Forum: Ulama’ Sebagai Intelektual Awam

November 9, 2019

Tarikh: Sabtu, 16hb November 2019
Masa: 2.00PM – 5.30 PM
Tempat: Patio 2 Level 2, Concorde Hotel, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur

 

Pembicara:

Ustaz Wan Ji Wan Husin, Pengarah Akademik, SAUDARA Research Centre
Ustaz Ali Muda, Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri, Jabatan Perdana Menteri
Ustaz Marwan Bukhari, penyelidik dan penterjemah

Moderator:
Dr Maryam Zakiah, Islamic Renaissance Front

Anjuran: Islamic Renaissance Front

 

Daftar di: https://www.eventbrite.com/e/forum-awam-ulama-sebagai-intelektual-awam-tickets-79672700191

 

Rasulullah SAW bersabda: “Jihad yang paling utama ialah berkata benar di hadapan penguasa yang zalim”.

[Hadis riwayat Tarmizi, No. 2265, Abu Daud, No. 4344, Ibnu Majah dalam kitab Al-Fitan bab Al-Amru bil-Ma’ruf wan-Nahyu ‘anil Munkar, No. 4011 dan Ahmad, No 10716. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Misykah Al-Mashabih No. 3705]

 

Hadis yang dinyatakan di atas jelas meletakkan sikap berpihak dalam benak umat islam agar mereka sentiasa tegas berprinsip dalam menasihati dan membetulkan para penguasa yang pemerintah sungguhpun natijahnya itu berkemungkinan besar mengorbankan dirinya. Begitulah yang dimaksudkan oleh pengarang kitab Tuhfah al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tarmizi dan kitab ‘Aun al-Ma’buud Syarh Sunan Abi Daud, yang  telah menaqalkan pandangan Imam al-Khattabi dalam mensyarahkan hadis ini. Menurut beliau “Berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim menjadi jihad yang paling afdhal adalah kerana apabila seseorang sedang berjihad di medan perang, ia berada dalam dua kemungkinan iaitu menang ataupun kalah. Adapun ketika berhadapan dengan pemerintah yang zalim, pastinya seseorang yang berkata benar itu tidak akan menang (secara fizikal dan penilaian duniawi) kerana pemerintah itu sedang berkuasa penuh.”

Apabila kita merenung sejarah panjang umat Islam dapat kita ketemukan begitu banyak kisah para Ulama’ yang memenuhi deskripsi yang disebutkan ini. Mereka adalah golongan intelegensia yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah turut berpengaruh dalam mendepani isu-isu kemasyarakatan yang menimpa komuniti yang sezaman dengan mereka. Tokoh-tokoh besar seperti  ‘Izz-ud-din Ibn Abdul Salam, Ibn Hajar al-Asqalani,  Imam An-Nawawi, Ibn Taymiyyah, Abu Ishaq asy-Syatibi,  Jalaludin al-Suyuti, dan ramai lagi antara tokoh-tokoh penting yang bukan sahaja penyumbang besar dalam dunia keilmuan malah turut membawakan pandangan-pandangan kemasyarakatan yang mencabar status quo pemerintahan ketika itu. Malahan, sebahagian besar daripada mereka dikenakan hukuman yang cukup berat sebagai natijah daripada perlawanan mereka itu.

Forum ini akan membicarakan semula peranan Ulama’ yang mencakupi fungsi intelektual dalam masyarakat moden dan demokratis hari ini. Kita bakal bertanyakan: Siapakah sebenarnya yang dapat dimaksudkan sebagai Ulama’ ketika dunia hari menjadi lebih rumit dan cabang pengetahuan sebagai berpisah-pisah? Apakah Ulama’ hari ini berperanan dalam menjadi suara pencerahan dalam masyarakat? Sejauh manakah Malaysia didampingi para ilmuan yang disebut oleh Syed Hussein Alatas sebagai golongan ‘Intelektual yang berfungsi’ dalam berdepan dengan kezaliman pemerintah?


Program:

200-230PM:    Pendaftaran

230-245PM:    Ucapan pengenalan oleh Pengerusi, Hajjah Marilyn Ong Siew Ai, IRF

245-300PM:    Ucapan Moderator, Dr Maryam Zakiah, IRF

300-330PM:    Ustaz Wan Ji Wan Hussin, SAUDARA

330-400PM:    Ustaz Ali Muda, JPM

400-430PM:    Ustaz Marwan Bukhari, penyelidik dan penterjemah

430-530PM:    Diskusi

530PM:            Minum petang


Biografi panelis:

Ustaz Wan Ji bin Wan Hussin dilahirkan di Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan dan mendapat pendidikan di Institut pendidikan al-Balaghul Mubin, pasir Mas Kelantan (tahfiz al-Quran); Pondok Lubuk Tapah, pasir mas kelantan; Karachi, Pakistan; Universiti Al-Azhar, Mesir; dan Universiti Malaysia Kelantan. Tesis master beliau bertajuk “Pemahaman Maqasid Syariah Melalui Teori Fath al- Zarai’e Dalam Menanggapi Beberapa Isu Fiqh Di Malaysia”. Beliau kini bergiat dengan Saudara, sebuah pusat penyelidikan yang menumpukan kajian terhadap bidang sosio-budaya dan agama di Malaysia. Beliau pernah berkhidmat sebagai Penyelidik di Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI).  Antara karya beliau adalah “Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi”, “Kezuhudan Umar Abdul Aziz”, “Kesederhanaan Nik Abdul Aziz: Dua Tokoh Unik di Dua Zaman”, “Belajar Dari Para Wali”, “Ustaz, Jangan Kasar Sangat!”, “Muslim Zalim vs Non-muslim Adil”, “Ustaz, Aku Tak Bangang!”, “Penunggang Agama?, dan “Andai Rasulullah SAW Bersama Kita”.

Ustaz Ali Muda adalah Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Beliau mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Syariah dan telah berjaya meraih Sarjana daripada Universiti Kebangasaan Malaysia dalam bidang pendidikan bahasa Arab. Beliau mempunyai pengalaman yang panjang dalam pendidikan agama di Malaysia. Ustaz Ali Muda juga merupakan Panel Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) dan telah menyumbang banyak tulisan dan kajian menerusinya.

Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid adalah graduan Darul Quran Jakim dan Universiti Yarmouk dalam bidang al-Fiqh wa Usuluh. Beliau telah menterjemah banyak kitab-kitab termasuklah "Maqasid as-Solah: Hikmah dan Tujuan Pensyariatan Solat” dan “Makna Iman dan Islam: Antara Persamaan dan Perbezaan” karangan Imam al-'Izz ibn 'Abd al-Salam, “Tabiat Kediktatoran dan Keruduman Perhambaan” karangan Shaykh Abdul Rahman al-Kawakibi, “Prinsip dan Kaedah Universal Dalam Shar'iah: Sebuah Perbahasan Dalam Ilmu Maqasid Al-Shar'iah” karya Sheikh Ahmad Al-Raisuni, “Panduan Pemula Maqasid Al-Shari'ah”, “Memahami Hubungan antara Shari’ah dan Politik”, dan “Mudahnya Maqasid Syari’ah”.




View original article at: https://irfront.net/post/events/forum-awam-ulama-sebagai-intelektual-awam/