Prakata bagi Edisi Melayu buku Ke Arah Reformasi Islam – Perdebatan tentang Realiti yang Tidak Terelakkan bagi Reformasi Islam

May 20, 2019 by Abdullahi Ahmed An-Naim

Dalam Prakata yang ringkas ini, saya akan menghujahkan bahawa aspek-aspek sosial, ekonomi, dan politik bagi tradisi Islam (secara jamak) mesti berkembang dengan perubahan keadaan dan persekitaran masyarakat Muslim sepanjang zaman kerana ia adalah satu-satunya cara untuk Muslim kekal menjadi Muslim. Dalam erti kata lain, kefahaman manusiawi kita terhadap Islam mesti berkembang bukannya disebabkan bahawa Islam itu adalah serba kekurangan ataupun berlaku kesilapan, tetapi kerana Muslim memerlukan evolusi bagi kefahaman dan pengamalan Islam mereka. Tetapi, pengevolusian tersebut tidaklah turut berlaku terhadap ajaran-ajaran teras bagi kepercayaan dan pengamalan agama (‘ibadah), kerana aspek-aspek sebegini adalah berhubung dengan ketakwaan dan fitrah manusiawi, justeru ia kekal berada dalam ranah eksklusif bagi amalan dan pencapaian individu.

Kaedah yang seringkali dipetik, “al-Islam salih li kulli zaman wa makan” (Islam adalah sesuai pada setiap waktu dan setiap tempat) adalah benar kerana kefahaman Islam kita berkembang untuk sejajar pada setiap waktu dan tempatnya, bukannya kerana Islam itu sendiri statik dan mutlak. Lantaran perubahan-perubahan dalam persekitaran kehidupan kita kelihatan jelas dan menarik, maka kita mesti berusaha untuk mereformasi kefahaman kita mengenai Islam. Oleh sebab itu, saya menghujahkan bahawa, hal ini merupakan tanggungjawab bagi setiap Muslim untuk terus-menerus menilai dan berdebat dengan sebarang kemungkinan evolusi Islam lain yang munasabah sebagai respon kepada perubahan persekitaran kehidupan kita di mana-mana sahaja dalam dunia pada hari ini.

Dengan mengandaikan bahawa keperluan reformasi Islam dapat diterima, maka bagaimana kita dapat mengetahui bahawa kita sedang membuat penetapan-penetapan yang betul mengenai evolusi bagi pilihan sosial, ekonomi, dan politik dalam masyarakat kita dan juga bagi hubungannya dengan masyarakat-masyarakat yang lain? Perkara pertama untuk ditekankan di sini adalah bahawa dilema ini dihadapi oleh setiap Muslim pada setiap hari dan setiap saat, sebagaimana kita mencari cara yang lebih Islami untuk berurusan dengan hal-hal sosial, ekonomi, dan politik. Tidak ada seorang Muslimpun selepas Nabi yang mengetahui dengan tepat bahawa jawapan yang benar adalah bersifat begini ataupun begitu. Seperti yang Ibn Rushd katakan, pengetahuan tentang Shari’ah itu adalah bersifat zhanni, iaitu maksudnya bersifat sangkaan, seperti yang dianggap oleh seseorang dan tidak pernah bersifat tetap. Sebab itulah semua ilmuwan Muslim sepanjang zaman sentiasa merumuskan perbentangan pandangan ataupun pendapat mereka dengan frasa, wallahua’lam (Hanya Allah yang mengetahui).

Realiti yang tetap ini tidak bermakna bahawa seseorang Muslim dengan sewenang-wenangnya boleh menyatakan sebarang pandangan atau pendapat ataupun dorongan yang hadir dalam fikiran mereka secara sesuka hati, dengan harapan agar ia betul ataupun mereka yang akan datang untuk memperbetulkannya. Pendekatan terbaik bagi seseorang Muslim adalah untuk melakukan sepenuh daya mereka dengan mengkaji subjek tersebut, mendebat dan membincangkannya dengan orang lain, namun masih bersifat sementara dalam mengisytiharkan sesebuah jawapan. Demikian inilah apa yang saya usahakan dalam penerbitan buku ini pada tahun 1990, dengan berdasarkan metodologi reformasi Islam oleh Ustadh Mahmoud Mohamed Taha, seperti yang saya tegaskan berulang kali dalam sepanjang teks dan nota kaki buku ini. Saya didorong dan didokong untuk melakukan hal tersebut dengan keyakinan tertinggi saya terhadap Ustadh Mahmoud, yang saya kenali secara rapat selama tujuhbelas tahun. Namun begitu, dalam analisis terakhir saya, saya kekal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang pandangan atau pendapat yang saya paparkan dalam buku ini atapun sebarang penerbitan-penerbitan dan perbentangan-perbentangan lisan saya yang lain. Saya juga bertanggungjawab terhadap sebarang kegagalan kajian, refleksi, dan perbentangan pendapat ataupun isu-isu semasa yang saya paparkan. Dalam erti kata lain, adalah mustahil bagi seseorang Muslim untuk berlepas diri daripada tanggungjawab, sama ada dia bertindak mahupun gagal untuk bertindak.


Prof Dr Abdullahi Ahmed An-Naim dilahirkan pada tahun 1946 di Nile, utara Khartoum. Beliau telah bersekolah di bandar kawasan utara Sudan, Atbara, dan Omdurman, dan bergraduasi dalam perundangan daripada University of Khartoum pada tahun 1970. Kemudian, University of Khartoum telah menghantarnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di United Kingdom untuk kembali mengajar di universiti yang sama apabila pulang. Beliau telah mengajar di Fakulti Perundangan pada Oktober 1976, sehinggalah beliau dikenakan tahanan tanpa bicara pada Mei 1983 sehingga Disember 1984. Beliau menyertai gerakan reformasi yang diketuai oleh Ustadh Mahmoud Mohamed Taha pada tahun 1968 dan terus terlibat dalam aktiviti-aktivitinya sehinggalah gerakan tersebut diharamkan dan pengasas dan pemimpinnya, Ustadh Mahmoud, telah dihukum mati atas tuduhan murtad pada Januari 1985. An-Naim meninggalkan Sudan pada April 1985. Dengan harapan untuk kembali ke Sudan, beliau telah mengadakan siri pengajaran dan menjalankan kajian sehinggalah tahun 1992, apabila beliau mulai jelas bahawa rejim Islamis yang berkuasa melalui sebuah kudeta militari pada tahun 1989 telah menjadi semakin autoritarian di Sudan. Atas kesedaran tersebut, beliau telah menjawat jawatan tanpa tempoh had sebagai Pengarah Eksekutif bagi Africa Watch di luar Sudan pada Jun 1993 (sebelum ia dirangkumkan ke dalam Human Rights Watch), yang bertempat di Washington, D.C. Beliau meletakkan jawatan bagi kedudukan tersebut pada April 1995 dan menyertai Faculty of Emory Law School pada Jun tahun tersebut. Beliau telah menjadi pensyarah tetap di Emory Law School pada tahun 1997 dan menjadi Charles Howard Candler Professor of Law pada tahun 1999.




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/prakata-bagi-edisi-melayu-buku-ke-arah-reformasi-islam-perdebatan-tentang-realiti-yang-tidak-terelakkan-bagi-reformasi-islam/