Risalah Al-Qur’an – Memperingati Muhammad Asad

Page 2

Pengembaraan di benua Arab dan Islam

Pada awal musim panas tahun 1924, Muhammad Asad meneruskan lagi perjalanannya. Beliau mengembara ke Amman, Damsyik, Tripoli dan Allepo, ke Baghdad dan ke pergunungan Kurdistan, sehingga ke bumi yang paling aneh iaitu Iran dan kemudin merentasi pergunungan liar dan padang rumput Afghanistan.

Dengan pengembaraan yang meluas keseluruh dunia Islam, minat beliau terhadap Islam semakin mendalam. Untuk memahami bagaimana umat Islam dapat membangkitkan semula diri mereka; Asad mengambil pendekatan karekteristik: beliau berusaha untuk menyelami dan memahami sumber utama Islam, iaitu al-Qur’ān.

Bermula dengan kajian yang intensif dalam bahasa Arab klasik, pada masa yang sama beliau hidup bersama orang Arab badwi dari semenanjung tengah dan timur tanah Arab yang mana pertuturan dan bahasa mereka tetap kekal tanpa sebarang perubahan sejak zaman Nabi Muhammad ketika mana al-Qur’ān sedang diwahyukan.

Hal ini memberikan kefahaman kepada beliau akan makna sebenar dan semantik bahasa al-Qur’ān yang tidak diketahui oleh mana-mana orang Barat dan hal ini juga membolehkan beliau kemudianya menterjemahkan al-Qur’ān ke dalam bahasa Inggeris iaitu “The Message of the Qur’ān”. Bersama komentarnya, “The Message” tidak mempunyai sebarang tandingan dalam menyampaikan makna dan semangat kitab suci tersebut kepada para pembaca yang bukan berbangsa Arab.

Dalam pengkajian beliau mengenai al-Qur’ān, Asad mendapati bahawa kejatuhan umat Islam bukanlah disebabkan oleh kekurangan yang ada dalam sistem Islam tetapi kegagalan umat Islam itu sendiri untuk menghidupkannya. Bukan umat Islam yang yang menjadikan Islam itu hebat, tetapi Islam itu sendirilah yang membuatkan umat Islam itu hebat.

Namun apabila kepercayaan dan aqidah mereka menjadi adat kebiasaan dan berhenti daripada menjadi program dalam kehidupan, yang sepatutnya senantiasa dikejar sebagai matlamat, dorongan kreativiti yang menjadi asas ketamadunan menjadi lesu dan beransur-ansur hilang kemudiannya bertukar kepada kemalasan, kemandulan dan kemerosotan kebudayaan.

Daripada detik itulah, kebangkitan umat Islam menjadi matlamat Muhammad Asad dalam kehidupan. Beliau mengembara jauh dalam ertikata pengembaraan yang sebenarnya, berbincang dengan raja-raja, pemimpin-pemimpin dan orang kebanyakan “diantara padang pasir Libya dan pergunungan Pamir, diantara selat Bosporus hingga ke laut Arab,” dan mula menulis segala ide-idenya ke atas lembaran kertas.

“Islam at the Crossroads”, diterbitkan pada 1934, masih menakjubkan pembaca kontemporari dengan analisisnya tentang kejatuhan umat Islam dan preskrikpsi beraninya untuk menanam keyakinan jatidiri kepada dunia Islam yang menderita akibat daripada serangan teknologi barat.

Perjalanan ke India

Asad terus mengembara dan meneroka semenanjung tanah Arab dari bahagian utara ke selatan sehingga pada tahun 1932, debu-debu India menggantikan udara segar padang pasir tanah Arab.

Semasa di India, beliau menghabiskan usahanya dalam menterjemah dan menghuraikan Sahih al-Bukhari dalam Bahasa Inggeris, suatu tugas yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana sarjana Islam pada ketika itu. Sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Muhammad Asad, ide tentang menghuraikan Sahih Bukhari itu telah tersemat di jiwanya ketika beliau berada di Madinah selama lima tahun, mempelajari ilmu berkaitan ‘ulum al-hadith.

Sahih al-Bukhari keseluruhannya sempat diterjemahkan dan disyarahkan oleh Asad. Penerbitan pertamanya bermula pada tahun 1935 dan jilid pertama yang mengandungi lima bahagian sempat diterbitkan sebelum Perang Dunia Kedua meletus. Kelima bahagian itu sepatutnya dituruti oleh tiga puluh lima bahagian lagi yang telahpun diterjemah dan disyarahkan. Namun hajatnya tergendala akibat perang tersebut.

Ketika Perang Dunia ke-2 tercetus, Asad yang berada di India di masa itu bersahabat dengan Muhammad Iqbal, yang mencetuskan ide pemisahan Pakistan. Iqbal memujuk Asad agar meninggalkan rancangannya untuk mengembara ke utara Turkistan, negeri Cina dan Indonesia sebaliknya “membantu menyedia dan menjelaskan premis intelektualisme bagi masa depan negara Islam”.

Tetapi, Asad berada di bawah tahanan Inggeris di India pada akhir Perang Dunia. Apabila berakhir perang, Asad berhasrat meneruskan usahanya menerbitkan Sahih al-Bukhari yang tergendala. Telah ditakdirkan, tercetus pula kekacauan antara kaum pada ketika itu yang mengakibatkan terbentuknya negara Pakistan. Sejak perang berakhir, Asad menetap di daerah Punjab. Namun rusuhan yang berlaku pada ketika itu telah memusnahkan segala terjemahan dan huraian Sahih al-Bukhari yang telah beliau siapkan.

Menurut Asad beliau melihat dengan matanya sendiri bagaimana helain-helain manuskripnya terapung di atas aliran Sungai Ravi di celah helain kitab-kitab Arab yang dikoyak bersama tinggalan perpustakaannya. Demikianlah kesudahannya kepada usaha lebih sepuluh tahun dalam menyiapkan manuskrip tersebut.

Namun Asad tidak berputus asa. Beliau mendapat keazaman baru bahawa segala usahanya tersebut tidak akan hilang begitu sahaja tetapi merupakan persediaan baginya dalam suatu usaha yang lebih agung iaitu menterjemah dan menghuraikan al-Qur’an di dalam Bahasa Inggeris berdasarkan prinsip bahawa pintu ijtihad tidak akan dan tidak pernah tertutup kepada daya pencarian intelek manusia.