Prakata Antologi Pemikiran Reformis I

November 26, 2019

Saari Sungib || 21 November 2019

 

Menjejak dan mengangkat seseorang sebagai seorang reformis adalah dengan mengenal karakter tulen yang menjadi sahsiah perjuangannya. Ini dapat dikenalpasti dengan mengamati seseorang itu memahami, memahamkan, menghayati dan membina generasi kini dan masa hadapan berdasarkan hakikat pengertian al-islah, reformasi dan at-tajdid dalam penghayatan hidupnya di atas landasan Islam.

Memahami gerakerja seseorang reformis adalah dalam rangka mengambil iktibar daripada hasil yang telah dicapai. Dalam konteks ini berkemungkinan keutamaan perlu diberikan terhadap tokoh yang ada persamaan yang kita hadapi.

Di Nusantara dan bumi Melayu hampir pasti mempunyai tokoh-tokoh yang mencapai tahap sebagai seorang musleh atau pun mungkin sebagai seorang mujaddid. Mujaddid yang mempunyai ilmu atau pengkhususan sekurang-kurangnya tentang hubungan fiqh mazhabiah setempat, fahaman politik dalam konteks negara bangsa, dakwah dalam sistem demokrasi, penguasaan ilmu sains politik khasnya peri pentingnya ulama menjadi penasihat agama serta kesan-kesan daripada tradisi warisan agama silam.

Jika ini yang diperkatakan, mungkin antara calon-calon yang kita miliki adalah antara lainnya seperti Teungku Fakinah, Daud Beureueh, Nuruddin An-Raniri, Pak Natsir, Hamka, Hasbi As-Siddieqy, A.Hassan Bandung, A.Hasjmy, Syed Syeikh Al-Hady, Syed Tahir Jalaluddin, Za’ba, Abu Bakar Al-Bakir, Burhanuddin Al-Helmy dan tokoh yang bersama kita iaitu Dr Siddiq Fadhil.

Ambil saja Hamka. Pertama, reformis adalah seorang yang konsisten. Karakter ini amat terserlah dalam peribadi dan akhlak Hamka. Sejak  dulu dia macam itu, bertambah lanjut usia pun pegangannya begitu. Hari ini pun kau lihat dia begitu. Apa yang begitu itu? Bagi Hamka yang itu begitu itu adalah Islam, dakwah, hidup dengannya dan berakhir hayat adalah dengannya - itulah Islam yang kudukung dengan jiwa ragaku. Inilah minda reformis sejati. Bahkan itulah pegangan reformis sejati.

Hamka telah terlibat dalam aktivisme politik sejak muda lagi. Beliau menjadi ahli Sarekat Islam pada tahun 1925 dan sesudah itu turut aktif dalam pilihanraya 1955. Beliau menjadi anggota Dewan Undangan mewakili Jawa Tengah. Hamka bersama Mohammad Natsir, Mohammad Roem dan Isa Anshari adalah pihak yang paling konsisten memperjuangkan syariat Islam agar menjadi dasar negara semasa pembinaan Perlembagaan Indonesia selepas merdeka

Namun, segala usahanya itu terkandas selepas perjalanan politik Hamka boleh dikatakan berakhir setelah pergerakan Masyumi dibubarkan oleh Presiden Soekarno. Sikapnya yang konsisten terhadap agama, menyebabkannya sering kali berhadapan dengan pelbagai rintangan, terutama terhadap beberapa dasar kerajaan. Keteguhan sikapnya ini menyebabkan beliau dipenjarakan oleh Soekarno dari tahun 1964 hingga 1966. Pada awalnya, Hamka diasingkan ke Sukabumi, kemudian ke Puncak dan terakhir dirawat di rumah sakit sebagai tawanan. Dalam penjara beliau menulis Tafsir Al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya.

Akan tetapi, buku Antologi Seminar Pemikiran Reformis – Jilid I ini bukan hanya membicarakan pemikiran Buya Hamka malahan merupakan esei-esei yang dibentangkan semasa siri Seminar Pemikiran Reformis yang membincangkan pemikiran para reformis Islam dari daerah Nusantara kita hingga ke Timur Tengah dan jauh hingga ke wilayah Barat. Antologi I ini memuatkan sembilan siri seminar sebelum ini yang membicangkan tokoh-tokoh reformis seperti Buya Hamka, Pendeta Za’ba, Syed Shaykh al-Hady, Muhammad Asad, Ibnu Taimiyyah, A. Hassan Bandung, Ali Shariati, Mohammad Natsir, dan Muhammad Iqbal.

Sesungguhnya harus difahami bahawa intipati daripada pemikiran reformis berakar daripada prinsip untuk tidak mengubah umat Islam hari ini menjadi pentaqlid umat Islam yang terdahulu. Dengan berpegang teguh kepada prinsip ini maka mereka menyuruh kita mencari bagaimanakah caranya untuk hidup pada zaman kita sendiri. Pemikiran reformis yang dicanang oleh sekelian para penggeraknya sepanjang zaman ini menuntut sebagai keperluan yang pertama, pengetahuan tentang risalah Islam yang komprehensif, akan prinsipnya yang universal, dan alat yang tersedia untuk membantu umat manusia menyesuaikan diri dengan masyarakatnya, dan juga untuk mengubah dunia.

Pemikiran reformis ini juga menuntut sebuah revolusi intelek yang sebenar yang memungkinkannya untuk mendamaikan kesyumulan nilai-nilai Islam dengan suasana sosio-politik duniawi masakini, untuk membangunkan pemikiran yang kritis, untuk membuat pilihan dengan menggunakan akal, dan istiqamah dengan tidak bertaqlid sama ada kepada masa lampau atau yang pada masakini. Dan pemikiran reformis ini juga menuntut penyesuaian dan penyatuan nilai yang tidak berbentur lalu menjadikan ia milik kita sungguhpun jika ia berasal dari luar lingkungan Islam itu sendiri. Demikianlah intisari daripada pemikiran para reformis sepanjang zaman yang telah dirakam dengan baik dalam Antologi Seminar Pemikiran Reformis - Jilid I ini.

 


YB Saari Sungib
ADUN Hulu Kelang
Mantan Presiden, Jamaah Islah Malaysia

 

 

 

 




View original article at: https://irfront.net/post/others/prakata-antologi-pemikiran-reformis-i/