Ustaz Abdul Ghani Samsudin || 17 April 2019
Saya telah dihubungi oleh Pengerusi IRF, Dr. Farouk Musa selang beberapa hari sebelum percetakan buku yang sangat berharga ini untuk saya menuliskan sebuah pengantar dalam Bahasa Melayu. Sudah tentu sebagai seorang pencinta ilmu, saya amat berterima kasih dan menghargai kepercayaan ini sebagai suatu penghormatan dan penghargaan kepada saya dan keluarga.
Saya amat berharap dapat menghasilkan suatu mukaddimah yang terbaik dan memberi nilai tambah kepada buku ini. Namun kerana masa yang amat terhad dan kesibukan tugas-tugas lain, saya mohon maaf kerana hanya dapat menampilkan pangantar dan mukaddimah yang tidak sepertinya.
Sebenarnya pertelingkahan dan perbalahan yang berakhir dengan peperangan atau kekacauan dan kemusnahan yang berikutan dengannya merupakan suatu fenomena politik yang amat menarik perhatian para pengkaji daripada pelbagai lapisan masyarakat. Gejala seperti ini berulang dalam sejarah bangsa dan umat sehingga membawa kesan kesan negatif dan buruk yang amat menyedihkan. Ribuan mangsa pertelingkahan politik yang tidak diurus dengan saksama, demokratik dan matang kita saksikan terhumban menderita di tanah-tanah pelarian atau menjadi korban jerung di laut dan buaya di darat. Apa yang paling malang adalah jumlah mereka yang menderita tersebut adalah ramai dan mereka adalah dari kalangan umat Islam itu sendiri.
Sebenarnya berpolitik secara semberono dengan beralasan politik matang, mempamerkan sikap dangkal dan gegabah sebagai sikap politik yang maju dan menjanjikan masa depan yang baik, tidak akan mengelirukan rakyat yang cerdik dan pintar. Ini kerana Islam adalah agama yang luhur dan tinggi.
Penghayatan Islam dalam politik memerlukan kefahaman yang mendalam tentang banyak perkara yang menjamin kejayaan dalam perjuangan politik itu sendiri.
Tujuan utama dan asasi dalam politik berteraskan Islam ialah:
Amr bil ma’ruf serta nahy ‘anil munkar adalah suatu asas penting dalam kegiatan politik. Mencegah kejahatan, kleptokrasi, rasuah dan pelbagai kezaliman dan penindasan serta salah laku adalah maqasid politik yang sangat utama berbanding nilai-nilai persaudaraan dan kerjasama.
Menyedarkan umat bahawa politik bukan suatu kekotoran tetapi adalah suatu kewajipan. Umat dan rakyat perlu membanteras politikus kotor serta amalan politik yang menggunakan naratif bangsa atau agama secara songsang untuk menimbulkan kekacauan dan kebencian. Sebagai tanggungjawab agama dan negara, rakyat mesti disedarkan tentang asas tanggungjawab dan kewajipan menunaikan tanggungjawab tersebut dengan benar, betul dan jitu. Mereka mesti dididik tentang hak-hak politik mereka dan bagaimana hak-hak tersebut perlu dituntut dan dipertahankan.
Kestabilan politik asas pembangunan negara. Masyarakat yang mengalami krisis politik dan keadaan tidak menentu akan menyebabkan para pelabur dalam dan luar negara enggan melabur dan ini akan menggencatkan pembangunan ekonomi negara. Demonstrasi yang berterusan dan pertembungan antara pasukan keamanan dengan orang ramai tidak akan menjamin keamanan sebaliknya pertembungan berdarah berkemungkinan berlaku pada bila-bila masa. Ini adalah menjanjikan malapetaka bagi negara.
Apabila asas-asas demokrasi dijaga dan dihargai oleh para pemimpin politik, dan rakyat mendapat bimbingan dan pencerahan politik yang jitu dan benar, maka sudah tentu mereka menjadikan para pemimpin yang berkaliber, amanah, jujur, bersih sebagai pemimpin. Proses pilihanraya akan terlaksana secara adil dan saksama.
Ketetapan menjatuhkan rejim kleptokrat adalah ketetapan yang benar, syar’i dan logik. Ia tidak boleh disongsangkan oleh sifat ta’assub agama dan bangsa. Ia tidak boleh dibatalkan dengan hujahan yang mudah (simple) dan dangkal. Asas-asas perlembagaan, kontrak sosial yang telah diterima sejak dahulu terus dipertahankan dan menjamin kelangsungan sebuah pemerintahan dari rakyat dan untuk rakyat. Ini tidak bermakna perlembagaan tidak boleh diperbaiki dengan sikap rasional dan budi pekerti yang baik oleh majoriti wakil rakyat.
Identiti negara yang baik adalah kerana keabsahannya mewakili rakyat terbanyak. Negara bukan milik pemodal, kroni orang tertentu atau hegemoni kuasa luar yang menggugat kedaulatan rakyat. Negara bukan milik kuasa besar, kuasa Zionis atau kumpulan ningrat yang kaya dan berpengaruh tetapi adalah milik rakyat yang merdeka dan bermaruah.
Dalam masa yang sama, elit politik yang berkuasa perlu prihatin dan peduli kepada kepentingan dan kepayahan rakyat terbanyak. Warga negara perlu mempunyai hak sama rata berasaskan perlembagaan dan kontrak sosial yang telah diterima pakai sekian lama. Seluruh lapisan rakyat daripada pelbagai bangsa dan kaum perlu menikmati segala hak-hak mereka yang tertulis dalam perlembagaan dan perjanjian.
Walaupun ada yang mempertikaikan tentang kesahihan hadith “حب الوطن من الإيمان”, namun konsep cinta negara tetap logik untuk dipertahankan. Rakyat perlu dididik dengan rasa sayang dan prihatin terhadap negara mereka. Sikap patriotik ini akan mendorong mereka berjuang, berkorban dan mempertahankan tanah air mereka daripada rongrongan dan serang musuh; baik dari dalam mahupun dari luar.
Konsep bermuafakat dan bermesyuarat dengan mendengar pandangan para pemimpin dan pakar bidang perlu menjadi asas pemerintahan berasaskan syura dan suara rakyat.
Ini sejajar dengan arahan Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 159:
“Sebenarnya dengan rahmat Allah, engkau berlemah-lembutlah terhadap mereka, wahai Muhammad. Sekiranya engkau bersikap kasar dan berkeras, sudah tentu mereka akan menjauhkan diri darimu. Oleh itu, maafkanlah mereka, pohonkanlah keampunan untuk mereka dan berbincang serta bermuafakatlah dengan mereka dalam sesuatu urusan penting. Apabila engkau berazam melakukan sesuatu berserah dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertawakkal.”
Dasar dan matlamat ini sudah tentu terangkum dalam apa juga kebijaksanaan politik yang diambil oleh pemerintahan para sahabat Baginda. Manakala memahami perkara ini dan hal-hal yang berkaitan dengannya perlu diteroka dan digarap dengan saksama oleh para pengamal politik di dunia Islam, khasnya terhadap nas-nas rujukan yang berkaitan dengan masalah diri dan umat. Dalam sebuah āthāratau Sunnah ada menegaskan:
“Bagaimana keadaan kamu, begitulah keadaan pemimpin yang menguasai kamu.”
Pemimpin adalah cermin yang membayangkan keadaan rakyat. Jika baik akhlak, sikap, pendirian dan pencapaian rakyat maka baiklah pemimpin yang mereka lantik. Jika buruk, maka buruklah pemimpin yang mereka martabatkan. Walaupun gambaran ini tidak mutlak, namun dalam negara demokrasi pandangan seperti ini adalah lumrah dan ada kebenarannya.
Dalam hubungan ini, Allah menegaskan dalam surah Syura ayat 30:
“Bahawa apa-apa keburukan yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tangan kamu sendiri. Allah memaafkan banyak (ketelanjuran kamu).”
Oleh itu, sebab yang membawa kepada pertelingkahan dan bagaimana para ulama leluhur menghadapinya dengan sikap positif terhadap episod dan babak-babak pertelingkahan antara mereka wajar malah perlu ditelusuri untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Dengan demikian, rakyat malah setiap lapisan umat boleh meningkatkan kebijaksanaan dan kepintaran mereka menekuni pelbagai masalah pertelingkahan politik di kalangan mereka.
Dalam buku ini, penulis Mohamed El-Moctar El-Shinqiti merumuskan 22 kesimpulan tentang kaedah atau manhaj sahabat Rasulullah dalam menghadapi pertelingkahan politik sememangnya boleh membantu para alim ulama dan cendekiawan politik masa kini untuk menghurai dan mencerakinkan lagi kaedah-kaedah tersebut demi kebaikan masa depan mereka.
Penjelasan pengarang buku ini tentang Kaedah Sahabat dalam menghadapi sengketa ialah mereka:
Dengan berpandukan kaedah kaedah ini para pembaca buku ini, malah rakyat Malaysia amnya terdorong untuk mencari apakah kaedah ‘manhaj Malizi’ dalam mengatasi pertelingkahan, melakukan perubahan dan reformasi secara berhemat berlandaskan kepada realiti Malaysia yang berbilang kaum demi melakukan perubahan, baik pulih dan reformasi yang menyeluruh.
Dalam kontek ini menurut Dr. Muhammad al-Salabi dalam buku beliau bertajuk “al-Dawlah al-Ḥadīthah al-Muslimah: Da’āimuhā Wa Waẓāifuhā”, antara maqasid yang memandu pemerintahan dan politik Islam ialah:
Namun memahami maqasid sahaja belum cukup untuk membuat persiapan. Kita perlu memahami apakah bentuk pertelingkahan yang dihadapi. Umumnya rakyat Malaysia menghadapi gejala pertelingkahan berikut:
Dalam kontek Fiqh al-Ikhtilaf, Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebutkan tentang landasan pemikiran Fiqh Ikhtilaf sebagai berikut:
Mengenai asas-asas moral yang perlu dikembangkan dalam kalangan politikus, gerakan Islam dan gerakan budaya, beliau menghuraikannya sebagai berikut:
Sebenarnya Fiqh Al-Ikhtilaf memerlukan huraian yang lebih lanjut dan terperinci untuk mengelakkan umat daripada angkara perpecahan yang negatif dan kemusnahan. Buku terjemahan ini “Pertelingkahan Politik Dalam Kalangan Para Sahabat” boleh menjadi unsur pemangkin yang mendorong para pengkaji dari kalangan ulama dan cendekiawan kita untuk menghasilkan kajian-kajian yang lebih lengkap, menyeluruh dan terkini; demi meningkatkan kebijaksanaan golongan pemimpin umat dan orang ramai dalam menyelesaikan sebarang bentuk pertelingkahan dan pertikaian yang mereka hadapi dari semasa ke semasa.
Akhirnya - dalam kesempatan ini - ada baiknya kita ajukan di sini “Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019” yang menggarap permasalahan politik perkauman dan fanatik agama masa kini di Malaysia. Deklarasi tersebut berbunyi:
Semoga Allah memberkati usaha pengarang, penterjemah, para penerbit yang bersusah payah menyebarkannya di samping para pembaca yang mengambil faedah dari butiran ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya.
Al-Fadhil Dato’Wira Ust. Hj. Abdul Ghani Samsudin adalah adalah ulama yang terkenal lagi disegani. Beliau adalah anggota Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang aktif dan dipilih sebagai Presidennya dari tahun 1999 hingga 2003. Beliau juga memimpin gerakan Islam yang lain yakni Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Kini beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara [AMANAH], parti politik baru yang memperjuangkan politik Islam. Beliau juga adalah anggota Majlis Islam yang berprestij dan termasyhur, Al-Ittihaad al-‘Aalami li’ Ulama’i al-Muslimin – Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, yang diasaskan pada 2004 dan diketuai oleh Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawy.