Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 2

Pendirian orang Islam terhadap al-Qur’an ini agak mengelirukan, pada hukumnya, daripada kacamata Barat yang mendekatinya melalui terjemahan-terjemahan yang tersedia. Sementara orang-orang beriman, berupaya menghadam dan memahami al-Qur’an dalam bahasa Arab, menatapi keindahannya, lain halnya dengan pembaca bukan Muslim yang sering mendakwa melihat sesuatu yang “kasar”; lantas segala keunikan al-Qur’an dan hubungannya dengan dimensi manusiawi hampir ghaib daripada pandangannya dan sekaligus menganggapnya tak lain seperti apa, yang dipaparkan dalam karya-karya Orientalis Eropah dan Amerika, yang sering menggambarkannya sebagai “kecelaruan dan percanggahan pernyataan”;  dan manakala ayat yang, kepada orang Islam, adalah suatu ekspresi daripada kebijaksanaan tertinggi, namun seringkali berbunyi “mendatar” dan “tidak meransangkan” pada pandangan Barat.

Namun begitu, tiada suatu kritikan yang dilempar pada al-Qur’an, yang dapat menolak kenyataan, bahawa ia, sesungguhnya, telah menyediakan sumber inspirasi teragung – dalam kedua-dua maksud keagamaan dan budaya daripada istilah ini – kepada berjuta umat yang, dalam jumlah mereka, telah memberikan sumbangan terbesar kepada pengetahuan manusia, ketinggian tamadun dan kemajuan sosial. Bagaimana percanggahan ini dapat dileraikan?

Perkara ini tidak dapat dihurai dengan hujah yang lazim, yang sedia diterima oleh ramai penganut Islam moden, bahawa al-Qur’an telah “disalah tafsir” oleh penterjemah Barat. Kerana, walaupun tidak dapat dinafikan bahawa dalam terjemahan yang sedia ada dalam kebanyakan bahasa-bahasa utama Eropah terdapat karya yang mengilhamkan pandangan jelek dan prejudis dan – terutamanya di masa-masa terawal – oleh pengaruh mubaligh Kristian yang tiada petujuk, namun tidak diragukan bahawa sebahagian terjemahan ini lahir daripada kesungguhan sarjana yang, tidak dipengaruhi oleh mana-mana kecenderungan, yang seikhlasnya menyusun, mengemuka dan menyampaikan maksudnya daripada bahasa Arab asli ke bahasa-bahasa Eropah tersebut; tambahan pula, terdapat terjemahan moden daripada sarjana Muslim yang, cukup telus dengan semangat Islam, dan tidak boleh sama sekali dianggap “ralat dalam menyampaikan” apa, yang pada mereka, adalah makna sebenar daripada wahyu suci.

Namun, tiada satu pun daripada terjemahan ini – sama ada diusahakan oleh orang Islam atau bukan Islam –  yang sejauh ini mampu mendekatkan al-Qur’an kepada pintu hati dan dhamir mereka yang dibesarkan dalam suasana keagamaan dan gelanggang fikrah yang berlainan dan mengilhamkan sesuatu, meskipun kecil, daripada keluasan hikmah dan kebijaksanaannya.

Dalam beberapa segi ini mungkin disebabkan oleh sikap buruk secara sedar atau tidak menaruh prasangka jahat terhadap Islam kesan daripada pengaruh budaya dan fahaman Barat sejak perang salib – suatu tradisi yang menguasai pemikiran dan naluri mereka yang telah meninggalkan kesannya dalam pendirian dan pandangan terhadap setiap perkara yang berlabelkan Islam, yang tidak terbatas pada orang awam di “Barat” malah, dengan maksud yang lebih halus, di kalangan intelektual dan sarjana Barat yang melakukan kajian secara objektif.