Prakata Edisi Melayu “Ke Arah Reformasi Islam – Kebebasan Sivil, Hak Asasi dan Undang-Undang Antarabangsa”

May 13, 2019 by Saari Sungib

Intisari pemikiran Prof Dr Abdullahi Ahmed An-Naim yang terkandung adalah shari’ah merupakan pembinaan hukum yang dihasilkan daripada perkembangan masyarakat Islam dari tahap Makkah ke tahap Madinah pada zaman Rasulullah.

Kaedah fiqh Islam menggariskan bahawa di mana-mana yang bercanggah, sesuatu nas yang datang dahulu akan dimansuhkan oleh nas-nas yang datang kemudian. Hal ini bermakna nusus yang turun pada tahap Makkah, di mana yang bercanggah dengan nusus yang turun pada tahap Madinah, maka nusus tahap Makkah adalah dimansuhkan.

An-Naim mengemukakan pandangan bahawa proses sebaliknya boleh berlaku, di atas sebab tahap Madinah diperlukan pada masa itu, tetapi tidak lagi buat masa kini.

Kata-kata An-Naim ini amat baik jika kita perhatikan dengan jujur dan cermat.

Rasulullah berjuang menyebarkan ajaran Islam selama tiga-belas tahun di Makkah sebelum diperintahkan oleh Allah berhijrah ke Yathrib. Tidak seperti Makkah yang merupakan kota Baitul Atiq yang diiktiraf oleh mana-mana kelompok manusia pada zaman itu sebagai kota agama, Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Al-Madinah Al-Munawwarah adalah pusat dialog budaya dan wacana pembaharuan hidup yang berpaksikan kepada agama.

Masyarakat Makkah bergerak di atas fabrik sosio-politik yang rigid dan terlalu hierarki-sentrik. Pengkelasan kabilah-kabilah sama ada dari segi keturunan atau kemuliaan nasab adalah bersandarkan kepada hierarki dan dinamisme status kaum Quraish sebagai de factoketua kaum besar Arab Semenanjung Hijaz. Ahlul Makkah ditadbir oleh sistem yang rigid dan tidak akomodatif, di mana pemimpin-pemimpin Quraish tampil dengan gaya hidup aristokratik dan autokratik. Kebebasan bukan hak golongan yang berada di luar lingkaran kuasa elit puak dan kabilah Quraish.

Elit dan pemuka-pemuka Quraish tidak punyai toleransi terhadap apa sahaja bentuk kebebasan terutama di kalangan rakyat awam Makkah. Kebebasan direkodkan sebagai gagal jika mahu diwacanakan dengan latar belakang Makkah. Struktur dan pemusatan kuasa di kalangan elit Makkah menyekat kebebasan rakyat jelata untuk menganut apatah lagi mengembangkan dan mendakap suatu ajaran baru. Perbuatan ini dianggap sebagai menentang asas dan dasar warisan nenek-moyang Quraish. Kebiadaban itu adalah satu perbuatan anti-establishment terhadap hegemoni kuasa kaum Quraish. Dengan itu perbuatan tersebut mesti ditentang, dimusuhi dan dihapuskan. Dengan itu asas hubungan antara elit pemimpin dan rakyat jelata di Makkah adalah penindasan, dominasi serta pencabulan hak asasi manusia. Persoalan tentang kebebasan bukan satu pilihan yang dimiliki oleh rakyat jelata. Berfikir pun tidak dibenarkan jika ia melibatkan kebebasan dan hak di hadapan hegemoni politik elit Quraish.

Masyarakat Madinah pada asalnya adalah masyarakat madani atau civil society. Tidak terdapat pemusatan kuasa kepada mana-mana pihak. Tiada dominasi hegemoni kuasa. Masyarakat madani boleh diertikan sebagai kuasa pemerintahan dan kerajaan bukan segala-galanya ataupun; kerajaan itu tidak menyeluruh, tetapi kerajaan adalah keseluruhan unsur dalam negara – terutama pandangan, hasrat serta akalbudi rakyat.

Dalam masyarakat madani Madinah, kabilah-kabilah Yahudi pula menumpukan penguasaan mereka dalam bidang perniagaan dan perdagangan. Penguasaan mereka tidak langsung dan tidak menyeluruh. Mereka perlu bersandar bahkan ada kalanya memohon ehsan sama ada daripada kabilah-kabilah besar dan kecil Aus dan Khazraj untuk memastikan konflik dan ketegangan antara puak tidak menjejaskan kestabilan sosio-politik yang akan menimbulkan kerugian serta menjejaskan penguasaan mereka terhadap pasaran yang mereka bentuk dan wujudkan melalui sistem ribawi.

Walaupun wujud langkah daripada fraksi elit Madinah untuk menobatkan Abdullah bin Ubay bin Salul sebagai raja, langkah tersebut lebih berkisar di atas dasar konsolidasi ekonomi dan bukan konsolidasi politik dan kuasa elit dan majoriti ahlul Madinah. Masyarakat Yathrib lebih bebas dan lebih menyelami erti kebebasan. Kebebasan adalah fungsi kepada wacana terbuka dan permuwafakatan dalam menegakkan dan mempertahankan kepentingan bersama. Struktur sosio-politik Madinah sudah cukup matang dan telah bersedia untuk menerima satu sistem yang diasaskan kepada konsep taawun, ukhuwwah, musyawarah, perkongsian kuasa dan berkompromi demi menegakkan keadilan untuk semua.

Madinah adalah sebuah masyarakat yang wujud atas kerjasama bercampur curiga dalam konteks konflik dan resolusi damai daripada sengketa. Ia adalah satu konteks negeri yang wujud setiakawan dalam permusuhan sekaligus masyarakat yang sentiasa dalam curiga yang ditenangkan melalui perjanjian damai. Masyarakat Madinah bukan masyarakat homogeneous. Tidak juga monolitik. Ia adalah sebuah masyarakat yang meta-stabil dalam rencam konflik dan wafa’ kepada janji. Ia adalah semacam entiti yang menjulang tinggi kata-kata keramat unsur akhaka zaliman au mazluman iaitu bantulah saudara kamu sama ada dia dizalimi ataupun dia menzalimi.

Kata-kata keramat inilah yang setelah diberi maksud serta roh baru diterima sebagai nasihat dan sunnah Rasulullah  kepada umatnya iaitu bantulah saudara kamu sekiranya dia tergolong dalam pihak yang menzalimi, menyakiti, menindas serta merampas serta mencabul hak-hak mereka dengan melarang beliau daripada melakukan semua itu. Manakala jika beliau dizalimi maka bantulah beliau agar tidak terus dizalimi.

Dalam struktur dan dinamisme masyarakat yang begitu plural politik inilah Rasulullah menguruskan damai dalam sengkata dan sengkata yang berakhir dengan kedamaian melintasi keadaan meta-stabil. Dalam persekitaran dan iklim masyarakat damai dalam sengketa inilah Rasulullah mewujudkan tahaluf sosial, tahaluf ekonomi dan tahaluf politik. Semua permuwafakatan ini diwujudkan secara jelas dan nyata dalam catatan dan tulisan. Himpunan perjanjian dalam pelbagai kerencaman ini telah dinamakan sebagai As-Sahifah Al-Madinah.

Prinsip yang mendasari Sahifah Al-Madinah adalah wujudnya satu sistem pemerintahan pusat di samping mengekalkan berkembang suburnya kehidupan sivil di kalangan setiap anggota dan kelompok dalam masyarakat. Pemerintah tidak menggenggam di tangannya seluruh kuasa untuk menentukan perjalanan setiap anggota dan kelompok dalam masyarakat. Sebaliknya, setiap kelompok dalam masyarakat tetap mempunyai autoriti dan autonomi bagi membangunkan kepentingannya tanpa menceroboh hak pihak-pihak lain atau melanggar kuasa pemerintahan pusat.

Berdasarkan prinsip inilah Sahifah Al-Madinah telah berjaya mengasaskan satu masyarakat madani yang memiliki kedaulatan kuasa pusat yang menganjurkan keamanan, keadilan, permuafakatan dan kebebasan. Wujudnya kuasa pusat di tangan pemerintah tidak menghilangkan kuasa, keistimewaan dan hak-hak, peranan dan pengaruh masing-masing. Sahifah Al-Madinah menyentuh pelbagai perkara seperti hak dan kewajipan pemerintah dan orang yang diperintah, perundangan, pentadbiran keadilan, penyusunan pertahanan, kedudukan ketua negara, layanan terhadap orang-orang bukan Islam, jaminan kemasyarakatan dan juga definisi ummah dalam konteks pentadbiran sebuah sistem yang berdaulat.

Sahifah Al-Madinah mengatur dan memberi aulawiyat perihal penjagaan hak-hak semua yang terlibat dalam pelbagai bentuk tahaluf dengan memastikan semua pihak yang terlibat faham dan peduli terhadap tanggungjawab masing-masing. Bernaung di bawah satu kontrak sosial untuk menegak dan mempertahankan sebuah sistem berdaulat inilah Sahifah Al-Madinah menegaskan bahawa mereka semua adalah warga negara atau ummah bagi sistem yang berdaulat tersebut.

Masyarakat yang diwujudkan oleh Rasulullah adalah sebuah masyarakat madani atau civil society. Madinah adalah sebuah masyarakat madani kerana seluruh kehidupan masyarakat dipandu oleh prinsip-prinsip yang dikongsi dan disepakati bersama. Benar wujud sistem pemerintahan. Rasulullah sendiri adalah ketua negara. Namun masyarakat tidak berjalan di atas paksi kuasa pemerintahan semata-mata. Pemerintah tidak boleh semahu-mahunya merajai rakyat. Rakyat pula tidak dalam cengkaman kuasa para pemerintah. Tiada intimidasi mahupun diskriminasi dari pemerintah ataupun agensi-agensinya.

Benar wujud undang-undang dan peraturan. Tetapi pemerintah tidak berada di atas undang-undang. Rakyat pula tidak hidup dengan sentiasa diburu oleh undang-undang. Undang-undang tidak lebih daripada garis panduan, peringatan, perincian, pentafsiran terhadap asas-asas keadilan yang mungkin mudah berlaku khilaf ke atasnya, peraturan-peraturan dan bahkan dorongan agar setiap anggota masyarakat prihatin dan peduli terhadap hak-haknya serta hak-hak orang lain lantas memastikan melaksanakan tanggungjawab untuk tidak mengabaikan hak-hak orang lain dan sentiasa celik untuk pesan memesan sekiranya berlakukan pengabaian oleh mana-mana ahli masyarakat sehingga mungkin tercabulnya hak-haknya.

Undang-undang Islam adalah berdasarkan kepada Hakimiyah Allah. Kuasa yang ada pada Rasulullah hanyalah manifestasi kepada tugas khalifatullah fil ard– Khalifah Allah di atas muka bumi. Rakyat akur dan taat kepada pemerintah kerana cinta mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. Rakyat juga menjulang kedaulatan undang-undang kerana ia adalah sebahagian daripada manifestasi pengabdian mereka kepada Allah. Terpeliharanya hak asasi manusia adalah kerana wujudnya kasih sayang dan ukhuwwah antara pengikut dengan pemimpin dan sebaliknya. Masyarakat madani acuan Rasulullah memberikan kebebasan seluasnya kepada rakyat untuk membangunkan potensi insan tanpa kongkongan daripada kuasa pemerintah. Dalam masyarakat madani, pelbagai bidang ketamadunan manusia berkembang pesat dengan campur tangan kuasa pemerintah yang paling minimum.

Dengan ulasan ini bermakna tidak ada masalah sekiranya sesuatu nas yang diturunkan di Madinah dimansuhkan oleh nas yang diturunkan lebih awal di Makkah. Hal ini dapat ditanggapi dalam teks ucapan saya berkenaaan kecenderungan saya terhadap melihat padangan An-Naim itu adalah suatu yang mantap dan lebih mudah untuk dipertahankan.


YB Saari Sungib adalah Ahli Parlimen Hulu Kelang. Beliau adalah Mantan Presiden, Jamaah Islah Malaysia (JIM)

 

 

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/prakata-edisi-melayu-ke-arah-reformasi-islam-kebebasan-sivil-hak-asasi-dan-undang-undang-antarabangsa-oleh-abdullahi-ahmed-an-naimprakata-edisi-melayu-ke-arah-ref/