Sekilas Pandang tentang Fazlur Rahman

January 1, 2019 by Ahmad Nabil Amir

Fazlur Rahman (1919-1988) adalah ahli hukum dan intelektual Islam yang terkenal. Gagasan-gagasan radikal yang dikembangkannya banyak memaksanya untuk meninggalkan Pakistan dan berhijrah ke Amerika – didorong oleh pertembungan idea yang parah dan ancaman yang menggugat daripada puak fundamentalis yang fanatik dan radikal.

Mengingat derasnya arus pemikiran yang menyerbu dalam kehidupannya, Rahman cuba mewarasi semuanya itu dengan membenahi pemikiran dan ideologi-ideologi moden yang mengasak dunia intelektual pada abad ke-20. Berawal dengan iltizam untuk merumus satu filsafat dan pandangan alam yang mendasar, beliau meninjau ulang berabad-abad pemikiran dan pemahaman yang dirumus tentang mazhab hukum, dan cuba memperbaharui dan membawa ideal yang dapat menampung keperluan-keperluan moden, dengan mengembangkan pemahaman dan pikiran-pikiran hukum yang bebas, progresif dan dinamik.

Dari penelaahan dan pemikiran ulangnya terhadap tradisi Islam, beliau telah menggariskan interpretasi hukum yang prinsipal terkait dengan sifat dasar dan metodologinya, dalam merespon kepada cabaran dunia moden di mana Rahman berhujah bahawa ijtihad (penalaran bebas) harus memainkan peranan kunci dalam kehidupan Muslim kontemporer. Prinsip asas dalam tafsir al-Qur’an-nya yang analitik dilacak daripada faham-faham klasik Barat dan fikiran-fikiran Greek yang disuguhkan dalam tafsir moden. Ia menggagaskan prinsip dan metodologi hermeneutik yang radikal dan asli.

Terkait dengan hal ini, Abdullah Saeed menulis tentang signifikasi hukum-etika yang diilhamkan Fazlur Rahman dan menghuraikan metodologi al-Qur’an dan rumusan hukum yang dikembangkannya, “On balance, Rahman’s approach to the Qur’an was among the most original, daring and systematic of the mid to late twentieth century. His emphasis on the context of the revelation has had far reaching influence on the debate among Muslims of questions such as human rights, women’s rights and social justice.”

Dalam karya pentingnya Revival and Reform in Islam: A Study of Islamic Fundamentalism (ed. Ebrahim Moosa) - karyanya yang terakhir yang didiktekan sebelum wafatnya pada tahun 1988 – Rahman menyuguhkan hujah-hujah saintifik yang memperlihatkan ketinggian daya ijtihad dan kekuatan analisis dalam menyikapi permasalahan mazhab dan aliran fundamentalisme Islam, berhadap-hadapan dengan kemunculan sekte-sekte awal dan pembentukan ortodoksi sunni, yang digali daripada sumber-sumber Islam abad pertengahan, di mana “dalam karya ini, Rahman menantang persepsi hari ini tentang fundamentalisme Islam dan melanjutkan untuk mengaksesnya semula,” suatu karya “yang sangat mendalam, cerdas dan provokatif” di mana “tidak diragukan lagi, bahwa para ahli, mahasiswa dan pengagum Rahman akan melihat karya yang menggairahkan ini sebagai penghormatan besar bagi pemikir yang benar-benar legendaris ini.”

Menyikapi faham dan asas-asas pemikiran hermeneutis Fazlur Rahman, dan pandangannya tentang proses penurunan wahyu dan pembauran kesedaran Nabi di dalamnya, Nurcholish Madjid menunjukkan, “Ia tampak padaku bahawa Fazlur Rahman benar ketika dia menegaskan yang al-Qur’an tidak turun kepada Nabi dalam kekosongan. Maka salah satu cara untuk memahami pesannya adalah dengan memahami konteksnya. Justeru jika anda bercakap tentang asbab al-nuzul atau sebab turunnya wahyu ia bukanlah latar yang spesifik daripada wahyu tetapi juga tentang lingkungan budayanya.

Pada Rahman fikiran dan jiwa Nabi dengan akrab terlibat dalam wahyu sebanyak mana Tuhan sebagai sumbernya, tegasnya al-Qur’an sepenuhnya daripada Tuhan, sebagaimana ia sepenuhnya daripada Nabi - yang membayangkan ia bukan penerimaan pasif tetapi melibatkan kesedaran Nabi yang membaur di dalamnya.

Bertitik tolak daripada kemungkinan-kemungkinan ini, Seminar Pemikiran Reformis Siri XIV - Fazlur Rahman ini bermaksud meninjau kerangka pemikiran Fazlur Rahman (1919-1988)dan manhaj saintifik yang dibangunkan dalam penafsiran teks al-Qur’an. Ia cuba menyikapi prinsip-prinsip asas daripada manhaj pembaharuan yang dibangunkan dan signifikasi historis daripada pembacaan tematik dan kontekstualnya yang membentuk idealisme dan faham kontekstualis yang fundamental yang mendasari metodologinya dalam pemahaman teks yang dilontarkan dalam buku-bukunya seperti Major Themes of the Qur’an, Islamic Methodology in History, Revival and Reform in Islam: A Study of Islamic Fundamentalism (Oneworld Publications, 1999), Prophecy in Islam: Philosophy and Orthodoxy (University of Chicago Press, 2011) dan Islam (University of Chicago Press, 1979).

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Beliau adalah Sarjana Kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/sekilas-pandang-tentang-fazlur-rahman/