Penyertaan Malaysia ke dalam Statut Rom tidak akan menggugat kuasa Yang Di-Pertuan Agong

March 21, 2019 by Ahmad Muziru Idham

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Facebook baginda bertarikh 10 Mac 2019 berhubung isu penyertaan Malaysia sebagai negara ahli bagi Statut Rom (Rome Statute), kami daripada Islamic Renaissance Front (IRF) mengambil perhatian terhadap isu ini lebih-lebih lagi berhubung kerisauan TMJ bahawa keputusan ini akan menggugat kuasa Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) Malaysia sebagai Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kami mengambil pendirian bahawa penyertaan Malaysia ke dalam Statut Rom tidak akan menggugat kuasa YDPA sebagai Ketua Utama Negara.

Sebagai pengenalan, Statut Rom merupakan sebuah perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai pada 17 Julai 1988 di Rom yang telah menjadikan tertutubuhnya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court, ICC). Mahkamah tersebut terletak di The Hague, Belanda dan statut tersebut mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2002. Perkara 5(1) dalam Statut Rom memperuntukkan bahawa kuasa perundangan ICC hanya terbatas kepada empat kes jenayah serius sahaja yang melibatkan komuniti antarabangsa, iaitu:

1) Jenayah pembunuhan beramai-ramai (the crime of genocide);
2) Jenayah terhadap kemanusiaan (crimes against humanity);
3) Jenayah perang (war crimes);
4) Jenayah pencerobohan (the crime of aggression)

Secara ringkasnya, jika merujuk kepada definisi keempat-empat jenayah tersebut dalam Perkara 6, 7, 8, dan 8 bis Statut Rom, maka dapat dilihat bahawa bidang kuasa Statut Rom hanya tertakluk kepada perlakuan jenayah kemanusiaan yang melibatkan nyawa manusia dalam skala yang besar. Hal ini bermakna, jenayah yang melibatkan kemanusiaan dalam skala yang kecil dan masih terkawal oleh pihak berkuasa tempatan untuk dibicarakan oleh mahkamah domestik adalah tidak tertakluk dalam definisi keempat-empat jenayah tersebut untuk dibawa ke perbicaraan ICC.

ICC hanya menjalankan bidang kuasanya apabila perlakuan jenayah yang berlaku dalam sesebuah negara dirujuk oleh:

1) Negara anggota ICC lain kepada Pendakwa (Perkara 13(a))
2) Majlis Keselamatan PBB kepada Pendakwa (Perkara 13(b))
3) Pendakwa sendiri yang melakukan siasatan ke atas kes jenayah tersebut (Perkara 13(c))

Dalam menjalankan proses perbicaraan tersebut, Perkara 20 Fasal 3(a)(b) Statut Rom memperuntukkan bahawa seseorang tidak boleh dibicarakan di ICC sekiranya telah dibicarakan di mahkamah lain (iaitu mahkamah domestik) kecuali sekiranya keputusan mahkamah tersebut adalah jelas bertujuan melindungi pesalah daripada tataperundangan negara atau tidak membicarakan kes dengan niat yang jujur untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

Dalam erti kata lain, perbicaraan kes ke ICC hanya akan berjalan apabila proses perundangan tempatan sudah tidak dapat berfungsi dengan adil sebagai kesan daripada jenayah kemanusiaan yang telah berlaku dalam negara tersebut.

Dalam hal ini, kerisauan TMJ adalah berhubung Perkara 27 dan 28 Statut Rom yang memperuntukkan bahawa ketua negara dan komander tentera yang akan dipertanggungjawabkan bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pihak berkuasa di bawah arahannya. Kebimbangan ini wujud disebabkan oleh Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa YDPA menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.

Namun begitu, harus dipertegaskan di sini bahawa anggapan tersebut perlu dilihat daripada pandangan perundangan yang lebih tajam dan teliti. Walaupun Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan YDPA sebagai Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan, namun YDPA tetap terikat dengan Perkara 39, 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa YDPA mestilah bertindak mengikut nasihat Kabinet. YDPA hanya boleh sekadar bertindak menurut budi bicaranya sendiri bagi hal-hal dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini bermakna, YDPA tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengisytiharkan sesuatu yang melibatkan jenayah kemanusiaan tersebut melainkan atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet sebagai pelaksana kuasa eksekutif persekutuan. YDPA tidak bertanggungjawab terhadap empat kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa ICC kerana tanggungjawab undang-undang untuk sebarang pengisytiharan perang terletak pada bidang kuasa Perdana Menteri dan Kabinet.

Maka, pihak yang akan terdedah kepada perbicaraan di ICC sekiranya berlaku sebarang perlakuan jenayah kemanusiaan antarabangsa ialah Perdana Menteri dan Kabinet. YDPA tidak akan menerima kesan daripada perundangan yang dibawa dalam Statut Rom. Dalam masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga tidak akan tergugat disebabkan olehnya.

Oleh sebab itu, di sini harus ditegaskan bahawa penyertaan Malaysia ke dalam Statut Rom tidak akan menggugat kuasa dan kedudukan YDPA. ICC hanya wujud sebagai tribunal tetap bagi membicarakan jenayah kemanusiaan dalam skala yang besar dan bersifat antarabangsa, bukannya bagi jenayah-jenayah am yang boleh diurus dan dibicarakan melalui bidang kuasa institusi perundangan tempatan.

Statut Rom berfungsi sebagai badan perundangan alternatif apabila institusi perundangan Malaysia sudah tidak dapat berfungsi akibat daripada kekacauan dalaman yang berlaku menjurus ke arah status negara gagal (failed state). Perkara seperti ini mungkin tidak akan berlaku di Malaysia dalam tempoh terdekat, tapi tidak mustahil ia berlaku pada masa akan datang. Dalam keadaan apapun, Tengku Mahkota Johor tidak harus takut pada bayang-bayangnya sendiri.

 


Ahmad Muziru Idham adalah seorang Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau adalah Advocacy Officer di Islamic Renaissance Front.

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/penyertaan-malaysia-ke-dalam-statut-rom-tidak-akan-menggugat-kuasa-yang-di-pertuan-agong/