Bengkel Penterjemahan Intensif: Teori & Amali

December 29, 2016

Tarikh: Ahad, 22 Januari 2017
Masa: 10 AM – 530PM
Tempat: Heritage Room, Royal Selangor Golf Club, Jalan Kelab Golf, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

Pendaftaran: https://www.eventbrite.com/e/bengkel-penterjemahan-intensif-teori-amal-tickets-30713314350

Ucapan Perasmian:
Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa, Pengarah, Islamic Renaissance Front

Fasilitator:
Dr. Azhar Ibrahim, National University of Singapore
Muhammad Hafizuddin Aziz, Akademi Pengajian Penterjemahan Insaf (APPI)

Anjuran:
Islamic Renaissance Front

 

Kekuatan sesebuah tamadun adalah dipasakkan oleh kegemilangan ilmu, di mana ilmu dibudayakan dalam masyarakat dan pemerintahan kenegaraan dibentuk daripada dasar kebijaksanaan ilmuwan yang mengimbangi kekuasaan pemerintah. Perkembangan ilmu tidak sekadar daripada penulisan buku, tetapi turut datang daripada bidang penterjemahan, di mana hasil tulisan ilmuwan daripada kebudayaan dan kebahasaan tamadun luar dibawa masuk dan diterjemah agar dapat difahami oleh semua orang.  Sejarah dunia penterjemahan bukanlah sesuatu yang baru, malahan dikatakan bahawa pada kurun 3000SM pada zaman Mesir Tua sudah ditemui batu bersurat yang mempunyai dua bahasa. Malahan pada ketika era Abbasiyyah, Baitul Hikmah yang berdiri sebagai pusat intelektual Islam, tidak sekadar wujud sebagai perpustakaan, malahan turut menjadi pusat penterjemahan, di mana antara karya-karya yang banyak diterjemahkan adalah daripada bahasa Pahlavi, Parsi, dan Greek. Antara tokoh-tokoh penterjemah yang terkenal pada ketika itu ialah Yahya Bin Batriq, Ibn Sahda, Ayyub al-Ruhawi, dan Zayd Hunayn Bin Ishaq al-‘Ibadi.

Kerja-kerja penterjemahan bukanlah suatu kerja yang mudah. Seperti penulisan buku, penulisan terjemahan turut memerlukan suatu disiplin ilmu yang tinggi kerana ia tidak sekadar melibatkan kepada kefahaman teks asal, tetapi turut perlu mahir dalam mengalihbahasakan teks kepada struktur bahasa yang dapat difahami masyarakat dan mempertalikan pemaknaan teks ke dalam kesesuaian budaya masyarakat setempat. Sebab itu ada sesetengah orang berpandangan bahawa kerja-kerja menterjemah teks adalah sama dengan menulis sebuah tulisan yang baru. Kerana disebabkan oleh sesebuah teks yang diterjemah adakala sudah diresapkan dengan pemikiran penterjemah sama ada ia disengajakan ataupun tidak.

Lantaran itu, bengkel penterjemahan intensif ini mempunyai dua objektif, iaitu: (1) Memperkenalkan kepada peserta tentang asas-asas penterjemahan bahan ilmiah; dan (2) Memberi latihan intensif kepada peserta untuk menterjemah esei dan buku ilmiah. Maka adalah suatu harapan bahawa bengkel ini dapat melatih peserta-peserta khususnya penterjemah-penterjemah daripada Islamic Renaissance Front (IRF) untuk lebih mahir untuk menghasilkan penterjemahan yang berkualiti dalam mendekatkan masyarakat terhadap wacana-wacana idea yang digerakkan oleh IRF.

 

 

Program:

09.30-1000 : Pendaftaran
1000-1005 : Ucapan pengerusi bengkel, Maryam Zakiah
1005-1015 : Ucapan perasmian bengkel, Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa
1015-1230 : Teori: Disiplin Ilmu Penterjemahan, Dr. Azhar Ibrahim
1230-1400 : Makan tengahari & Solat
1400-1700 : Amali: Teknik Penterjemahan Artikel & Buku Ilmiah, Muhammad Hafizuddin Aziz
1700 : Minum petang & Bersurai

 

 

Biodata Ringkas Fasilitator

Dr Azhar Ibrahim adalah Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Beliau telah menerima Ph.D., MA, daripada Jabatan yang sama pada tahun 2002 dan 2008. Beliau mengambil jurusan Pengajian Melayu dan Pengajian Asia Tenggara pada peringkat ijazah. Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah selama hampir sedekad di Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, mengajar persuratan Melayu klasik dan moden, sosiologi Bangsa Melayu, dan juga tradisi intelektual dan peradaban Islam. Beliau juga telah berjaya menyiapkan pengkajian di peringkat pasca kedoktoran di Faculty of Theology, University of Copenhagen, Denmark (2009/2010), dan kemudian di Tample University, USA (2010/2011). Beliau telah menulis banyak makalah dan buku-buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu dan sangat aktif memberikan syarahan di Malaysia dan juga antarabangsa.

Muhammad Hafizuddin Aziz merupakan graduan Sarjana dalam bidang Pengajian Penterjemahan dari Universiti Sains Malaysia (USM). Sekarang beliau berkhidmat sebagai Penterjemah Bebas dan Editor Penterjemahan di Thukul Chetak. Beliau merupakan tenaga pengajar di Akademi Pengajian Penterjemahan Insaf (APPI) yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang pengajian terjemahan. Beliau juga menjadi Editor bagi buku Asas Pengajian Penterjemahan yang menjadi buku rujukan dalam siri-siri kuliah terjemahannya. Antara buku yang pernah diterjemah olehnya ialah Phaedo (Plato) dan Kafka Short Stories.




View original article at: https://irfront.net/post/events/bengkel-penterjemahan-intensif-teori-amali/