Prakata Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh

November 20, 2017 by Ahmad Farouk Musa

 

“Aku sering kali pergi ke Eropah hanya untuk memperbaharui harapanku untuk merubah keadaan umat Islam ke arah yang lebih baik dengan mereformasi agama yang mereka telah rosakkan, dan untuk memacu mereka kepada pengetahuan tentang urusan mereka sendiri dan kawalan terhadap ini tanpa terlalu terlanjur dan melampau, dan harapan ini akan melemah dalam jiwaku ketika aku pulang ke negaraku sendiri lantaran semua kezaliman yang aku temui, dengan kesulitan yang getir yang aku hadapi, kejahatan yang aku lihat lantaran pengabaian umat Islam terhadap kelebihan mereka sendiri, permusuhan mereka terhadap diri mereka, keghairahan mereka yang besar untuk menguatkan cengkaman penindas mereka ke atas mereka, dan kecintaan mereka pada penghambaan yang semberono pada mereka. Tetapi ketika aku kembali ke Eropah, dan menetap di sana selama satu atau dua bulan, harapanku akan kembali semula kepadaku, dan ia akan tampak mudah untuk mencapai apa yang aku fikirkan mustahil.”

–Muhammad Abduh
(Mark Sedgwick, Muhammad Abduh. Oxford: Oneworld Publications, 2010: 101)

 

Buku ini al-Manhaj al-Islahi li al-Imam Muhammad Abduh (Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh) adalah karya Muhammad Imarah yang telah diterbitkan oleh Bibliotheca Alexandrina (Maktabah al-Iskandariyah), pada tahun 2005. Ia merupakan sebahagian daripada koleksi karya yang dimuatkan dalam al-A‘mal al-Kamilah [himpunan karya] yang komprehensif yang telah ditahkik oleh Muhammad Imarah dan dirangkumkan bersama dalam koleksi ini. Ia melantarkan rujukan yang terbaik dan autoritatif tentang hasil karya dan pemikiran Muhammad Abduh (1849-1905) dari kompilasi penulisannya yang penting seperti al-Islam wa’l Nasraniyyah, Risalat al-Tauhid, Risalat al-Waridah dan lain-lain. Koleksi ini sangat krusial bagi meraih pemahaman yang analitis tentang idea dan pandangan kunci Abduh tentang harakat islah dan tajdid yang digerakkannya di dunia Islam. Ia telah dikumpul dan didokumentasikan dengan sebaiknya, bagi menempatkannya pada posisinya yang sebenar sebagai revivalis yang terpenting dalam harakat reformasi di negara Mesir moden.

Dalam buku ini al-Manhaj al-Islahi li al-Imam Muhammad Abduh – Imarah mengimbau latar pemikiran dan perjuangan Abduh dan sumbangannya yang utama dalam mempelopori harakat pembaharuan dan mencetuskan kesedaran dan perubahan yang berkesan. Manhaj Islah yang digariskan telah membawa pengaruh yang monumental dalam penggembelingan semangat ijtihad dan pemekaran tradisi intelek dan kebangunan akliah. Harakat ini harus diteruskan dalam memperjuangkan idealisme reformasi dan aspirasi kebangkitan yang digagaskan dan melanjutkan perjuangan Abduh dalam mengangkat martabat dan harakat ummat dan mencetuskan nahdah pemikiran dan visi kemodenan Islam yang signifikan dan bermakna di abad moden.

Abduh adalah merupakan penerus kepada cita-cita perjuangan yang dilandaskan oleh gurunya, Sayid Jamāl al-Dīn al-Afghānī. Perjuangan al-Afghāni di Mesir, Iran, Paris, dan Afghanistan telah dizahirkan dalam karya dan fatwa Abduh yang memperlihatkan aspirasinya untuk mengangkat martabat agama, akal, dan sains. Idea pencerahan bersandarkan manhaj salafiyyah aqlāniyah yang diilhamkannya telah membawa perubahan penting dalam kehidupan masyarakat dan memangkin kekuatan baru dalam sejarah sosio-budaya ummat.

Kesan pemikiran Abduh telah memberikan pengaruh yang meluas dalam gerakan Islam sedunia. Pendiri Muhammadiyah, K.H. Ahmad Dahlan, sang pencerah yang membawa gerakan pembaharuan di Indonesia telah terkesan dengan pengaruh perjuangan Abduh di Mesir. Sayid Shaykh al-Hadi yang melontarkan pesan pembaharuan dan meniupkan mesej nahdah di Tanah Melayu juga terkesan dengan gagasan pan-Islamisme yang digerakkan oleh Abduh. Pelajar-pelajar Melayu dan Indonesia yang menuntut di Mesir pada zaman kebangkitan ketika itu terpukau dengan watak dakwah dan cetusan idea Abduh yang menzahirkan hasrat pembaharuannya dengan lantang dan memplokamirkan gagasan dan cita-cita perjuangan yang jitu terhadap gerakan Islam.

Abduh telah merakamkan sumbangan yang bermakna dalam mengangkat dan menggerakkan kekuatan dan semangat perjuangan Islam di seluruh dunia. Hasil karyanya yang ditulis sejak akhir kurun ke-19 telah menzahirkan corak dakwah yang revolusioner dan mewarnai pemikiran dan pandangan Islam kontemporer.  Pengaruh dan dampak yang jelas daripada pemikiran Abduh dalam karya tafsir, diperlihatkan dalam penulisan kitab The Message of The Qur’an oleh Muhammad Asad, seperti dinyatakannya:

“Pembaca akan dapati banyak rujukan yang dibuat dari pandangan Muhammad Abduh (1849-1905) di nota kaki. Pengaruh beliau dalam dunia moden Islam tidak mampu untuk dijelaskan sepenuhnya. Cukup untuk dinyatakan bahawa setiap aliran pemikiran Islam yang tumbuh di zaman moden adalah berakar daripada pengaruh yang bercambah dari tradisi pemikiran dan idealisme beliau, secara langsung atau tidak.”


Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa merupakan Pengarah di Islamic Renaissance Front (IRF), iaitu sebuah badan pemikir yang mengupayakan Islah dan Tajdid dalam pemikiran umat Islam serta pemerkasaan akal. Buku Manhaj Islah Imam Muhammad Abduh ini akan diluncurkan pada 2 Disember di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.

 

 

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/prakata-manhaj-islah-imam-muhammad-abduh/