Uraian Pertelingkahan Politik dalam Kalangan Para Sahabat oleh Mufti Wilayah Persekutuan

April 4, 2019

Para ulama’ Shanatiqah (Mauritania) sememangnya terkenal dengan penguasaan turath yang amat luar biasa. Hadirnya Dr. Mohamed El-Moctar El-Shinqiti mewakili sarjana Mauritania muda, berjaya membawa satu dimensi baru dalam perbahasan berhubung pertelingkahan politik antara Sahabat Nabi yang perlu diteladani dengan insaf dan adil oleh para pengkaji.

Umat Islam terbahagi kepada dua kelompok dalam pembacaan isu sebegini; ada yang membaca dengan dendam kesumat dan ada yang mengabaikannya atas sebab-sebab tertentu. Meneliti naratif sejarah pertelingkahan politik para Sahabat Nabi memerlukan kepada keberanian, keilmuan yang mendalam disamping teguh di atas neraca keadilan.

Saya amat senang dengan kata-kata Syeikh Ibrahim al-Laqqani: “Awal pertikaian antara mereka (para Sahabat Nabi) adalah apa yang tersebut. Jika kau tenggelam di dalamnya (perbahasannya), jauhilah penyakit dengki.” Apa yang dimaksudkan dengan sifat dengki adalah yang membawa pentafsiran yang cenderung kepada salah satu blok secara berlebihan dengan cara yang tidak diredhai-Nya. Itulah sebagai yang ditegaskan oleh Imam al-Bajuri.

Buku Pertelingkahan Politik dalam Kalangan Para Sahabat ini menzahirkan penguasaan Dr. Mohamed El-Moctar Shinqiti dalam turath dan diadunkan dengan kajian politik yang jitu serta kritis. Saya mendoakan semoga beliau terus komited dalam meneruskan siri-siri kajian yang lebih mendalam memandangkan buku ini sudah memadai sebagai asas-asas bagi para pengkaji yang berminat untuk melakukan penilaian semula bagi konflik terawal dalam sejarah umat Islam selepas kewafatan Nabi.

“Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim" [Surah al-A’raf: 89]

 


Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persukutuan




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/uraian-pertelingkahan-politik-dalam-kalangan-para-sahabat/