Risalah Al-Qur’an – Prakata

Page 7

Tambahan lagi, seseorang harus waspada dalam menjelaskan, pada semua keadaan, istilah keagamaan yang digunakan dalam al-Qur’an, yang merupakan istilah khusus Islam setelah ia dibangunkan sebagai “institusi” yang lengkap dengan syari’at, amalan dan hukum. Bagaimanapun kukuhnya “institusi” hukum ini dalam konteks perkembangan Islam, namun yang nyata al-Qur’an tidak dapat sepenuhnya difahami jika kita membacanya hanya berasaskan ideologi yang berkembang kemudian, tanpa memahami tujuan asas dan makna yang dipunyai – dan dimaksudkan sebagai ertinya – oleh mereka yang pertama kali mendengarnya daripada pengucapan Nabi sendiri.

Misalnya, apabila Sahabat Baginda mendengar perkataan Islam dan Muslim, mereka memahaminya sebagai mencerminkan “penyerahan diri kepada Allah” dan “seseorang yang menyerahkan dirinya kepada Allah” tanpa membataskan istilah ini kepada mana-mana komuniti atau mazhab tertentu – contohnya, dalam surah 3: 67, di mana Nabi Ibrahim dinyatakan telah “menyerahkan dirinya kepada Allah” (kana musliman), atau dalam surah 3: 52, di mana para pengikut Nabi ‘Isa (berkata “Dan saksikanlah bahawa kami telah menyerahkan diri kepada Allah (bi-anna muslimun)”.

Dalam bahasa Arab, maksud asli ini kekal utuh, dan tiada sarjana Arab yang tidak menyedari konotasi luas pada istilah ini. Malahan tidak, kerana di kalangan bukan Arab hari ini, baik yang beriman atau tidak: menurut mereka, Islam dan Muslim lazimnya membawa makna yang terhad, daripada sudut sejarah, dengan pengertian khusus yang terpakai secara ekslusif kepada pengikut ajaran Rasulullah.

Sama juga, perkataan kufr (“menolak kebenaran”) dan kafir (“kalangan yang menolak kebenaran”) telah dinyatakan, dalam terjemahan konvensional, dengan makna “tidak percaya” dan “orang yang tidak beriman” atau “kafir”, yang mana, telah menghakis keluasan makna dan pengertiannya yang mendalam yang diberikan al-Qur’an pada istilah ini.

Contoh lain, ialah dalam terjemahan tradisional pada perkataan kitab, sepertimana digunakan dalam al-Qur’an, sebagai “buku”: justeru, kerana sewaktu al-Qur’an diturunkan (dan kita tidak harus lupa bahawa proses ini berlangsung selama dua puluh tiga tahun), mereka yang mendengar bacaannya tidak menanggapinya sebagai “buku” – kerana al-Qur’an cuma dikumpulkan setelah berlalu beberapa dekad daripada kewafatan Nabi – bahkan, sesungguhnya ia merujuk pada akar kata nama kitab daripada kata kerja kataba (“dia menulis” atau, “dia mengeluarkan perintah”), yang membawa maksud sacara figuratif “catatan suci” atau “wahyu”.