Seminar Pemikiran Reformis – Siri VI: A. Hassan Bandung

December 10, 2016

gray-V-a-hassan-bandung-titk-spelling
Tarikh: Sabtu, 21 Januari 2017
Masa: 10AM – 5PM
Tempat: Royal Selangor Golf Club, Jalan Kelab Golf, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

Pendaftaranhttps://www.eventbrite.com/e/seminar-pemikiran-reformis-siri-vi-a-hassan-bandung-tickets-30066683259

Ucaptama: Sahibus Samahah Dato’Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Panelis:
Prof Syafiq A. Mughni, Universitas Muhammadiyah Sidoarjo, Indonesia
Ustaz Zainal Abidin Zamzam, Persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang
Dr Azhar Ibrahim, National University of Singapore

Moderator: Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa, Islamic Renaissance Front

 

A.Hassan Bangil atau Bandung (1887-1958), adalah seorang ulama’ faqih yang telah menegakkan perjuangan dakwah lslam dan mempelopori harakat perubahan yang signifikan di Jawa. Perjuangan ini dibawa dalam jaringan dan pertubuhan Islam yang dipimpinnya iaitu Persis (Persatuan Islam) dan dalam aktivisme dan gerak perjuangannya yang lain. Faham dan gagasan perubahan yang diperjuangkannya turut dicerakinkan dalam karya-karyanya yang mengetengahkan idealisme perubahan dan ijtihad.

Pengaruh yang besar yang dibentuknya ini, dan reputasinya sebagai pencetus idealisme pembaharuan dan gagasan islah yang diperjuangkan dalam Persatuan Islam – Persis, telah banyak memberi kesan kepada kaum modernis dalam menggembling kekuatan dan menegakkan aspirasi pembaharuan dan nahdah yang dibawanya. Pemikirannya telah memberikan pengaruh dan impak yang besar kepada para pemikir dan politikus penting di Indonesia seperti Mohammad Natsir, K.H.M. Isa Anshory, K.H.E. Abdurrahman, K.H.E. Qamaruddin Shaleh, K.H.M. Rusyad Nurdin, Fakhroeddin al-Khairi, Hasbi asy-Shiddiqy, Kiyai Munawar Khalil, Ir Sukarno, dan yang sepertinya.

Dalam perjuangan dakwah dan pembaharuan yang dipeloporinya, beliau terkenal keras dan lantang dalam menentang taqlid, dan kental mempertahankan kekuatan ijtihad dan akal dalam memahami nas. Perkara ini digagaskan dalam usahanya untuk mencetuskan kesedaran, dan kefahaman hukum yang sebenar daripada pencarian akliah yang bebas. Kejahilan dan kebobrokan pemikiran dan sikap yang permisif yang cuba diberantas. Demikian ini ditegaskan dalam kitabnya Risalah al-Mazhab yang menolak amalan bertaqlid secara melulu kepada mazhab tanpa pijakan dalil yang jelas.

Dilihat sebagai sosok yang keras dalam mempertahankan pendirian dan harakat yang dipimpinnya, beliau tampil membenahi akar pemikiran kolot dan konservatif, dan merongkai dasar taqlid dan bid‘ah, khurafat dan tahyul yang tidak bersandarkan akal yang rasional yang telah mencetuskan pertentangan dan perdebatan yang keras antaranya dengan Kaum Tua. Perkembangan pemikiran yang berbentur ini di zamannya telah mewarnai dan mencorakkan idealisme perjuangannya, dan pengaruhnya dalam manhaj dan mazhab yang diperjuangkannya.

Dalam usahanya untuk mengembangkan idealisme dan faham perubahan yang radikal, pemikiran yang dicetuskan A. Hassan Bandung telah memberikan asas yang penting dalam menggerakkan perjuangan Kaum Muda dan mewarnai sejarah awal perjuangan kelompok modenis di Indonesia. Falsafah pembaharuan yang diungkapkan, dan idea-idea dan masalah-masalah baru yang dikupas dan usahanya mencari alasan hukum daripada al-Qur’an dan as-Sunnah telah memberikan pencerahan dan meluaskan ufuk pemikiran dan ijtihad.

Maka pembaharuan itu menuntut perluasan dan pencarian akliah yang lebih mendalam dan keupayaan dan kesanggupan mencabar tradisi pemikiran masa lampau serta menetapkan idealisme perubahan yang relevan dengan tuntutan maslahah dan kepentingan umat dan aspirasi pemikiran yang moden lagi progresif.

Program:
0930-1000: Pendaftaran dan minum pagi
1000-1005: Ucapan oleh Pengerusi majlis, Shuhaib Ar Rumy Ismail
1005-1015: Bacaan al-Qur’an oleh Muhammad Thufail Sayuti. Surah An-Nahl: 121-128
1015-1055: Ucaptama oleh Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin
1055-1100: Ucapan pengenalan oleh moderator, Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
1100-1200: Pembentang I: Prof Syafiq A. Mughni
“Posisi A. Hassan dalam Reformisme Islam di Indonesia”
1200-1245: Perbincangan dan soal jawab
1245-1415: Makan tengahari dan solat
1415-1500: Pembentang II: Ustaz Zainal Abidin Zamzam
“Kenangan Kepada Pahlawan Agama dan Bangsa di Nusantara: Al Marhum Kiyai A. Hassan”
1500-1545: Pembentang III: Dr Azhar Ibrahim
Yang Menyambung dan Yang Bertembung: Dakwah Reformisme Hassan Bandung"
1545-1700: Perbincangan dan soal jawab
1700: Minum petang dan bersurai

Biografi ringkas pembentang-pembentang:

Prof Syafiq A. Mughni adalah Ketua Pimpinan Pusat (PP) Muhammadiyah. Beliau juga merupakan Guru Besar Fakultas Adab dalam bidang Sejarah dan Peradaban Islam di UIN Sunan Ampel. Menamatkan pendidikan dasar di MI Muhammadiyah Lamongan dan MA 6 Tahun di Pesantren PERSIS Bangil, pesantren yang telah diasaskan oleh A Hasan Bandung. Beliau telah menerima MA dan Ph.D beliau daripada Islamic Studies, University of California, Los Angeles. Beliau pernah berkhidmat sebagai Dekan Fakultas Adab IAIN Surabaya dan menjabat sebagai Rektor UM Sidoarjo 2001-2006. Prof Syafiq A. Mughni telah menulis beberapa buah buku termasuklah buku Hassan Bandung: Pemikir Islam Radikal.

Ustaz Zainal Abidin Zamzam adalah seorang tokoh pendakwah yang banyak berbakti kepada gerakan Sunnah di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang. Beliau antara penggerak Persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang yang bergerak sejak zaman 50’an. Ustaz Zainal Abidin Zamzam perbah menjadi tenaga pengajar di Madrasah Muhammadiyah al-Islamiyyah di Kampung Baru, Ayer Itam, yang telah ditubuhkan oleh Persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang pada tahun 1954. Guru-guru yang mengajar pada ketika itu termasuklah Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Pawanchik dan Haji Ibrahim Aqibi. Ustaz Zainal Abidin Zamzam bersama ahli-ahli Muhammadiyah adalah diantara penganjur Muzakarah Alim Ulama’ SeMalaya di Sekolah Chung Ling, Air Itam, di mana Al-Ustaz A. Hassan Bandung telah hadir untuk berdebat dengan Syeikh Fadlullah Suhaimi dari Singapura yang merupakan tokoh Kaum Tua pada ketika itu.

Dr Azhar Ibrahim adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Beliau telah menerima Ph.D., MA, daripada Jabatan yang sama pada tahun 2002 dan 2008. Disertasi beliau bertumpu pada hal humanisme dan intelektualisme dalam kesusasteraan ilmuwan Melayu manakala tesis MA beliau adalah berkenaan kajian orientasi keagamaan seperti yang tercermin dalam masharakat feudal Melayu dan penerusannya hingga ke hari ini. Beliau mengambil jurusan Pengajian Melayu dan Pengajian Asia Tenggara pada peringkat ijazah. Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah selama hampir sedekad di Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, mengajar persuratan Melayu klasik dan moden, sosiologi Bangsa Melayu, dan juga tradisi intelektual dan peradaban Islam. Beliau juga telah berjaya menyiapkan pengkajian di peringkat pasca kedoktoran di Faculty of Theology, University of Copenhagen, Denmark (2009/2010), dan kemudian di Tample University, USA (2010/2011). Kajian beliau berfokus pada Teologi Sosial dalam Muslim Asia Tenggara: Tren dan Cabaran, dan Teologi Dialog dalam Masyarakat Melayu-Indonesia: Prospek dan Halangan. Beliau telah menulis banyak makalah dan buku-buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu dan sangat aktif memberikan syarahan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.




View original article at: https://irfront.net/post/events/seminar-pemikiran-reformis-siri-vi-a-hassan-bandung/