Uraian Pertelingkahan Politik dalam Kalangan Para Sahabat

April 4, 2019

Sebuah karya yang berbobot yang berhasil mengimbangi pertimbangan-pertimbangan sejarah yang tertulis tentang para Sahabat. Pengarangnya, Dr Mohamed El-Moctar El-Shinqiti cuba menegakkan kefahaman yang kritis tentang sejarah seputar krisis pertelingkahan politik di kalangan sahabat dengan memberi pertimbangan yang kritis terhadap sumber-sumber hadith yang autentik. Tulisannya meleburkan kefahaman yang melulu dan usang tentang sejarah hitam yang tidak dapat diandalkan tentang persengketaan para Sahabat, dan sebaliknya cuba meninjau bersandarkan prinsip dan pandangan rasional yang lebih berasas.

Dengan keyakinan dan keberanian yang luar biasa, beliau menyingkapkan babak-babak penting perjalanan sirah dengan cukup mendalam dan mengesankan, dan menyorot sisi-sisi gelapnya - yang tidak sepenuhnya ideal dan romantik – yang tertulis dalam sejarah Islam. Dengan pertimbangan dan pandangannya yang moden dan objektif beliau cuba mengembangkan garis-garis manhaj yang dikembangkan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah, dan kupasan yang kental dan meyakinkan yang ditampilkan Ibn Taymiyyah dalam Minhaj al-Sunnah. Kesadaran sejarah yang diketengahkan ini menyerlahkan usaha yang secara saintifik dikemukakan bagi menyikapi kebenaran secara kritis dan menolak dakyah-dakyah yang direkayasa tentang konflik sejarah yang mengelirukan. Ia menghukum kesembarangan kita yang fanatik dan naif tentang hakikat dan asas-asas sejarah.

Beliau mengambil manhaj dan standard yang signifikan dalam menilai dan membandingkan fikrah sejarah dalam meneliti fasa-fasa awal Islam yang membentangkan pengetahuan sejarah yang menyeluruh tentang sahabat, dan membandingkannya dengan lembar-lembaran hadith yang melantarkan dasar yang dapat diandalkan tentang sahabat, dengan menekankan keutamaan prinsip dan wahyu ke atas peribadi dan sejarah.

Dalam pengantarnya yang ringkas kepada kitab ini, Syeikh Rachid Ghannouchi,  pemikir Islam Tunisia menyebut: “dan saya tidak meragui bahawa kitab (Al-Khilāfāt Al-Siyasiyah Bayna Al-Sahābah) oleh pengarangnya al-Ustadh Mohamed ibn el-Moctar el-Shinqiti, berada di garda depan daripada kitab-kitab Arab. Ia sesungguhnya termasuk antara kitab-kitab yang langka yang saya dapati dalam membacanya dengan penuh keasyikan yang terus menerus mendesak keghairahan saya mengejar pembacaan, kapan saja ada sela-sela waktu di tengah-tengah kesibukan hidup.”

 


Ahmad Nabil Amir
Ketua, Abduh Study Group
Islamic Renaissance Front

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/uraian-pertelingkahan-politik-dalam-kalangan-para-sahabat-2/