Seminar Pemikiran Reformis – Siri XV: Sayyid Jamal ad-Din Al-Afghāni

March 25, 2019

Sabtu, 30 Mac 2019 || 930AM – 530PM
Ibnu Sina Presentation Room, Kulliyyah of Economics and Management Sciences, International Islamic University of Malaysia, Jalan Gombak, Kuala Lumpur

Perasmian oleh Tan Sri Dato’ Dr Dzulkifli Abdul Razak
Rektor, International Islamic University Malaysia (IIUM)

Panelis:
Dr M Faisol Fatawi, Universitas Islam Negeri Malang, Indonesia
Dr Sohirin Muhammad Solihin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Dr Azhar Ibrahim, National University of Singapore

Moderator:
Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa, Islamic Renaissance Front 

Anjuran:
Islamic Renaissance Front dan Islamic Staff Association, International Islamic University Malaysia

Daftar di: https://www.eventbrite.com/e/seminar-pemikiran-reformis-siri-xv-sayyid-jamal-ad-din-al-afghani-tickets-57954136382

Sosok revolusioner Sayyid Jamal ad-Din al-Afghani (1838 - 1897) merupakan pelopor dan pengobar cita-cita pan-Islamisme (al-wihdah al-Islamiyyah) yang memperjuangkan kebangkitan dan penyatuan ummah (al-jami‘ah al-Islamiyyah) dalam menghadapi kuasa imperialisme Barat. Idea ini bertahan dengan perjuangan revolusioner yang dinyalakannya bagi menentang dasar-dasar penjajah dan ideologi politik yang dikembangkan melalui perluasan dasar imperialisme yang nakal.

Perjuangan yang digerakkan oleh al-Afghāni telah membawa perubahan yang penting di dunia Islam dalam menghadapi strategi bobrok penjajah. Dengan perluasan kesedaran dan penggemblingan idea yang berpengaruh luas, al-Afghāni telah mencetuskan kekuatan yang revolusioner dalam perjuangan pan-Islamisme yang dilancarkan di kalangan bangsa Islam. Serangannya terhadap penjajah digerakkan di Paris dengan mendirikan persatuan “Jamiyat al-Urwa al-Wuthqa” bagi “menghimpun dan mempersatukan masyarakat Islam yang bercerai berai, melenyapkan sebab-sebab perpecahan mereka, dan membangkitkan mereka daripada kelelapan tidurnya”.

Dalam konteks moden, perjuangan al-Afghāni menfokuskan kepada pembebasan umat Islam daripada penaklukan Barat dan pendudukan kolonial yang merampok tanah-tanah Islam. Teori pan-Islamisme yang dirumuskannya dalam berkalanya al-Urwah al-Wuthqa yang diterbitkan di Paris hanya mengetengahkan pandangan untuk menyingkirkan pemimpin yang tunduk kepada penjajah asing, dan digantikan dengan mereka yang patriotik, tanpa memihak kepada sistem perlembagaan, demokrasi politik atau parlimen. Sikap anti-imperialisme al-Afghāni terhadap penjajah British menjadi pencetus kepada gagasan pan-Islamisme yang diilhamkannya, yang memperjuangkan pembaharuan politik dan peningkatan dan kebangunan umat.  Hal ini merangkumi misi pembaharuan dan nahdah yang dikembangkan dengan strategik, dan tersebar di London, Paris, Parsi, Mesir, India dan tempat-tempat persinggahannya.

Dan dalam gerakan kepada kesatuan dan kebebasan kaum Muslimin ini tiada seorangpun yang memainkan peranan yang begitu mencolok seperti Sayyid Jamal ad-Din, lelaki yang mempunyai kekuatan karakter yang dahsyat, pengetahuan yang luar biasa, aktiviti yang tidak kenal lelah, keberanian yang gigih, kefasihan yang luar biasa dalam perbicaraan dan penulisan, serta penampilan yang menyolok lagi penuh kemegahan.

Apa yang jelas, perjuangan beliau telah memberi pengaruh yang meluas dalam mencetuskan semangat Pan-Islamisme yang mendalam dan faham pembaharuan dan memainkan peranan penting dalam kebangkitan nilai saintifik dan rasional pada abad ke sembilan belas.

Program:
0930-1000:     Pendaftaran
1000-1005:     Ucapan oleh Pengerusi majlis, Ust Mohd Rashidi
1005-1015:     Bacaan al-Qur’an oleh Muhammad Thufail Sayuti, Surah at-Taubah: 41-50.
1015-1025:     Perasmian oleh Tan Sri Dato’ Dr Dzulkifli Abdul Razak, Rektor, International Islamic University Malaysia
1025-1035:     Ucapan pembukaan oleh Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, Presiden, Academic Staff Association, International Islamic University Malaysia
1035-1045:      Ucapan pengenalan oleh moderator, Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
1045-1145:     Pembentang I: Dr M. Faisol Fatawi
“Membaca Pemikiran Pembaharuan Jamal ad-Din Al-Afghāni”
1145-1245:     Perbincangan dan soal jawab
1245-1430:      Makan tengahari dan solat
1430-1530:     Pembentang II: Dr Sohirin Solihin
Intellektualime Jamal ad-Din Al-Afghāni dan pengaruhnya terhadap pembaharuan pemikiran Islam
1530-1630:     Pembentang III: Dr Azhar Ibrahim
Jamal ad-Din Al-Afghāni sang penyeru: Berfilsafat untuk kebangunan umat dan ilmu
1630-1730:     Perbincangan dan soal jawab
1730:               Minum petang dan bersurai 

Profil Para Pembicara

Dr M. Faisol Fatawi adalah pensyarah di Jurusan Bahasa dan Sastra Arab Fakultas Humaniora Universitas Islam Negeri (UIN) Maulana Malik Ibrahim Malang. Meraih gelar Doktor (Dr.) di Pascasarjana Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel Surabaya pada tahun 2015, pada konsentrasi Pemikiran Islam. Disertasi beliau berjudul “Naratologi al-Qur’an: Struktur dan Fungsi Naratif Kisah Nabi Musa dalam al-Qur’an”. Beliau telah menerjemahkan buku-buku keislaman dan sastra Arab kedalam bahasa Indonesia, diantaranya Naguib al-Kailani, Merpati Ladang Kapas (2001), Khalil Abdul Karim, Hegemoni Quraisy (2002), Ali Harb, Kritik Nalar al-Qur’an (2003), Naguib Mahfoudz, Demit (2003), dan Khalil Abdul Karim, Historisitas Syari’ah Islam (2003). Beliau juga telah menulis beberapa buku, diantaranya Tafsir Sosiolinguistik (2009), Hermeneutika Gender (2011), dan Seni Menerjemah (2009). Dr M. Faisol turut menjadi kontributor penulisan buku Intelektualisme Islam: Melacak Akar-akar Integrasi Ilmu dan Agama (2009), Pemikiran Islam: Sebuah Catatan Ensiklopedis (2012), Kitab Santri: Antologi Pengalaman dan Pendidikan Moral di Pesantren (2018), dan Aku, Buku, dan Peradaban (2018). Selain itu, beliau juga aktif dalam organisasi sosial keagamaan; menjadi Ketua Lembaga Kajian dan Pengembangan SDM (Lakpesdam) PCNU Kota Malang, Wakil Ketua Lajnah Ta’lif wan Nasyr Nahdlatul Ulama (LTNNU) Wilayah Jawa Timur. Beliau juga ialah Founder Halaqah Literasi, sebuah forum pegiat literasi yang berkomitmen untuk menggerakkan dunia literasi anak negeri dengan menginformasikan ide dan pengalaman dalam sebuah karya tulis. 

Prof. Madya Dr. Sohirin Muhammad Solihin adalah pensyarah di Jabatan Qur’an dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga pernah menjadi pengurus Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyah (PCIM) Malaysia. Belau adalah lepasan Al-Azhar Mesir dan telah mendapat M.A. daripada Markfield, dan Ph.D. daripada University of Birmingham. Di UK, beliau pernah bekerja di Yayasan Islam, Leicester, dalam unit khusus Christian-Muslim Relations. Antara buku yang dikarang belau adalah Copts and Muslims in Egypt: A Study on Harmony and Hostility (1991) Studies on Sayyid Qutb's Fi Zilal Al-Qur'an(1999), Hermeneutics as New Method of Qur'anic Exegesis Critical Views on the Approach of Liberal Muslim Scholars(2005), Islam and Politics: Emergence of Reformative Movement in Indonesia(2006). Beliau juga adalah pengarang buku Mohammad Natsir: Islamic Intellectualism and Activism in the Modern Age(2013).

Dr Azhar Ibrahim adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Beliau telah menerima PhD, MA, daripada Jabatan yang sama pada tahun 2002 dan 2008. Disertasi beliau bertumpu pada hal humanisme dan intelektualisme dalam kesusasteraan ilmuwan Melayu manakala tesis MA beliau adalah berkenaan kajian orientasi keagamaan seperti yang tercermin dalam masyarakat feudal Melayu dan penerusannya hingga ke hari ini. Beliau mengambil jurusan Pengajian Melayu dan Pengajian Asia Tenggara pada peringkat ijazah. Beliau telah berkhidmat sebagai pensyarah selama hampir sedekad di Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, mengajar persuratan Melayu klasik dan moden, sosiologi Bangsa Melayu, dan juga tradisi intelektual dan peradaban Islam. Beliau juga telah berjaya menyiapkan pengkajian di peringkat pasca kedoktoran di Faculty of Theology, University of Copenhagen, Denmark (2009/2010), dan kemudian di Temple University, USA (2010/2011). Kajian beliau berfokus pada Teologi Sosial dalam Muslim Asia Tenggara: Trend dan Cabaran, dan Teologi Dialog dalam. Masyarakat Melayu-Indonesia: Prospek dan Halangan. Beliau telah menulis banyak makalah dan buku-buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu dan sangat aktif memberikan syarahan di Malaysia dan juga antarabangsa.




View original article at: https://irfront.net/post/events/seminar-pemikiran-reformis-siri-xv-sayyid-jamal-ad-din-al-afghani/