Abd al-Rahman al-Kawākibī dan Visi Politik Islam

July 1, 2019 by Ahmad Nabil Amir

‘Abd al-Rahmān Ahmad al-Kawākibī (1855-1902) merupakan seorang pejuang pembebasan yang penting dalam riwayat perjuangan dan pergerakan nahdah pada akhir kurun ke 19, dan merupakan salah seorang pemikir reformis Islam yang paling berpengaruhdi timurMediteranean.Riwayat perjuangannya dalam perkembangan ideologi dan pemikiran nasionalisme Pan-Arabisme diakui dengan meluas, sebagai teori Syilvia G. Haim yang berpendapat, “al-Kawakibi bisa dianggap sebagai intelektual pertama sejati yang meletakkan dasar pemikiran Pan-Arabisme moden.” (Azyumardi Azra, 2016)

Asal Usul

‘Abd al-Rahmān ibn Ahmad Bahā’i ibn Mas‘ūd al-Kawākibi dilahirkan pada tahun 1854 atau 1855 (sebahagian mengatakan pada 1848, sebahagian menunjuk pada 1853), merupakan seorang pengarang Syria dan pendukung gerakan Pan-Arabisme. Beliau merupakan salah seorang intelektual yang termasyhur di zamannya; di mana pemikiran serta tulisannya yang terpenting kekal mempunyai hubungan yang relevan dengan isu-isu seputar identiti Islam dan Pan-Arabisme. Kritiknya terhadap empayar Uthmaniyah akhirnya mendorong masyarakat Arab menuntut kedaulatan bagi bangsa-bangsa Arab, yang melantarkan asas bagi nasionalisme Pan-Arabisme. Ayahnya Sayid Ahmad Bahā’i ibn Muhammad ibn Mas‘ūd al-Kawākibi (1244-1299/1829-1882) merupakan seorang Mufti di Antokia. Beliau berhijrah ke Halb, kampung Parsi dan menikahi anak gadis negeri itu sehingga terhasilnya keturunan al-Kawakibi. Ibunya bernama Afifah binti Mas‘ud. Salah seorang datuknya yang bernama Abu Muhammad Ibrahim juga berhijrah ke Harran dan berinduk kepada Abu ‘Ala al-Ma‘ari (362-450/973-1058). Nasabnya punyai hubungan dengan Ali ibn Abi Talib. Pada usianya 6 tahun, ibunya meninggal, dan lantas diasuh dan dibidani oleh bibinya Safiyyah. Dari ibu saudaranya ini ia mempelajari bahasa Turki, dan Persia.

Ketika berusia 11 tahun, ia kembali ke Antokia, memasuki madrasah khusus, dan menjadi murid kepada paman ibunya, Said Najib al-Naquib, yang merupakan guru peribadi kepada Amir Mesir, Khedive Abbas Hilmi II. Setelah berusia 12 tahun, beliau kembali ke Halb dan menuntut di sekolah sekitarnya. Pada masa itu ayahnya merupakan guru dan pimpinan perguruan yang dimasukinya. Di sana ia mempelajari pengetahuan mantik, matematik, fisik dan siasah, termasuk ilmu asas bahasa dan syariat. Pada usia 22 tahun, ia masuk ke tengah umum, dalam ranah kehidupan yang luas, dan mengabdikan dirinya untuk kerja kemasyarakatan. Semasa di Halb, beliau melibatkan diri dalam akhbar “Furat”, suratkhabar resmi berbahasa Arab dan Turki, yang membuka jalan baginya berkecimpung dalam politik. Pada tahun 1870an, beliau mulai bergerak dalam gelanggang persuratkhabaran dengan menyunting suratkhabar rasmi di Aleppo, al-Furat (sungai Euphrates), dan menerbitkan dua akhbar yang bebas, yang keduanya berusia pendek (suratkhabar al-Syahbadan al-I‘tidal yang dibredel oleh pemerintah). Menurut Stephen Sheehi (2017), jaringan akhbar al-sahafah inilah yang telah memasyhurkan dan mengikatnya dalam jaringan aktivis dan perjuangan nahdah (renaisans) dan intelek dengan Abduh: “The Press, or al-sahafa, was al-Kawakibi’s milieu and the means by which he maintained and expanded innumerable political and professional relations including those that led him to his patron Khedive Abbas II Hilmi Bey as well as longtime advocates and friends, Muhammad ‘Abduh and Shaykh ‘Ali Yusuf.”

Meski memegang sejumlah jawatan awam dan pentadbiran di Syria Uthmani, al-Kawakibi mengalami penganiayaan yang kronik daripada penguasa, membawanya untuk akhirnya menetap di Mesir pada tahun 1898. Di sana beliau meneruskan aktiviti kewartawanannya dan merupakan sebahagian daripada lingkaran salafi Muhammad Abduh dan Rashid Rida. (Ronen Raz, 1990) Dengan Rashid Rida, beliau mengikat persahabatan yang erat.

Kehidupannya sendiri hanya tercatat dalam nota obituari yang dicatatkan oleh editor al-Manar, Rashid Rida. Catatan yang tercantum dalam al-Manar ini digunakan oleh para penulis dan penyunting yang selanjutnya tentang biografinya. Muhammad Raghib al-Tabbakh telah menerbitkan himpunan nota al-Manar itu sepenuhnya, memperbetulkan hanya beberapa tarikh, dan menambahkan potret fotografik al-Kawakibi, bersama dengan ayat-ayat dari Hafiz Ibrahim yang terpahat di makamnya dan ucapan pengkebumian yang disusun oleh Muhammad Sadiq al-Rafi‘i.

Visi Politik

The greatest disaster is our loss of freedom…freedom to speak out and publish, freedom to carry out scientific research…(kecelakaan yang terbesar adalah hilangnya kebebasan kita…kebebasan untuk bersuara dan menerbit, kebebasan untuk menjalankan kajian saintifik)

—‘Abd al-Rahmān al-Kawākibī, Umm al-Qurā,
dalam Al-A‘māl al-Kāmila li ‘Abd al-Rahmān al-Kawākibī, ed. Muhammad ‘Imārah (Beirut: al-Mu’assasa al-‘Arabiyya li-l-Dirāsāt wa-l-Nashr, 1975), h. 154.

Terpengaruh oleh idea-idea reform Jamal al-Din al-Afghani (w. 1897) dan Muhammad Abduh (w. 1905), al-Kawākibī mendukung kemerdekaan Arab dan khalifah Arab yang dipilih dengan kuasa yang terbatas sebagai asas bagi kebangkitan Islam. Beliau merupakan pejuang revivalis Islam Syria dan penganjur khalifah Arab dan pelopor semangat perjuangan nasionalis, di mana “this group of new intellectuals helped generate the Arab renaissance (al-nahdah) and would later become known as Modernist Salafis.” (Itzchak Weismann, 2015) Kenyataan ini juga diperkukuh dan dianalisis oleh Tibi yang menyatakan bahawa al-Kawakibi dapat dipandang sebagai pelopor nasionalisme Arab. (Azyumardi Azra, 2016) Semangat perjuangannya dalam membela kaum tertindas dan menyingkirkan ketidakadilan menarik perhatian luas kelompok yang daif dan melarat, yang menjulukinya sebagai Abū al-Du‘afā’, “bapanya kaum yang lemah”. Kemasyhurannya terhasil dari dua buah karyanya yang diterbitkan pada tahun-tahun terakhirnya (beliau wafat pada tahun 1902), Umm al-Qura (“The Mother of Villages” [Mecca] – Induk segala Negeri) dan Tabā’i‘ al-istibdād wa masāri‘ al-isti‘bād (“The Nature of Despotism and the Harm of Enslavement” – Tabiat Kediktatoran dan Bahana Perbudakan) yang merupakan suatu manifesto terhadap despotisme Uthmani.

Beliau turut menganjurkan pemurnian Islam yang asal, mendakwa bahawa penyimpangan-penyimpangan dan konsep-konsep yang asing seperti mistisisme, fatalisme, perpecahan mazhab dan taklid buta telah membawa kepada kejahilan dan penyerahan kepada ulama yang beku dan pemerintah despotik yang menekan kebebasan, mendorong agama yang palsu, dan merosakkan sistem moral, sosial, pendidikan, dan kewangan umat Islam, sebagaimana ditunjukkan oleh Empayar Uthmaniyah.

Menurut Azyumardi Azra (2016) “Al-Kawākibī adalah orang pertama yang tanpa ambiguitas sedikit pun menyatakan diri sebagai pemuka Arab dalam melawan bangsa Turki. Akan tetapi, al-Kawakibi sendiri tidak cukup radikal dalam serangannya terhadap Turki, karena ia tidak pernah mengusulkan berdirinya negara semacam pemerintahan bersama Arab dan Dinasti Turki Utsmaniyah dengan khalifah Arab sebagai pemimpin agama dan budaya.”

Hasil Karya

Riwayat perjuangan dan ajaran-ajaran klasiknya tercantum dalam dua buah karyanya yang berpengaruh Ummul Qura  dan Tabā’i‘ al-istibdād wa masāri‘ al-isti‘bād. Ia dipandang satu manifesto terhadap tirani, atau perosakan terhadap idealisme Nabi. Dianggap suatu pemikiran klasik dalam pikiran politik Arab kontemporer, di mana sebahagian pandangannya diilhamkan daripada pengarang Italia, Vittorio Alfieri (1749-1803). Penentangannya yang keras dan signifikan dalam menantang tirani dan menyanggah kebobrokan dan penghalang-penghalang despotisme ini diungkapkan oleh Ronen Raz dalam menafsirkan pemikiran-pemikiran al-Kawakibi: “They were a challenge not only to the Ottomans, who were struggling to hold the crumbling empire together, but also to other Arab intellectuals, including those in Kawakibi’s close milieu, who were contemplating questions of identity and political authority vis-à-vis the Ottoman Empire.” (tretis-tretis ini merupakan cabaran tidak hanya kepada Uthmaniyah, yang berusaha untuk mempertahankan empayar yang ambruk, tetapi juga kepada intelektual Arab, termasuk dalam lingkungan dekat al-Kawakibi, yang memikirkan persoalan tentang identiti dan autoriti politik berhadap-hadapan dengan empayar Uthmani).

Kerana tindasanpenguasa beliau terpaksa merahsiakan identitasnya dalam kitab tersebut di mana beliau menyamarkan namanya sebagai “Al-Rahhala (Kāf)” (Traveler K.) untukTabā’i‘ al-istibdād dan “al-Sayyid al-Furati” untuk Ummul Qura.

Al-Kawākibī juga disebut-sebut punyai dua karya lain, yaitu Al-‘Adzamatu li Allah dan Sahā’if Quraysh. Beliau juga diduga konon pernah menulis catatan pelayarannya ke negara-negara Asia dan Afrika, namun khabarnya hilang.

Asas-Asas Pembaharuan

Idealisme yang dirumuskan dalam dua kitabnya yang berpengaruhdan aspirasinya yang dahsyat dalam mengilhamkan harakat nahdah dan intelektual ini dicatat oleh Komaruddin Hidayat, Ahmad Gaus A.F. (2005) “al-Kawakibi misalnya, adalah intelektual nahdah generasi kedua yang secara khusus mengkaji tentang pemikiran politik.”

Menurut al-Kawākibī, Islam dilahirkan bersifat demokratik, tetapi telah dirubah menjadi alat absolutisme (pemerintahan totaliter). Hanyutan ini akan berterusan sampai hari kiamat, sehingga umat Islam menerimapakai cara politik berasaskan prinsip musyawarah. Yakni kebijakan politik yang diambil daripada permusyawaratan ahl al-hall wa al-‘aqd, untuk menjalankan kepentingan umum.

Terkesan dengan filsafat rasional yang dinamik dan progresif dari al-Afghani dan Abduh, beliau cuba membawa pengaruh dan idealisme moden yang diperjuangkan dalam memperbaharui pemikiran dan menggerakkan kebangkitan umat, sebagai diungkapkan oleh Charles Kurzman dalam bukunya Modernist Islam 1840-1940: A Sourcebook: “Al-Kawakibi’s thought was influenced by his contemporaries Sayyid Jamal al-Din al-Afghani and Muhammad ‘Abduh, among others. His historical significance in the Islamic modernist trend of thought lay in his elaboration of an Arab pan-Islamism intended to reform the decaying Muslim world, privileging Arabs over non-Arabs and advocating the establishment of an Arab caliphate.”

(Pemikiran al-Kawakibi terpengaruh dari teman kontemporernya Sayyid Jamal al-Din al-Afghani dan Muhammad ‘Abduh, antara lain. Signifikasi sejarahnya dalam tren pemikiran modernis Islam terletak dalam penguraiannya tentang pan-Islamisme Arab yang bermaksud untuk mereformasi dunia Islam yang mereput, mengistimewakan kaum Arab ke atas bukan Arab dan mendukung penegakkan khalifah Arab).

Pengaruh daripada pandangan dan paham pembaharuan yang diilhamkan Jamal al-Din al-Afghani dan Muhammad ‘Abduh ini telah digarap dalam Ummul Qura yang menganalisis sebab-sebab kemunduran sesuatu bangsa. Beliau menjelaskan beberapa faktor yang menyebabkan kehancuran bangsa, antaranya penguasa yang tidak lagi menghiraukan umat dan rakyat, sehingga hak-hak rakyat hilang. Beliau turut mengkritik faham jabriyyah (keterpaksaan manusia hasil daripada ketetapan takdir) yang dikira punca ketertinggalan dan terbelakangnya umat daripada mengejar peradaban dan kemajuan. Kesan daripada filsafat dan penekanannya yang berpengaruh terhadap kepentingan pendidikan terhadap al-Kawakibi turut diungkapkan oleh Joseph G. Rahme di mana “’Abduh’s emphasis on internal reform, especially on the reform of education, was appropriated by one of his numerous disciples, ‘Abd al-Rahman al-Kawakibi (1854-1902)”(Joseph G. Rahme, 1999). [penekanan ‘Abduh terhadap pembaharuan dalaman, terutamanya reformasi pendidikan, telah disesuaikan oleh salah seorang daripada muridnya yang ramai, ‘Abd al-Rahman al-Kawakibi (1854-1902)].

Dalam menegakkan khittah perjuangan Abduh dan Rashid Rida ini, al-Kawakibi telah mempertahankan keyakinan dan ideologi dan falsafah pembaharuan yang diperjuangkan, dimana “Beliau (Rashid Rida) sepaham dengan koleganya, Abd. Al-Rahman al-Kawakibi, bahwa salah satu daripada sebab-sebab yang membawa kepada kemunduran umat Islam ialah paham fatalisme (akidah jabariyah) itu. Dan selanjutnya salah satu sebab yang membawa masyarakat Eropah kepada kemajuan ialah paham dinamika rasionalisme yang terdapat di kalangan mereka.” (Ris’an Rusli, 2018).

Dalam membangkitkan kesedaran dan kemungkinan-kemungkinannya dalam menentang rejim Uthmani ini maka “mulailah alam pikiran Islam bangkit kembali” (Ahmad Azhar Basyir, 1993) yang telah menggembleng dan membangkitkan semangat perjuangan yang dahsyat dimana ideologi dan gerakan “Muhammad Iqbal, Abdurrahman Al-Kawakibi, dan lain-lain dapat dipandang sebagai tokoh dan pionir yang tercatat dalam “cetak biru” sejarah Filsafat Islam.” (Ahmad Azhar Basyir, 1993) 

Falsafah

”Lelap terus, dan kau pun dipuji sebagai bangsa terlunak di dunia. Darahmu dihisap dan dagingmu dilahap sehingga hanya kulit yang tersisa. Siapa pula tak memuji sapi dan kerbau?
Orang dapat menyuruhnya kerja, dan memakan dagingnya. Tapi kalau mereka tahu hak-haknya, orang pun akan menamakannya pongah, karena tidak mau ditindas.
Bahasamu terpuji halus di seluruh dunia, dan sopan pula. Sebabnya kau menegur bangsa lain dalam bahasa kromo dan orang lain menegurmu dengan bahasa ngoko.
Kalau kau balikkan, kau pun dianggap kurang ajar!”

—H.O.S. Tjokroaminoto

Tulisan-tulisannya membawakan falsafah dan paham-paham perjuangan dan pemikiran kebangsaan yang menentukan. Tretisnya Umm al-Qura dianggap sebagai yang pertama membincangkan tentang kebangkitan nasionalisme Arab dan konsep Arabisme sebagaimana diamati oleh Ronen Raz: “Kawakibi’s was the first discussant of Arabism by a Muslim Arab, and was to a large extent less religious in its tone than the writings produced by contemporary Muslim writers. His ideas can be seen as a critical link between the cultural revival in the Arab Middle East, religious literary and scholarly, and the translation of the cultural idea and achievements into political claims, platforms and organizations.” (tretis al-Kawakibi merupakan perbincangan yang pertama tentang Arabisme oleh seorang Arab Muslim, dan sebahagian besarnya kurang agama dalam nadanya ketimbang penulisan yang dihasilkan oleh pengarang Muslim kontemporer. Ideanya dapat dilihat sebagai penghubung yang kritis antara kebangkitan budaya di Timur Tengah Arab, kepujanggaan dan kesarjanaan agama, dan terjemahan idea dan pencapaian-pencapaian budaya ke dalam klaim-klaim, platform-platform dan pertubuhan-pertubuhan politik).

Dalam menegakkan cita-cita pembaharuan dan pembebasan ia sangat keras mengkritisi kebejatan dan keterpurukan kerajaan Turki Uthmaniyah yang semakin mundur. Tabā’i‘ al-istibdād menerangkan bahawa corak pemerintahan tirani itu bertolak belakang dengan semangat kemanusiaan, dan menghalang kebebasan dan perkembangan diri individu.

Fikrah dan kritikan-kritikannya yang mendasar terhadap kebokbrokan tirani Uthmani ini dicatatkan Adonis yang merumuskan kritik al-Kawakibi terhadap keterpurukan dan kekacaubalauan pemikiran Muslim dalam bukunya Arkeologi Sejarah Pemikiran Arab-Islam: “Mengapa terpuruk? “Sarana apa yang paling baik untuk bangkit”? dari dua pertanyaan inilah al-Kawakibi berpijak, dan di seputar dua persoalan itulah pemikirannya bergerak… (Adonis, h. 117)

Keterpurukan dan kebejatan sistem dan dasar otoriter yang dikritik keras di mana: “keterpurukan merupakan “penyakit”…akarnya adalah “kewenang-wenangan politik”…keyakinan al-Kawakibi terhadap akar dan kemapanannya merupakan keyakinan mutlak dan sempurna. Sebab, kemapanan akar merupakan satu-satunya faktor yang tetap dapat melestarikan “kebesaran agama di sepanjang abad ini”. Dari sini al-Kawakibi memiliki keyakinan bahwa penyakit yang berupa keterpurukan ini dapat dilenyapkan dan sangat mungkin untuk dinaikkan ke jalan kemajuan. (Adonis, h. 117)

Ideologi politik

Garis besar perjuangan yang digemblengnya dalam menentang kebejatan dan kesewenang-wenangan penguasa ini telah dirumuskan oleh Hamka dalam bukunya Kenangan-Kenanganku di Malaya (h. 109) “Seorang ahli fikir Islam yang masyhur di akhir kurun ke-19 yang lalu bernama Sayyid Abdul Rahman al-Kawakibi menulis pada bukunya yang bernama Thabai’l al-Istibdad dan Ummul Qura  bahawasanya di zaman beliau hidup pada masa raja-raja Bani Uthmaniyyah, berkuasa banyaklah orang-orang yang memakai gelar ulama’ itu menjadi penghalang kemajuan. Dia bersyarikat dengan raja-raja memperbodoh umat.”

Ummul Qura  cuba mengekspresikan idea kesatuan ummat dan kepentingan ideologi reformis dan Pan-Islamisme. Pemikiran ini dibawa dalam persidangan fiktif yang dilangsungkan di Mekah pada musim haji 1899, dimana seorang perwakilan Palestin sejak sidang kedua mengusulkan bahawa keterbelakangan umat Islam dalam semua lapangan hidup adalah diakibatkan daripada kemunduran sistem politik pemerintah yang berkuasa.

Sistem politik yang pada awalnya bersifat demokratik di era Khalifah ar-Rāsyidīn, bertukar menjadi pemerintahan dinasti (muluk), yang awalnya masih menghargai prinsip-prinsip dasar agama, namun kemudian menjadi kekuasaan mutlak dan sistem kuku besi.

Dalam hal ini al-Kawakibi menegaskan bahawa pemerintahan dapat terjerumus ke dalam kediktatoran: “apabila pemegang kekuasaan eksekutif tidak mempertanggungjawabkan tugasnya kepada pemegang kekuasaan legislatif, dan pemegang kekuasaan legislatif tidak mempertanggungjawabkan pekerjaannya kepada rakyat, iaitu rakyat yang tahu cara mengawasi dan mampu melakukan penilaian.”

Keadaan negara-negara Islam yang tercerai berai dengan wilayah kekuasaan yang bersendiri menurutnya dapat dipersatukan dan diikat, yang unsur-unsurnya terdiri daripada tiga bahagian:

Menurutnya, negara yang adil adalah yang memberi kebebasan kepada individu menentukan tujuan dan berkhidmat sesama komunitas, dan inilah bentuk negara Islam yang sejati yang terdapat pada permulaan sejarah Islam. (Zulbaida, 2017)

Usaha mewujudkan kesatuan Islam (Jami‘ah Islamiyah) ini mengantisipasikan terwujudnya hubungan harmonis antara dunia Islam dengan sekretariat tersendiri. Hal ini tidak bermakna mengharuskan negara yang berdasar agama, sebaliknya adanya hubungan yang kuat, padu, adil di antara pemeluk Islam, yang tidak mesti berada pada satu kekuasaan. Perkara ini diungkapkan al-Kawakibi sebagai ummah, yang selain mengacu pada al-Qur’an, juga mengandung makna beragam, diartikan dalam kesusasteraan moden, dengan arti membentuk sejarah,  bahasa, dunia, kehidupan perekonomian, jiwa dan peradaban yang sama, dan jamaah yang mempunyai hubungan dan ikatan batin (ukhūwah).

Tirani Politik

Kerasnya perjuangan yang ditegakkan dalam mempertahankan kebebasan Muslimin daripada cengkaman tirani dan perosakan ideologi despotik ini dirumuskan Hamka dalam pidatonya “Pengaruh Ajaran dan Pikiran Al Ustadz Al Imam Syeikh Muhammad Abduh di Indonesia” yang mengungkapkan pengaruh teologi pemikiran yang digembleng pejuang-pejuang moden dalam melonjakkan semangat perubahan dan pembaharuan dan kebangunan Islam di kepulauan arkipelago, “Dan tidaklah saya melebihi hakikat jika saya katakan bahwa Sayid Djamaluddin Al-Afghany dan Syekh Muhammad ‘Abduh, dan Sayid Rasyid Ridha, ditambah dengan Sayid ‘Abdur Rahman El-Kawakibi dan Al-Amir Syakib Arselan dan lain-lain telah turut memasukkan saham yang bukan sedikit dalam kebangunan bangsa Indonesia dan membangkitkan semangat Islam, sehingga terbentuklah suatu ideologi Islam yang progresif, sebagai bahagian dari perjuangan kebangsaan Indonesia.”

Perjuangan yang dipelopori al-Kawakibi dalam menghadapi kezaliman dan pemerasan oleh para diktator ini dirumuskan Hamka dalam bukunya “Said Djamaluddin Al-Afghany: Pelopor Kebangkitan Muslimin” yang menyingkapkan kesan perjuangannya yang dahsyat dalam menyalakan dan membangkitkan kesedaran dan penentangan yang hebat terhadap kebobrokan politik penindasan ini (h. 63) “Penyakit menyerahkan leher buat disembelih oleh penguasa, menerima nasib sebagai takdir yang telah tertulis di Luh Mahfuz, dan semboyan sangat buruk yaitu “Sebaik-baik untung ialah teraniaya”, bukanlah semata-mata penyakit orang Mesir pada pertengahan Qurun-19. Tetapi penyakit yang merata diseluruh Dunia Islam. Pembangun Fikiran Modern Islam yang seorang lagi ialah Said Abdurahman Al-Kawakibi telah mengupas penyakit ini dalam bukunya “Thaba i’ul Istibdad”, (Tabi’atnya pemerintah diktator). Demikian katanya: “SABAR sebagai yang kalian artikan itu adakah membawa kebanggaan kepada kalian? Adakah kalian berpahala karena sabar sematjam itu? Demi Allah kalian sudah salah perhitungan.”

“Kalau begitu kalian memberi arti sabar, tidak ada yang akan kalian dapat hanyalah diperbudak dikala hidup dan sebutan hina dikala mati. Sebab hanyalah orang lain yang dapat mempergunakan kalian untuk kehidupan mereka dan kalian sendiri tidak mendapat apa-apa dari hidup. Bahkan segala pusaka yang ditinggalkan nenek moyang menjadi porak peranda hancur lebur dan tidak ada warisan yang akan kalian banggakan kepada generasi yang akan datang.”

“Kalian mengeluh karena melarat, padahal sebabnya hanyalah karena kalian malas. Kalian menginginkan perbaikan nasib, padahal di antara kalian sesama kalian tipu menipu. Dan kalian tak insyaf bahwa yang kalian tipu ialah diri sendiri. Kalian terima dengan sabar kehidupan yang melarat, lalu kalian menamai hidup yang demikian, hidup yang sederhana.”

“Kalian lalaikan memperbaiki nasib, lalu kalian namai tawakkal! Kalau kehidupan kalian telah dikutak-katikkan oleh si zalim, mengapa maka kalian biarkan mereka mengutak-ngatikkan sampai kepada urusan mati? Sedangkan mati juga hendak kalian serahkan kepada ketentuan mereka itu. Tidaklah lebih baik kalian sendiri yang memilih bagaimana cara mati yang baik? Bukan mati karena kemauan si zalim itu. Apakah kezaliman mereka telah merampas sampai kepada kehendakmu sendiri sampai kepada urusan maut?”

Dibahagian lain dia berkata: “…….sampai begitu goblok kalian. Seketika tiran (si zalim) menindasmu, kalian tertawa dan memuji sebab beliau kuat. Dirampasnya harta kalian, kalian berterima kasih, sebab nyawa kalian tidak diambilnya. Segala macam siasat licik dipergunakan oleh si zalim, kalian merasa bangga sebab beliau “pintar”. Bila harta benda negara dihamburkannya sesukanya, kalian puji, sebab beliau dermawan. Kalau ada diantara kalian yang dibunuhnya dengan zalim, masih juga dipuji sebab bangkai yang terbunuh itu tidak dicencang, tandanya beliau masih belas kasihan kepada rakyatnya.”

Demikian Said Abdurrahman Al-Kawakibi menulis tentang kezaliman radja-radja dan kebokbrokan rakyat pada masa itu. Bukan di Mesir sadja, tetapi diseluruhnya. (Hamka, 1970, 64)

Rekonstruksi yang digerakkan bagi mengangkat harakat perjuangan dan mengilhamkan kebebasan dan paham pembaharuan yang sebenar. 

Kesimpulan

Dalam penentangannya terhadap tindasan dan kebokbrokan pemerintah, al-Kawakibi telah membawa pembaharuan penting dalam menggembleng semangat pan-Islamisme dan gerakan nasionalis dan menegakkan aspirasi moden terhadap pemerintahan khalifah Arab, yang memberi tentangan yang kuat terhadap kekaisaran Uthmaniyyah, dan kesultanan kerajaan Turki Uthmani, yang akhirnya cuba menekan dan menamatkan riwayat politiknya. Dengan kekacauannya yang menggugat nilai sosial yang diperjuangkan, al-Kawakibi bangkit menyanggah ketidakadilan dan keterpurukan sistem usang tangan besi yang menindas dan membantah  kezaliman yang terus mencengkam dan memperbodohkan umat dengan dasar yang bobrok dan zalim. Riwayat perjuangannya yang getir menentang kuasa tirani ini sangat mengesankan, dalam usaha kita membela falsafah perjuangannya dan memperjuangkan reformisme dan kebangkitan intelektual demi melanjutkan visi perjuangan dan nahdah yang dibangunkannya.

 


Dr Ahmad Nabil Amir adalah Ketua, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front. Beliau adalah Sarjana Kedoktoran dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya.

 

 

Rujukan

Ahmad Azhar Basyir, Refleksi Atas Persoalan Keislaman Seputar Filsafat, Hukum, Politik, dan Ekonomi. (Bandung: Mizan, 1993)

Ahmad bin ‘Abd al-Khaliq Abu al-Nasr, “Al-Istibdād al-siyāsī wa atharuhu fī takhalluf al-muslimīn ‘inda ‘Abd al-Rahmān al-Kawākibī wa Muhammad ‘Abduh: dirasah wasfiyyah tahliliyah muqaranah” (Tesis M.A., Usul al-Din wa Muqaranah al-Adyan, Kulliyyah Ma‘arif al-Wahy wa al-‘Ulum al-Insaniyyah, International Islamic University Malaysia, 2018).

Adonis,Arkeologi Sejarah-Pemikiran Arab-Islam (Yogyakarta: LkiS, 2015).

Azyumardi Azra,Transformasi Politik Islam: Radikalisme, Khilafatisme dan Demokrasi (Djakarta: Kencana & PPIM, UIN Jakarta, 2016).

El-Husry, Khaldun S. “Three Reformers A Study in Modern Arab Political Thought”(Master of Arts, American University of Beirut, Lebanon, 1962).

Hamka,Sejarah Perkembangan Pemurnian Ajaran Islam di Indonesia (Djakarta: Tintamas, 1961).

Hamka,Said Djamaluddin Al-Afghany: Pelopor Kebangkitan Muslimin (Djakarta: Bulan Bintang, 1970).

Hamka,Kenangan-Kenanganku di Malaya (Kajang: Jejak Tarbiah, 2019).

Hazel Lian Zimeri, “Knowledge in the Era of Despotism: A Reading of ‘Abd ar-Rahmān al-Kawākibī’s Tabā’i‘ al-Istibdād wa Masāri‘ al-Isti‘bād”(Master Thesis, Department of Culture Studies and Oriental Languages, University of Oslo, 2007).

Hourani, Albert, Arabic Thoughtin the Liberal Age 1798-1939 (Cambridge: Cambridge UP, 1962).

Itzchak Weismann, Abd al-Rahman al-Kawakibi Islamic Reform and Arab Revival (London: Oneworld, 2015).

Joseph G. Rahme, “’Abd al-Rahman al-Kawakibi’s Reformist Ideology, Arab Pan-Islamism, and the Internal Other”,Journal of Islamic Studies 10, 2 (1999), pp. 159-177.

Kurzman, Charles ed., Modernist Islam, 1840-1940: A Sourcebook (New York: Oxford UP, 2002).

Muhammad ‘Imāra,Al-A‘māl al-Kāmila li ‘Abd al-Rahmān al-Kawākibī ma‘a dirāsa ‘an hayātihi wa-āthārihi  (Kaherah: al-Hay’ah al-Misrīyah al-‘Ammah lil-Ta’līf wa-l-Nashr, 1970).

Ris’an Rusli, Pemikiran Teologi Islam Modern (Jakarta: Kencana, 2018).

Ronen Raz, “Interpretations of Kawakibi’s Thought, 1950-1980s”,Middle Eastern Studies Vol. 32, No. 1 (Jan., 1996), pp. 179-190.

Ryuichi Funatsu, “Al-Kawakibi’s Thesis and its Echoes in the Arab World Today”,Harvard Middle Eastern and Islamic Review 7 (2006), 1-40.

Stephen Sheehi, “Al-Kawakibi: From Political Journalism to a Political Science of the “Liberal” Arab Muslim”,Alif 37 (2017), 85-109.

Sylvia Kedourie (nee HAIM), “The Ideas of a Precursor, ‘Abd al-Rahmān al-Kawākibi (1849-1902), In Relation to the Trend of Muslim-Arab Political Thought”(Ph.D. Thesis, Faculty of Arts, University of Edinburgh, 1953).

Zulbaida, “Abdul Rahman Al-Kawakibi”  (Tugas Filsafat Islam V, Jurusan Ilmu Aqidah dan Filsafat Islam, Fakultas Ushuluddin, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, 2017).




View original article at: https://irfront.net/post/articles/articles-malay/abd-al-rahman-al-kawakibi-dan-visi-politik-islam/