Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 4

Tidak diragukan, sebahagian penterjemah al-Qur’an yang karyanya mendapat tempat di dunia Barat boleh dianggap sebagai sarjana unggul yang berupaya menguasai tatabahasa Arab dan mencapai pengetahuan tinggi dalam sastera Arab; tetapi penguasaan nahu dan pemahaman sastera ini tidak dapat, dalam hal terjemahan bahasa Arab (terutamanya bahasa Arab yang diguna pakai dalam al-Qur’an) secara mutlak membawa penterjemah bebas menggarap inti dan realiti bahasa tersebut yang hanya dapat diperoleh dengan menyelami kehidupan bersama dan di dalam komuniti tersebut.

Bahasa Arab berakar daripada pengucapan Semitik: malah, ia merupakan satu-satunya bahasa Semitik yang kekal subur selama beribu tahun; dan ia satu-satunya bahasa yang terus segar dan utuh tanpa sebarang perubahan sejak empat belas kurun yang lalu. Dua faktor ini sangat berkait dengan masalah yang kita bahaskan. Kerana setiap bahasa adalah lambang daripada simbol pengucapan kabilahnya yang menggambarkan budaya dan nilai kehidupannya yang tersendiri dalam menyampaikan pandangan tentang sesuatu realiti, maka jelas bahawa bahasa Arab – bahasa Semitik yang kekal tidak berubah dalam kurun yang panjang – harus berbeza luas daripada tiap sesuatu yang biasa dikenal oleh masyarakat Barat.

Perbezaan idiom Arab daripada mana-mana idiom Eropah bukan sekadar kerana bentuk sintaks (penyusunan kata-kata dan frasa) dan cara dalam menyampai dan meluahkan ide; tidak juga khusus oleh hal yang sedia maklum, daripada kelenturan yang ketara dalam tatabahasa Arab yang lahir daripada kekhususan kata kerja “dasar”nya dan pelbagai bentuk kata terbitan yang boleh dihasilkan dari kata dasar ini; bukan juga oleh kekayaan luar biasa perbendaharaan Arab: sebaliknya ia adalah perbezaan ruh dan nilai-hidup.

Dan manakala bahasa Arab yang digunapakai dalam al-Qur’an adalah bahasa yang mencapai kemuncaknya di tanah Arab empat belas abad yang lalu, maka untuk menggarap kefahaman dan ruhnya yang sebenar, seseorang harus berupaya merasa dan mendengar bahasa ini sepertimana masyarakat Arab telah merasa dan mendengarnya sewaktu al-Qur’an diturunkan, dan memahami pengertian yang diberikan oleh mereka terhadap maksud yang simbolik daripada pernyataannya.

Kita umat Islam percaya bahawa al-Qur’an adalah kalam Allah, diwahyukan kepada Nabi Muhammad dengan perantaraan bahasa yang dipertuturkan manusia. Ia adalah bahasa pertuturan semenanjung Arab: bahasa kaum yang dianugerahkan kecekapan dan kefahaman yang tajam yang dicurahkan dalam kehidupan luas di gurun yang terbentang pada generasinya, bahasa kaum yang imej di mindanya, sentiasa mengalir tanpa usaha daripada satu rangkuman pada rangkuman lain, menyaingi satu satu sama dalam ekspresi eliptik yang mencakup – sebagaimana ia, yang “difahami sendiri” – daripada paduan dan jalinan pemikiran yang membentuk ide yang ingin mereka fahami dan luahkan.

Ekspresi eliptik ini (disebut ijaz oleh ahli filologi Arab) adalah ciri yang berkait dengan idiom Arab dan, dengan itu, merupakan bahasa al-Qur’an – yang mustahil difahami kaedah dan maknanya yang tersirat tanpa kemampuan dan daya untuk mengeluarkannya, secara instintif, dengan suatu yang menyamai ekpresi eliptik, rangkuman ide ini.

Sekarang kemampuan ini diwarisi oleh intelektual Arab secara tak langsung, daripada proses penyerapan minda, sejak usia kecil: ketika ia belajar bertutur dengan betul, yang turut mewarnai dan mencorak fikirannya, dan, tanpa disedari telah berkembang dalam acuan persekitaran daripada mana bahasa Arab tersebut meraih bentuk dan cara ungkapannya yang khusus.

Kemampuan ini, tidak didapati oleh kalangan bukan Arab yang hanya mengenali bahasa Arab setelah dewasa, hasil daripada kesedaran, iaitu, dengan belajar: kerana, apa yang diperolehnya cuma bahasa yang tersedia, struktur luaran yang terpisah daripada kualiti dan keunikan eliptik yang mengadun inti idiomatik Arab dan realitinya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna orang bukan Arab tidak dapat memahami bahasa Arab dalam ruhnya yang sebenar: ia hanya bermaksud tidak lebih dan tidak kurang bahawa bahasa tersebut tidak mungkin dikuasai sepenuhnya melalui saluran akademik semata-mata, tetapi perlu, sebagai tambahan daripada penerokaan filologi, dicerap oleh rasa naluriah pada bahasa tersebut. Sekarang kenyataannya bahawa “rasa” tersebut tidak dapat dikecapi sekadar hanya berada dalam lingkungan masyarakat Arab moden di bandar.