Risalah Al-Qur’an – Memperingati Muhammad Asad

Page 3

Negara Islam Menurut Asad

Apabila Pakistan diasaskan pada tahun 1947, Asad telah dilantik sebagai pegawai di bawah Setiausaha Negara untuk Hal-Hal Timur Dekat dan menjadi wakil tetap kerajaan Pakistan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada tahun 1952. Di sinilah beliau bertemu dengan isteri beliau Pola Hamida, daripada Boston, yang beliau kahwini pada tahun yang sama. Di sini juga beliau mula menulis buku yang tiada tandingannya iaitu “The Road to Mecca” (1954), yang menceritakan bahagian awal kehidupannya, termasuklah perubahan hati beliau kepada Islam pada tahun 1926.

Setelah 2 tahun di New York, Asad mengembara lagi sebelum kembali ke Pakistan pada tahun 1955. Tetapi, jiwa yang tidak pernah merasa puas telah mamacu beliau lagi bersama isterinya, bermula di Geneva dituruti Maghribi, kemudian ke Tangiers di mana beliau menetap selama 19 tahun. Seterusnya pada tahun 1982, Asad berhijrah ke Sintra, di pinggir Lisbon, Portugal, dan akhirnya ke Mijas di Sepanyol.

Di dalam bukunya “Principles of State and Government in Islam” yang diterbitkan pada tahun 1961, Asad menggariskan dalam terma yang jelas asas-asas negara Islam berdasarkan arahan al-Qur’ān dan Hadith Rasūlullāh.

Ringkasnya, dua perkara asas yang jelas dalam sesebuah Negara Islam adalah pertamanya, kedaulatan yang hakiki merupakan haq Allah (de facto), manusia pula hanyalah instrumen Allah di atas mukabumi (de jure). Keduanya, umat Islam perlu menjalankan segala urusan kenegaraan berdasarkan prinsip musyawarah atau dalam terma moden apa yang di sebut sebagai demokrasi.

Melalui rangka ini, Asad menunjukkan bahawa Negara Islam mempunyai keanjalan untuk menerima sifat-sifat sistem demokrasi berparlimen dan pemerintahan berasaskan kedaulatan undang-undang (rule of law), sepertimana ia boleh mencontohi institusi berpresiden Amerika dan Mahkamah Agung, selama mana ia berprinsipkan ‘adl dan ihsan.

The Message of the Qur’an

Asad mula merenung dan berfikir untuk suatu projek agung dalam menterjemahkan al-Qur’an ke dalam bahasa Inggeris semasa di Geneva. Pada tahun 1960, Asad memulakan hasratnya.

Jilid pertama The Message of the Qur’an diterbitkan pada tahun 1964. Ia merupakan terjemahan dan tafsiran hingga ke Surah at Taubah.

Keseluruhan Tafsir The Message of the Qur’ān di terbitkan pada tahun 1980. Asad berhasrat hanya untuk mendedikasikan dua tahun untuk melengkapkan terjemahan dan tafsir al-Qur’ān tersebut tetapi akhirnya memakan masa selama tujuh belas  tahun. Ia telah dipuji sebagai salah satu terjemahan al-Qur’ān yang terbaik, kalaupun tidak yang paling unggul, ke dalam bahasa Inggeris.

Tafsir “The Message of the Qur’an” didedikasikan kepada “mereka yang berfikir” (for people who think). Sepertimana yang telah dijelaskan oleh Asad dalam penerangannya terhadap ayat 31-33 dari Sūrah al-Baqarah bahawa melalui kemampuan manusia untuk berfikir secara konsepsual, maka dengannya, status manusia adalah lebih tinggi martabatnya daripada Malaikat. “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (ism) seluruhnya” [2: 31]

Dan ayat seterusnya menunjukkan disebabkan ilmu untuk mengetahui “ism” (nama) yang diberikan oleh Allah, manusia adalah, dalam beberapa segi, lebih tinggi darjat kedudukannya daripada Malaikat.  “Ism” atau “Nama” adalah ekspresi simbolik kepada keupayaan untuk menghurai serta mendefinasikan makna dan konsep, kuasa untuk mena’akul pemikiran yang hanya mampu dilakukan oleh manusia dan dengannya, dalam bahasa al-Qur’ān, manusia mampu untuk menjadi Khalifah Allāh di bumi ini.

Maka tidak ada sebarang kebaikan dengan hanya bertaklid buta; dan al-Qur’ān itu, seperti yang kita akan sebutkan kemudian melarang tindakan yang sedemikian:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya..”[17: 36]

Sebaliknya, setiap orang yang beriman disuruh supaya menggunakan aqal, mengejar ilmu dalam ertikata yang seluas-luasnya, dan memperolehi kemampuan untuk membuat penilaian dalam perkara yang berhubung dengan moral maupun keagamaan.

Ayat ini menerangkan lagi, pertangungjawaban pada Hari Akhirat adalah kepada individu: kita akan ditanya tentang apa yang kita telah lakukan bukan siapa yang kita ikuti. Oleh kerana itu, para pengikut harus melihat bukan hanya kepada rumusan yang telah dibuat ratusan tahun dahulu, tetapi menggarap aqal pemikiran yang kritis kepunyaan mereka sendiri.

Umat Islam adalah diwajibkan untuk memahami Agama mereka sebaik yang mungkin berdasarkan kemampuan akal yang diberikan Allah sebelum mencari sebarang bantuan untuk meluaskan kefahaman mereka. Kepada Muhammad Asad, setiap umat Islam sepatutnya mampu berkata “al-Qur’ān telah di wahyukan kepada diriku”.