Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 5

Walaupun ramai di kalangan mereka, khususnya golongan terpelajar, telah tanpa sedar menyerap inti dan ruh bahasa tersebut, namun sukar bagi mereka meluahkannya kepada orang luar – kerana suatu alasan mudah, bagaimana tinggi pun pelajaran bahasanya, tetapi percakapan harian mereka telah, melalui peredaran zaman dicemari, beransur musnah dan terpisah daripada lafaz Arab yang asli.

Oleh itu, bagi mengecap semula keaslian “rasa” bahasa Arab, orang bukan Arab harus tinggal lama dan bergaul rapat dengan kabilah yang pertuturannya mencerminkan semangat asli daripada bahasa tersebut, yang mentalitinya serupa dengan kerangka fikir kabilah Arab yang hidup sewaktu bahasa Arab diadun dan dicorakkan intinya. Di zaman kita, orang-orang ini hanyalah masyarakat Badawi di semenanjung Arab, terutamanya yang menetap di kawasan Tengah dan Timur Jazirah Arab.

Kerana, walaupun dialek mereka banyak yang berbeza daripada Arab klasik yang digunapakai dalam al-Qur’an, namun ia masih mengekalkan – sejauh ini – idiom yang dikenal di zaman Nabi dan telah mewarisi seluruh nilai dan ciri-cirinya yang intrinsik.  Dalam perkataan lain, kebiasaan mengenal lenggok pertuturan Arab Badawi di Tengah dan Timur Arab – dengan tambahan, tentunya, dengan pengetahuan akademik tentang bahasa Arab klasik – adalah satu-satunya cara bagi orang bukan Arab di zaman kita untuk mendapatkan kefahaman mendalam daripada enunsiasi bahasa Arab. Lantaran tiada seorang di kalangan sarjana yang telah menterjemah al-Qur’an ke bahasa Eropah memenuhi syarat ini, maka terjemahan mereka hanya kekal, jauh dan ralat, daripada mengisi makna dan semangatnya yang asli.