Kata Pengantar Editor Antologi Pemikiran Reformis I

November 26, 2019

Ahmad Farouk Musa || 17 November 2019

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’aruf, mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah…."

[ali’Imran 3: 110].[1]

 

Muhammad Asad di dalam The Message of The Quran[2] menyebutkan bahawa janji kepada pengikut al-Qur’an bergantung kepada keadaan mereka, sesuatu komuniti yang bertanggungjawab melaksanakan tugas ‘amar ma’aruf nahi mungkar serta benar-benar beriman kepada Allah, dan sejarah telah menunjukkan bahawa janji ini mngkin tidak terlaksana apabila umat Islam sendiri gagal untuk melaksanakn tuntutan aqidah tersebut. Lantaran itu, disepanjang zaman akan lahir golongan yang akan menggembelingkan semula umat ini, dari segi aqidah dan ibadah, politik dan sosial, tamadun dan peradaban, agar mereka kembali kepada status ‘khaira ummah’; umat yang terbaik untuk manusia keseluruhannya.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan melalui Abu Hurairah, katanya:

Sesungguhnya Allah akan mengutuskan kepada umat pada awal setiap satu kurun, orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya[3]

Tajdid menurut Syeikh Yusuf al Qaradawi ialah memperbaharui agama dan mengubahnya supaya sesuai dengan zaman[4]. Apa yang dimaksudkan dengan pembaharuan ialah pembaharuan memahaminya, keimanan dan amalannya. Maka pembaharuan di sini ialah sesuatu yang dihubungkan dengan kembali semula kepada sesuatu yang telah ada dan berlaku semasa ia bermula dan menzahirkan sebagaimana mulanya dahulu seolah-olah ia sesuatu yang baru, iaitu dengan lebih menguatkan daripada yang sedia ada. Membetulkan persis seperti yang dahulu, menampung apa-apa yang kurang, hingga ia kembali persis seperti dalam bentuknya yang awal dahulu. Pembaharuan bukanlah bermakna melahirkan sesuatu bentuk baru daripadanya, bahkan pembaharuan bermaksud kembali semula kepada ajaran murni yang ada pada zaman Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang selepas mereka.

Selanjutnya, Sayyid Abu A‘la Maududi[5] mensyarahkan bahawa sesetengah orang telah salah dalam pemahaman mereka terhadap makna tajdid dan mujaddid. Mereka menyangka ‘pada awal setiap kurun’ bermakna benar-benar awal atau akhir sesuatu kurun, dan ‘orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya’ merujuk kepada seseorang individu tertentu sahaja. Oleh kerana itu, mereka mula mencari di dalam sejarah Islam seseorang tokoh pembaharu agama yang mati atau hidup pada awal atau akhir setiap kurun yang tertentu.

Tetapi sebenarnya, kalimat ‘ra’sun’ atau awal/akhir dan katanama ‘man’ atau seseorang, tidak menunjukkan awal/akhir ataupun hanya seorang individu tertentu. Akan tetapi ia membawa maksud golongan mujaddid tersebut akan mempengaruhi berbagai-bagai cabang keilmuan dan pemikiran. Begitu juga kehidupan yang prevalen pada masa tersebut. Kalimat ‘man’ di dalam bahasa Arab boleh membawa maksud seorang (singular) ataupun ramai (plural), kerana itu ia mungkin bermaksud seseorang indidvidu, sesuatu kumpulan ataupun sesuatu organisasi. Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa dengan izin Allah, tidak ada kurun yang sunyi daripada para mujaddid, yang akan bangkit menentang kejahilan dan berjuang untuk membersihkan agama itu daripada segala bentuk pencemaran serta melaksanakan system Islam di dunia ini dalam bentuk dan ruhnya yang asli.

Oleh kerana itu, kata al-Maududi lagi tidak semestinya mujaddid bagi sesuatu kurun itu hanyalah seorang individu, malahan tugas tersebut boleh terlaksana dengan beberapa individu ataupun kumpulan individu, dalam kurun yang tersebut. Tidak juga dinyatakan bahawa seorang mujaddid telah memadai bagi seluruh dunia Islam. Akan tetapi berkemungkinan wujudnya segolongan individu dalam negara yang berlainan pula, yang berjuang untuk kebangkitan Islam. Dengan kerana itu, siri Seminar Pemikiran Reformis yang telah dibukukan dalam Antologi ini cuba untuk menyelami dan mendekati para mujaddid dan para reformis yang telah membentuk pemikiran yang revolusioner terhadap pemahaman Islam pada masa kini.

 

Sejarah Ringkas Gerakan Reformis di Tanah Melayu

Setelah berlalu masa yang panjang, maka kemurnian Islam itu telah mula tercemar oleh bid’ah dan khurafat, oleh kebekuan dan kejumudan umatnya dalam berfikir. Sejak kehancuran kuasa politik umat Islam di laut Mediterranean, tamadun Islam juga turut hancur. Pemikiran Islam juga turut karam bersama tamadunnya. Namun, sejarah umat Islam tidak selamanya demikian. Firman Allah:

Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)[6]

Ia merupakan salah satu garis perjalanan sejarah manusia. Bermula dari abad ke-20, banyak cetusan sejarah yang berlaku. Beransur-ansur matahari yang selama ini hanya menyinari bumi sebelah barat, sekarang mula menyinari daerah timur. Kesedaran umat Islam mula terasa. Peringatan Allah bergema kembali:

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamu orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”[7]

Maka terjadilah kebangkitan baru kembali kepada kemurnian Islam. Dahulu Islam telah membangunkan sesuatu kelompok manusia yang jahil lagi hina sehingga menjadi umat yang memimpin tamadun manusia. Akan tetapi ia kini kembali dagang. Sabda Rasulullah SAW:

Bermula Islam itu dalam keadaan dagang (asing), dan ia kembali dagang seperti mulanya, beruntunglah orang-orang yang dagang itu.”[8]

Mereka yang ‘asing’ atau dagang ini ingin kembali kepada Islam yang asal, Islam yang bersih daripada bid’ah dan khurafat, daripada segala tahyul dan angan-angan, daripada segala perkara-perkara yang diada-adakan oleh manusia. Mereka ingin berjalan di atas landasan para as-salaf as-salih dengan akal yang merdeka. Mereka mengidentifikasikan pemikiran mereka dengan pemikiran para salaful ummah dan merekalah yang dikenali sebagai salafiyyah.[9]

 

Tokoh-tokoh Generasi Awal Gerakan Reformis

Tujuan utama gerakan reformis ialah untuk mengembalikan kefahaman umat Islam kepada al-Qur’an dan as-Sunnah serta kemampuan untuk berijtihad. Gerakan reformis ini berusaha menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam serta taqlid buta, menyegarkan pemikiran umat Islam, serta menentang segala bentuk penjajahan baik yang merupakan penjajahan pemikiran mahupun penjajahan tanahair.

Reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah (1263-1328M)[10] dan diikuti oleh muridnya Ibnu al-Qayyim al Jauziyyah (1292-1350M), kemudian disambung kembali pada akhir kurun ke-sembian belas oleh Jamaluddin al-Afghani (1837-1897M), dan kemudiannya oleh Imam Muhammad Abduh (1849-1905M) dan Sayyid Muhammad Rasyid Reda (1856-1935M) telah dikembangkan di Tanah Melayu oleh golongan salafiyyah yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’.Tokoh-tokoh Kaum Muda yang mahsyur adalah seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Shaykh al Hady, Abu Bakar al Baqir, Abu Bakar al-Asy’ari dan lain-lain lagi. Mereka berjuang memperbaharui kefahaman umat Islam terhadap agamanya disamping menghadapi tentangan Barat.[11]

Di Indonesia pula, gelombang reformasi ini telah dicetuskan oleh beberapa orang seperti Haji Ahmad Dahlan yang telah menubuhkan Gerakan Muhammadiyyah (1912); diikuti oleh Ahmad Surkati yang telah menubuhkan Al-Irsyad (1923) dan A.Hassan Bandung yang telah mengasaskan Persatuan Islam (1923).[12]Termasuk dikalangan para pejuang gerakan reformis di Indonesia yang mempunyai pengaruh yang kuat hingga ke Tanah Melayu ialah Prof. Dr. Haji Abdul Karim Amrullah (Hamka), dan juga Prof. Dr.T.M. Hasbi ash-Shiddiqi.

 

Perjuangan Para Reformis di Tanah Melayu

 

  1. Pembebasan Pemikiran

Di antara seruan utama gerakan reformis ialah dalam membebaskan pemikiran umat daripada belenggu taqlid buta. Para reformis tersebut telah mengemukakan idea memerdekakan fikiran, membebaskan diri daripada belenggu adat resam budaya dan masyarakat, kerana selama seseorang itu dibelenggu, selagi itulah akalnya akan buta dan jumud serta suka kepada taqlid. Pejuangan mereka memerdekakan pemikiran umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan kemasyarakatan, bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas.[13]

Perjuangan para pemimpin reformis pada masa itu yang diketuai oleh Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Shaykh al-Hady, merupakan kesinambungan perjuangan yang diasaskan oleh mujaddid yang ulung, Imam Muhammad Abduh serta teman dan muridnya yang utama iaitu Sayyid Muhammad Rashid Reda. Di Mesir, majalah al-Manar merupakan penyambung lidah al-Urwat al-Wuthqa yang telah diasaskan oleh Muhammad Abduh dan Jamaluddin al-Afghani. Al Manar yang telah diteruskan oleh Sayyid Muhammad Rashid Reda telah memperjuangkan cita-cita kebangkitan Islam, malah ia lebih lengkap daripada al-Urwat al-Wuthqakerana selain daripada membangkitkan semangat umat, ia juga dipenuhi dengan pandangan baru berlandaskan penafsiran al Qur’an.[14]

Setelah kematian Sayyid Muhammad Rashid Reda, al-Manar telah diteruskan oleh Hasan al-Banna.[15]Beliau menjadi penyambung gerakan reformis yang menyatukan dalam perjuangannya aqidah dan syari’ah, agama dan dan negara, haq dan kekuatan, perdamaian dan perjuangan, al-Quran dan pedang. [16]

Di Tanah Melayu pengaruh al-Urwat al-Wuthqa dan al-Manar jelas kelihatan berikutan dengan terbitnya majalah Al-Imam. Majalah ini menekankan kepentingan kembali kepada al-Qur’an dan as Sunnah sebagai asas hukum serta menyeru supaya dilakukan ijtihad dan menolak taqlid. Selain daripada al-Imam, terdapat juga beberapa majalah lain yang memberi kesedaran kepada masyarakat seperti al-Ikhwan (1926), Saudara(1928) dan al-Hikmah (1934).

Seruan gerakan reformis bukan hanya tertumpu kepada media berbahasa Melayu sahaja, bahkan terdapat juga di dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, Pendita Za’ba telah berterus terang mengisytiharkan pendiriannya bahawa beliau termasuk ke dalam golongan “yang belayar dalam bahtera yang baru” iaitu ke dalam golongan Kaum Muda.[17] Pendeta Za’ba telah menyumbangkan idea gerakan reformis menerusi rencana berbahasa Inggeris di dalam majalah ‘The Muslim’ (Singapura) dan ‘Islamic Review’ (London) pada awal dekad 1920-an.

Dalam menghuraikan maksud tajdid, Pendeta Za’ba berkata:

Pengislahan atau reformasi bermakna kembali semula kepada bentuknya yang asal dan bersifat anjal terhadap suasana yang baru. Sekiranya Imam-Imam terdahulu mampu membuat penyelidikan yang bebas, dan memutuskan sesuatu perkara berdasarkan kepada sumbernya yang asal, bergantung kepada kehendak masa dan keadaan, maka tidak ada sebab kenapa mereka yang berkelayakan pada masa hari ini tidak mampu untuk melakukan perkara yang sama.[18]

 

ii.Pembebasan Daripada Khurafat dan Bid’ah

Suatu ciri khas gerakan tajdid dan islah daripada aliran mana sekalipun, ialah pembasmian bid’ah. Islam itu mestilah sentiasa murni seperti yang diajarkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, telah Aku cukupkan untukmu nikmatKu, dan telah Aku redha Islam menjadi agamamu[19]

Firman yang termetrai di atas menjelaskan kepada kita bahawa Allah telah menetapkan di dalam kitab suci al-Qur’an segala dasar-dasar agama. Ayat ini merupakan nas yang cukup terang dan konkrit yang menyatakan bahawa al-Qur’an telah menegakkan dasar-dasar aqidah, dan pokok-pokok ajaran asas dalam Islam berhubung masalah ibadah dan etika dalam kehidupan bermasyarakat.

Muhammad Abduh dan Sayyid Muhammad Rasyid Reda telah merumuskan dua prinsip asas (Golden Rules) dalam urusan ini iaitu:

  1. Asal sesuatu urusan ibadah itu adalah haram melainkan ada perintah yang menyuruh kita melakukannya.
  2. Asal sesuatu urusan mua’malat itu adalah harus melainkan ada larangan yang mencegahnya. [20]

Prof. Hasbi ash-Shiddiqi menerangkan bahawa dibezakan dua urusan ini adalah kerana mengingati bahawasanya Allah tidak diibadati melainkan dengan cara yang telah disyari’atkan olehNya dan telah diterangkan oleh RasulNya. Urusan mua’malat dan keduniaan adalah soal yang diserahkan kepada kita. Kita dapat melaksanakannya menurut pendapat akal, terkecuali jika telah ada sesuatu nas yang sahih yang menentukannya.[21]

Sheikh Abu Bakar al-Asya’ari, pelopor terkemuka gerakan islah di Perlis dalam bukunya ‘Ibadah Rasulullah’ setelah mengemukakan beberapa takrif yang dibuat oleh ulama terdahulu, mengambil kesimpulan bahawa bid’ah menurut syari’ah ialah sesuatu yang baru di dalam urusan agama, baik yang berupa aqidah mahupun ibadah, ataupun yang mempunyai unsur ibadah yang belum pernah ada atau belum pernah terjadi pada masa Ar-Rasul dan pada masa sekelian sahabatnya. Demikian juga tambahan atau pengurangan dalam urusan agama yang kedua-duanya terjadi sesudah masa para sahabat, dengan tidak ada izin yang yang diperkenankan daripada Nabi, baik dengan perkataan maupun perbuatan, baik dengan cara yang terang maupun dengan isyarat. Hal ini tidak bersangkut dengan urusan keduniaan sedikitpun. Dengan perkataan lain, bid’ah itu merupakan sesuatu perjalanan di dalam agama yang diada-adakan orang, yang tidak ada padanya dalil daripada syara’, tidak ada padanya dalil daripada Allah dan RasulNya, yang menyerupai syari’at. Dimaksudkan dengan mengerjakannya itu dengan berkepercayaan seperti yang dimaksudkan dengan perjalanan agama, atau seperti yang dimaksudkan dengan cara mengerjakan hukum syari’at.[22]

Untuk mengukuhkan lagi hujahnya tentang keharaman bid’ah beliau mengemukakan ayat al Qur’an:

Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari’atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah.”[23]

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hadith Nabi:

Sesiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami ini apa yang tidak ada daripadanya, maka ia tertolak.”[24]

Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal yang tidak ada perintah kami atasnya, maka ianya tertolak.”[25]

 

iii. Kesedaran Pendidikan

Perjuangan para reformis dimana sahaja di atas muka bumi ini akan mendokong cita-cita untuk merubah masyarakat setempat. Di dalam proses perubahan sosial ini, maka penekanan ditumpukan kepada bidang pendidikan. Sehubungan dengan itu, Syed Shaykh al-Hady selaku pengurus majalah al-Imam dalam rencana pengarang keluaran yang pertama bertarikh 23 Julai 1906 telah menulis:

“...untuk mengingatkan mana-mana yang lalai dan mana-mana yang tidur, dan menunjukkan mana-mana yang sesat, dan menyampaikan suara yang menyeru kepada kebaikan...”[26]

Majalah Al-Imam memberi sebab kemunduran orang-orang Melayu dengan penguasaan bangsa asing ke atas mereka. Punca kejatuhan orang Islam disebabkan keingkaran terhadap yang tulen. Kemudian Al-Imam menyebut pula bahawa Islam tidak menentang ilmu pengetahuan dan kemajuan yang datang dari Barat, malah kita perlu berusaha untuk lebih berjaya daripada mereka.

Lantaran itu al-Imam telah mendesak supaya orang-orang Islam terutamanya Raja-raja dan Pembesar-pembesar Melayu supaya menubuhkan Persatuan Pelajaran dan Ekonomi serta yang boleh membangkitkan kesedaran. Adat-adat dan kepercayaan yang karut-marut dan bertentangan dengan agama serta kemajuan hendaklah disisihkan. Manakala ulama’ yang mengajarkan ajaran yang tidak betul itu perlu disedarkan dari kesalahan mereka dan mengetahui tanggungjawab masing-masing.

Tokoh pendidikan, Pendeta Za’ba pula mengulas garis pemisah yang sangat jelas yang wujud di antara ‘pelajaran dunia’ dan ‘pelajaran akhirat’ pada ketika itu. Hal ini adalah di sebabkan mereka, ulama tradisional, berpendapat tempat yang terbaik untuk menuntut ilmu hanyalah di Mekah, Madinah atau di Mesir sahaja. Ilmu dunia dan ilmu akhirat tidak boleh disatukan sama sekali.[27]

Pendeta Za’ba berpendapat pemikiran inilah yang menyebabkan kebanyakkan kitab agama yang dikarang oleh mereka mereka hanya berkisar disekitar soal tajwid, doa-doa serta ibadat dan haid wanita. Soal kemajuan dan kemunduran masyarakat di dunia ini terkeluar daripada cakupan pemikiran mereka.[28]

Serentak dan senada dengan kritikan Pendeta Za’ba majalah Al-Imam mengusulkan satu pembaharuan kepada sistem pelajaran Islam dengan meminta supaya pelajaran Bahasa Arab, Inggeris dan lain-lain yang bersangkutan dengan pelajaran moden hendaklah diajarkan. Melalui majalah ‘al Ikhwan’ pula, Syed Shaykh al-Hady menyarankan agar ditubuhkan sekolah ‘Anglo-Malay’ dimana akan diajar pelajaran agama, Melayu dan Inggeris dengan serentak.[29]

Demikianlah kegigihan gerakan reformis pada ketika itu dalam memastikan berlakunya perubahan dalam masyarakat dengan merubah system pendidikan yang sedia ada kepada sistem yang mengintegrasikan aspek sains dan teknologi dengan agama.

 

  1. Pembebasan dan Emansipasi Wanita

Gerakan reformis juga merupakan gerakan yang membela dan memperjuangkan hak-hak wanita dari segi pendidikan dan sosial. Di dalam majalah al-Ikhwan Syed Shaykh al-Hady berhujah bahawa usaha memperbaiki kedudukan wanita adalah penting untuk masa depan negara kesuluruhannya.

Beliau beranggapan sekiranya pemikiran wanita itu lemah kerana tiada penekanan terhadap pendidikannya, maka keyakinan dirinya akan pudar, yang demikian itulah yang terjadi di dalam masyarakat pada ketika itu. Sekiranya kehadiran wanita hanyalah untuk melahirkan anak dan menjaga anaknya, maka apakah bezanya mereka dengan spesis sejenis yang lain di dalam alam ini.[30]

Golongan lelaki-lah yang bertanggungjawab dalam menentukan ruang yang sempit bagi golongan wanita dan menetapkan fungsi mereka hanyalah untuk melahirkan anak. Kerana itu Syed Shaykh al-Hady seperti para reformis yang lain pada zamannya berjuang untuk mematahkan monopoli golongan agama dan membuka semula pintu ijtihad. Beliau menegaskan bahawa tewasnya umat Islam, baik lelaki mahupun wanita, di dalam perjuangan hidup ini bukanlah kerana agama, akan tetapi kerana kejahilan dan kebodohan yang mengelilingi mereka akibat daripada sikap para pemimpin agama. Kritikannya pada ulama tradisional yang berkuasa adalah dalam bentuk penulisan yang kritis dan tajam seperti novel Hikayat Faridah Hanum. Di dalam kisah ini, Faridah Hanum digambarkan sebagai wanita yang rasional, progresif dan moden yang mampu untuk melaksanakan kebebasan untuk memilih dan menggunakan pemikirannya secara rasional. Faridah Hanum juga memiliki kekuatan untuk memelihara diri dan kehormatannya serta mempunyai kawalan terhadap kehendak batinnya.[31]

Sekiranya bukan kerana usaha dan perjuangan gerakan reformis yang moden lagi progresif ini, nescayalah masyarakat Melayu Islam yang berada di bawah kekuasaan golongan ulama’ tradisional tidak akan berubah sama sekali. Merekalah yang telah memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan pemikiran pada masa itu. Merekalah yang yang telah mengajar bahawa kekuasaan barat tidak boleh dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat. Atas usaha mereka itulah maka gerakan Melayu Islam mula tersusun dalam bentuk organisasi dan parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan tanahair.

 

v.Perjuangan Kemerdekaan

Gerakan politik Islam mula lahir dalam bentuk organisasi yang tersusun selepas Perang Dunia Kedua. Kelahiran organisasi politik Islam ini adalah kelangsungan daripada pengaruh pemikiran tokoh-tokoh pembaharuan di timur tengah seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan juga Sayyid Muhammad Rashid Reda.

Cetusan pergerakan politik Islam di Tanah Melayu bermula pada tahun 1948, apabila bermulanya Ma’ahad al Ihya al-Syariff, Gunung Semanggol, yang terlibat dalam pergerakan politik negara. Sekolah-sekolah agama rakyat lain tidak mempunyai kemampuan yang setanding dengan ma’ahad ini dan banyak yang terpaksa ditutup pada permulaan pemerintahan Jepun. Selepas pemerintahan Jepun, banyak pula yang merosot kerana persaingan yang hebat dengan sekolah-sekolah agama kerajaan yang mula muncul pada tahun 1950-an.

Al-Ihya al-Syariff lahir pada tahun 1934. Ia diusahakan oleh Ust Abu Bakar al-Bakir Bin Muhammad Said. Penglibatan Al-Ihya dalam bidang politik bukan merupakan satu perkara asing. Hal ini kerana kedudukan Gunung Semanggol berdekatan dengan Pulau Pinang yang pada waktu itu kuat dipengaruhi oleh aliran reformis Kaum Muda. Tambahan pula, wujudnya penuntut-penuntut dari Madrasah al-Masyhur yang ditubuhkan oleh Syed Shaykh al-Hady turut mengukuhkan lagi kedudukan Al-Ihya al-Syariff.

Disamping itu, peranan yang dimainkan oleh Ustaz Abu Bakar sentiasa memberi pengaruh yang sangt kuat kepada pengikut-pengikutnya. Beliau banyak mengasah kesedaran kebangsaan dikalangan muri-muridnya melalui pengajaran kitab-kitab ‘sirah’. Pengajaran berdasarkan buku ini mengupas kepentingan watan, perjuangan berorganisasi dan berkorban demi memajukan negara, bangsa dan tanahair.

Pada tahun 1947 satu kongres Islam telah diadakan di Gunung Semanggol bertujuan meluaskan pengajaran agama dan rancangan ekonomi bagi memajukan serta meningkatkan sistem ekonomi bangsa dan negara yang hampir lenyap di tangan orang asing. Pada hari kedua persidangan itu, Ustaz Abu Bakat al-Bakir telah mencadangkan penubuhan sebuah parti politik Islam dan cadangan itu mendapat sokongan daripada Dr. Burhanuddin Helmy. Persidangan ini akhirnya setuju membentuk parti orang-orang Islam Melayu. Parti tersebut dibentuk dengan nama Hizb al-Muslimin pada 14 Mac 1948 di Ma’ahad Al-Ihya al-Syariff di Gunung Semanggol. Tujuan asal parti ialah untuk mencapai kemerdekaan bangsa Melayu, membentuk masyarakat berdasarkan Islam, dan menjadikan Tanah Melayu sebagai Darul Islam.

Kelahiran Hizb al-Muslimin ini telah mengakibatkan wujudnya suasana yang tidak senang bagi kalangan pimpnan UMNO dan penjajah Inggeris. Penjajah Inggeris amat berwaspada dengan parti ini ekoran tuduhan oleh Dato’ Onn Jaafar yang mengatakan parti itu berdamping rapat dengan komunis. Sikap Dato Onn itu digambarkan dalam ucapannya:

Bahaya di gunung itu masih ada lagi ditambah pula satu bahaya lagi (Hizb al-Muslimin) supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah.”[32]

Berikutan daripada tuduhan sebagai subversif dan bersubahat dengan komunis, maka pada tahun 1948 Inggeris telah mengharamkan Hizb al-Muslimin serta menangkap pemimpin-pemimpin serta aktivisnya termasuk Ustaz Abu Bakar al-Bakir. Meskipun parti ini sempat hidup selama lima atau enam bulan sahaja, tetapi ia telah memberikan sumbangan yang besar dalam sejarah awal perjuangan merealisasikan cita-cita daulah islamiyyah di negara ini. Hal ini adalah kerana perjuangannya merupakan perjuangan keyakinan yang terpancar dari aqidah yang tidak dipisahkan daripada satu rangkaian organisasi islamiyyah yang berpaksikan Institut Ma’ahad Al-Ihya al-Syariff. Pengharamannya bukan bemakna perjuangannya telah terkubur. Keadaan ini ternyata dengan kelahiran parti politik yang memperjuangkan Islam selepasnya, iaitu kemunculan Parti Islam se-Tanah Melayu (PAS) pada tahun 1951 di Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai. Ideologi yang diperjuangkan oleh parti baru ini tidaklah kabur pada mulanya tapi sebenarnya adalah sambungan kepada perjuangan Islam oleh Hizb al-Muslimin yang telah diharamkan oleh Inggeris walaupun agendanya agak kacau-bilau dan bingung di ketika ini.

 

Kesimpulan

Dalam perbahasan terakhir ini, ingin disimpulkan dan ditegaskan bahawa gerakan islah dan reformis ini adalah merupakan kesinambungan misi para rasul[33]. Ruhnya bersifat kreatif dan diinspirasikan oleh cita-cita yang tinggi. Akan tetapi usaha ke arah mencapai cita-cita tersebut mestilah dilakukan dengan penuh teliti dan bersifat realistik, dengan kekuatan amal serta persiapan material. Tujuannya ialah agar prinsip-prinsip tersebut dapat dilaksanakan bukan sahaja dalam sifat-sifat teorinya semata-mata, akan tetapi ruhnya yang asli dan tulen juga dapat dizahirkan. Ia membersihkan Islam yang diamalkan daripada segala elemen luaran dengan mengembalikan kepada sifatnya yang asal.

Gelombang gerakan islah yang telah dimulakan oleh para reformis pada awal kurun ini perlu diteruskan. Kita harus belajar daripada pengalaman yang telah mereka lalui.

Mereka adalah umat yang telah lalu, bagi mereka apa yang telah mereka usahakan, bagi kamu apa yang kamu usahakan.”[34]

Dalam memastikan kejayaan gerakan zaman di zaman yang serba moden dan di era globalisasi ini, maka ia mesti mampu untuk menggembelingkan segala kekuatan daripada gerakan ideologi yang komprehensif, yang mampu untuk mempengaruhi semua jenis aliran pemikiran dalam semua ruang kehidupan. Gerakan reformis ini juga memerlukan kekuatan ijtihad yang baru lagi bersifat anjal yang bersumberkan Kitabullah, Sunnah RasulNya dan Ijtihad aqliyyah memandangkan sudah tidak ada lagi sempadan negara dan angkasa di era globalisasi ini.

Sesungguhnya Antologi Seminar Pemikiran Reformis I ini cuba untuk meninjau dan membukukan sejarah perjuangan para reformis dalam menjelmakan Islam semula dengan wajah yang segar lagi sesuai dengan peredaran zaman moden ini.

 

NOTA KAKI:

[1] Semua terjemahan Al-Qur’an diambil daripada Al-Qur’an Dan Terjemahannya oleh Kementerian Agama Islam, Wakaf, Da’awah Dan Irsyad Kerajaan Arab Sa’udi edisi terjemahan Indonesia yang diketuai oleh Prof T.M. Hasbi Ash-Shiddiqi

[2] Muhammad Asad: The Message of The Quran (3:110) note 52: As is obvious from the opening surface of verse 110, this promise to the followers of the Qur’an is conditional upon their being or remaining, a community of people who “enjoin the doing of what is right and forbid the doing of what is wrong, and (truly) believe in God”; and –as history has shown – this promise is bound to lapse whenever the Muslim fail to live up their faith.

[3] Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab “al-Malahim” dalam sunan no 4270; al Hakim dalam al Mustadrak, jilid 4 halaman 522; al Baihaqi dalam Ma’arifah al-Sunan wa’l Athar dan lain-lain. Disahihkan oleh al-‘Iraqi dan as Suyuti seperti dalam Fayd al Qadir, jilid 2, halaman 282, juga disahihkan oleh al Albani di dalam Silsilah al Ahaadith as Sohihah, no: 599.

[4] Yusuf al Qaradawi: Kaifa Nata’amalu ma’as Sunnah an Nabawiyyah. Edisi terjemahan ‘Bagaimana Berinteraksi Dengan al Sunnah’ oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), 1996.

[5] Sayyid Abul A’la Maududi: A Short History of the Revivalist Movement in Islam, terbitan The Other Press, 1999.

[6] ali’Imran 3:140

[7] ali’Imran 3:139

[8] Hadith Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra di dalam kitabul iman, bab bayan anna al islam ghariban wa saya’udu ghariban

[9] Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah: Aliran Perintis Dan Aqidah Dalam Islam. Edisi terjemahan oleh Abd Rahman Dahlan dan Ahmad Qarib, terbitan Edaran Kalam, 1996.

[10] Tahun Masihi.

[11] Mohamad Kamil Hj Abdul Majid: Tokoh-tokoh Pemikir Islam, terbitan Budaya Ilmu Sdn. Bhd, 1993.

[12] Deliar Noer: The Modenist Muslim Movement in Indonesia 1900-1973. Diterbitkan oleh Oxford University Press, 1973.

[13] Mohd Kamil Abdul Majid: Tokoh-Tokoh Pemikir Dakwah, di dalam bab: Pengaruh Pemikiran Muhammad Abduh dalam Gerakan Islam di Malaysia. Terbitan Dewan Pustaka Islam, 1990.

[14] ibid

[15] Muhammad Abdullah Khatib: Nazaratu fi Risalah at Ta’lim, edisi terjemahan: Pandangan Semula Kepada Risalah Ta’alim, terbitan Pustaka Media Budi, 1993.

[16] Yusuf al Qaradawi: Fiqh al Awlawiyyat edisi terjemahan: Memahami Keutamaan Berasaskan al-Qur’an dan as-Sunnah, terbitan ABIM, 1996.

[17] Adnan Nawang: Za’ba dan Melayu. Diterbitkan oleh Berita Publishing, 1998.

[18] Za’ba: Radio Talk on Islam; 1961. Arkib Negara: “Reform means forming back to original purity and adjusting to new conditions. If the early Imams could make independent investigation and exercise their own judgement based on the original sources and on the requirements of the time and circumstances, surely there is no reason why qualified people of today cannot do the same.”

[19] al Maaidah 5:4

[20] Tafsir al Manar 7:161

[21] Prof. Hasbi ash-Shiddiqi: Pengertian Hukum Islam jilid 2, terbitan Thinker’s Library, 1986.

[22] Mohd Radzi Othman dan O.K.Rahmat: Gerakan Pembaharuan Islam. Diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia, 1996.

[23] As-Syura 42:21

[24] Muttafaqun ‘alaih

[25] Hadith riwayat Imam Muslim: 1718

[26] Mohd Kamil Abdul Majid: Tokoh-Tokoh Pemikir Dakwah, terbitan Dewan Pustaka Islam, 1990.

[27] Adnan Haji Nawang; “Za’ba dan Ajaran Reformis Islam Kaum Muda” di dalam Za’ba dan Melayu, terbitan Berita Publishing, 1998.

[28] ibid

[29] Alijah Gorden: The Real Cry of Syed Shaykh al Hady. Diterbitkan oleh Malaysia Sociological Research Institute MSRI, 1999.  Seruan Islah Syed Shaykh al-Hady. Diterbitkan oleh Islamic Renaissance Front, 2018.

[30] Farish A. Noor: The Other Malaysia: Writings on Malaysia’s Subaltern History. Diterbitkan oleh Silverfish Books, 2002

[31] ibid

[32] Nabil bin Haji Abdullah, Maahad al Ihya Assyariff Gunung Semanggol, Cetakan Pertama: Jabatan Sejarah UKM, 1976.

[33] Prof. Kurshid Ahmad: Maududi’s Model for Islamic Revival, disunting oleh Muhammad Mumtaz Ali dalam ‘Modern Islamic Movement’, diterbitkan oleh A.S Nordeen 2000.

[34] al Baqarah 2:134

 


Dato’ Dr. Ahmad Farouk Musa adalah Pengasas dan Pengarah di Islamic Renaissance Front (IRF), iaitu sebuah badan pemikir yang mengupayakan Islah dan Tajdid dalam pemikiran umat Islam serta pemerkasaan akal.

 




View original article at: https://irfront.net/post/others/kata-pengantar-editor-antologi-pemikiran-reformis-i/