Uraian Ke Arah Reformasi Islam: Kebebasan Sivil, Hak Asasi dan Undang-Undang Antarabangsa

May 13, 2019 by Ahmad Nabil Amir

Kemungkinan persoalan yang paling krusial yang ditimbulkan dalam konteks masyarakat Islam yang moden adalah keabsahan hukum yang dipakai daripada sumber-sumber fiqh yang terawal. Dalam konteks sejarah, bangunan shari‘ah historis itu dihitung sebagai hasil daripada ijtihad ulama-ulama klasik yang dibangun dalam abad formatif Islam yang terikat dengan konteks dan lingkungan sosialnya yang unik. Kondisi ini jauh berbeza dengan keadaan negara bangsa yang moden dan kosmopolitan yang didepani kaum Muslimin kini. Atas dasar itu, Professor Abdullahi Ahmed An-Naim cuba menimbangkan persoalan ini dengan mengacu pada ideadan manhaj yang radikal yang dirumuskan oleh Ustadh Mahmoud Mohamed Taha, dalam bukunya The Second Message of Islam.

Buku ini mempelopori usaha penting dalam mereformasi sumber-sumber dan aspek hukum Islam dan pemahamannya yang dirumuskan daripada ajaran dan tulisan pembaharu Sudan, Shaykh Mahmoud Mohamed Taha. Ia mengusahakan penafsiran semula terhadap undang-undang tradisional, dengan berdasarkan prinsip dan kaedah yang radikal yang dirumuskan Ustadh Mahmoud, yang bertujuan melantarkan asas intelektual bagi interpretasi ulang yang menyeluruh terhadap sifat dan makna undang-undang awam Islam.

Dalam merumuskan manhaj dan idea moden yang digarap dan dibawakan Taha, An-Naim berhasil mengembangkannya secara konkrit dan menyeluruh dan menegakkanidealisme dan aspirasi moden yang diilhamkan,sebagai diungkapkan John Voll dalam pengantarnya kepada buku ini: “Dalam dua dekad yang menyusul, Taha membangunkan asas yang komprehensif bagi penafsiran semula Islam. Penjabaran yang paling utuh terhadap ideanya tampil dalam The Second Message of Islam, pertama kali diterbitkan pada tahun 1967 dan diterbitkan dalam terjemahan Inggeris oleh Abdullahi An-Na‘im pada tahun 1987…." Dalam tahun-tahun yang belakangan, An-Na‘im telah memberi syarahan dan menulis, terutamanya di luar Sudan. Beliau merasakan ia menjadi tanggungjawabnya untuk menggalang ajaran asas Taha dan mengembangkannya. Beliau telah menulis dalam bidang keahliannya sendiri, perundangan awam, menafsirkan semula hukum Islam daripada perspektif ajaran Mahmoud Mohamed Taha. Buku ini melambangkan kemuncak daripada tahun-tahun pengajian dan penulisan. An-Na‘im merasakan yang ia menyediakan langkah yang perlu dalam misi transformasi Islam yang dimulakan oleh Mahmoud Mohamed Taha.”

Dalam upaya pembaharuan yang krusial yang digerakkan An-Naim ini, seyogianya teks ini penting dalam menilai dan mempertimbangkan keabsahan shari‘ah historis yang dibangunkan ahli perintis Islam yang terawal dan dalam menegakkan manhaj dan pandangan yang dinamik yang dirumuskanUstadh Mahmoud,bagi menjawab keperluan-keperluan moden yang mencabar dan menjajarkan aspirasinya dengan nilai kebebasan, keperlembagaan moden, peradilan jenayah, undang-undang antarabangsa, dan hak-hak asasi yang mendasar.

Penilaian kritis yang diberikan An-Naim melantarkan kemungkinan pembaharuan yang krusial di dunia Islam dan perjuangannya penting dalam mengangkat martabat dan harakat umat, dan mempertahankan kebebasan, maruah dan harga dirinya, dan membela nilai persamaan dan kemanusiaan yang universal.


Dr Ahmad Nabil Amir
Ketua, Abduh Study Group
Islamic Renaissance Front




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/blurb-ke-arah-reformasi-islam-kebebasan-sivil-hak-asasi-dan-undang-undang-antarabangsa-2/