Follow Us!
-
Recent Posts
- Blurb to the Malay Translation of Islam, Authoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison
- Preface to the Malay Translation of Islam, Authoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison.
- Kata Pengantar Edisi Terjemahan Bahasa Melayu “Islam, Autoritarianisme, dan Kemunduran: Suatu Perbandingan Global dan Pensejarahan.”
- USRAH: THE MESSAGE OF THE QUR’AN – Surah Al-Insyiqāq
- Reading Session on “Tema-tema Agung Al-Qur’ān” Terjemahan “Major Themes of the Qur’ān” by Fazlur Rahman With Ahmad Muziru Idham
Categories
Risalah Al-Qur’an – Mukaddimah
Terjemahan ini berasal daripada karya Inggeris al-‘Allamah Muhammad Asad berjudul “The Message of the Qur’an”. Ia lahir daripada ilham dan daya usaha Dr. Ahmad Farouk Musa, Pengerusi dan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) untuk memperkenal dan mengemukakan sebuah terjemahan baru “The Message of the Qur’an” dalam bahasa Melayu. Kitab “The Message of the Qur’an” ini merupakan antara karya tafsir yang paling berpengaruh di abad ke-20. Ia dihasilkan dengan kekuatan intelektual dan hermeneutik yang tersendiri. Kehebatan tafsir ini terserlah daripada kekuatan analisis dan interpretasi falsafah yang luas, perbahasan fiqh dan semantik yang tuntas, rujukan kepada tafsir-tafsir klasik, asbab al-nuzul, kaedah-kaedah furu‘ dan sebagainya. Dr Ahmad Farouk Musa menyifatkan karya ini sebagai “sebuah tafsir terpenting di abad moden yang berhasil mengemukakan, sedekat mungkin, terjemahan al-Qur’an yang bebas daripada konsepsi yang membebankan yang lahir dalam perkembangan Islam sebelumnya.”
Al-‘Allamah Muhammad Asad telah bekerja keras untuk menghasilkan terjemahan ini yang diusahakannya selama 17 tahun setelah lama mengembara di jazirah Arab dan benua India. Tafsirannya merangkul kefahaman mazhab, kalam, tasawwuf, falsafah, dan bahasa yang berkesan. Ia mengangkat pemikiran dan ijtihad yang digarap daripada manhaj para ulama’ mufassir yang muktabar seperti Imam al-Tabari, Ibn Hazm, al-Zamakhshari, al-Qurtubi, al-Razi, al-Baydawi, Ibn Kathir, al-Suyuti, al-Shawkani, Muhammad ‘Abduh, Sayyid Muhammad Rashid Ridha, Sayyid Qutb dan Mustafa al-Maraghi.
Tafsiran ini ditulis dengan manhaj terbaik yang mengetengahkan ketinggian dan kejelasan pandangan dalam mentarjih dan merumuskan nas. Ia menggabungkan kefahaman sains Islam, pemikiran Greek, maqasid syari’ah dan tradisi fiqh yang inklusif. Menurut Khaleel Mohammed: “Muhammad Asad, contohnya, menampilkan terjemahan yang tepat dan jelas, dan berusaha menzahirkan kelainan daripada kaedah tafsir tradisional dengan menekankan kebebasan aqliah.”
Karya ini mengetengahkan pandangan dan kefahamannya yang tuntas, tentang sejarah kebudayaan dan peradaban dan ketinggian falsafah dan cita-cita Islamiyah yang kental, serta pengaruh hadith yang substantif dan monumental, seperti yang diperlihat dan dirakamkan dengan penuh dramatik dalam syarahnya terhadap Sahih Bukhari: “Karya yang saya kerjakan sepanjang hidup telah selesai disempurnakan dengan judul The Message of the Qur’an; dan intelektual yang membaca karya tersebut dapat mengesan dengan mudah sejauh mana semangat hadith dan dengannya, daya usaha al-Bukhari yang segar, telah meresap dalam terjemahan saya terhadap kalam Ilahi.”
Kitab The Message ini telah mengalir ke seluruh pelusuk dunia dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk Sepanyol, Perancis, German, Turki, Latin dan Urdu. Ia dianggap antara terjemahan al-Qur’an yang terbaik dan merupakan antara rujukan terpenting yang menyediakan huraian dan terjemahan terperinci al-Qur’an dalam bahasa Inggeris yang setanding dengan kitab-kitab terjemahan al-Qur’an yang lain seperti:
- The Holy Quran: Arabic Text with an English Translation and Commentary oleo Abdullah Yusuf Ali
- The Meaning of the Glorious Quran: an Explanatory Translation oleo Muhammad Marmaduke Pickthall
- Tafhim al-Quran oleh Mawlana Sayyid Abul A‘la al-Maududi
- The Koran Translated with Notes oleo Nessim Joseph Dawood
- The Quran Translated with a Critical Rearrangement of the Surahs oleo Richard Bell
- The Koran oleo George Sale
- The Koran Interpreted oleh Arthur John Arberry
- The Quran Translated oleh Edward Henry Palmer dan lain-lain lagi.
Segala usaha telah dicurahkan untuk menterjemah setepat mungkin ke dalam Bahasa Melayu akan kalimat-kalimat yang ditulis oleh Muhammad Asad dalam The Message agar maksud yang ingin disampaikan adalah sehampir yang mungkin. Namun masih kedapatan beberapa kalimat yang sukar untuk diterjemahkan seperti kalimat “Lo!” yang digunakan oleh Muhammad Asad tatkala menafsirkan makna “Idh”. Walaupun seringkali diterjemahkan sebagai “ketika”, namun Muhammad Asad cenderung kepada makna yang menunjukkan “sesuatu yang tiba-tiba atau diluar jagkaan, berlakunya perkara tersebut” (cf. Lane I, 39). Oleh kerana keterbatasan perbendaharaan Bahasa Melayu maka perkataan sedemikian tidak mampu untuk diterjemahkan setepat mungkin sepertimana kehendak Muhammad Asad.
Di sini pihak Islamic Renaissance Front juga mengambil kersempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Islamic Book Trust (IBT) yang telah membantu dalam penyediaan teks al-Qur’an berbahasa Arab resam Uthmani dan juga Institut Kajian Dasar (IKD) yang telah sudi untuk membantu dalam pengumpulan dana bagi projek terjemahan ini. Begitu juga kepada segala sumbangan kewangan yang diberikan oleh rakan dan taulan dalam menjayakan projek ini. Semoga segala usaha dan bantuan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah, Tuhan yang Esa.
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk meningkatkan kefahaman dan mengukuhkan keyakinan terhadap wahyu al-Qur’an seakan-akan ia merupakan perintah Tuhan kepada diri kita sendiri. Sepertiman kata Muhammad Asad: Setiap umat Islam sepatutnya mampu berkata “al-Qur’ān telah di wahyukan kepada diriku”.
Ahmad Nabil Amir
(PhD Usuluddin)
Penterjemah dan Ketua
Abduh Study Group
Islamic Renaissance Front
Follow Us!