Follow Us!
-
Recent Posts
- Mu’tazilites: The Defenders of Reason in Islam
- Of Da Vinci Code and the Qur’ān: An unpublished Opinion piece written in 2006.
- Awkward neutrality: The Muslim World and Russia’s war in Ukraine – Final Part
- Awkward neutrality: The Muslim World and Russia’s war in Ukraine – Part IV
- Awkward neutrality: The Muslim World and Russia’s war in Ukraine – Part III
Categories
Risalah Al-Qur’an – Prakata
BACALAH dengan nama Tuhanmu, yang telah menciptakan –
Menciptakan manusia daripada sel germinal!*
Bacalah – Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pemurah
Yang telah mengajar [manusia] menggunakan pena –
Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya
Dengan pembukaan ayat-ayat terawal daripada surah ke sembilan puluh enam ini – yang menghimbau asal kejadian insan dan kerendahan akar biologinya, mengetuk pintu dhamir dan inteleknya – bermulalah, seawal abad ketujuh Masihi, penurunan wahyu al-Qur’an kepada Nabi Muhammad, yang direncanakan berlangsung selama dua puluh tiga tahun tempoh kerasulan dan diakhiri, sejurus sebelum kewafatan Baginda, dengan ayat 281 daripada surah kedua:
Dan ingatlah pada Hari di mana kamu akan dikembalikan kepada Allah, di mana setiap jiwa akan disempurnakan balasan daripada apa yang diusahakannya, dan tiada seorang yang akan dizalimi.
Antara ayat-ayat pertama dan yang terakhir ini (pertama dan terakhir menurut urutan wahyu) tersingkap kebesaran sebuah kitab yang, lebih daripada sekadar fenomena biasa yang kita ketahui, telah memberikan kesan yang cukup nyata kepada peribadi agama, budaya dan politik dunia. Tiada suatu kitab suci di dunia yang mempunyai pengaruh yang jelas sepertinya terhadap kehidupan manusia yang pertama kali mendengar risalahnya dan, melalui mereka dan generasi selepasnya, terhadap seluruh haluan dan arah peradaban.
Ia telah menggemparkan tanah Arab, dan menyatukan bangsa dan umat yang lahir daripada percakaran dan pertembungan kabilah yang keras; dan dalam beberapa dekad, berhasil menyebarkan faham dan pandangannya yang menerobos jauh melewati wilayah dan sempadan Arab dan membentuk sebuah masyarakat berideologi yang pertama dalam sejarah manusia; dengan menekankan kekuatan ilmu dan kesedaran aqliah, ia menjana semangat intelektual yang tinggi di kalangan penganutnya, memupuk kemahuan keras dan kebebasan berfikir, dan mencetuskan kehebatan dalam pencapaian intelektual dan penemuan saintifik yang mengkagumkan yang berhasil mengangkat peradaban dan memperkasa tamadun dan budayanya; dan kebudayaan yang dipandu oleh semangat al-Qur’an itu telah mempengaruhi dengan pelbagai cara pemikiran dan pandangan masyarakat Eropah di zaman pertengahan dan mencetuskan gelombang kebangkitan yang membangunkan tamadun dan mencerah kebudayaan Barat di era Renaissance, dan dalam perjalanan masa telah berperanan melahirkan apa yang disifatkan sebagai ”era saintifik”: zaman yang kita tempuhi sekarang.
Semua ini, pada analisis akhirnya, telah dibawa oleh risalah al-Qur’an: dan ia dibawa dengan perantaraan manusia yang diilhamkannya petunjuk dan diberikan asas dan landasan untuk menilai dan memperhalusi seluruh adab dan etika dan digariskan rangka kegiatan duniawinya: kerana, tidak pernah sebuah kitab – tidak terkecuali kitab Bible – yang dihadam oleh sebegitu banyak umat dengan keghairahan dan penghormatan yang berbeza dizahirkan kepadanya; dan tidak pernah sebuah kitab dihadapkan kepada begitu ramai manusia, dan dalam zaman yang begitu panjang, suatu kesamaan pada rangkuman jawapan dari pertanyaan, “Bagaimana harus saya usahakan untuk mencapai kebaikan dalam kehidupan di dunia dan kedamaian dalam kehidupan akan datang?”
Betapa kerap pun individu Muslim yang salah dalam menanggapi jawapan ini, dan betapa ramai pun di kalangan mereka yang meninggalkan inti pesanannya, namun hakikat dan kebenarannya tetap kekal bahawa pada setiap yang beriman dan percaya dengannya, kekal yakin bahawa al-Qur’an merupakan lambang manifestasi terbesar akan rahmat Allah kepada manusia, yang menzahirkan kebijaksanaan tertinggi dan pengucapan terindah: ringkasnya, Kalam Allah yang sebenar.
Follow Us!