengisytiharkan idea yang sama, bahawa ia adalah elit pemerintah tradisional dan ulamā tradisional, yang secara dasar bertanggungjawab menyesatkan umat Melayu Islam dan membiarkan mereka dalam keadaan yang jelek dan kondisi yang tak berdaya. Dalam jurnal Al-Imam – yang kemungkinan besar mengambil kira daripada gelar Ustazul Imam Muhammad Abduh­ – al-Hady berkata: ‘Kita telah memperdaya diri kita dengan meminum racun kelesuan yang lazat, yang dikenakan ke atas kita oleh pemimpin kita, dan dengan itu kita telah memilih bagi diri kita penyakit penipuan dan kemunafikan sehingga kita tak mampu melakukan lebih daripada meraung dan merayu kepada Tuhan: Ya Allah, sesungguhnya kami telah taat kepada Penghulu-penghulu kami dan para pemimpin tradisi kami dan mereka telah menyesatkan kami. Mereka adalah kepala dan kami adalah ekor. Mereka adalah sumber kepada semua malapetaka dan kesengsaraan. Mereka adalah pemboros dan raja segala kejahilan. Mereka adalah pangkal daripada semua penderitaan dan nasib malang.’

Jurnal Al-Imām, yang al-Hady turut dirikan bersama, adalah instrumen utama kaum reformis dalam menyebarkan idea-idea pembaharuan mereka. Ia bertujuan untuk menghidupkan semula ajaran-ajaran Islam di rantau ini dan untuk memperkenalkan semula konsep Islam tentang kehidupan dan ibadah yang bebas daripada bid’ah yang sesat dan unsur-unsur yang memudaratkan yang lain yang asing daripada sifat agama. Humanisme dan rasionalime adalah ciri yang menonjol daripada projek kaum reformis. Kerangka fundamentalnya dengan implisit dilakar untuk mengingatkan mereka yang terlupa, untuk membangunkan mereka yang tertidur, untuk memimpin mereka yang tersesat, serta untuk menyampaikan khabar yang membawa harapan kepada mereka.

3.Para9.RightAl-Imām menganjurkan pandangan dunia yang dinamik dan progresif dan menerbitkan karya-karya yang kuat mencerminkan idealisme dan aspirasi jurnal yang ia ikuti – al-Manar – yang dipimpin oleh Abduh dan Redha – dan juga pemikiran reformis lain yang telah berkembang di Eropah. Maka dapat dibayangkan justeru apabila al-Imām dikatakan menzahirkan dirinya sebagai penerus kepada gerakan reformis Eropah yang dibawa Martin Luther di dunia Melayu, yang berpusat di atas paksi pencerahan.

Pada al-Hady, seruan Islam yang sebenar adalah bagi kemajuan duniawi. Pencarian selanjutnya bagi kenikmatan yang kekal di akhirat bukan alasan untuk meninggalkan usaha bagi kehidupan yang lebih baik di dunia ini. Dengan kerana itu, dapat difahami mengapa al-Hady menuduh ulamā agama tradisional sebagai kehilangan semua kemampuan untuk memahami seruan yang sebenar daripada agama mereka yang murni. Pada al-Hady, untuk merubah kondisi manusia adalah pertamanya dengan merubah sikap mereka kepada kehidupan di dunia ini. Dan bahawasanya, sebarang bentuk ibadah, yang tidak membantu pembangunan individu Muslim atau mempunyai sebarang keutamaan dan manfaat sosial yang praktikal kepada masyarakat pada hakikatnya; telah gagal untuk memenuhi semangat yang sebenar daripada ibādah.

Pada al-Hady, umat Islam tidak boleh mengharapkan perubahan dengan hanya duduk dan berdo’a dan bahawa keajaiban akan berlaku. Mereka tidak harus mempunyai kepercayaan yang karut ini bahawa tiap sesuatu di dunia ini telah ditentukan bagi mereka. Seakan-akan, walaupun sekeras mana mereka berusaha, apa yang telah ditakdirkan kepada mereka tidak akan berubah. Kerana akibatnya adalah, umat Islam akan menjadi golongan yang paling terkebelakang dan tidak produktif dalam sumbangan mereka kepada sains dan teknologi, dan kepada peradaban manusia.

Selanjutnya, umat Islam perlu untuk membebaskan diri mereka daripada teologi Ash‘ariyyah yang jumud dan pasif. Generasi Islam yang terawal tidak hanya duduk menantikan Imam Mahdi untuk datang dan menyelamat serta membimbing mereka. Penolakan idea jumud sedemikian itulah yang menjadi pemangkin sebab utama bagi percambahan ummah dan peradaban golongan terdahulu. Pemahaman al-Qur’an telah menggemparkan tanah Arab, menyatukan bangsa dan umat yang lahir daripada percakaran dan pertembungan kabilah yang keras; dan dalam beberapa dekad, al-Qur’an menyebarkan faham dan pandangannya yang menerobos jauh melewati wilayah dan sempadan tanah Arab dan membentuk sebuah masyarakat berideologi yang pertama dalam sejarah manusia. Dan dengan menekankan kekuatan ilmu dan kesedaran aqliah, ia menjana semangat intelektual yang tinggi di kalangan penganutnya, memupuk kemahuan keras dan kebebasan berfikir, yang akhirnya mencetuskan era yang mengkagumkan dari segi pengetahuan dan penemuan saintifik yang membezakan dunia Islam di puncak ketrampilan budayanya. Yang demikian inilah semangat reformis yang ingin digerakkan semula oleh ajaran Ustazul Imam Muhammad Abduh, yang mempunyai pengaruh yang amat besar dalam pemikiran Syed Syaikh al-Hady.

4.Para13.RightTetapi kemungkinan, agenda al-Imām yang terpenting sebagaimana yang disebarkan oleh Syed Shaykh al-Hady dan Kaum Muda, adalah untuk membela akal (‘aql) dan kemerdekaan berfikir (ijtihad). Penelitian dan pentafsiran yang baru terhadap dasar-dasar agama adalah perlu ketimbang daripada hanya bergantung kepada tradisi dan pentafsir-pentafsir Islam yang lepas. Prinsip ini jelas bergema dengan prinsip dan idealisme Muhammad Abduh dalam membela akal dan penelitian akliah dalam bentuk ijtihad, mengatasi apa yang didakwa pergantungan buta atau taqlid kepada pendapat-pendapat fuqaha abad pertengahan.

Muhammad Abduh telah mengisytiharkan dalam karyanya yang terpenting – Risalah at-Tawhid – yang dibaca dan dikutip oleh al-Hady; bahawa al-Qur’an menyuruh kita, mengarahkan prosedur akliah dan pertanyaan intelek ke dalam manifestasi alam semesta dan sejauh yang mungkin, ke dalam perinciannya, supaya sampai dengan keyakinan menyangkut tentang perkara-perkara yang ia tunjukkan.

Tapi jelas sikap umat Islam pada zaman al-Hady, dan malahan pada hari ini; yang mempunyai kecenderungan untuk beralih kepada tafsiran harfiah daripada “teks” (nas), dan menyangkal apa jua yang jatuh dalam lapangan “akal”. Hal yang demikian ini sesungguhnya telah menyumbang kepada kebekuan intelek dan kemerosotan kondisi ummah sendiri.

Dan hujah Abduh bahawa agama tidak akan sesekali berbentur dengan ilmu dan bahawa akal akan tentunya menerima dogma agama setelah menguji kesahihan dalil daripada kebenarannya; benar-benar mempunyai kesan yang mendalam ke atas al-Hady. Beliau begitu terkesan dengan hujah ini sehingga beliau menulis buku bertajuk Kitab Agama Islam dan Akal di mana beliau menjabarkan idea-idea Abduh dalam istilah yang mudah bagi para pembaca Melayu.

Di dalam buku ini jugalah, al-Hady telah melancarkan serangannya terhadap golongan konservatif Ash‘ariyyah dan kaum Sufi, yang bermusuh dengan kelompok Muslim yang menganjurkan idea tentang modernisme Islam. Pada al-Hady, bagi orang Melayu dan kaum Muslimin untuk maju, mereka harus sanggup untuk bersaing dengan penakluk mereka. Matlamat yang fundamental daripada agenda reformasinya adalah untuk merekonstruksi semula pandangan dunia Islam yang moden dan menyesuaikan kepada keperluan moden daripada peradaban yang dinamik. Al-Hady berkata: ‘Apabila masyarakat pribumi mempunyai pendidikan yang setanding dengan penjajah, mengikut cara penjajah ini mendidik anak-anak mereka, terjun ke dalam sebarang industri dan profesyen, menggunakan perisai yang sama dalam pertarungan hidup; maka pastinya mereka akan dapat terus bertahan dan bersaing dengan orang-orang asing’.

Justeru ia tidak mengejutkan bahawa al-Hady juga menyerang kaum Sufi kerana penekanan mereka yang berlebihan terhadap aspek-aspek eskatologi Islam, yang beliau rasakan membawa manusia jauh daripada tanggungjawab duniawi mereka.

“Tiada syak lagi sekalian penjaja-penjaja agama dan penjual-penjual azimat atau penjinjit tasbih atau pemusing akal perempuan dan segala pengikutnya akan mengatakan saya dengan sebab karangan saya ini seberapa daya upayanya daripada segala perkataan yang jahat-jahat, tetapi tiada saya endah akan perkataan mereka itu selama saya menyeru dengan seruan al-Qur’ān. Kepada Allah jua saya bergantung” [Syed Sheikh al-Hadi, Saudara, 27 Oktober 1928]

Maka tiada sedikitpun keraguan bahawa perjuangan Syed Shaykh al-Hady dan Kaum Muda dalam percubaan untuk membebaskan pemikiran golongan Melayu Islam daripada belenggu konservatisme agama, masih tetap relevan dalam zaman moden kita. Kini, masyarakat Melayu-Islam berada di persimpangan sejarah sekali lagi. Tetapi kali ini, mereka kelihatan terperangkap antara tiga alternatif yang tampak tidak dapat didamaikan: aliran konservatif yang terus berjuang bagi penguasaan dan kedaulatan Melayu dan teologi Ash‘ariyyah; aliran modernis yang mendakap akal dan rasionalisme; dan aliran revisionis yang menginterpretasi semula agama ke dalam pandangan dan pemahaman harfiah dan eksklusifnya.

5.Last ParaDan akhirnya, tanpa ragu, setelah membaca keseluruhan bab dalam buku ini, kita sampai kepada kesimpulan yang tak terbantahkan bahawa kehidupan dan visi Syed Shaykh al-Hadi telah dengan jelas digarap dan dibentangkan dengan terang dan tepat sekali. Lantaran da‘wah dan jihad Kaum Muda telah digembleng semula dalam abad ini, di Nusantara Melayu ini, oleh pelbagai organisasi dan badan pemikir; Islamic Renaissance Front, tidak terkecuali. Oleh itu, kami ingin merakamkan penghargaan yang setulusnya kepada Lia Syed, Pengarah Ekskutif Malaysian Sociology Research Institute (MSRI) [Institut Penyelidikan Sosiologi Malaysia], dan juga Lembaga Pengarah MSRI, kerana mengizinkan kami untuk menerbitkan semula karya asal daripada penulis-penulis buku ini. Mudah-mudahan usaha ini diberkati oleh Tuhan, kerana perjuangan Syed Shaykh al-Hady dan mereka yang kontemporer bersamanya di kalangan Kaum Muda, adalah usaha yang tidak harus dibiarkan terpendam hanya di dalam lipatan sejarah.


AFMusaDato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah Pengarah di Islamic Renaissance Front, badan pemikir yang komited membebaskan pemikiran umat Islam daripada pandangan konservatif dan ortodoksi yang tegar; dan memfokuskan kepada pembaikan (islāh) dan pembaharuan (tajdīd) dalam pemikiran Islam. Esei ini diterjemahkan oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front.

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/kata-pengantar-kepada-edisi-khas-the-real-cry-of-syed-shaykh-al-hady-teriak-sebenar-syed-shaykh-al-hady/