Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 3

Namun faktor psikologi ini tidak sepenuhnya dapat menjelaskan kekurangan yang nyata daripada sudut penghargaan Barat terhadap al-Qur’an, dan ini meskipun dalam keghairahan dan kesungguhan mereka untuk mengkaji setiap aspek yang berkait dengan dunia Islam. Adalah mungkin bahawa di antara sebab kurangnya penghargaan ini adalah berpunca daripada pendekatan al-Qur’an sendiri yang agak berbeza daripada semua kitab suci: kerana penekanannya pada aqal sebagai asas kepercayaan dan aqidah dan juga penegasannya tentang kesepaduan ruh dan jasad (dengan itu, termasuk lingkungan sosial) dalam kehidupan insaniah: jaringan yang tidak terpisah antara amalan dan perlakuan insan seharian, bagaimana pun “duniawinya”, dengan kehidupan ruhani dan akhiratnya.

Ketiadaan pembahagian yang jelas antara medan “fizikal” dan ”ruhani” telah menyumbangkan kesukaran kepada manusia yang lahir dalam tradisi agama lain, dengan kepercayaan mereka pada unsur “ghaib” sebagai inti pengalaman agama yang benar, untuk menghargai pendekatan aqliah yang dipelopori al-Qur’an terhadap setiap persoalan agama.

Justeru, perkaitan yang kukuh antara ajaran ruhani dengan amalan hukum membingungkan pembaca Barat, yang terbiasa mengaitkan “pengalaman agama” dengan kuasa ghaib yang di luar kefahaman aqal, manakala bertembung dengan hujah al-Qur’an yang mendakwa membawa petunjuk tidak hanya untuk kebaikan di akhirat tetapi juga untuk kehidupan yang baik – rohani, fizikal dan sosial – yang diperoleh di dunia.

Ringkasnya, masyarakat Barat tidak bersedia menerima pandangan al-Qur’an bahawa semua kehidupan, yang dicipta Tuhan, adalah satu kesatuan, dan semua masalah yang berkait dengan kehidupan jasmani dan minda, jantina dan ekonomi, hak individu dan sosial adalah berkait rapat dengan harapan yang dapat manusia realisasikan dalam kehidupannya setelah mati.

Hal ini, menurut pandangan saya, merupakan salah satu sebab yang mengarah pada pandangan negatif, kegagalan masyarakat Barat untuk memahami kandungan al-Qur’an dan risalahnya. Tetapi di sana terdapat juga sebab lain – dan mungkin lebih muktamad – daripada kenyataan bahawa al-Qur’an setakat ini belum dapat diterjemah dalam bahasa Eropah dengan cara yang boleh memberikan kefahaman menyeluruh tentangnya.

Apabila kita melihat senarai panjang terjemahan al-Qur’an – bermula daripada terjemahan Latin di Zaman Pertengahan hingga ke abad ini dalam hampir semua bahasa Eropah – kita dapati satu persamaan di kalangan para penterjemah, baik Islam atau bukan Islam: semuanya – terdiri – daripada kalangan yang mempelajari bahasa Arab daripada saluran akademik: iaitu, dengan buku.

Tidak seorang di kalangan mereka, bagaimana hebat kekuatan intelektualnya, yang mampu menguasai dialek Arab sebagai seorang yang kenal akar bahasanya, menghadam lenggok dan menghalusi frasanya, cekap menangkap hujah dan mengemukakan respon, dan berupaya mendengar sekaligus mencerap maksud yang melatari alunan ritmanya dan menyelami ungkapan daripada simbolik ayatnya.

Kerana, perkataan dan ayat dalam sesebuah bahasa – mana-mana bahasa – tidak lain melambangkan simbol bahasa yang disepakati, dan tanpa disedari, telah dipersetujui secara konvensional oleh mereka yang mengungkapkan persepsi dan pandangannya melalui bahasa tersebut. Melainkan penterjemah mampu mengeluarkan semula maksud simbolik yang terkandung dalam bahasa tersebut – iaitu, melainkan dia mendengar sendiri “nyanyian” bahasa dalam telinganya dan peribadi bahasa itu sejelasnya – maka terjemahannya hanya mampu menzahirkan maksud luaran daripada inti bahasa yang disampaikan, dan akan hilang, dalam skala besar atau kecil, realitinya yang sebenar: dan semakin besar dan mendalam maksudnya, semakin jauh tersasar terjemahan tersebut  daripada memberikan maknanya yang asal.