Hak Amal di Malaysia: Di mana dan ke mana?

December 2, 2011 by Ahmad Fuad Rahmat

Kekayaan mana-mana negara sekalipun datang daripada hasil kerja kuat golongan pekerja. Rumusannya mudah: Golongan pemodal biasa menuntut pujian dan pengiktirafan kerana mengeluarkan wang yang diperlukan untuk pelaburan. Tetapi hakikatnya ialah apa-apa projek yang dijana tidak mungkin berlaku tanpa sumbangan dan kesanggupan pekerja.

Golongan pekerja lagi ramai (dan oleh itu sebenarnya lebih berkuasa) daripada golongan pemodal. Pemodal lebih memerlukan perkerja daripada pekerja memerlukan pemodal.

Tetapi hakikatnya juga di Malaysia hak pekerja makin lama makin dikecilkan. Perubahan yang dicadang kepada Employment Act 1955 baru baru ini akan mengizinkan pemodal untuk lari daripada tanggungjawab memelihara kebajikan pekerja mereka.

Jika perubahan itu diterima, pemodal boleh “menyewa” pekerja dari “third party contractor”. Hal ini membebaskan pemodal daripada tanggungjawab mentaati amanah mereka untuk menjaga kebajikan dan hak-hak perkerja-pekerja yang menjanakan kekayaan syarikat korporat peribadi itu.

Tambahan pula, pekerja yang diambil dalam syarat kontrak tersebut dilarang dari menyertai kesatuan pekerja.

Semangat anti-demokrasi perubahan itu memang ketara: suara, hak dan kebajikan pekerja (yang ramai) akan hilang sekaligus, sementara tuntutan pemodal (yang jumlahnya sedikit) disanjung.

Hak Pekerja Hak Asasi Manusia

Pekerjaan bukan setakat cari makan atau terima gaji. Realitinya, jumlah masa dan usaha yg disalurkan untuk bekerja membentuk watak, keperibadian dan kesihatan kita, dan menentukan apa-apa masa (biasanya sedikit) yang tinggal untuk kita bersama keluarga, masyarakat dan apa-apa aktiviti-aktiviti sebenarnya yang kita suka.

Hak pekerja, ialah hak asasi, bukan sahaja kerana kerja itu mata pencarian kita, tetapi kerana kerja kita merangkumi masa yang banyak dan menyentuh, secara mendalam,  aspek-aspek lain yang menentukan nilai dan sifat kewujudan kita.

Hak Pekerja Dalam Islam

Perspektif yang ada di dalam Qur’an: Perkataan amal digunakan dalam al-Qur’an untuk merujuk kepada ibadah (35:7), sikap (99:7-8) dan pekerjaan (18:79, 36:35). Perkataan itu juga dikaitkan dengan secara langsung dengan tema-tema aqidah dan iman dalam Islam.

Islam mengakui bahawa kerja yang dilakukan hari-hari tidak boleh diasingkan daripada hal hal kehidupan dan ibadat. Kerja merangkumi watak kita secara keseluruhan.

Justeru itu amal salih melingkari aktiviti hidup secara total.

Logiknya jelas dan tetap: semua kekayaan yang ada di dunia ini datang daripada Allah. Kerja kuat pekerja adalah satu cara kekayaan ini diusahakan untuk digunakan dengan cara yang adil. Pemodal dan syarikat-syarikat besar yang menganggap kekayaan itu hasil usaha peribadi sendiri ialah satu tanggapan yang salah.

Cabaran-cabaran Sekarang dan Masa Depan

Dalam renungan ini, kita tidak boleh lupa akan fakta-fakta lain yang penting dalam isu hak pekerja di Malaysia buat masa ini:

• Setakat ini, tidak ada undang undang persekutuuan yang menjamin hak gaji minima untuk pekerja. Gaji boleh ditetapkan ikut suka hati oleh kelas pemodal.

• Harga barang makin meningkat, tetapi gaji tetap sama.

• Habuan-habuan yang diberikan seperti subsidi dan harga lebih murah Kedai Rakyat adalah penyelasaian jangka singkat. Fakta jelas, yang dielakkan daripada apa-apa perbahasan serius di media massa, ialah hak-hak pekerja makin lama makin dihakis demi untuk mengistimewakan hak pemodal.

• Isu-isu yang tidak dibuktikan dengan jelas (seperti murtad) dan isu-isu lama (seperti hudud) yang tak akan habis dipolitikkan dan di api-apikan. Isu-isu tersebut mengalihkan perhatian kita daripada hak rakyat yang bekerja kuat hari demi hari.

• Imperialisme baru: Semakin kurang hak pekerja, semakin besar hak diberikan kepadaforeign direct investment daripada syarikat-syarikat besar negara luar. Syarikat-syarikat tersebut tidak mengundi, dan memang tidak menghiraukan hal ehwal Rakyat Malaysia pun, tetapi keinginan mereka masih tetap diperlihara.

• Pengurangan hak asasi yang berlaku secara total, seperti “Peaceful Assembly Act  2011 “ yang akan dibentangkan tak lama lagi, walaupun tidak membicarakan hal pekerja secara khususnya, akan memberi kesan dan memengaruhi isu-isu hak pekerja. Hak pekerja bergantung kepada kebebasan bersuara dan berhimpun yang termaktub di dalam perlembagaan.

Ekonomi hubungan sosial

Semua sistem ekonomi sebenarnya bergantung atas hubungan antara manusia. Wang, hanya me-“mediate” kan (atau mengantarakan atau menghijabkan) hubungan saling memerlu itu, yakni sebagai satu “jambatan” antara individu dan masyarakatnya.

Pandangan ekonomi liberal melihat ini sebagai satu lumrah hidup manusia, di mana kekayaan atau kemajuan masyarakat bermula dari rangsangan “self-interest”, atau kepentingan diri sendiri: Perlihara keperluan individu dulu dalam hal ekonomi, dan kemajuan masyarakat akan turut.

Falsafah ekonomi alternatif melihat pembelahan individu-masyarakat ini sebagai satu kesalahan. Bukan masyarakat yang di utamakan, tetapi satu hubungan dialektika: “the parts are not reducible to the whole, and the whole is not reducible to the parts”: identity bahagian (individu) tidak boleh di kecilkan dan dianggap sama sebagai identiti total (masyarakat). Identiti total pula tidak boleh diabaikan sekaligus dengan tanggapan bahawa apa yang sebenarnya ada hanyalah bahagian. Masyarakat bukan static tetapi selalu dan saling berubah dan bergerak.

Kesimpulannya ialah jika kita lihat masyarakat sebagai satu keadaan yang organic, kita lihat unsur alienation (keasingan) antara manusia yang dipaksa dan dianut oleh masyarakat yang mengutamakan wang dan nilai kebendaan.  Dalam perspektif itu, tidak hairanlah nilai pekerja di pandang rendah sekali.

Ahmad Fuad Rahmat

Felo Penyelidik, Islamic Renaissance Front (IRF)




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/hak-amal-di-malaysia-di-mana-dan-ke-mana/