Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 6

KARYA yang saya persembahkan kepada pembaca ini adalah berasaskan kajian tulen sepanjang menyusuri kehidupan di semenanjung Arab. Ia adalah satu percubaan – mungkin percubaan pertama – untuk mengemukakan sepenuhnya, terjemahan yang benar-benar idiomatik disertakan dengan kupasan al-Qur’an ke dalam bahasa Eropah.

Bagaimanapun, saya tidak mendakwa telah “menterjemah” al-Qur’an dengan maksud, seperti mana, karya Plato atau Shakespeare boleh diterjemah. Tidak seperti mana-mana buku, makna dan penzahiran bahasa dalam al-Qur’an membentuk satu kesatuan yang kukuh. Kedudukan setiap perkataan dalam ayat, ritma dan alunan frasanya dan binaan sintaksnya, di mana unsur metafor mengalir mengilhamkan makna yang pragmatik, dengan penekanan pada unsur akoustik yang tidak sekadar membawa makna retorik tetapi sebagai cara untuk menunjukkan kepada suatu yang tidak terungkap namun punyai idea yang jelas: bahawa semua ini membuktikan al-Qur’an, di akhirnya, cukup unik dan tidak mampu diterjemah – suatu fakta yang disepakati oleh para penterjemah terdahulu dan semua sarjana Arab.

Meskipun mustahil untuk “menghasilkan semula” al-Qur’an dalam bahasa yang lain, namun mesejnya masih boleh disampaikan dan difahami oleh orang yang, seperti kebanyakan masyarakat Barat, tidak mengetahui bahasa Arab sama sekali atau – seperti kebanyakan orang Islam yang bukan Arab – tidak berupaya memahaminya tanpa dibantu.

Untuk maksud ini, penterjemah harus bersandar sepanjang terjemahannya kepada pangkal bahasa yang dikenal sewaktu al-Qur’an diturunkan, dan harus sentiasa sedar bahawa sebahagian ungkapannya – terutamanya yang berkait dengan konsep abstrak – telah dalam kurun yang lama mengalami perubahan ide dalam kefahaman umat dan harus, dengan itu, tidak diterjemah dengan maknanya yang difahami di zaman moden.

Sebagaimana dinyatakan oleh ulama’ besar Islam, Muhammad ‘Abduh,  kadangkala sarjana ulung, yang punya kepakaran literal dalam tafsir al-Qur’an, turut ralat dalam hal ini; dan kesilapan mereka, ditambah dengan kelemahan penterjemah moden, telah membawa pada penyelewengan makna, dan kadangkala kekeliruan yang nyata, daripada ayat-ayat al-Qur’an yang disampaikan dalam bahasa Eropah.

Perkara yang lain (dan tidak kurang pentingnya) yang mana penterjemah harus memahami sepenuhnya adalah persoalan ijaz al-Qur’an, keajaiban eliptik yang melangkaui kerangka-fikir dalam mengungkapkan ide yang muktamad seringkas dan sepadat mungkin dalam batas pertuturan manusia. Kaedah ijaz ini, sebagaimana telah saya jelaskan, amat unik, dan menjadi suatu aspek yang rapat dalam bahasa Arab, dan mencapai penyempurnaannya dalam al-Qur’an. Untuk menyampaikan maksud al-Qur’an ke dalam bahasa yang tidak menggunakan kaedah eliptik yang sama, yang hilang hubungan-fikirannya – iaitu, yang sengaja dilenyapkan – dalam bahasa asli, maka penterjemah harus menambah keterangan dengan tanda kurungan; kerana, tanpanya, frasa Arab berkenaan akan musnah seluruh maknanya dan menjadi suatu pernyataan yang tak bererti.