Risalah Al-Qur’an – Memperingati Muhammad Asad

Muhammad Asad, salah seorang pemikir Islam teragung yang pernah hidup, akan tetapi hampir tidak di kenali di Barat dan suatu misteri bagi kebanyakan orang Islam sendiri. Tetapi, kepada mereka yang mengikuti kehidupannya melalui buku-buku dan penulisannya, pasti mengetahui bahawa tidak ada seorangpun yang lebih banyak memberi sumbangan di dalam zaman ini terhadap kefahaman Islam dan kebangkitan umat Islam, atau berkerja lebih keras untuk membina jambatan diantara Timur dan Barat, melebihi daripada Muhammad Asad.

Daripada Leopold Weiss kepada Muhammad Asad
Asad dilahirkan sebagai Leopold Weiss pada Julai 2, 1900 di Lviv (Lemberg), Galicia, kini Ukraine, yang sebelum ini adalah sebahagian daripada jajahan empayar Austria. Pada tahun 1926, beliau memeluk Islam dan menjadi Muhammad Asad. Kisah tahun-tahun sebelum keIslamannya menggambarkan pengembaraan kerohanian seorang manusia yang mencari jalan yang sebenar, seorang manusia yang dilanda keinginan untuk mengembara, yang tidak dapat mententeramkan jiwa yang meronta sehinggalah beliau memeluk Islam.
Pada tahun 1922, beliau telah menjadi wartawan luar negara di Timur dekat dan Timur jauh untuk Frankfurter Zeitung, salah satu akhbar yang terkemuka di Eropah. Kerjaya beliau dalam bidang kewartawanan membawa beliau ke Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Iran, Jordan, Arab Saudi dan Afghanistan dan beliau memberikan perspektif yang unik terhadap peristiwa dunia, terutamanya berkaitan isu Arab dan Yahudi.
Menyeberangi Mediterranean, hentian pertama Leopold adalah di Kaherah. Di sana beliau cuba mempelajari bahasa Arab dan meluangkan masa bersama Shaikh Mustafa Marāghi, murid kepada reformis Mesir yang terulung, Imam Muhammad ‘Abduh. Mustafa Marāghi, seorang pemikir yang tajam dan kritikal yang dengan kredibilitinya yang unggul, kemudiannya menjadi Shaikh al-Azhar (Rektor Universiti al-Azhar).

Pengaruh Pemikiran ‘Abduh
Melalui persahabatan beliau dengan al-Marāghi, beliau sedari bahawa al-Azhar telah terjerumus ke dalam kemandulan dan ketandusan intelektual. Malahan hampir seluruh dunia Islam mengalami perkara yang sedemikian rupa, di mana segala kehangatan pemikiran, ijtihad dan intelektualisma telah terpadam kesemuanya.

Para pemikir Islam terdahulu tidak pernah termimpi bahawa setelah beberapa kurun pemikiran mereka yang sepatutnya dikembangkan dan dimajukan berdasarkan peredaran masa dan zaman, sebaliknya hanya diulang-ulang seolah-olah mereka merupakan manusia yang maksum dan pendapat mereka umpama kebenaran yang mutlak.

Sepertimana keadaannya sesetengah para wali dan ulama’ yang akan terkejut melihat kubur mereka bertukar menjadi makam, ramai juga yang akan terkejut melihat perkataan mereka dianggap sebagai kebenaran yang hakiki.
Penerimaan pendapat para ulama’ secara membuta tuli, mempertahankan kitab sejarawan dan ahli fiqh serta lain-lain dan memahami nas-nas secara literal seolah-olah kesemuanya merupakan kebenaran yang mutlak, telah menghasilkan penafsiran Islam yang tidak mengizinkan kemajuan dan reformasi.

Mengikut secara membuta tuli orang yang terdahulu atas dasar bahawa mereka adalah golongan as-salaf as-soleh dan terperangkap  dengan ijtihad mereka yang bersesuaian dengan zaman mereka telah mengakibatkan Islam yang tidak dapat membebaskan manusia daripada belenggu taqlid, apatah pula untuk membangunkan kemanusiaan.

Ulama’ dahulu hidup di zaman pemerintah monarki mutlak, dan mereka dipengaruhi oleh budaya kehidupan feudal. Kepasifan dan kejatuhan umat Islam terhasil daripada andaian palsu yang ada pada diri kita sekarang tentang ulama’ di zaman awal Islam beserta karya mereka.

Agenda Tajdid dan Pembaharuan

Asad yakin bahawa lapisan asing yang telah menyelubungi Islam perlu dibersihkan sebelum umat Islam boleh bangun dan tersedar daripada pembacaan dan pengulangan yang berterusan, taqlid yang tidak berkesudahan, dan sebelum dunia Islam boleh bangun daripada kepasifan.

Semua hadith dan tradisi telah dikutip dan dikumpul daripada para sejarawan, yang meninggalkan kepada kita sejarah yang mereka fikirkan boleh dipercayai, atau melalui pengawasan budaya kelas atasan, telah direka atau dibenarkan masuk kedalam pemikiran umat Islam.

Maka adalah menjadi kewajipan kita untuk mula kembali mendekati kesan peninggalan mereka sebagai sejarah yang hanya direkodkan oleh manusia, dan menerima hakikat bahawa sejarah dan penafsiran buku-buku tersebut mungkin mengandungi pemalsuan dan andaian yang salah.

Semua perlakuan dan perbuatan Rasūlullāh adalah kesan daripada al-Qur’ān. Dan tidak ada kemungkinan wahyu yang lain di sampingnya. Maka untuk mengikut Rasūlullāh, kita perlu mengikut al-Qur’ān dan bermula dengan al-Qur’ān.

Mengunakan sejarah sebagai petunjuk adalah merbahaya dan mengelirukan dalam banyak perkara. Telah tiba masanya untuk kita mengaku secara jujur, bahawa telah begitu banyak kesalahan dan penipuan yang memasuki ke dalam ide tentang apa itu Islam sebenarnya dan mesej Islam kepada kita. Al-Qur’ān itu Islam; semua yang lain adalah penafsiran manusia, rakaman tentang sejarah dan peradaban kemanusiaan.

Asad percaya bahawa sejarah hanya boleh memberi nasihat, memberi gambaran tentang faktor yang mendasar apabila sesuatu masyarakat itu berjaya; tetapi ia tidak boleh menjadi faktor penentu dalam pemerintahan negara dan masyarakat masakini.

Setiap generasi berhadapan dengan suasana yang berlainan, maka kerana itulah banyak hukum dan adab untuk masyarakat tidak boleh bersifat statik pada setiap masa. Lantaran itu jugalah, al-Qur’ān hanya mempunyai hukum, akhlak, hak dan larangan yang abadi yang tidak terikat dengan sesuatu masa yang tertentu (timeless) serta mempunyai aplikasi sejagat.

Ia adalah perlembagaan yang mengandungi asas untuk manusia berurusan dengan kehidupan. Kesemua yang diluar al-Qur’ān terikat dengan masa dan perlu di tafsirkan semula oleh setiap generasi bagi menyesuaikan dengan keadaan dan suasana kontemporari mereka. Hal ini merupakan Sunnah yang sebenar, perjalanan dan adab yang ditinggalkan oleh Nabi; iaitu pengislahan dan pembangunan masyarakat yang berterusan.

“Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqān (al-Qur’ān) (penentu kebaikan dan keburukan) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.“[25: 1]