Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 10

Walaupun tiada seorang, daripada pentafsir klasik yang mendakwa telah mencapai maksud yang “akhir dan muktamad” dalam tafsirannya, namun tidak dinafikan bahawa tanpa usaha ulama’ besar yang lampau, tiada tafsiran moden – termasuk tafsiran saya – boleh diharapkan berhasil; dan dengan itu, walaupun dalam beberapa hal saya berbeza pandangan dengan tafsiran mereka, saya sangat terhutang budi pada kefahaman mereka yang telah meransang dan membawa saya mencari kebenaran.

—–

Berhubung dengan kaedah terjemahan, saya sebolehnya mengelak daripada menggunakan istilah kuno yang tidak diperlukan, yang hanya akan menambah kekaburan akan makna al-Qur’an pada pembaca kontemporari. Di sebalik itu, saya tidak melihat sebarang keperluan untuk menterjemah lafaz al-Qur’an dengan idiom “moden” secara langsung, yang akan menyalahi ruh bahasa Arab yang asli dan membawa kesangsian pada mereka yang arif yang telahpun begitu biasa dengan kebesaran wahyu. Lantaran itu, saya tidak mendakwa telah mengeluarkan semula sesuatu yang tak tergambar daripada keindahan ritma dan retorik al-Qur’an. Tiada seorang yang telah berhasil mengecap keindahannya yang sebenar yang terfikir untuk membuat dakwaan sedemikian atau sekadar cuba membuatnya.

Dan saya sepenuhnya sedar bahawa terjemahan saya tidak mampu untuk benar-benar “berlaku adil” kepada al-Qur’an dalam mengupas maksud yang terkandung di setiap perenggan ayatnya: kerana,

Jika semua lautan menjadi tinta untuk mencatat kalam Tuhanku, pasti lautan itu akan kering sebelum habis kalam Tuhanku
(Qur’an 18:  109).